Selasa, 6 Jun 2023

Lelaki 'menunggang' ikan jerung seperti koboi mengundang kemarahan orang ramai

Lelaki 'menunggang' ikan jerung seperti koboi mengundang kemarahan orang ramai


Satu rakaman video mengundang kemarahan orang ramai kerana memaparkan seorang lelaki duduk di atas badan seekor jerung dan membuat aksi seperti menunggang kuda dalam kejadian di pantai Panama City, Florida pada Ahad lalu.


Menurut portal berita Daily Star pada 5 Jun 2023, seorang pengunjung bernama Tammy Scott memuat naik video berdurasi 55 saat di laman Facebook menunjukkan detik apabila lima lelaki mengheret seekor ikan jerung keluar dari laut.


Bagaimanapun, terdapat gambar lain menunjukkan dua lelaki duduk di atas badan jerung tersebut ketika ia berada di gigi air.


Ikan jerung sepanjang 1.82 meter itu menggoyang-goyangkan ekornya, manakala seorang lelaki menarik tali pancing yang melekat.


Lelaki kedua melompat ke atas belakang hidupan laut itu untuk mengeluarkan mata kail yang tertanam pada mulut nya. Tammy kedengaran memberitahu anak perempuannya: "Dia 'menunggang' ikan jerung!"



Video itu kemudian disunting untuk menunjukkan kelima-lima lelaki terbabit melepaskan semula jerung tersebut ke dalam laut.


Scott kemudian menyiarkan beberapa lagi gambar dan menulis: "Mereka tidak memudaratkannya atau sesiapa pun. Mereka duduk di atas jerung supaya ia tidak tersentak apabila mencabut mata kail yang melekat."


Bagaimanapun, klip video itu menjadi tular dan menimbulkan kemarahan orang ramai apabila media AL.com menyiarkannya semula bersama tajuk: "Lelaki 'menunggang' ikan jerung seperti koboi."


Sebilangan penonton mengecam tingkah laku lelaki itu dan menuduhnya menunggang ikan jerung untuk keseronokan. - Sumber Daily Star.


Tangkap layar video yang menunjukkan dua lelaki menunggang jerung di belakangnya seperti kuda di pantai menjadi tular sebelum orang ramai menyedari mereka cuba menyelamatkan haiwan itu. - Foto Daily Star.

Isnin, 5 Jun 2023

Wolverine yang dipercayai pupus lebih 100 tahun, muncul semula di California

Wolverine yang dipercayai pupus lebih 100 tahun, muncul semula di California


Seekor wolverine dijumpai buat kali kedua di California Utara sejak spesis itu dipercayai pupus lebih 100 tahun lalu, lapor portal berita Daily Mail pada 1 Jun 2023.


Gambar haiwan itu dirakam oleh Ryan Campbell pada Mei lalu ketika dia bermain ski di Gunung Mammoth, California.


Semasa menaiki gondola menuju ke puncak gunung, seorang individu tidak dikenali menunjukkan tangan ke arah haiwan itu selepas melihatnya di sebuah kawasan bersalji.


Penampakan haiwan itu adalah kali kedua selepas ia dikatakan pupus di California pada 1922 akibat perburuan.


Campbell memberitahu laman berita SFGate bahawa haiwan itu kelihatan seperti 'beruang kecil namun memiliki corak putih, ekor panjang dan kepala yang berbeza.'


Dia kemudian mengeluarkan telefonnya dan merakam gambar haiwan itu dari jarak jauh. Haiwan itu melarikan diri selepas menyedari kehadiran pemain-pemain ski tersebut.


Pada tahun 2008, seekor wolverine bernama Buddy mengembara dari Idaho ke California, kira-kira 965 kilometer dari lokasi penampakan terbarunya.


Ia dirakam oleh kamera beberapa kali dalam tempoh beberapa tahun. - Sumber Daily Mail.


Gambar terbaru seekor Wolverine yang dilihat di Taman Negara Yosemite. - Foto Yosemite National Park/FOX Weather.

Penampakan terbaru Wolverine itu dikesan di Gunung Mammoth, California. - Foto Daily Mail.

Seekor wolverine bernama Buddy yang dilihat pada tahun 2008. - Foto Daily Mail.

