Khamis, 22 Jun 2023

Mangsa ketawa apabila peragut larikan rantai emas palsu

Mangsa ketawa apabila peragut larikan rantai emas palsu


Seorang wanita di Vietnam yang sedang menyampu sampah di luar rumahnya hanya ketawa melihat rantai emasnya dilarikan oleh seorang pencuri, lapor portal berita Thaiger pada 20 Jun 2023.


Mangsa tidak bersedih apabila rantai leher dianggarkan bernilai 24.9 juta dong (RM4,915) itu diragut kerana ia adalah barang kemas palsu.


Rakaman video kejadian yang tular di laman sosial antarabangsa menunjukkan wanita itu dengan santai menyapu sampah di tepi jalan raya di hadapan rumahnya apabila seorang peragut yang menaiki motosikal menghampirinya.


Dia pantas merentap rantai leher emas mangsa dan melarikan diri. Anehnya, mangsa ketawa dengan kuat dan menjerit sesuatu kepada pencuri yang melarikan diri.


Difahamkan dia kemudian membuat laporan polis dan mengaku bahawa rantai lehernya palsu. Pihak berkuasa menyatakan, kejadian berlaku pada 16 Jun lalu.


Polis meneliti sistem televisyen litar tertutup (CCTV) sebagai bukti dalam usaha memburu suspek. - Sumber The Thaiger.


Seorang percuri bertindak mencuri rantai emas seorang wanita yang sedang menyapu di Vietnam pada 16 Jun lalu. - Foto Khaosod.

Selasa, 20 Jun 2023

Batu delima terbesar berjaya dijual pada harga RM160.9 juta

Batu delima terbesar berjaya dijual pada harga RM160.9 juta


Sebutir batu delima seberat 55.22 karat berjaya dijual pada harga AS$34.8 juta (RM160.9 juta) dalam satu acara lelongan yang diadakan di New York baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail pada 11 Jun 2023.


Batu delima terbesar yang pernah dilelong itu, mencipta rekod baharu lelongan dunia bagi batu delima dan koleksi batu permata berwarna.


Rekod itu sebelum ini dipegang oleh Sunrise Ruby, batu permata Burma seberat 25.59 karat yang dijual pada harga AS$30.3 juta (RM140.1 juta) di Sotheby’s Geneva pada Mei 2015.


Makmal permata yang lain, Swiss Gemmological Institute (SSEF), juga berpangkalan di New York, menulis bahawa permata memaparkan 'warna merah terang disebabkan oleh pelbagai pantulan dalaman.'


Mereka berkata pada acara lelongan Sotheby’s Magnificent Jewels di New York, batu delima dinamakan sebagai Estrela de Fura itu dianggap sebagai 'khazanah alam semula jadi yang luar biasa.'



Estrela de Fura ditemukan di Mozambique pada Julai tahun lalu. Batu delima itu dipotong daripada 101 karat kasar kepada 55.22 karat.


Batu permata itu dijumpai di sebuah lombong yang dikendalikan oleh syarikat perlombongan, Fura berpangkalan di Dubai.


Beberapa pakar berpandangan penemuan batu delima itu yang dianggap 'sekali dalam tempoh seabad' itu menggemparkan industri batu pertama.


Malah, agensi lelongan Sotheby’s menyifatkan batu delima sebesar itu 'amat jarang ditemukan'.


Katanya, hanya dua contoh koleksi batu permata demikian yang sebelum ini mencecah paras harga AS$15 juta (RM69.36 juta). - Sumber Daily Mail.


Batu delima terbesar pernah dilelong, dijual pada harga AS$34.8 juta (RM160.9 juta). - Foto AF.

Isnin, 19 Jun 2023

Beruang besar 'curi makanan' tersangkut di tingkap ketika cuba lari

Beruang besar 'curi makanan' tersangkut di tingkap ketika cuba lari


Seekor beruang 'memecah masuk' sebuah rumah di negeri Colorado, Amerika Syarikat Rabu lepas, lalu menghabiskan makanan di kediaman tersebut, lapor akhbar New York Post pada 17 Jun 2023.


Beruang itu menghabiskan satu hidangan makanan sebelum dirakam cuba melarikan diri dari tingkap selepas ia terkunci secara tidak sengaja dalam sebuah bilik tidur di tingkat dua.


Seorang jiran di kawasan itu, Heidi Hanna merakam 'penceroboh' berkenaan sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan selepas menyedari pemiliknya tiada di sana.



Beruang itu cuba melompat ke tanah, namun gagal kerana terlalu tinggi. Ia kemudian masuk semula ke dalam bilik tidur itu sebelum ditemui pegawai yang bertindak balas.


Selepas pegawai itu membuka pintu bilik tidur, ia turun semula ke bawah, menyelinap melalui tingkap dan melarikan diri ke dalam hutan.


