Jumaat, 2 Jun 2023

Gelandangan melecur, lelaki mabuk bakar tilam ketika mangsa tidur

Gelandangan melecur, lelaki mabuk bakar tilam ketika mangsa tidur


Seorang lelaki gelandangan melecur di bahagian punggung dan kaki apabila tilamnya dibakar ketika mangsa sedang tidur, dipercayai akibat perbuatan khianat di kaki lima bangunan kedai di Taman Kampian, Sungai Petani semalam.


Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 9.30 malam itu juga turut menyebabkan kerosakkan pada pintu dua buah kedai berdekatan.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada anggota bomba Sungai Petani mengenai kebakaran tersebut pada pukul 11.10 malam.


Zaidy berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kebakaran melibatkan kemusnahan 25 peratus iaitu di bahagian kaki lima dan pintu dua buah kedai iaitu kedai akuarium ikan dan sebuah stor dengan anggaran kerugian sebanyak RM10,000.


"Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 62 tahun melecur 11 peratus di bahagian punggung serta kaki dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), untuk diberi rawatan," katanya ketika dihubungi.


Beliau berkata, hasil temubual dengan mangsa dan pemilik kedai memaklumkan bahawa mereka tidak bergaduh atau berhutang dengan sesiapa.


"Mangsa merupakan seorang gelandangan yang tidur di kaki lima bangunan kedai tersebut sejak dua tahun lalu selepas mengalami kemalangan dan mangsa juga berjalan menggunakan tongkat," katanya.


Katanya, berdasarkan rakaman CCTV dari sebuah kedai berdekatan mendapati terdapat seorang suspek lelaki yang datang ke lokasi kejadian dengan menunggang motosikal, namun jenis dan nombor plat kenderaan itu tidak dapat dipastikan.


"Rakaman CCTV tersebut menunjukkan suspek berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang dipercayai akibat mabuk.


"Suspek juga dilihat menuju ke arah mangsa namun perlakuannya terhadap mangsa tidak dapat dilihat melalui CCTV, kemudian suspek dilihat bertindak membakar tilam di kaki lima bangunan serta melarikan diri dengan motosikalnya.


"Polis kini sedang berusaha mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.


Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki sedang membakar tilam di kaki lima bangunan kedai di Taman Kampian, Sungai Petani.

Khamis, 1 Jun 2023

Majlis pertunangan mewah, wanita terima 50 rantai emas, wang tunai RM983,000

Majlis pertunangan mewah, wanita terima 50 rantai emas, wang tunai RM983,000


Sebuah majlis pertunangan mewah satu pasangan dari Vietnam yang melibatkan hantaran berupa wang tunai serta berpuluh-puluh utas rantai emas mendapat perhatian pengguna media sosial, lapor laman berita Thaiger pada 30 Mei 2023.


Bakal pengantin perempuan dilaporkan menerima kira-kira 50 utas rantai emas dan wang tunai berjumlah kira-kira 5 bilion dong (RM982,888).


Laporan media tempatan menyatakan, majlis pertunangan itu berlangsung Sabtu lalu yang melibatkan seorang lelaki berusia 26 tahun dan tunangnya yang berusia 23 tahun. Mereka dikatakan baru dua bulan menjalinkan hubungan cinta.


Mereka berdua bekerja dan tinggal di wilayah Bình Dương, tetapi memutuskan untuk mengadakan majlis pertunangan dan perkahwinan di wilayah Tuyên Quang, kampung halaman pengantin lelaki, untuk memudahkan rakan dan keluarga hadir.


Pengantin lelaki mendedahkan dia dan pasangannya masih belum mengira jumlah keseluruhan rantai emas yang diterima tetapi menganggarkan sekitar 50 utas.


Ibu bapa wanita berkenaan menghadiahkan 20 utas rantai leher dan 5 bilion dong secara tunai manakala rantai leher selebihnya dihadiahkan daripada saudara-mara yang lain.


Dia merupakan anak sulung daripada tiga beradik yang memiliki Ijazah Pengurusan Perniagaan dari sebuah universiti di bandar raya Ho Chi Minh.


Keluarganya memiliki perniagaan motosikal dan hartanah manakala keluarga pengantin lelaki terlibat dalam industri pakaian dan peralatan tempat tidur. - Sumber The Thaiger.


