Ahad, 13 September 2026

Niat memancing bertukar ngeri, tiga lelaki jumpa rangka manusia disimen dalam tong


Sebuah tong dipercayai berisi rangka manusia ditemukan di kawasan cerun berhampiran Kolam Takungan Air Machap, Alor Gajah, hari ini.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, tong berwarna biru berkenaan ditemukan tiga individu berusia 25 hingga 35 tahun ketika memancing di kolam takungan itu kira-kira 11.40 pagi.


"Curiga dengan penemuan tong tersebut, kumpulan pemancing berkenaan memotong sedikit bahagian atas tong berkenaan sebelum menemukan tulang yang disimen di dalam tong tersebut.


"Kumpulan pemancing tersebut kemudiannya membuat laporan polis dan pihak kami tiba di lokasi kira-kira 12 tengah hari," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, hari ini.


Ahmad berkata, siasatan awal mendapati rangka berkenaan telah mereput dan dianggarkan sudah melebihi tiga minggu.


Beliau berkata, pihaknya kemudian memohon bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka untuk mengangkat tong berkenaan yang berada di dalam cerun di pinggir jalan itu.


"Rangka itu dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengenal pasti jantina serta identiti mangsa.


"Saya memohon jika ada pihak yang kehilangan anggota keluarga agar tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan lanjut," katanya.


Ahmad berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan kepada balai polis terdekat.


EmoticonEmoticon