Sabtu, 7 November 2020

Rugi lebih RM33,000 ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud


Kuantan: Hasrat seorang pekerja ladang untuk membuat pinjaman RM20,000 bagi urusan peribadi musnah, sebaliknya menanggung kerugian RM33,760 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud, pada 10 Oktober lalu.


Kejadian bermula apabila mangsa berusia 33 tahun, melayari Facebook sebelum tertarik dengan tawaran iklan pinjaman wang lesen yang kononnya beroperasi di Setapak, Kalau Lumpur.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa kemudian menghubungi ejen pinjaman itu melalui aplikasi WhatsApp bagi mengetahui lebih lanjut mengenai pinjaman yang ditawarkan.


"Selepas perbincangan, mangsa bersetuju membuat pinjaman wang RM20,000 pada akhir bulan lalu dan dimaklumkan pinjaman akan diluluskan dalam tempoh tujuh hari bekerja.


"Pada 1 November lalu, wakil syarikat pinjaman itu memaklumkan pinjaman dipohon mangsa diluluskan dengan bayaran balik secara ansuran bulanan sebanyak RM417 selama lima tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mangsa bersetuju dan syarikat pinjaman itu meminta memasukkan wang bagi tujuan yuran proses pinjaman dan urusan cukai pendapatan.


Jelasnya, mangsa kemudian membuat transaksi pertama di sebuah bank di daerah Kuala Lipis berjumlah RM840 seperti diminta, pada 2 November lalu.


"Mangsa kemudian dihubungi syarikat itu meminta memasukkan lagi wang bagi tujuan memproses dokumen pinjaman dan mangsa membuat 11 transaksi membabitkan wang RM32,920 dalam akaun yang diberikan," katanya.


Mohd Wazir berkata, selepas memasukkan semua wang diminta, syarikat berkenaan masih meminta pindahan wang bagi pelbagai proses pinjaman.


Katanya, namun mangsa mula merasa curiga akan perkara ini kerana pinjaman yang dipohon sehingga kini gagal diluluskan syarikat itu.


"Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.


Sumber: Berita Harian


EmoticonEmoticon