Selasa, 14 Februari 2023

Saintis terkejut, sukar dipercayai secebis matahari 'terputus'

Saintis terkejut, sukar dipercayai secebis matahari 'terputus'


Satu klip video menunjukkan filamen gergasi plasma 'terputus' di Kutub Utara Matahari dirakam oleh NASA dalam peristiwa yang tidak pernah dilihat sebelum ini, menyebabkan saintis-saintis keliru, lapor portal berita Daily Mail pada 9 Februari 2023.


Rakaman itu menunjukkan filamen gergasi plasma atau gas berelektrik terpercik keluar dari Matahari, terpisah dan kemudian beredar dalam pusaran besar kutubnya.


Walaupun ahli-ahli astronomi keliru, mereka membuat spekulasi bahawa penonjolan itu ada kaitan dengan pembalikan medan magnet Matahari yang berlaku sekali bagi setiap kitaran suria atau setiap 11 tahun.


Video itu dikongsi di laman Twitter oleh ahli meteorologi angkasa lepas, Tamitha Skov yang berkata, klip video kemunculan fenomena suria pelik itu diambil daripada Balai Cerap Dinamik Suria milik NASA.


"Bercakap tentang pusaran kutub! Bahan dari bahagian utara (Matahari) baru sahaja terputus dari filamen utama dan kini beredar dalam pusaran kutub besar di sekitar kutub utara bintang kita," ciapnya.


NASA menggambarkan bahawa filamen suria sebagai awan zarah bercas yang terapung di atas Matahari selain ditambat padanya oleh daya magnet.


Scott McIntosh, pengarah bersama dan ahli fizik suria di Pusat Penyelidikan Atmosfera Kebangsaan di Boulder, Colorado, menjelaskan bahawa perkara pelik berlaku pada latitud 55 darjah Matahari sekali setiap kitaran suria.


Tetapi dia juga mengakui bahawa dia tidak pernah melihat pusaran skala ini: "Sekali setiap kitaran suria, ia terbentuk pada 55 darjah latitud dan mula bergerak ke arah kutub matahari. Ia sangat pelik," katanya.


Penyelidikan terhadap fenomena sedemikian adalah terhad kerana tiada cara untuk memerhatikannya dari kawasan kutub Matahari pada masa ini.


"Kita hanya boleh memerhati Matahari dari satah ekliptik, iaitu satah di mana planet mengorbit," kata McIntosh.


Walau bagaimanapun, dengan misi Pengorbit Suria Agensi Angkasa Eropah yang sedang dijalankan, saintis sekurang-kurangnya mempunyai akses yang lebih besar kepada pemahaman yang lebih dekat tentang bagaimana kitaran magnet Matahari boleh wujud di kaki langit (Matahari). - Sumber Daily Mail.


BACA: Pesawat NASA berjaya 'sentuh' Matahari dan akan 'menyelam' lebih dalam lagi hingga tahun 2025.


Filamen gergasi plasma (dalam bulatan) terputus di Kutub Utara Matahari baru-baru ini. - Foto Tamitha Skov/Twitter.

Isnin, 13 Februari 2023

Perlumbaan menjelajah angkasa lepas antara Jeff Bezos, Elon Musk sengit

Perlumbaan menjelajah angkasa lepas antara Jeff Bezos, Elon Musk sengit


Perlumbaan menjelajah angkasa lepas dalam kalangan bilionair semakin sengit selepas syarikat Blue Origin yang dimiliki oleh pengasas Amazon, Jeff Bezos, dipilih oleh NASA untuk melancarkan misi ke Marikh, lapor akhbar Daily Star pada 11 Februari 2023.


Misi Escape and Plasma Acceleration and Dynamics Explorers, atau dikenali sebagai ESCAPADE, terdiri daripada probe berkembar yang akan menyelidik maklumat penting tentang cara magnetosfera Marikh berinteraksi dengan angin suria.


Penemuan ESCAPADE penting untuk angkawasan tinggal lama di Marikh serta membantu misi penjelajahan manusia ke angkasa lepas. Saintis perlu mengetahui risiko pendedahan radiasi di permukaan Marikh.