Ahad, 4 Jun 2023

Telinga panjang, dahi bertanduk, gadis ini mahu miliki telinga bunian, gigi puntianak pula

Telinga panjang, dahi bertanduk, gadis ini mahu miliki telinga bunian, gigi puntianak pula


Seorang gadis merancang modifikasi ekstrem termasuk bola matanya didakwatkan, kedua-dua telinga dipotong menyerupai orang bunian dan mempunyai gigi puntianak kekal sebagai nilai estetika untuk dirinya, lapor portal berita Daily Star pada 1 Jun 2023.


Jessy Kirkpatrick, 27, dari Topeka, Kansas melakukan 'ubah suai' pada bahagian badannya selama lebih sedekad.


"Saya mahu menunjukkan kepada orang ramai bahawa anda tidak perlu malu untuk menjadi diri sendiri. Anda harus belajar untuk menyayangi diri anda dengan sebaik mungkin. Saya mahu mempamerkan semua perkara baharu yang saya dapat kerana ia adalah perjalanan peribadi.


"Saya mahu melengkapkan set tatu badan, belah lidah, kulit sehingga ke dahi saya, tatu bola mata, cuping telinga yang lebih besar, tatu lidah dan tindikan pada hidung lebih besar.


"Saya juga mahu memotong telinga saya mengikut bentuk telinga makhluk halus dan mempunyai gigi puntianak kekal. Saya tahu apa yang saya mulakan dan saya tidak bercadang untuk berhenti," katanya. - Sumber Daily Star.


Jessy Kirkpatrick mahu mengubah suai bentuk badannya dengan memiliki gigi puntianak dan cuping telinga lebih besar. - Foto bodyartatlarge/Instagram.

Jumaat, 2 Jun 2023

Gelandangan melecur, lelaki mabuk bakar tilam ketika mangsa tidur

Gelandangan melecur, lelaki mabuk bakar tilam ketika mangsa tidur


Seorang lelaki gelandangan melecur di bahagian punggung dan kaki apabila tilamnya dibakar ketika mangsa sedang tidur, dipercayai akibat perbuatan khianat di kaki lima bangunan kedai di Taman Kampian, Sungai Petani semalam.


Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 9.30 malam itu juga turut menyebabkan kerosakkan pada pintu dua buah kedai berdekatan.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada anggota bomba Sungai Petani mengenai kebakaran tersebut pada pukul 11.10 malam.


Zaidy berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kebakaran melibatkan kemusnahan 25 peratus iaitu di bahagian kaki lima dan pintu dua buah kedai iaitu kedai akuarium ikan dan sebuah stor dengan anggaran kerugian sebanyak RM10,000.


"Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 62 tahun melecur 11 peratus di bahagian punggung serta kaki dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), untuk diberi rawatan," katanya ketika dihubungi.


Beliau berkata, hasil temubual dengan mangsa dan pemilik kedai memaklumkan bahawa mereka tidak bergaduh atau berhutang dengan sesiapa.


"Mangsa merupakan seorang gelandangan yang tidur di kaki lima bangunan kedai tersebut sejak dua tahun lalu selepas mengalami kemalangan dan mangsa juga berjalan menggunakan tongkat," katanya.


Katanya, berdasarkan rakaman CCTV dari sebuah kedai berdekatan mendapati terdapat seorang suspek lelaki yang datang ke lokasi kejadian dengan menunggang motosikal, namun jenis dan nombor plat kenderaan itu tidak dapat dipastikan.


"Rakaman CCTV tersebut menunjukkan suspek berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang dipercayai akibat mabuk.


"Suspek juga dilihat menuju ke arah mangsa namun perlakuannya terhadap mangsa tidak dapat dilihat melalui CCTV, kemudian suspek dilihat bertindak membakar tilam di kaki lima bangunan serta melarikan diri dengan motosikalnya.


"Polis kini sedang berusaha mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.


Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki sedang membakar tilam di kaki lima bangunan kedai di Taman Kampian, Sungai Petani.