Bakal pengantin perempuan menerima hadiah hampir RM1 juta pada majlis pertunangannya pada 27 Mei lalu di Vietnam baru-baru ini. - Foto Thaiger.

Rabu, 31 Mei 2023

Doktor belah perut pesakit keluarkan botol deodoran 'tersangkut' dalam rektum

Doktor belah perut pesakit keluarkan botol deodoran 'tersangkut' dalam rektum


Sekumpulan doktor di Iran tiada pilihan melainkan membelah perut seorang lelaki untuk mengeluarkan botol deodoran yang berada jauh di dalam duburnya , lapor akhbar Daily Star pada 29 Mei 2023.


Kes itu diterbitkan dalam sebuah jurnal perubatan baru-baru ini. Doktor-doktor perlu memikirkan cara terbaik untuk mengeluarkan botol tersebut tanpa merosakkan organ lelaki berusia 30 tahun itu.


Menurut laporan, lelaki itu mengadu sakit perut dengan punca kesakitan berasal pada bahagian punggungnya semasa mendapatkan rawatan perubatan.


Pasukan pakar bedah unit kecemasan Universiti Sains Perubatan Iran terpaksa membelah perut pesakit pada hari sama.


Pembedahan adalah satu-satunya pilihan untuk lelaki berkenaan. Pesakit ketika itu berada dalam kesakitan teruk sehinggakan dia tidak boleh duduk ketika menjalani pemeriksaan rektum atau sebarang prosedur lain bagi mengeluarkan botol tersebut.


Selepas pembedahan selamat dilakukan, dia ditahan di hospital supaya kembali pulih seperti sedia kala.


Tiada tanda-tanda pendarahan atau luka pada duburnya dicatatkan dalam jurnal sama. - Sumber Daily Star.


Imej X-ray menunjukkan kedudukan botol deodoran tersebut di dalam badan pesakit berkenaan. - Foto Daily Star.

Selasa, 30 Mei 2023

Kucing gemuk tidak cedera jatuh dari tingkat enam, cermin kereta pecah

Kucing gemuk tidak cedera jatuh dari tingkat enam, cermin kereta pecah


Seekor kucing tidak mengalami kecederaan selepas terjatuh dari tingkat enam sebuah blok kondominium dan menimpa cermin kereta dalam kejadian di Bangkok, lapor laman berita Thaiger pada 29 Mei 2023.


Kereta yang diparkir di bawah kondominium itu rosak dan cermin belakangnya pecah.


Pemilik kenderaan, Apiwat Toyothaka, berkongsi gambar kucing bernama Shifu itu bersama keadaan cermin keretanya yang pecah di laman Facebook kelmarin.


"Pengurus kondominium menghubungi saya pukul 7 pagi (waktu tempatan) untuk memaklumkan bahawa seekor kucing jatuh di atas kereta saya. 


"Saya berasa keliru mengenai kejadian itu kerana bagi saya, ia hanya seekor kucing yang jatuh di atas kereta. Kemudian, saya diberitahu bahawa kucing itu seberat 8.5 kilogram dan memecahkan tingkap kereta. Barulah saya faham situasi itu," tulisnya di Facebook.



Tambah Apiwat, dia tidak marah kepada kucing itu atau pemiliknya kerana ia adalah satu kemalangan.


"Shifu kini berada dalam keadaan baik. Ia makan, minum dan membuang air dengan normal. Badannya juga tidak mengalami sebarang kecederaan atau kesan lebam kecuali ia kehilangan dua kukunya,” kata Apiwat ketika memberitahu mengenai keadaan haiwan itu.


Beberapa gambar yang turut disertakan pada hantaran Apiwat menunjukkan tiada sebarang kecederaan pada badan Shifu namun, cermin belakang kereta Apiwat mempunyai lubang besar.


Sementara itu, pengurus bangunan tersebut, Orassa berkata, selepas memeriksa CCTV dan menyoal beberapa saksi, dia melihat kucing itu jatuh dari tingkat enam ke tingkat tiga, sebelum terhumban ke atas kereta.


