Rabu, 25 November 2026

MCMC saman Google RM300 juta, dakwa cuai biarkan kandungan palsu Papagomo terus tersebar

MCMC saman Google RM300 juta, dakwa cuai biarkan kandungan palsu Papagomo terus tersebar


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan saman RM300 juta terhadap Google LLC atas dakwaan cuai membiarkan kandungan yang didakwa palsu dan berunsur fitnah oleh penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo terus disebarkan di YouTube.


Saman itu difailkan pada 23 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi Tetuan Sitham & Associates. Pengurusan kes ditetapkan pada 8 Disember ini secara e-semakan di hadapan Timbalan Pendaftar Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.


Dalam pernyataan tuntutan, MCMC berkata pihaknya menerima aduan pada 12 Ogos lalu dan mengenal pasti kandungan yang diterbitkan semula oleh Wan Muhammad Azri di YouTube.


Suruhanjaya itu kemudian mengeluarkan notis kepada Google pada 19 Oktober, mendakwa syarikat berkenaan gagal melaksanakan kewajipan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta syarat lesennya.


MCMC mendakwa Google gagal menyiasat, mengambil tindakan segera, memadam kandungan atau menyekat akses kepada hantaran serta saluran YouTube berkenaan selepas menerima notis.


Kegagalan itu didakwa menyebabkan kandungan yang dipertikaikan terus tersebar, sekali gus menjejaskan persepsi dan kredibiliti pemimpin negara serta menghakis keyakinan awam.


Menurut MCMC, kandungan berkenaan didakwa palsu, mengelirukan dan tidak berasas, melibatkan tokoh awam, institusi kerajaan, pihak berkuasa serta kepentingan awam.


MCMC turut memohon perintah mahkamah supaya Google menyekat akaun YouTube berkenaan dan mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam untuk mengesan serta memadam kandungan serupa yang menampilkan Wan Muhammad Azri, termasuk yang dimuat naik melalui akaun pihak ketiga atau siaran langsung.


Selain deklarasi berhubung kewajipan Google mematuhi arahan MCMC dan dakwaan pelanggaran tanggungjawab berjaga-jaga, suruhanjaya itu turut menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan masing-masing RM100 juta, atau jumlah lain yang ditentukan mahkamah.


MCMC turut memohon faedah, kos prosiding atas dasar indemniti serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.


Tuntutan tersebut merupakan dakwaan MCMC dalam prosiding saman dan belum diputuskan oleh mahkamah.

Harimau Malaya mengintai dari longkang, gelagatnya curi perhatian pengguna jalan raya

Harimau Malaya mengintai dari longkang, gelagatnya curi perhatian pengguna jalan raya


Gelagat seekor harimau Malaya yang mengintai dari dalam longkang di tepi jalan berhampiran laluan Gua Musang-Lojing menghala ke Cameron Highlands mencuri perhatian pengguna jalan raya selepas rakamannya tular di media sosial.


Video yang dikongsikan oleh pemilik akaun H@f!zOl Cameron itu memaparkan haiwan berkenaan bersembunyi di dalam longkang sebelum perlahan-lahan mengangkat kepala dan mengintai ke arah jalan raya, seolah-olah memerhatikan keadaan sekeliling.


Harimau itu kemudian keluar dari tempat persembunyiannya sebelum melintas jalan, sekali gus memperlihatkan kelibatnya dengan lebih jelas kepada individu yang merakam kejadian berkenaan.


Gelagat haiwan liar itu mengundang pelbagai reaksi netizen, malah ada yang menyifatkan penampilannya seolah-olah seekor kucing besar yang kelihatan malu-malu dan comel.


“Boleh tak sesiapa bela 'kucing' kecil yang malang ini?” tulis seorang pengguna media sosial, manakala seorang lagi meluahkan keterujaan melihat renungan mata harimau berkenaan.


Ada juga netizen berseloroh bertanyakan sama ada sesiapa sudi menyediakan tempat tinggal untuk 'kucing besar' itu, meskipun haiwan berkenaan sebenarnya merupakan pemangsa liar yang berbahaya.


