Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kecederaan di lengan, kepala dan muka di tepi jalan dalam kejadian di Permas Jaya, Johor Bahru semalam.
Difahamkan, mangsa yang juga warga tempatan berusia 67 tahun dipercayai maut akibat dipukul berkali-kali dengan objek tumpul di kepala.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Ng Swie Chait berkata, polis menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian pada jam 4.54 petang.
"Susulan itu, kita memberkas seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun, dipercayai kurang siuman yang terbabit dalam kejadian berkenaan.
"Suspek ditahan di hadapan sebuah kedai makan di Bandar Baru Permas Jaya, jam 6 petang semalam.
"Polis turut merampas sebatang tongkat besi dan sebuah potret gambar bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ng berkata, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah, bagaimanapun ujian saringan air kencing adalah negatif dadah.
Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau berkata, motif serta punca kejadian masih dalam siasatan.
"Bedah siasat yang dijalankan Pakar Patologi Hospital Sultan Ismail, hari ini mendapati punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan akibat trauma tumpul pada kepala," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan seorang lelaki melakukan perbuatan mencurigakan di tepi jalan.


EmoticonEmoticon