Sementara itu, disebabkan kondominium tersebut mempunyai polisi tidak boleh membela haiwan, pemilik kucing itu diarahkan membayar denda berjumlah 1,000 baht (RM132.58) kepada Apiwat. - Sumber The Thaiger.


Shifu tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun ia memecahkan cermin kereta Apiwat. - Foto Apiwat Toyothaka.

Ahad, 28 Mei 2023

Pakar percaya 119 UFO terhempas di Bumi, serpihannya digunakan mencipta tenaga termaju

Pakar percaya 119 UFO terhempas di Bumi, serpihannya digunakan mencipta tenaga termaju


Seorang pakar terkemuka di Amerika Syarikat (AS) memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 119 objek terbang tidak dikenali (UFO) telah terhempas di Bumi, lapor akhbar Daily Star pada 26 Mei 2023.


Menurut Dr. Steven Greer, 67, kerajaan AS telah mengambil serpihan dari lokasi penemuan UFO yang kemudiannya digunakan untuk mencipta tenaga termaju dan sistem pendorong yang belum didedahkan kepada umum. 


Sepanjang 30 tahun lalu, Greer mendakwa bahawa dia menerima dokumen kerajaan bersaiz lima terabait mengenai UFO dan keterangan 700 penyampai maklumat daripada sumber tentera, perisikan serta korporat.


Greer merancang untuk mendedahkan fail tersebut pada satu sidang media di Washington, 12 Jun depan.


Dia akan membentangkan bukti projek rahsia berkaitan UFO. Fail itu termasuk 119 'peristiwa penemuan kenderaan angkasa lepas'.


Sejak beberapa dekad lalu, sebilangan UFO telah diperhatikan di ruang udara Bumi. Ia mampu mencapai kelajuan ekstrem mengatasi mana-mana pesawat buatan manusia.


Menurutnya, kapal angkasa UFO telah 'ditembak jatuh, diambil dan dikaji sejak sekurang-kurangnya tahun 1940-an atau mungkin seawal 1930-an'. - Sumber Daily Star.


Dr. Steven Greer merancang untuk mendedahkan kepada umum pada 12 Jun depan. - Foto FilmMagic.
Pegawai kerajaan arahkan empangan dikeringkan untuk cari telefonnya yang jatuh ketika swafoto

Pegawai kerajaan arahkan empangan dikeringkan untuk cari telefonnya yang jatuh ketika swafoto


Seorang pegawai kerajaan India digantung tugas selepas dia mengarahkan sebuah empangan dikeringkan sepenuhnya bagi mencari telefonnya yang hilang, lapor BBC News pada 26 Mei 2023.


Para petugas mengambil masa tiga hari untuk mengepam berjuta-juta liter air keluar dari empangan, selepas Rajesh Vishwas menjatuhkan telefonnya ke dalamnya ketika mengambil swafoto.


Ketika ditemukan, telefon itu sudah pun dimasuki air dan tidak boleh lagi berfungsi.


Vishwas memaklumkan, dia terpaksa berbuat demikian kerana telefon tersebut mengandungi data kerajaan yang sensitif dan perlu disimpan. Namun, dia didakwa kerana menyalahgunakan kuasa.


Insiden itu berlaku di Empangan Kherkatta di negeri Chhattisgarh.


Mulanya, Vishwas mengupah khidmat penyelam untuk mencari telefonnya, namun gagal sebelum dia membuat keputusan untuk mengeringkan air dalam empangan tersebut.


Katanya, dia sudah memperoleh kebenaran lisan daripada seorang pegawai untuk melakukan tindakan tersebut dan mengalirkan air yang dipam ke saliran air berhampiran.


Pam itu berjalan selama beberapa hari, mengosongkan kira-kira dua juta liter air yang cukup untuk mengairi 6 kilometer persegi tanah ladang.


Misinya dihentikan apabila seorang pegawai lain, dari jabatan sumber air, tiba berikutan aduan.


"Dia telah digantung sehingga siasatan. Air adalah sumber penting dan ia tidak boleh dibazirkan seperti ini," kata Priyanka Shukla, seorang pegawai daerah Kanker, kepada akhbar The National.


Vishwas mempertahankan tindakannya dengan menyatakan air tersebut boleh digunakan para petani untuk tanaman mereka, terutamanya sawah padi. - Sumber BBC News.