Pemilik rumah itu, Ryan MacFarlane sedang bekerja apabila dia mengetahui beruang itu berada di rumahnya.


"Saya bersyukur kerana ia adalah 'tetamu' yang dihormati," kata MacFarlane. - Sumber New York Post.


Beruang itu gagal melompat turun untuk melarikan diri melalui tingkap tingkat dua, ia kemudia masuk semula ke dalam rumah dan turun semula ke bawah, menyelinap melalui tingkap tingkat satu yang asalnya dimasukinya, kemudian menghilang ke dalam hutan. - Foto Heidi Hannah/ AMAZING ANIMALS+/ MEGA.

Ahad, 18 Jun 2023

NASA siar imej panorama siang di Marikh buat pertama kali

NASA siar imej panorama siang di Marikh buat pertama kali


Kenderaan penjelajah Marikh milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Curiosity, menghantar beberapa gambar ke Bumi yang memaparkan panorama harian di planet itu, lapor akhbar Metro UK pada 16 Jun 2023.


Ia merakamkan pemandangan mengagumkan dari Lembah Marker Band di planet itu dengan perincian yang luar biasa, termasuk trek Curiosity sendiri di kawasan tanah merah yang terkenal.


Imej itu adalah gabungan dua panorama yang diambil pada pukul 9.20 pagi dan 3.40 petang dengan menggunakan kamera navigasi hitam-putih yang kemudiannya diwarnakan oleh pasukan NASA di Bumi.


Warna biru mewakili waktu pagi dan kuning pula merupakan waktu petang.


"Dengan merakam panorama pada dua masa yang berbeza dalam sehari, pemandangan itu menunjukkan bayang-bayang dramatik yang serupa dengan pencahayaan pentas yang masuk dari kiri dan kanan pentas tengah.


"Selain itu, ia adalah musim sejuk di lokasi Curiosity pada masa imej-imej ini ditangkap, bayang-bayang lebih tajam dan lebih dalam semasa musim sejuk, apabila habuk berada pada tahap paling rendah di atmosfera Marikh," kata kenyataan daripada NASA.


Sebanyak lima gambar dihantar ke Bumi yang menunjukkan pelbagai ciri landskap Marikh manakala dua bukit, Bolivar dan Deepdale boleh dilihat berhampiran kenderaan itu. - Sumber Metro News.


(Gambar atas waktu pagi dan gambar bawah waktu petang) Gambar panorama indah dihantar ke Bumi oleh kenderaan penjelajah NASA, Curiosity di planet Marikh baru-baru ini. - Foto NASA/JPL-CalTech.

Jumaat, 16 Jun 2023

Seorang individu menemui wang RM262,000 dalam timbunan sampah

Seorang individu menemui wang RM262,000 dalam timbunan sampah


Seorang individu menemui wang tunai berjumlah kira-kira 8 juta yen (RM262,454) di sebuah premis perniagaan di bandar raya Niigata, Jepun, lapor laman berita The Mainichi pada 14 Jun 2023.


Menurut Balai Polis Niigata, individu yang mempunyai kaitan dengan lokasi perniagaan itu menemui wang tersebut dalam timbunan sampah di premis berkenaan pada 5 Jun lalu.


Dia kemudian membuat laporan polis pada hari yang sama selepas menemui wang dalam jumlah yang besar itu.


Balai Polis Niigata pada 13 Jun lalu mendedahkan penemuan tersebut bagi mencari pemilik wang berkenaan.


Jika pemiliknya gagal tampil dalam masa tiga bulan, individu yang menemuinya boleh menuntut wang tersebut. - Sumber Mainichi.


Seorang individu menemui wang 8 juta yen dalam timbunan sampah di premis perniagaan di Niigata pada 5 Jun lalu. - Foto Mainichi.

Selasa, 13 Jun 2023

Wanita ditahan curi barang kemas saudara sendiri bernilai RM90,000

Wanita ditahan curi barang kemas saudara sendiri bernilai RM90,000


Seorang wanita berusia 34 tahun ditahan polis di sekitar daerah Barat Daya di Balik Pulau, kelmarin kerana disyaki mencuri barang kemas milik ahli keluarganya bernilai RM90,000.


Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, wanita itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat mangsa yang juga saudara kepada suspek berhubung kehilangan barangan kemasnya.


Menurut beliau, wanita itu menyedari barang kemas bernilai RM90,000 yang diletakkan di dalam beg hitam di dalam almari ruang tamu di rumah ibu mentuanya di Halaman Mayang 6, Bayan Baru, hilang 25 November tahun lalu.


"Pengadu membuat laporan polis pada Sabtu lalu (10 Jun) selepas mengesyaki barangan kemas itu dicuri wanita berkenaan. Suspek ditahan pada Ahad (11 Jun).


