Ahad, 7 November 2021

Rakyat Berdepan Kesukaran Akibat Pandemik, Menteri Makan Stik Dalam Daun Emas


Pasti ramai diantara kita kenal dengan chef selebriti, Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai Salt Bae yang mempunyai pengikut hampir 40 juta di Instagram. Chef dari Turki ini adalah pemilik restoran mewah Nusr-Et yang mempunyai cawangan di seluruh dunia.


Restoran ini menyajikan menu khas, stik yang dibalut dalam daun emas 24 karat dengan harga lebih AS$1,000 (RM4,160). Antara selebriti antarabangsa yang pernah berkunjung ke restoran ini ialah David Beckham, Leonardo DiCaprio dan Naomi Campbell.


Baru-baru ini, sebuah video yang menunjukkan seorang menteri dari Vietnam menikmati stik yang dibalut dengan daun emas di sebuah restoran mewah di London mencetuskan kemarahan rakyatnya.


Menteri Keselamatan Awam, To Lam dilihat menyuap menu makanan itu di Nusr-Et Steakhouse di sebuah kawasan mewah di Knightsbridge. Video membabitkan Lam pada mulanya hanya dimuatnaik oleh restoran itu sebelum dipadamkan.


Namun ia tersebar di Tiktok dan Facebook di Vietnam, sejak beberapa hari lalu. Ia kemudiannya mengundang kemarahan warganet kerana pemimpin politik itu tidak peka dengan keadaan Vietnam yang terpaksa bergelut dengan kemerosotan ekonomi selepas gelombang dahsyat Covid-19.


Covid-19 menyebabkan banyak pekerjaan hilang di Vietnam, sekali gus menyebabkan penguncupan paling teruk dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.


Pham Viet Duc melalui Facebook menyatakan kemarahannya berikutan di saat rakyat sedang berdepan kesukaran yang teruk akibat pandemik, namun pemimpin kerajaan seronok menikmati kemudahan seperti selebriti antarabangsa.


"Kerajaan selalu menjelaskan mengenai masalah kewangan yang dihadapi negara, namun pada masa sama mencuri duit rakyat untuk menikmati kehidupan mewah seolah-olah tiada lagi hari esok," katanya.


Terdapat juga warganet yang memaparkan beberapa keping gambar membabitkan kanak-kanak miskin di wilayah paling mundur di negara itu. Menurut warganet, Tommy Lee, pihaknya percaya klip video itu hanya sebahagian daripada tindakan pemimpin yang banyak membelanjakan wang secara mewah.


"Ini hanya kebetulan rakyat dapat melihat video ini sedangkan mereka memang selalu berbelanja mewah ribuan kali lebih daripada ini," katanya di Facebook.


Menteri Keselamatan Awam Vietnam, To Lam dilihat menyuap menu stik mewah di Nusr-Et Steakhouse, di sebuah kawasan mewah di Knightsbridge, London. - Foto Facebook.


EmoticonEmoticon