Jumaat, 2 Jun 2023

Gelandangan melecur, lelaki mabuk bakar tilam ketika mangsa tidur


Seorang lelaki gelandangan melecur di bahagian punggung dan kaki apabila tilamnya dibakar ketika mangsa sedang tidur, dipercayai akibat perbuatan khianat di kaki lima bangunan kedai di Taman Kampian, Sungai Petani semalam.


Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 9.30 malam itu juga turut menyebabkan kerosakkan pada pintu dua buah kedai berdekatan.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada anggota bomba Sungai Petani mengenai kebakaran tersebut pada pukul 11.10 malam.


Zaidy berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kebakaran melibatkan kemusnahan 25 peratus iaitu di bahagian kaki lima dan pintu dua buah kedai iaitu kedai akuarium ikan dan sebuah stor dengan anggaran kerugian sebanyak RM10,000.


"Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 62 tahun melecur 11 peratus di bahagian punggung serta kaki dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), untuk diberi rawatan," katanya ketika dihubungi.


Beliau berkata, hasil temubual dengan mangsa dan pemilik kedai memaklumkan bahawa mereka tidak bergaduh atau berhutang dengan sesiapa.


"Mangsa merupakan seorang gelandangan yang tidur di kaki lima bangunan kedai tersebut sejak dua tahun lalu selepas mengalami kemalangan dan mangsa juga berjalan menggunakan tongkat," katanya.


Katanya, berdasarkan rakaman CCTV dari sebuah kedai berdekatan mendapati terdapat seorang suspek lelaki yang datang ke lokasi kejadian dengan menunggang motosikal, namun jenis dan nombor plat kenderaan itu tidak dapat dipastikan.


"Rakaman CCTV tersebut menunjukkan suspek berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang dipercayai akibat mabuk.


"Suspek juga dilihat menuju ke arah mangsa namun perlakuannya terhadap mangsa tidak dapat dilihat melalui CCTV, kemudian suspek dilihat bertindak membakar tilam di kaki lima bangunan serta melarikan diri dengan motosikalnya.


"Polis kini sedang berusaha mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.


Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki sedang membakar tilam di kaki lima bangunan kedai di Taman Kampian, Sungai Petani.


EmoticonEmoticon