"Hasil siasatan awal mendapati suspek yang tidak bekerja telah mencuri barang kemas tersebut pada 5 November tahun lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurutnya, berdasarkan siasatan, suspek serta mangsa tidak tinggal bersama, namun suspek sering ke rumah ibu mentua mangsa.


"Susulan penahanan wanita itu, polis merampas sebanyak 11 helai resit pajak gadai, seutas rantai leher emas anggaran berat 79 gram dan satu loket emas seberat 26 gram.


"Siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dengan kegiatan itu, kini direman selama tiga hari bermula 11 Jun bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.


Antara barang kemas dipercayai dicuri yang berjaya ditemukan susulan penahanan seorang wanita di daerah Barat Daya, Pulau Pinang. - Foto Utusan Malaysia.

Isnin, 12 Jun 2023

Nelayan ketakutan selepas menaikkan seekor makhluk aneh 'ikan pontianak'

Nelayan ketakutan selepas menaikkan seekor makhluk aneh 'ikan pontianak'

 


Seorang nelayan di Amerika Syarikat terkejut apabila menaikkan seekor makhluk parasit yang kelihatan begitu menyeramkan, lapor akhbar Daily Star UK pada 9 Jun 2023.


Eric Osinskie menangkap haiwan itu di Lembah Hudson, negeri New York pada petang Ahad, 4 Jun lalu.


Dia berkongsi gambar haiwan yang kelihatan seakan belut dengan deretan gigi tajam itu di laman Facebook Catskill Outdoors.


Osinskie memberitahu majalah Newsweek: "Ia adalah perkara paling aneh pernah saya tangkap. Ia mungkin sepanjang 60 sentimeter atau lebih panjang.


"Saya sebenarnya tersilap menangkapnya. Saya fikir ia adalah kayu pada awalnya," katanya.


Haiwan itu sebenarnya adalah lamprei laut yang kadang-kadang dikenali sebagai 'ikan pontianak'.


Ia akan berhijrah ke sungai untuk bertelur dan menggunakan mulutnya untuk menyedut darah haiwan lain. 


Mangsa kebiasaannya mati akibat kehilangan darah atau jangkitan lain. - Sumber Daily Star.


Osinskie menunjukkan lamprei laut yang ditangkapnya. 

- Foto catskilloutdoors/Facebook.

Ahad, 11 Jun 2023

Lelaki dakwa lihat dua makhluk asing berketinggian 10 kaki

Lelaki dakwa lihat dua makhluk asing berketinggian 10 kaki


Seorang lelaki Las Vegas mendakwa melihat dua makhluk asing berketinggian sehingga 3.04 meter (10 kaki) di halaman rumahnya sendiri pada bulan lalu, lapor portal berita Daily Mail pada 9 Jun 2023.


Satu rakaman video yang disiarkan di YouTube pada 8 Jun memaparkan butiran lanjut tentang perkara itu. Lelaki berkenaan menyifatkan makhluk yang dilihatnya sebagai 100 peratus bukan manusia.


"Saya mendengar sesuatu jatuh dari langit. Saya berpaling. Satu-satunya perkara yang saya lihat adalah cahaya besar bergerak dari langit. Beberapa ketika kemudian, saya merasakan berlaku dentuman," kata lelaki itu dalam video YouTube yang kini tular.


Dalam video penjelasannya, dia mendedahkan bahawa sistem televisyen litar tertutup (CCTV) milik jirannya jelas menunjukkan cahaya terang diikuti bunyi dentuman.


"Apabila ini berlaku, satu-satunya perkara saya lihat di belakang rumah ialah makhluk asing yang tinggi. Tingginya sekitar 2.43 meter (8 kaki) hingga 3.04 meter (10 kaki). Saya menelefon ayah saya. Dia pergi ke halaman belakang dan melihat makhluk sama ada di sana. Dia menyuruh saya masuk ke dalam rumah," katanya.



Lelaki itu menyifatkan sosok yang dilihatnya sebagai makhluk tinggi, kurus, panjang, dan berwarna hijau kelabu.


"Apabila saya melihatnya di mata, badan saya membeku, seperti pengalaman yang sama mengalami lumpuh tidur.


"Saya merenungnya dan saya melihat seluruh badannya, dia mempunyai kaki dan muka yang kelihatan pelik dengan mata serta mulutnya yang besar.


"Saya dapat mendengar nafasnya yang kuat dan saya dapat melihat perutnya bergerak. Dia hanya merenung saya, beberapa saat kemudian saya boleh mula bergerak semula. Ketika itulah saya menghubungi 911," katanya mengenai pertemuan yang menakutkan itu.


Kejadian itu berlaku selepas kamera badan polis yang menjawab panggilan lelaki itu didedahkan. Ia menunjukkan bola cahaya biru kira-kira pukul 11.50 malam (waktu tempatan) pada 30 April lalu.