Khamis, 1 Jun 2023

Majlis pertunangan mewah, wanita terima 50 rantai emas, wang tunai RM983,000

Majlis pertunangan mewah, wanita terima 50 rantai emas, wang tunai RM983,000


Sebuah majlis pertunangan mewah satu pasangan dari Vietnam yang melibatkan hantaran berupa wang tunai serta berpuluh-puluh utas rantai emas mendapat perhatian pengguna media sosial, lapor laman berita Thaiger pada 30 Mei 2023.


Bakal pengantin perempuan dilaporkan menerima kira-kira 50 utas rantai emas dan wang tunai berjumlah kira-kira 5 bilion dong (RM982,888).


Laporan media tempatan menyatakan, majlis pertunangan itu berlangsung Sabtu lalu yang melibatkan seorang lelaki berusia 26 tahun dan tunangnya yang berusia 23 tahun. Mereka dikatakan baru dua bulan menjalinkan hubungan cinta.


Mereka berdua bekerja dan tinggal di wilayah Bình Dương, tetapi memutuskan untuk mengadakan majlis pertunangan dan perkahwinan di wilayah Tuyên Quang, kampung halaman pengantin lelaki, untuk memudahkan rakan dan keluarga hadir.


Pengantin lelaki mendedahkan dia dan pasangannya masih belum mengira jumlah keseluruhan rantai emas yang diterima tetapi menganggarkan sekitar 50 utas.


Ibu bapa wanita berkenaan menghadiahkan 20 utas rantai leher dan 5 bilion dong secara tunai manakala rantai leher selebihnya dihadiahkan daripada saudara-mara yang lain.


Dia merupakan anak sulung daripada tiga beradik yang memiliki Ijazah Pengurusan Perniagaan dari sebuah universiti di bandar raya Ho Chi Minh.


Keluarganya memiliki perniagaan motosikal dan hartanah manakala keluarga pengantin lelaki terlibat dalam industri pakaian dan peralatan tempat tidur. - Sumber The Thaiger.


Bakal pengantin perempuan menerima hadiah hampir RM1 juta pada majlis pertunangannya pada 27 Mei lalu di Vietnam baru-baru ini. - Foto Thaiger.

Rabu, 31 Mei 2023

Doktor belah perut pesakit keluarkan botol deodoran 'tersangkut' dalam rektum

Doktor belah perut pesakit keluarkan botol deodoran 'tersangkut' dalam rektum


Sekumpulan doktor di Iran tiada pilihan melainkan membelah perut seorang lelaki untuk mengeluarkan botol deodoran yang berada jauh di dalam duburnya , lapor akhbar Daily Star pada 29 Mei 2023.


Kes itu diterbitkan dalam sebuah jurnal perubatan baru-baru ini. Doktor-doktor perlu memikirkan cara terbaik untuk mengeluarkan botol tersebut tanpa merosakkan organ lelaki berusia 30 tahun itu.


Menurut laporan, lelaki itu mengadu sakit perut dengan punca kesakitan berasal pada bahagian punggungnya semasa mendapatkan rawatan perubatan.


Pasukan pakar bedah unit kecemasan Universiti Sains Perubatan Iran terpaksa membelah perut pesakit pada hari sama.


Pembedahan adalah satu-satunya pilihan untuk lelaki berkenaan. Pesakit ketika itu berada dalam kesakitan teruk sehinggakan dia tidak boleh duduk ketika menjalani pemeriksaan rektum atau sebarang prosedur lain bagi mengeluarkan botol tersebut.


Selepas pembedahan selamat dilakukan, dia ditahan di hospital supaya kembali pulih seperti sedia kala.


Tiada tanda-tanda pendarahan atau luka pada duburnya dicatatkan dalam jurnal sama. - Sumber Daily Star.


Imej X-ray menunjukkan kedudukan botol deodoran tersebut di dalam badan pesakit berkenaan. - Foto Daily Star.

Selasa, 30 Mei 2023

Kucing gemuk tidak cedera jatuh dari tingkat enam, cermin kereta pecah

Kucing gemuk tidak cedera jatuh dari tingkat enam, cermin kereta pecah


Seekor kucing tidak mengalami kecederaan selepas terjatuh dari tingkat enam sebuah blok kondominium dan menimpa cermin kereta dalam kejadian di Bangkok, lapor laman berita Thaiger pada 29 Mei 2023.