Setakat ini, NASA belum menggunakan kemudahan syarikat milik Bezos untuk sebarang misi, malah kapal angkasa Blue Origin juga belum mencapai orbit Bumi yang sebenar.


Kontrak baharu NASA untuk Blue Origin itu mewakili permulaan baharu antara kedua-dua organisasi walaupun ia mewakili risiko yang besar di pihak NASA.


Kenderaan pelancar New Glenn milik Blue Origin masih belum digunakan selepas pelancaran pertamanya pada 2020 ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya musim panas ini.


Ia dilaporkan boleh digunakan untuk 25 pelancaran berbanding kapal angkasa SpaceX Starship milik Musk yang menjanjikan 'kebolehgunaan semula sepenuhnya'.


Jika penerbangan ujian pertama roket itu terpaksa ditangguhkan lagi atau menghadapi beberapa kerosakan yang tidak dijangka, misi itu boleh ditarik balik daripada Bezos dan diberikan kepada Musk. - Sumber Daily Star.


BACA: Bilionair pertama melancong ke angkasa lepas, kini berhasrat mahu bina hotel di Bulan.


Misi NASA adalah peluang yang penting untuk Bezos. - Getty Images.

Ahad, 12 Februari 2023

Lelaki mengamuk gaya rambut biru tidak sama artis K-pop

Lelaki mengamuk gaya rambut biru tidak sama artis K-pop


Memiliki potongan rambut yang bergaya kadangkala boleh meningkatkan keyakinan diri anda. Lebih-lebih lagi kini semakin banyak gaya rambut yang dipopularkan oleh artis K-Pop.


Jika artis itu menjadi pujaan, ia pasti membuatkan ramai orang mahu mengikut tabiat dan gaya mereka. Kebanyakan peminat sanggup berbelanja besar untuk membeli pelbagai pakaian fesyen yang dipakai oleh pujaan hati.


Bukan setakat itu sahaja, kadang-kadang ada juga yang terikut-ikut dengan gaya rambut selebriti-selebriti ini walaupun tidak padan. Seperti yang dilakukan oleh seorang lelaki yang baru-baru ini menjadi viral di media sosial Twitter di Indonesia.


Menerusi video yang dimuat naik oleh akaun Twitter @bagihumor, Khamis (9/2/2023) terlihat lelaki itu mengamuk di kedai apabila gaya rambut idamannya gagal memenuhi jangkaan.


Berdasarkan rakaman, lelaki berkenaan ingin mendapatkan gaya rambut berwarna biru seakan seorang artis K-pop seperti dipaparkan dalam telefon bimbitnya.


Akan tetapi, hasil yang diperoleh berbeza. Walaupun warna rambutnya serupa, bentuk kepalanya yang berbeza menyebabkan ia tidak sesuai dengannya.


Disebabkan tidak memenuhi jangkaan, lelaki itu melepaskan kemarahannya kepada tukang gunting rambut di kedai tersebut. Klip video tersebut mendapat perhatian orang ramai di ruangan komen.


"Anda boleh tiru gaya sesiapa sahaja. Tetapi ia tidak semestinya sesuai dengan anda," kata seorang netizen. - Sumber Liputan6.


Lelaki tersebut mula mengamuk apabila mendapati gaya rambut biru yang diidamkan tidak sesuai dengannya. - Foto Twitter.

Jumaat, 10 Februari 2023

Kerana curi basikal lajak, lelaki didenda RM4,000 atau 6 bulan penjara

Kerana curi basikal lajak, lelaki didenda RM4,000 atau 6 bulan penjara


Seorang lelaki didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, pada 3 Februari lalu selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencuri basikal lajak.


Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Hafiz Ros, 23.


Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.


Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Hafiz didapati mencuri basikal lajak berwarna hitam dengan rim sukan putih bernilai RM500 milik Siti Azimah Tajudin, 33, (pengadu) di sebuah rumah di Jalan SB 3, Taman Seri Bertam, Tanjung Minyak, pada 26 Januari lalu, kira-kira 2 pagi.


Justeru dia melakukan kesalahan Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.


