Selasa, 24 November 2026

Pukul bapa saudara hingga maut, bakar mayat di hutan, lelaki dipenjara 35 tahun


KOTA KINABALU - Seorang lelaki yang membunuh bapa saudaranya susulan pertikaian tanah sebelum membakar mayat mangsa sebanyak dua kali, dijatuhi hukuman penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.


Hakim Datuk Alexander Siew How Wai menjatuhkan hukuman terhadap Joe Fredin Taip, 52, selepas dia mengaku bersalah membunuh Hussien Sodomon, 68.


Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan pembunuhan itu di kawasan hutan di belakang sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kipaliu, Ranau, antara jam 3 petang, 16 hingga 18 April 2024.


Joe disabitkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun. Jika tidak dikenakan hukuman mati, pesalah turut boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.


Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 19 April 2024. Bagaimanapun, dia tidak dikenakan sebatan kerana berusia lebih 50 tahun.


Berdasarkan fakta kes, pada 15 April 2024, Joe pergi ke pondok mangsa dengan membawa sebatang kayu yang diambil dari rumah jiran, dipercayai berikutan perselisihan faham mengenai tanah keluarga.


Setibanya di pondok itu, dia memukul bahagian belakang kepala mangsa beberapa kali menggunakan kayu berkenaan.


Mangsa yang menjerit kesakitan cuba melarikan diri, namun terjatuh berhampiran pondok. Joe kemudian mengheret mangsa yang sudah tidak sedarkan diri ke kawasan semak, sebelum menutup tubuhnya menggunakan daun dan ranting.


Keesokannya, tertuduh kembali ke lokasi itu lalu mengalihkan mayat mangsa ke kawasan hutan di belakang sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan sebelum membakarnya.


Dia kemudian kembali pada 17 April dan membakar mayat itu sekali lagi selepas mendapati ia belum musnah sepenuhnya.


Pada 18 April, anak saudara mangsa, Mohd Hafiz Francis, menemukan timbunan abu serta serpihan tulang yang disyaki tulang manusia di kawasan hutan sebelum membuat laporan polis.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Dacia Jane Romanus, manakala tertuduh diwakili peguam Yong Pei Yi.


EmoticonEmoticon