Di sebalik reaksi lucu itu, kemunculan harimau Malaya di laluan berkenaan menjadi peringatan kepada pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan yang berpotensi menjadi habitat hidupan liar.


Pemandu dinasihatkan supaya tidak berhenti untuk mendekati, memberi makan atau mengganggu haiwan berkenaan kerana tindakan itu boleh mengundang bahaya, termasuk risiko serangan.


Sekiranya terserempak dengan haiwan liar, pengguna jalan raya disarankan kekal berada di dalam kenderaan, menjaga jarak selamat dan tidak melakukan tindakan yang boleh mengancam keselamatan diri mahupun haiwan tersebut.


Sebarang penampakan hidupan liar juga wajar dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.


Selasa, 24 November 2026

Kemalangan kecil berakhir tragedi, lelaki 63 tahun dibelasah tiga individu hingga cedera parah

Kemalangan kecil berakhir tragedi, lelaki 63 tahun dibelasah tiga individu hingga cedera parah


KUALA TERENGGANU - Niat seorang lelaki memeriksa kerosakan kereta selepas terlibat dalam kemalangan bertukar tragedi apabila dia dipercayai dibelasah tiga lelaki sehingga patah hidung dan kedua-dua rahangnya retak, di Jalan Pasir Panjang, semalam.


Roslan Ngah, 63, bekas pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR), berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika dia turun dari kereta untuk melihat kerosakan selepas kenderaan mereka dilanggar sebuah Perodua Alza.


Menurutnya, ketika itu dia bersama isterinya, Sharifah Anis Syed Mohamad, 37, dalam perjalanan pulang selepas minum di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir.


Kereta dipandu isterinya dilanggar dari belakang ketika cuba membelok ke kiri selepas memberikan isyarat.


"Ketika saya turun untuk memeriksa kerosakan, saya cuba bertanya kepada seorang daripada lelaki itu mengenai punca kereta kami dilanggar.


"Bagaimanapun, secara tiba-tiba tiga lelaki termasuk pemandu MPV terbabit memaki hamun sebelum menyiku muka serta memukul saya," katanya.


Roslan berkata, ketiga-tiga lelaki itu kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan mereka selepas penduduk kampung mula berkumpul di lokasi kejadian.


Dia mengakui tidak mengenali pemandu atau dua penumpang Perodua Alza berkenaan, selain tidak mempunyai sebarang musuh mahupun terlibat dalam pergaduhan sebelum kejadian.


Insiden itu tular di media sosial selepas anaknya, Daniel Haiqal, memuat naik video kejadian yang dirakam isterinya. Rakaman menunjukkan seorang lelaki memakai jaket dan topi hitam memegang bahu serta menyiku muka Roslan di tepi jalan ketika hujan.


Sharifah Anis turut mendakwa kenderaan dinaiki lelaki berkenaan pernah dilihat jirannya berhampiran rumah sejak Jumaat lalu.


Laporan polis sudah dibuat dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, dengan siasatan masih dijalankan.

Serang pekerja kedai dua kali guna pisau lipat dan parang, lelaki ditahan

Serang pekerja kedai dua kali guna pisau lipat dan parang, lelaki ditahan


SARATOK - Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan polis selepas dipercayai menyerang seorang pekerja kedai runcit sebanyak dua kali menggunakan senjata tajam dalam kejadian di Ulu Krian, pada 20 dan 21 November lalu.


Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok di kawasan Ulu Luau, kira-kira jam 10.52 pagi, semalam.


Serangan pertama berlaku pada 20 November di sebuah kedai runcit di Nanga Ensawa apabila suspek dipercayai menumbuk mangsa beberapa kali pada badan dan kepala hingga menyebabkan kecederaan di bahagian kening, selain mengacukan pisau lipat sebelum dihalang saksi.


Suspek kemudian menyerang mangsa sekali lagi kira-kira jam 8 malam, 21 November, ketika mangsa sedang makan di rumah sewanya. Lelaki itu dipercayai menendang pintu sambil membawa parang, mengacukannya ke arah mangsa serta menghentakkan hulu parang pada kepala mangsa hingga menyebabkan benjolan.


Mangsa turut ditendang sehingga terjatuh sebelum kepala dipijak.


Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada tuduhan suspek bahawa mangsa mengambil wang kedai tempatnya bekerja, selain suspek tidak berpuas hati dengan hubungan rapat mangsa bersama seorang juruwang wanita. Mangsa bagaimanapun menafikan tuduhan mencuri wang.


Polis turut merampas dua parang berukuran 60 dan 103 sentimeter, pisau lipat, rotan serta sebuah Toyota Vios. Ujian air kencing suspek didapati positif amphetamine dan methamphetamine.


Suspek juga mempunyai 15 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, termasuk kesalahan mencederakan orang. Dia turut dipercayai sering bertindak agresif serta mengganggu pekerja dan pelanggan kedai sekitar Ulu Krian.


Ketika serbuan, suspek didapati memegang parang bersarung yang disembunyikan di belakang pintu, namun berjaya ditahan tanpa sebarang kejadian tidak diingini.


Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan.


Pukul bapa saudara hingga maut, bakar mayat di hutan, lelaki dipenjara 35 tahun

Pukul bapa saudara hingga maut, bakar mayat di hutan, lelaki dipenjara 35 tahun


KOTA KINABALU - Seorang lelaki yang membunuh bapa saudaranya susulan pertikaian tanah sebelum membakar mayat mangsa sebanyak dua kali, dijatuhi hukuman penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.


Hakim Datuk Alexander Siew How Wai menjatuhkan hukuman terhadap Joe Fredin Taip, 52, selepas dia mengaku bersalah membunuh Hussien Sodomon, 68.


Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan pembunuhan itu di kawasan hutan di belakang sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kipaliu, Ranau, antara jam 3 petang, 16 hingga 18 April 2024.


Joe disabitkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun. Jika tidak dikenakan hukuman mati, pesalah turut boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.


Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 19 April 2024. Bagaimanapun, dia tidak dikenakan sebatan kerana berusia lebih 50 tahun.


Berdasarkan fakta kes, pada 15 April 2024, Joe pergi ke pondok mangsa dengan membawa sebatang kayu yang diambil dari rumah jiran, dipercayai berikutan perselisihan faham mengenai tanah keluarga.


Setibanya di pondok itu, dia memukul bahagian belakang kepala mangsa beberapa kali menggunakan kayu berkenaan.


Mangsa yang menjerit kesakitan cuba melarikan diri, namun terjatuh berhampiran pondok. Joe kemudian mengheret mangsa yang sudah tidak sedarkan diri ke kawasan semak, sebelum menutup tubuhnya menggunakan daun dan ranting.


Keesokannya, tertuduh kembali ke lokasi itu lalu mengalihkan mayat mangsa ke kawasan hutan di belakang sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan sebelum membakarnya.


Dia kemudian kembali pada 17 April dan membakar mayat itu sekali lagi selepas mendapati ia belum musnah sepenuhnya.


Pada 18 April, anak saudara mangsa, Mohd Hafiz Francis, menemukan timbunan abu serta serpihan tulang yang disyaki tulang manusia di kawasan hutan sebelum membuat laporan polis.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Dacia Jane Romanus, manakala tertuduh diwakili peguam Yong Pei Yi.

Kereta mewah bukan lesen langgar peraturan, Bentley dan Porsche disita cukai jalan tamat tempoh

Kereta mewah bukan lesen langgar peraturan, Bentley dan Porsche disita cukai jalan tamat tempoh


SHAH ALAM - Dua kereta mewah masing-masing jenis Bentley dan Porsche Taycan Turbo S disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor selepas didapati menggunakan cukai jalan yang telah tamat tempoh dalam dua operasi berasingan, semalam.


Kedua-dua kenderaan bernilai ratusan ribu ringgit itu ditahan menerusi Op Luxury, operasi khas bagi mengesan kenderaan mewah yang gagal mematuhi peraturan pengangkutan jalan.


Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, Bentley berkenaan ditahan di Kilometer 11 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada jam 10.19 pagi.


Pemeriksaan mendapati cukai jalan kenderaan itu tamat tempoh pada 21 Februari lalu, manakala insuransnya pula luput pada 21 Ogos. Bentley berkenaan mempunyai kadar cukai jalan tahunan sebanyak RM15,621.