Fakta kes menunjukkan pengadu yang juga peniaga kosmetik mendapati pagar rumahnya terbuka tetapi tiada kesan pecah masuk ketika pulang ke rumah, namun basikal lajak milik anaknya hilang.


Pemeriksaan terhadap sistem kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki bertopi kemudiannya dicamkan sebagai tertuduh yang mencuri basikal lajak itu, menyebabkan pengadu membuat laporan polis.


Sepasukan polis Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah kemudiannya menangkap tertuduh di Pengkalan Perigi, Tanjong Kling, Melaka, pada 29 Januari lalu.


Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman ringan, namun pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan.


Majistret Sharda kemudian menetapkan tertuduh didenda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar.


Muhammad Hafiz didenda RM4,000 atau 6 bulan penjara atas kesalahan mencuri basikal lajak pada bulan Januari lalu. - Foto Harian Metro.

Khamis, 9 Februari 2023

Tersalah tekan pedal minyak, pelajar sekolah memandu rempuh bilik mengajar

Tersalah tekan pedal minyak, pelajar sekolah memandu rempuh bilik mengajar


Seorang pelajar sekolah memandu tersalah menekan pedal minyak kereta yang dipandunya sehingga melanggar sebuah bilik mengajar sekolah memandu tersebut dalam kejadian di Pajam, Mantin dekat Seremban pagi tadi.


Pelajar lelaki berusia 26 tahun itu dilaporkan kurang sihat ketika kejadian.


Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Pegawai Bomba Kanan II, Effendi Rahmat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian yang berlaku di Akademi Memandu Nilai itu pada pukul 10.33 pagi.


"Setibanya di lokasi kami mendapati sebuah kereta sekolah memandu jenis Perodua Axia melanggar sebuah bilik mengajar di situ.


"Bagaimanapun, pelajar sekolah memandu yang merupakan lelaki berusia 26 tahun dan pengajar yang juga seorang lelaki berusia 65 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.


"Namun terdapat dua orang lelaki yang berusia 22 dan 27 tahun yang berada di dalam bilik tersebut cedera di bahagian kaki dan belakang badan akibat kemalangan itu," katanya menurut akhbar Kosmo.


Jelasnya, pihak bomba telah menyerahkan kedua-dua mangsa yang cedera kepada pihak Kementerian Kesihatan yang kemudian telah membawa mereka ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.


Keadaan sebuah kelas mengajar di Akademi Memandu Nilai di Mantin, Nilai, Seremban hari ini yang dirempuh seorang pelajar yang memandu kereta sekolah memandu tersebut.- Foto Bomba.
Pakar editor filem dedah pendaratan NASA di bulan palsu

Pakar editor filem dedah pendaratan NASA di bulan palsu


Lima puluh tiga tahun dahulu, tiada siapa sangka manusia pertama boleh menjejakkan kaki ke bulan, namun sejarah itulah yang terlakar selepas angkasawan Amerika Syarikat, Neil Armstrong berjaya membuktikan sebaliknya.


Apollo 11 adalah misi luar angkasa berawak pertama yang berjaya membawa manusia ke bulan dan kembali dengan selamat. Amerika Syarikat (AS) menghantar 'hero' mereka, Armstrong, Edwin Aldrin, dan Michael Collins sebagai taruhan.


Modul itu berjaya menyentuh permukaan bulan dan Armstrong menjadi manusia pertama meninggalkan tapak kaki di permukaan lunar bersama ungkapan keramat; "Itu adalah satu langkah kecil bagi manusia; satu lompatan gergasi bagi umat manusia."


Apollo 11 merupakan salah satu daripada projek Biro Angkasa Amerika Syarikat (NASA) dan dilancarkan pada 16 Julai 1969 menggunakan roket Saturn V dan tiba di bulan pada 20 Julai tahun sama.



Terbaharu, seorang editor filem yang dikenali dengan kepakaran 'editing' menggunakan imej janaan komputer (CGI) mendedahkan pendaratan tersebut adalah rekaan semata-mata.


Menerusi video di lama sosial editor tersebut dikenali Green Boss, video asal yang memaparkan salah seorang daripada angkasawan pertama yang menjejakkan kaki ke bulan itu sedang memegang bendera AS.