Kereta yang diparkir di bawah kondominium itu rosak dan cermin belakangnya pecah.


Pemilik kenderaan, Apiwat Toyothaka, berkongsi gambar kucing bernama Shifu itu bersama keadaan cermin keretanya yang pecah di laman Facebook kelmarin.


"Pengurus kondominium menghubungi saya pukul 7 pagi (waktu tempatan) untuk memaklumkan bahawa seekor kucing jatuh di atas kereta saya. 


"Saya berasa keliru mengenai kejadian itu kerana bagi saya, ia hanya seekor kucing yang jatuh di atas kereta. Kemudian, saya diberitahu bahawa kucing itu seberat 8.5 kilogram dan memecahkan tingkap kereta. Barulah saya faham situasi itu," tulisnya di Facebook.



Tambah Apiwat, dia tidak marah kepada kucing itu atau pemiliknya kerana ia adalah satu kemalangan.


"Shifu kini berada dalam keadaan baik. Ia makan, minum dan membuang air dengan normal. Badannya juga tidak mengalami sebarang kecederaan atau kesan lebam kecuali ia kehilangan dua kukunya,” kata Apiwat ketika memberitahu mengenai keadaan haiwan itu.


Beberapa gambar yang turut disertakan pada hantaran Apiwat menunjukkan tiada sebarang kecederaan pada badan Shifu namun, cermin belakang kereta Apiwat mempunyai lubang besar.


Sementara itu, pengurus bangunan tersebut, Orassa berkata, selepas memeriksa CCTV dan menyoal beberapa saksi, dia melihat kucing itu jatuh dari tingkat enam ke tingkat tiga, sebelum terhumban ke atas kereta.


Sementara itu, disebabkan kondominium tersebut mempunyai polisi tidak boleh membela haiwan, pemilik kucing itu diarahkan membayar denda berjumlah 1,000 baht (RM132.58) kepada Apiwat. - Sumber The Thaiger.


Shifu tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun ia memecahkan cermin kereta Apiwat. - Foto Apiwat Toyothaka.

Ahad, 28 Mei 2023

Pakar percaya 119 UFO terhempas di Bumi, serpihannya digunakan mencipta tenaga termaju

Pakar percaya 119 UFO terhempas di Bumi, serpihannya digunakan mencipta tenaga termaju


Seorang pakar terkemuka di Amerika Syarikat (AS) memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 119 objek terbang tidak dikenali (UFO) telah terhempas di Bumi, lapor akhbar Daily Star pada 26 Mei 2023.


Menurut Dr. Steven Greer, 67, kerajaan AS telah mengambil serpihan dari lokasi penemuan UFO yang kemudiannya digunakan untuk mencipta tenaga termaju dan sistem pendorong yang belum didedahkan kepada umum. 


Sepanjang 30 tahun lalu, Greer mendakwa bahawa dia menerima dokumen kerajaan bersaiz lima terabait mengenai UFO dan keterangan 700 penyampai maklumat daripada sumber tentera, perisikan serta korporat.


Greer merancang untuk mendedahkan fail tersebut pada satu sidang media di Washington, 12 Jun depan.


Dia akan membentangkan bukti projek rahsia berkaitan UFO. Fail itu termasuk 119 'peristiwa penemuan kenderaan angkasa lepas'.


Sejak beberapa dekad lalu, sebilangan UFO telah diperhatikan di ruang udara Bumi. Ia mampu mencapai kelajuan ekstrem mengatasi mana-mana pesawat buatan manusia.


Menurutnya, kapal angkasa UFO telah 'ditembak jatuh, diambil dan dikaji sejak sekurang-kurangnya tahun 1940-an atau mungkin seawal 1930-an'. - Sumber Daily Star.


Dr. Steven Greer merancang untuk mendedahkan kepada umum pada 12 Jun depan. - Foto FilmMagic.
Pegawai kerajaan arahkan empangan dikeringkan untuk cari telefonnya yang jatuh ketika swafoto

Pegawai kerajaan arahkan empangan dikeringkan untuk cari telefonnya yang jatuh ketika swafoto


Seorang pegawai kerajaan India digantung tugas selepas dia mengarahkan sebuah empangan dikeringkan sepenuhnya bagi mencari telefonnya yang hilang, lapor BBC News pada 26 Mei 2023.


