Ahad, 11 Jun 2023

Lelaki dakwa lihat dua makhluk asing berketinggian 10 kaki


Seorang lelaki Las Vegas mendakwa melihat dua makhluk asing berketinggian sehingga 3.04 meter (10 kaki) di halaman rumahnya sendiri pada bulan lalu, lapor portal berita Daily Mail pada 9 Jun 2023.


Satu rakaman video yang disiarkan di YouTube pada 8 Jun memaparkan butiran lanjut tentang perkara itu. Lelaki berkenaan menyifatkan makhluk yang dilihatnya sebagai 100 peratus bukan manusia.


"Saya mendengar sesuatu jatuh dari langit. Saya berpaling. Satu-satunya perkara yang saya lihat adalah cahaya besar bergerak dari langit. Beberapa ketika kemudian, saya merasakan berlaku dentuman," kata lelaki itu dalam video YouTube yang kini tular.


Dalam video penjelasannya, dia mendedahkan bahawa sistem televisyen litar tertutup (CCTV) milik jirannya jelas menunjukkan cahaya terang diikuti bunyi dentuman.


"Apabila ini berlaku, satu-satunya perkara saya lihat di belakang rumah ialah makhluk asing yang tinggi. Tingginya sekitar 2.43 meter (8 kaki) hingga 3.04 meter (10 kaki). Saya menelefon ayah saya. Dia pergi ke halaman belakang dan melihat makhluk sama ada di sana. Dia menyuruh saya masuk ke dalam rumah," katanya.



Lelaki itu menyifatkan sosok yang dilihatnya sebagai makhluk tinggi, kurus, panjang, dan berwarna hijau kelabu.


"Apabila saya melihatnya di mata, badan saya membeku, seperti pengalaman yang sama mengalami lumpuh tidur.


"Saya merenungnya dan saya melihat seluruh badannya, dia mempunyai kaki dan muka yang kelihatan pelik dengan mata serta mulutnya yang besar.


"Saya dapat mendengar nafasnya yang kuat dan saya dapat melihat perutnya bergerak. Dia hanya merenung saya, beberapa saat kemudian saya boleh mula bergerak semula. Ketika itulah saya menghubungi 911," katanya mengenai pertemuan yang menakutkan itu.


Kejadian itu berlaku selepas kamera badan polis yang menjawab panggilan lelaki itu didedahkan. Ia menunjukkan bola cahaya biru kira-kira pukul 11.50 malam (waktu tempatan) pada 30 April lalu.


Kira-kira 39 minit selepas panggilan pertama, seorang lagi penduduk menghubungi talian kecemasan 911 dengan menyatakan bahawa terdapat dua entiti yang tidak diketahui di belakang rumahnya selepas dia melihat objek tersebut bergerak dari langit. - Sumber Daily Mail.


Satu objek ganjil (dalam bulatan) dirakamkan pada kamera badan seorang anggota polis di Las Vegas baru-baru ini. - Foto Las Vegas Metropolitan Police Department.


EmoticonEmoticon