Takungan air di Empangan Kherkatta di Chhattisgarh, India. - Foto Ramanmann1974.

Sabtu, 27 Mei 2023

Penjual mi dipenjara 5 tahun perli menteri makan di restoran Salt Bae

Penjual mi dipenjara 5 tahun perli menteri makan di restoran Salt Bae


Seorang penjual mi di Vietnam yang membuat video parodi mengejek seorang menteri paling berkuasa di negara itu telah dipenjara selama lima tahun enam bulan berhubung kesalahan menyebar propaganda anti-negara.


Lapor BBC News pada 25 Mei 2023, Bui Tuan Lam menjadi terkenal apabila menyiarkan video pada tahun 2021 meniru gerakan chef selebriti Salt Bae yang berpangkalan di London.


Dalam videonya, Tuan Lam menabur bawang hijau di atas mi supnya seperti gaya chef berasal dari Turkiye itu menabur garam pada hidangan stiknya.


Beberapa hari sebelum itu, rakaman Menteri Keselamatan, To Lam menikmati stik bersalut emas berharga 1,600 pound (RM9,131) di restoran chef tersebut mencetus kekecohan dalam talian.


Ramai rakyat Vietnam mengecam tindakan pegawai tinggi komunis itu yang memakan hidangan mewah dengan harga mahal melebihi gaji bulanannya sejurus selepas beliau melawat kubur Karl Marx di London.


Ekoran insiden itu, polis menyoal siasat Tuan Lam dan menutup gerainya, yang menjadi sangat popular selama beberapa hari selepas parodinya dimuat naik di laman sosial.


Lelaki itu dilaporkan ditahan sejak September lalu dan pasportnya turut disekat.


"Walaupun parodi Salt Bae yang terkenal tidak disebut, rasa malu kerajaan Vietnam terhadap video itu dianggap sebagai punca penahanannya.


"Walaupun pertuduhan adalah mengenai siaran Facebook yang lalu, tiada siapa yang patut tertipu," kata Pegawai Human Rights Watch, Phil Robertson. - Sumber BBC News.


BACA: Rakyat Berdepan Kesukaran Akibat Pandemik, Menteri Makan Stik Dalam Daun Emas.


Bui Tuan Lam ditahan polis Vietnam selepas meniru gaya Salt Bae dalam video parodinya. - Foto BBC News.

Jumaat, 26 Mei 2023

Akhirnya Bumi terima isyarat pertama 'makhluk asing'

Akhirnya Bumi terima isyarat pertama 'makhluk asing'


Sepasukan saintis dari Institut SETI, sebuah organisasi bukan keuntungan yang berdedikasi untuk memahami kehidupan di angkasa telah mengesan satu isyarat asing dari angkasa lepas, lapor akhbar Daily Mail pada 24 Mei 2023.


Pasukan saintis SETI yang berpangkalan di Lembah Silikon, Amerika Syarikat (AS) itu sebenarnya mengadakan simulasi isyarat yang dipancarkan daripada kapal angkasa pengorbit Marikh pada pukul 3 petang (waktu tempatan).


Gelombang radio itu melambung melalui angkasa dengan kelajuan cahaya dan ditangkap oleh tiga teleskop besar di Bumi dalam tempoh 16 minit.


Kejadian pertama seumpamanya itu didakwa akan memberi manusia pengalaman apabila dihubungi makhluk asing.


Saintis di AS dan Itali teruja apabila isyarat itu muncul pada skrin komputer mereka sebelum gelombang radio itu dimuat turut dalam beberapa bahagian.


Pasukan itu merahsiakan butiran penting penemuan itu termasuk jenis isyarat dan mesej yang disertakan.


Isyarat itu diterima tiga teleskop besar di seluruh dunia termasuk Allen Telescope Array (ATA) di California, Robert C. Byrd di Balai Cerap Green Bank (GBO) di West Virginia dan Stesen Astronomi Radio Medicina di utara Itali.


Penyelidik berkata, mesej itu dimuat naik petang semalam dan akan berkongsi dua pautan dengan orang ramai di platform media sosial SETI, membolehkan mereka membantu dengan penyahkodan. - Sumber Daily Mail.