Kereta itu dipandu seorang wanita berusia 50 tahun yang merupakan isteri kepada pemilik berdaftar. Wanita berkenaan mendakwa tidak mengetahui cukai jalan kenderaan itu telah tamat tempoh kerana kereta tersebut milik suaminya.


Bagaimanapun, alasan berkenaan tidak menghalang tindakan penyitaan oleh pihak penguat kuasa.


Dalam operasi berasingan pada hari sama, JPJ turut menyita sebuah Porsche Taycan Turbo S di Lebuhraya Shah Alam (LKSA) selepas mendapati cukai jalan kenderaan itu tamat tempoh sejak 12 Ogos lalu.


Porsche berkenaan mempunyai kadar cukai jalan tahunan sebanyak RM2,765 dan ketika ditahan, ia dipandu oleh pemilik berdaftarnya sendiri.


Ahmad Kamarunzaman menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu yang gagal mematuhi peraturan jalan raya, tanpa mengira jenis atau nilai kenderaan.


Menurutnya, pemilikan kenderaan mahal tidak memberikan pengecualian daripada kewajipan mematuhi undang-undang, termasuk memastikan cukai jalan dan perlindungan insurans sentiasa sah.


Beliau turut mengingatkan pemilik kenderaan mewah supaya tidak menganggap kenderaan mereka terlepas daripada pemeriksaan hanya kerana bernilai tinggi atau jarang digunakan.


JPJ, katanya, akan terus memantau kenderaan berkenaan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pemilik atau pemandu yang didapati melanggar peraturan.


Operasi penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta menjaga keselamatan pengguna lain.

Isnin, 23 November 2026

Remaja 18 tahun ditemani janda di rumah sewa, dicekup penguat kuasa agama

Remaja 18 tahun ditemani janda di rumah sewa, dicekup penguat kuasa agama

Gambar Ilustrasi

KOTA TINGGI - Alasan seorang teman lelaki berusia 18 tahun sedang demam dan ditemani kekasihnya tidak menghalang pasangan itu daripada ditahan penguat kuasa agama dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Pengerang, malam tadi.


Pasangan berkenaan ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kira-kira jam 10.35 malam selepas pihak penguat kuasa menerima aduan awam dan melakukan pemeriksaan di rumah dua bilik itu.


Ketika pintu dibuka, lelaki bujang yang bekerja di Pengerang itu didapati hanya berseluar pendek tanpa baju, manakala wanita berusia 25 tahun yang juga bekerja di kawasan sama memakai kemeja-T dan seluar panjang.


Siasatan awal mendapati kedua-duanya mengaku bukan pasangan suami isteri, namun sudah mengenali dan menjalin hubungan cinta lebih setahun. Mereka turut mendakwa merancang untuk berkahwin, tetapi belum menetapkan tarikh.


Lelaki itu juga menunjukkan surat cuti sakit daripada klinik serta ubat-ubatan bagi membuktikan dia tidak bekerja pada siang hari kerana demam. Wanita berkenaan pula mendakwa datang ke rumah itu untuk menemaninya.


Bagaimanapun, maklumat daripada pengadu mendakwa wanita terbabit sudah beberapa kali mengunjungi rumah sewa lelaki itu sebelum ini.


JAINJ menegaskan alasan sakit atau sekadar menemani teman bukan tiket untuk pasangan bukan mahram berada berdua-duaan di dalam rumah.


Pasangan itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

Mengaku bersalah amang seksual anak jiran, lelaki warga Filipina dihukum penjara 10 tahun

Mengaku bersalah amang seksual anak jiran, lelaki warga Filipina dihukum penjara 10 tahun


LAHAD DATU - Seorang lelaki warga Filipina berusia 53 tahun dijatuhi hukuman penjara 10 tahun selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang juga jirannya, tahun lalu.


Hukuman itu dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen, Suhailla Selag, hari ini selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Hukuman penjara berkuat kuasa mulai tarikh sabitan.


Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan sentuhan fizikal terhadap mangsa bagi tujuan seksual di sebuah pondok di FELDA Sahabat Desa Kencana, kira-kira jam 10 pagi, 29 Julai 2025.


Kes terbongkar selepas bapa mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Desa Kencana pada 29 Ogos 2025, susulan mengesyaki anak perempuannya menjadi mangsa perbuatan seksual lelaki berkenaan.


Tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika prosiding merayu supaya hukuman diringankan atas alasan sudah lanjut usia, menyesali perbuatannya dan bertaubat.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Shearil Aizad Murnizam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan.


Selain hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tempoh tahanan mengikut Seksyen 26 akta sama.


Tertuduh juga diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Lapan PATI termasuk bayi 9 bulan bersesak dalam Myvi, kereta terbabas ketika dikejar polis

Lapan PATI termasuk bayi 9 bulan bersesak dalam Myvi, kereta terbabas ketika dikejar polis


TUMPAT - Cubaan menyeludup lapan pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan, masuk ke negara ini terbongkar selepas sebuah Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas ketika cuba melarikan diri daripada polis, awal pagi semalam.


Kejadian kira-kira jam 5 pagi itu berlaku di Kampung Neting, Pengkalan Kubor, ketika anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) menjalankan rondaan sebelum mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.


Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie, berkata pemandu kereta itu bertindak memecut sebaik menyedari kehadiran anggota polis, menyebabkan kenderaan terbabit terbabas dan merempuh penghadang jalan.


"Bagaimanapun, pemandu berusia 34 tahun itu berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Pemeriksaan lanjut menemukan lapan warga Myanmar yang terdiri daripada tiga lelaki dan lima wanita berusia antara 18 hingga 31 tahun, termasuk seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan, bersesak di dalam kereta berkenaan.


Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah ketika diperiksa.


Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


Mohd Khairi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.


Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Tumpat di talian 09-7252482 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Guna jawatan, suami pembekalan karpet, bekas Ketua Jabatan Perbendaharaan MDM dipenjara setahun, denda RM75,000

Guna jawatan, suami pembekalan karpet, bekas Ketua Jabatan Perbendaharaan MDM dipenjara setahun, denda RM75,000


KUALA TERENGGANU - Bekas Ketua Jabatan Perbendaharaan Majlis Daerah Marang (MDM) dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM75,000 selepas didapati bersalah menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan berkaitan pembekalan karpet bernilai RM10,640.


Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman terhadap Sazawati Salleh, 53, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tujuh bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda. Bagaimanapun, penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dibenarkan sementara menunggu rayuan, dengan syarat tertuduh memfailkan notis rayuan dan menyediakan seorang penjamin. Denda RM75,000 pula telah dibayar.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengesyorkan Edaran Sepakat Trading bagi membekalkan karpet kepada MDM, sedangkan pembekalan itu sebenarnya dilakukan oleh Mai Mai Karpet, syarikat milik suaminya.


Kesalahan itu berlaku sekitar Januari 2021 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.


Mahkamah mendapati pembekalan karpet dilaksanakan oleh suami tertuduh walaupun dokumen perolehan menyatakan ia dilakukan oleh Edaran Sepakat Trading. Suami tertuduh turut mengakui menggunakan dokumen syarikat berkenaan untuk melaksanakan pembekalan itu.


Tertuduh juga didapati tidak mendapatkan sebut harga daripada sekurang-kurangnya tiga pembekal seperti ditetapkan, sebaliknya hanya memaklumkan mengenai perolehan tersebut kepada suaminya. Dia turut tidak pernah berhubung secara langsung dengan pemilik Edaran Sepakat Trading.


Mahkamah berpendapat keseluruhan keterangan menunjukkan tertuduh mengetahui suaminya mempunyai kepentingan dalam pembekalan berkenaan.


Terdahulu, tertuduh dibebaskan pada 24 Jun 2025 selepas mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Namun, rayuan pendakwaan dibenarkan pada 8 April 2026 selepas mahkamah memutuskan hakim terdahulu terkhilaf, menyebabkan kes dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tertuduh membela diri.


Dalam peringkat pembelaan, tertuduh menjadi satu-satunya saksi yang memberikan keterangan bagi pihaknya.