Tidak dipastikan siapakah angkasawan itu yang berkemungkinan Neil Armstrong ataupun rakannya Edwin Aldrin, namun kelakuan tersebut didakwa palsu.


Selepas beberapa kaedah talaan komputer dilakukan oleh Green Boss, ternyata bendera AS itu dipegang oleh seorang individu yang memakai sarung badan berwarna hijau.


Rata-rata pengguna media sosial juga ternyata terkejut dengan pendedahan tersebut dan ada juga yang menyatakan perkara itu sudah lama didedahkan.


"Kuat betul mereka edit, sampai ke bulan pun sanggup tipu orang ramai," kata seorang netizen.


"Rasanya dah lama pendedahan ini, dan sampai sekarang NASA diam," tulis netizen lain.


BACA: Bekas angkasawan yang berjaya menjejakkan kaki di Bulan berkahwin kali keempat di usia 93 tahun.


Tangkap layar pendedahan yang dilakukan Green Boss.

Rabu, 8 Februari 2023

Berang tidak diberi wang untuk kahwin, remaja 17 tahun bakar rumah ibu bapa

Berang tidak diberi wang untuk kahwin, remaja 17 tahun bakar rumah ibu bapa


Seorang remaja berusia 17 tahun bertindak nekad membakar rumah ibu bapanya kerana berang dimarahi dan tidak diberikan wang untuk belanja kahwin, lapor laman berita mamagini pada 7 Februari 2023.


Suspek yang dikenali sebagai Rangga Sariles berasal dari Tebo, wilayah Jambi, di Indonesia membakar rumah tersebut dengan dibantu rakan-rakannya.


Ketika kejadian, didapati bapanya sedang berkebun. Suspek dan rakannya kemudian masuk ke dalam rumah melalui tingkap bilik tidur dan menuang tiga liter petrol. Apabila api mula marak, mereka segera melarikan diri.


Menurut polis, suspek telah diberkas selepas didakwa membakar rumah ibu bapanya akibat marah tidak diberi wang untuk berkahwin.


Ketua Polis Tebo Tengah, Asisten Komisioner Polis Dedi Tanto Manurung mengesahkan penangkapan itu dengan suspek kini berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.


"Ya, terdapat aduan daripada mangsa bernama Amri yang mengatakan anaknya telah membakar rumahnya," kata Dedi, kelmarin.


Dalam kejadian pada Sabtu lalu, rumah milik pengadu di Jalan Kelompok Tani, kabupaten Tebo, wilayah Jambi hangus akibat dibakar. - Sumber Mamagini.


Petugas kecemasan memadamkan api daripada rumah yang terbakar di Tebo. - Foto iNewsTV/Budi Utomo.

Selasa, 7 Februari 2023

Hasil penyelidik terbaharu mendapati teras bumi sudah berhenti berputar

Hasil penyelidik terbaharu mendapati teras bumi sudah berhenti berputar


Satu kajian mendapati teras bumi (inner core) sudah berhenti berputar dan berkemungkinan kini berputar pada arah bertentangan, lapor CNN pada 26 Januari 2023.


Kajian oleh ahli sains penyelidikan bersekutu, Yi Yang dan profesor Xiaodong Song dari Universiti Peking diterbitkan dalam jurnal Nature Geoscience mendapati gelombang seismik daripada gempa bumi sejak 1960-an.


Berdasarkan penyelidikan, mereka mendapati teras bumi berhenti berputar sejak 2009.


"Pemerhatian mendapati teras sudah berhenti berputar dalam beberapa dekad kebelakangan ini dan mungkin berputar pada arah berbeza.


"Sejak dekad antara 1980 dan 1990, kami melihat perubahan yang jelas tetapi tidak nampak banyak perubahan antara 2010 hingga 2020," kata Song.


Putaran teras dalam didorong oleh medan magnet yang dihasilkan dari teras luar dan diseimbangkan oleh kesan graviti mantel.


Mengetahui bagaimana teras dalam berputar boleh menerangkan cara lapisan itu berinteraksi dan proses lain di dalam Bumi.


Song dan Yang berpandangan bahawa ketidakseimbangan kecil dalam daya elektromagnet dan graviti boleh memperlahankan putaran, malah berputar secara bertentangan.