Kira-kira 39 minit selepas panggilan pertama, seorang lagi penduduk menghubungi talian kecemasan 911 dengan menyatakan bahawa terdapat dua entiti yang tidak diketahui di belakang rumahnya selepas dia melihat objek tersebut bergerak dari langit. - Sumber Daily Mail.


Satu objek ganjil (dalam bulatan) dirakamkan pada kamera badan seorang anggota polis di Las Vegas baru-baru ini. - Foto Las Vegas Metropolitan Police Department.

Sabtu, 10 Jun 2023

Lelaki menunjukkan aksi berbahaya berdiri atas tingkap kereta yang bergerak

Lelaki menunjukkan aksi berbahaya berdiri atas tingkap kereta yang bergerak


Sebuah video tular menunjukkan aksi berbahaya seorang lelaki berdiri di atas tingkap bahagian pemandu sebuah kereta yang bergerak di sebatang jalan di California Selatan, lapor akhbar Daily Mail pada 5 Jun 2023.


Video tersebut dirakam oleh seorang pengguna jalan raya lain di laluan 91 Freeway, bandar Corona.


Tidak dijelaskan sama ada terdapat penumpang lain di dalam kereta tersebut namun, pengguna media sosial meneka bahawa dia mungkin menggunakan fungsi kruz untuk melakukan aksi berbahaya itu.


Dalam video tersebut, seorang lelaki memakai baju-t berwarna hijau dan berseluar hitam sedang berdiri di atas tingkap sisi kereta yang dibuka luas.


Dia diihat mendepakan kedua-dua tangannya sebelum duduk di atas tingkap dengan keadaan kakinya diletakkan di dalam kereta.


Sebelum video berakhir, lelaki yang identitinya tidak dikenali itu mengalih pandangannya ke arah perakam video sebelum memandang semula ke hadapan.


Video itu dimuat naik di laman perkongsian video, YouTube dan menerima pelbagai komen daripada pengguna yang mengecam aksi berbahaya itu.


"Ramai orang yang tidak bersalah mati dalam kemalangan kereta. Memang tidak bertanggungjawab," kata seorang netizen.


Menurut Daily Mail, mereka ada menghubungi Jabatan Syerif Daerah Riverside tetapi tidak menerima jawapan pada masa itu. Tidak dijelaskan sama ada pihak berkuasa sedang menyiasat insiden itu. - Sumber Daily Mail.


Lelaki memakai baju-t berwarna hijau dan berseluar hitam itu sedang berdiri di atas tingkap sisi kereta yang dibuka luas. - Di Foto KTLA.

Khamis, 8 Jun 2023

Anak ketagih 'mobile game' habiskan wang ibu RM290,000 dalam masa empat bulan sahaja

Anak ketagih 'mobile game' habiskan wang ibu RM290,000 dalam masa empat bulan sahaja


Ibu bapa kepada seorang gadis berusia 13 tahun yang ketagih permainan video terkejut apabila mengetahui bahawa remaja tersebut membelanjakan wang sebanyak 449,500 yuan (RM290,299) untuk hobinya itu, lapor laman berita OddityCentral pada 6 Jun 2023.


Dalam kejadian di wilayah Henan, China itu, ibu remaja terbabit mendapati akaun banknya hanya berbaki 0.5 yuan (RM0.32 sen), daripada jumlah asal sebanyak 449,500 yuan. Wang itu adalah milik dia dan suaminya yang disimpan selama bertahun-tahun.


Lebih mengejutkan adalah pelakunya ialah anak perempuan mereka sendiri yang menggunakan kad debit wanita berkenaan bagi memenuhi ketagihan permainan videonya.


Perkara itu diketahui hanya selepas guru gadis itu menyedari dia menghabiskan terlalu banyak masa menggunakan telefon bimbit di sekolah dan memberitahu ibunya tentang perkara itu.


Menurut South China Morning Post, gadis berusia 13 tahun itu membelanjakan 330,000 yuan untuk membeli permainan dan membuat pembelian dalam permainan, serta kira-kira 100,000 yuan untuk membeli permainan untuk rakan sekolahnya.


Dalam video yang tular di media sosial, wanita berkenaan melihat helaian penyata bank yang memperincikan perbelanjaan anak perempuannya.


Namun, si ibu akhirnya mengakui bahawa dia telah membuat kesilapan dengan memberikan kod nombor pengenalan peribadi (PIN) kad debit kepada anaknya sekiranya dia memerlukan wang segera untuk kecemasan.


Dia tidak pernah membayangkan bahawa anak perempuannya akan berbuat demikian, akaun simpanan keluarga habis dibelanjakan dalam masa empat bulan sahaja. - Sumber Oddity Central.


Seorang anak menghabiskan wang ibunya sebanyak RM290,299 untuk kos permainan mudah alih di China baru-baru ini. - Foto The Star.