Para petugas mengambil masa tiga hari untuk mengepam berjuta-juta liter air keluar dari empangan, selepas Rajesh Vishwas menjatuhkan telefonnya ke dalamnya ketika mengambil swafoto.


Ketika ditemukan, telefon itu sudah pun dimasuki air dan tidak boleh lagi berfungsi.


Vishwas memaklumkan, dia terpaksa berbuat demikian kerana telefon tersebut mengandungi data kerajaan yang sensitif dan perlu disimpan. Namun, dia didakwa kerana menyalahgunakan kuasa.


Insiden itu berlaku di Empangan Kherkatta di negeri Chhattisgarh.


Mulanya, Vishwas mengupah khidmat penyelam untuk mencari telefonnya, namun gagal sebelum dia membuat keputusan untuk mengeringkan air dalam empangan tersebut.


Katanya, dia sudah memperoleh kebenaran lisan daripada seorang pegawai untuk melakukan tindakan tersebut dan mengalirkan air yang dipam ke saliran air berhampiran.


Pam itu berjalan selama beberapa hari, mengosongkan kira-kira dua juta liter air yang cukup untuk mengairi 6 kilometer persegi tanah ladang.


Misinya dihentikan apabila seorang pegawai lain, dari jabatan sumber air, tiba berikutan aduan.


"Dia telah digantung sehingga siasatan. Air adalah sumber penting dan ia tidak boleh dibazirkan seperti ini," kata Priyanka Shukla, seorang pegawai daerah Kanker, kepada akhbar The National.


Vishwas mempertahankan tindakannya dengan menyatakan air tersebut boleh digunakan para petani untuk tanaman mereka, terutamanya sawah padi. - Sumber BBC News.


Takungan air di Empangan Kherkatta di Chhattisgarh, India. - Foto Ramanmann1974.

Sabtu, 27 Mei 2023

Penjual mi dipenjara 5 tahun perli menteri makan di restoran Salt Bae

Penjual mi dipenjara 5 tahun perli menteri makan di restoran Salt Bae


Seorang penjual mi di Vietnam yang membuat video parodi mengejek seorang menteri paling berkuasa di negara itu telah dipenjara selama lima tahun enam bulan berhubung kesalahan menyebar propaganda anti-negara.


Lapor BBC News pada 25 Mei 2023, Bui Tuan Lam menjadi terkenal apabila menyiarkan video pada tahun 2021 meniru gerakan chef selebriti Salt Bae yang berpangkalan di London.


Dalam videonya, Tuan Lam menabur bawang hijau di atas mi supnya seperti gaya chef berasal dari Turkiye itu menabur garam pada hidangan stiknya.


Beberapa hari sebelum itu, rakaman Menteri Keselamatan, To Lam menikmati stik bersalut emas berharga 1,600 pound (RM9,131) di restoran chef tersebut mencetus kekecohan dalam talian.


Ramai rakyat Vietnam mengecam tindakan pegawai tinggi komunis itu yang memakan hidangan mewah dengan harga mahal melebihi gaji bulanannya sejurus selepas beliau melawat kubur Karl Marx di London.


Ekoran insiden itu, polis menyoal siasat Tuan Lam dan menutup gerainya, yang menjadi sangat popular selama beberapa hari selepas parodinya dimuat naik di laman sosial.


Lelaki itu dilaporkan ditahan sejak September lalu dan pasportnya turut disekat.


"Walaupun parodi Salt Bae yang terkenal tidak disebut, rasa malu kerajaan Vietnam terhadap video itu dianggap sebagai punca penahanannya.


"Walaupun pertuduhan adalah mengenai siaran Facebook yang lalu, tiada siapa yang patut tertipu," kata Pegawai Human Rights Watch, Phil Robertson. - Sumber BBC News.


BACA: Rakyat Berdepan Kesukaran Akibat Pandemik, Menteri Makan Stik Dalam Daun Emas.


Bui Tuan Lam ditahan polis Vietnam selepas meniru gaya Salt Bae dalam video parodinya. - Foto BBC News.