Mereka percaya ia sebahagian daripada kitaran tujuh dekad dan titik perubahan berlaku pada awal 1970-an.


Bagaimanapun, Ahli geofizik Universiti Kebangsaan Australia, Hrvoje Tkalcic berbeza pandangan daripada kajian itu.


"Teras dalam bumi tidak pernah berhenti berputar. Penemuan kajian itu mungkin bermaksud teras dalam kini selari dengan seluruh planet berbanding sedekad lalu apabila ia berputar sedikit lebih cepat.


"Tidak ada sesuatu yang dahsyat akan berlaku," katanya.


Pengarang The Earth's Inner Core: Revealed by Observational Seismology itu berkata, analisis data kajian itu tepat namun penemuan kajian harus diambil dengan berhati hati kerana lebih banyak data dan kaedah inovatif diperlukan untuk menjelaskan perkara itu.


Buku dihasilkan Tkalcic yang menyentuh mengenai putaran teras dalam menganalisis kitaran teras dalam setiap 20 hingga 30 tahun, bukannya 70 tahun seperti dalam kajian terkini. - Sumber CNN.

Isnin, 6 Februari 2023

Lelaki temui wang lama bernilai RM241,000 dalam dinding rumah

Lelaki temui wang lama bernilai RM241,000 dalam dinding rumah


Seorang lelaki Sepanyol menemui enam bekas tin berisi wang tunai lama negara itu yang bersamaan dengan nilai £47,000 (RM241,241) semasa melakukan kerja-kerja pengubahsuaian rumahnya, lapor akhbar The Sun pada 1 Februari 2023.


Bagaimanapun, keterujaan lelaki itu, Tono Pineiro tidak lama kerana Bank of Spain tidak lagi menerima wang tersebut kerana ia telah menghentikan pengeluaran wang kertas lama tersebut iaitu pada tahun 2002.


Peseta (sebutan wang lama Sepanyol) telah dihapuskan secara berperingkat selepas Sepanyol menerima pakai euro pada tahun 2002. Bank of Spain menganggarkan kira-kira 1.6 bilion euro wang kertas lama dan syiling tidak ditukar sebelum tarikh akhir.


"Saya menghubungi mereka, tetapi mereka memberitahu saya bahawa ia tidak mungkin lagi (menukar wang tersebut)," kata Pineiro.


Namun, dua bekas tin berisi wang tunai lama itu masih boleh ditukar sebelum tarikh akhir Jun 2021, jadi dia dapat menukarnya kira-kira £30,000 (RM153,984) kepada mata wang baharu.


Menurut akhbar Daily Star, Pineiro menemui sejumlah enam bekas tin berisi wang tunai lama itu di pelbagai bahagian rumah yang sedang diubah suainya.


"Saya rasa mereka menyimpan bekas ini untuk mengelakkan kelembapan. Bekas yang terakhir agak rosak, tetapi yang lain tidak," kata Pineiro.


Rumah itu telah ditinggalkan selama empat dekad apabila Pineiro, yang dibesarkan di wilayah itu, melihatnya untuk dijual di Facebook. Dia kemudian membeli rumah itu untuk persaraannya.


"Rumah itu sebelum ini milik Manuel do Xentes, seorang pekerja di kilang bata Canabal yang juga peniaga lembu. Dia meninggal dunia tanpa waris, meninggalkan kekayaannya untuk ditemui di dinding lebih daripada 40 tahun kemudian," kata jiran Pineiro.


Sebahagian daripada wang tunainya yang lapuk itu akan disimpan lelaki itu sebagai kenang-kenangan. - Sumber The Sun.


Tono Pineiro menemui wang tunai lama Sepanyol semasa melakukan kerja-kerja pengubahsuaian rumah. - Foto AGENCIA ATLAS / EFE.





Ahad, 5 Februari 2023

Penduduk bersorak lihat pesawat pejuang F-22 tembak jatuh 'belon pengintip' China

Penduduk bersorak lihat pesawat pejuang F-22 tembak jatuh 'belon pengintip' China


Tentera Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh belon udara panas China disyaki digunakan untuk mengintip di luar pantai Carolina Selatan. Ia susulan arahan Presiden Joe Biden selepas belon itu melalui tapak sensitif tentera di Amerika Utara, lapor akhbar Arab News hari ini.