Para saintis di AS dan Itali (gambar) sangat gembira apabila mesej itu muncul pada skrin komputer. Gelombang radio itu dimuat turun dalam beberapa bahagian. - Foto Daily Mail.

Rabu, 24 Mei 2023

Pertandingan pelik 'pujuk' cacing keluar dari tanah

Pertandingan pelik 'pujuk' cacing keluar dari tanah


Satu pertandingan pelik bagi mencari cacing tanah diadakan pada hujung minggu lalu di Falmouth, Britain, lapor portal berita Daily Star pada 22 Mei 2023.


Kejohanan Mencari Cacing Falmouth itu turut mencatat rekod baharu apabila para peserta berjaya menangkap 260 ekor cacing.


Peserta-peserta menggunakan alat muzik, peralatan taman, tarian dan peralatan lain untuk 'memujuk' cacing keluar ke permukaan tanah.


Usaha pada tahun ini dengan mudah mengatasi bilangan cacing yang berjaya dibawa keluar berbanding tahun lalu.


Pada 2022, hanya seekor makhluk tidak bertulang tersebut berjaya ditemui, lapor akhbar CornwallLive.


Pertandingan aneh itu diwujudkann oleh seorang artis seni, Georgia Gendall pada 2021 sebagai Kejohanan Mencari Cacing Penryn di England tetapi berpindah ke Falmouth pada tahun berikutnya.


Sebuah pasukan berjaya mencari 20 ekor cacing dalam masa 30 minit sekali gus mencipta rekod baharu untuk kejohanan itu di Falmouth.


Walaupun jumlah yang mengagumkan itu diperoleh, ia masih gagal untuk mengalahkan rekod dunia semasa yang dibuat oleh Sophie Smith, 20, dari Willaston, Cheshire yang mendapat 567 ekor cacing tanah ketika kejohanan dunia diadakan di Britain pada 2009. - Sumber Daily Star.


(Imej: Greg Martin)

(Imej: Greg Martin)

(Imej: Greg Martin)

(Imej: Greg Martin)

Selasa, 23 Mei 2023

20 tahun berkahwin, isteri hanya sedar suami jutawan bila bercerai

20 tahun berkahwin, isteri hanya sedar suami jutawan bila bercerai


Seorang wanita di Shanghai mendapati bekas suaminya seorang jutawan yang menyembunyikan harta berjumlah 100 juta yuan (RM64 juta) selama 20 tahun untuk mengelak daripada tuntutan penyelesaian perceraian.


Wanita yang dikenali dengan nama samaran Yu Hong itu berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan oleh mahkamah bahawa bekas suaminya memiliki 18 hartanah komersial dan secara rahsia ialah seorang jutawan, demikian menurut akhbar South China Morning Post.


Sepanjang 20 tahun mereka berkahwin, dia menjadi suri rumah sepenuh masa, manakala bekas suaminya yang memiliki nama keluarga Qin itu terlibat dalam aktiviti perniagaan.


Mahkamah pada mulanya menolak permohonan cerai Hong. Apabila Hong meminta cerai buat kali kedua enam bulan selepas permohonan pertamanya, dia membongkar rahsia bekas suaminya dan mahkamah membenarkan perceraian mereka.


Semasa proses perceraian mereka, Qin telah menyerahkan semua asetnya kepada seorang anak perempuan hasil perkahwinannya yang terdahulu. Ia bertujuan untuk menyembunyikannya daripada Hong.


Di mahkamah, Qin berkata, dia berbuat demikian kerana Hong tidak menyumbang apa-apa kepada kekayaannya.


Menjawab hujah itu, mahkamah memutuskan pemberian harta oleh jutawan tersebut kepada anak perempuannya adalah perbuatan haram. Pihak mahkamah mengarahkan wanita itu memulangkan aset tersebut kepada Qin.


Ini adalah supaya ia akan dapat dikongsi dengan Hong kerana haknya di sisi undang-undang demi kebahagiaan bersama. - Sumber SCMP.


Hong terpaksa memohon cerai dua kali selepas mahkamah menolak permohonan awalnya kerana suaminya tidak menyokong untuk menamatkan perkahwinan ketika itu. - Foto Shutterstock.