Biden mahu belon itu ditembak jatuh pada Rabu tetapi menasihatkan bahawa waktu terbaik untuk melakukannya adalah apabila ia berada di atas lautan, kata pegawai AS.


Pegawai tentera mendapati bahawa jika belon itu ditembak jatuh dari altitud kira-kira 18,000 meter di darat, ia akan memberikan risiko kepada penduduk.


Belon itu yang melintasi ruang udara AS minggu lalu kembali mencetuskan ketegangan antara AS dan China. Ia menyebabkan Setiausaha Negara AS Antony Blinken segera membatalkan kunjungannya ke Beijing yang dijadualkan sebelum ini.


"Mereka berjaya menembak jatuh (belon itu) dan saya mahu memuji juruterbang kita yang melakukannya," kata Biden selepas mendarat dengan pesawat rasmi Air Force One ke Kem David.


Belon gergasi itu dilihat pada pagi Sabtu melintasi Carolina Selatan dan menghampiri pantai Lautan Atlantik. Kehadiran belon itu di ruang udara AS menarik perhatian penduduk negara itu sepanjang minggu lalu.


Pesawat pejuang F-22 kemudian menembak peluru berpandu ke arah belon itu dan menyebabkan ia jatuh di luar pantai berhampiran Pantai Myrtle, Carolina Selatan, menurut pegawai kanan pertahanan.


Di Pantai Myrtle, Carolina Selatan, orang ramai yang memenuhi laluan pantai bersorak ketika peluru berpandu dari pesawat pejuang F-22, menembak belon itu. Belon itu kemudian mengempis dan menjunam ke lautan.


"Itu Tentera Udara kita!" jerit seseorang sejurus selepas belon pengintip terkena tembakan peluru berpandu, dalam video yang diambil oleh pelancong Angela Mosley.


Dalam pada itu, AP melaporkan serpihan belon yang dianggarkan bersaiz tiga buah bas sekolah itu jatuh di kawasan perairan sedalam kira-kira 14 meter, iaitu kawasan yang lebih cetek daripada jangkaan.


Rakaman televisyen menunjukkan berlakunya letupan kuat sebelum belon itu meluncur jatuh ke arah laut. Jet-jet tentera AS turut dilihat terbang di kawasan sekitar selain kapal-kapal dikerahkan ke perairan tersebut bagi melancarkan operasi.


Para pegawai menyasarkan untuk mengatur masa operasi supaya mereka dapat mengumpul sebanyak mungkin serpihan belon yang bertaburan di kawasan seluas kira-kira 11 kilometer sebelum ia tenggelam ke dalam lautan.


Pentagon sebelum ini menganggarkan bahawa mana-mana medan serpihan yang ditemui adalah akan menjadi sesuatu yang amat penting.


Sabtu lalu, pegawai pertahanan dan tentera AS berkata, belon itu memasuki ruang pertahanan udara utara AS di Kepulauan Aleut, Alaska, pada 28 Januari sebelum bergerak melintasi daratan di Alaska.


Ia kemudian melintasi ruang udara Kanada di Wilayah Barat Laut pada Isnin sebelum memasuki semula AS menerusi utara Idaho, pada Selasa.


Belon itu kemudian dilihat di Montana, yang menempatkan Pangkalan Tentera Udara Malmstrom dan tapak itu mempunyai simpanan senjata nuklear.


China bertegas bahawa belon itu adalah untuk kaji cuaca, bukannya untuk mengintip, dan ia terbang ke AS kerana dibawa angin, namun kenyataan itu ditolak Pentagon.


BACA: Pentagon jejaki belon pengintip China, terbang berdekatan pangkalan udara di mana terdapat peluru berpandu nuklear bawah tanah.


Lelaki menggunakan teropong untuk melihat belon udara panas China yang melintasi Carolina Selatan. - Foto Reuters.

Belon udara itu kempis sebelum jatuh di lautan berhampiran Carolina Selatan. - Foto Reuters.