Selasa, 3 November 2026

Empat lelaki berdepan penjara 20 tahun, didakwa bakar rumah dihuni warga Rohingya

Empat lelaki berdepan penjara 20 tahun, didakwa bakar rumah dihuni warga Rohingya


JOHOR BAHRU - Empat lelaki tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Khamis lalu atas pertuduhan melakukan khianat menggunakan api dengan membakar sebuah rumah di penempatan warga Rohingya di Kulai Besar, Kulai, dua minggu lalu.


Keempat-empat tertuduh ialah Yap Tze Hong, 31; Muhamad Amirul Ezlan Masrihan, 28; Muhammad Khairul Abd Bahrin, 27; dan Chen Jie Ming, 28. Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.


Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membakar rumah milik P Rajagopal, 73, di Lorong 5, Kulai Besar, kira-kira jam 1.30 pagi, 13 Oktober lalu.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin. Bagaimanapun, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM25,000 bagi setiap tertuduh sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara membenarkannya.


Mahkamah kemudian membenarkan Yap Tze Hong dan Chen Jie Ming diikat jamin RM8,000 setiap seorang, manakala Muhamad Amirul Ezlan dan Muhammad Khairul masing-masing RM10,000.


Semua tertuduh turut dikenakan tiga syarat tambahan, iaitu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mangsa dan saksi. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 November depan.


Pada 13 Oktober lalu, media melaporkan kebakaran sebuah rumah di penempatan warga Rohingya sekitar Kulai Besar yang dipercayai berpunca daripada balingan bom petrol.

Rayuan Bekas Majistret Kes Rasuah Ditangguh, Pendengaran Baharu 3 Disember

Rayuan Bekas Majistret Kes Rasuah Ditangguh, Pendengaran Baharu 3 Disember


PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 3 Disember depan sebagai tarikh baharu pendengaran rayuan seorang bekas majistret yang mencabar hukuman penjara 12 tahun dan denda RM1.05 juta selepas disabitkan atas enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah.


Penangguhan itu dibuat selepas panel tiga hakim mendapati peguam yang mewakili Mohamad Amin Shahul Hamid, 45, kurang bersedia dan gagal menjawab beberapa persoalan penting berhubung isu rayuan berkenaan.


Panel diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K Muniandy membenarkan permohonan penangguhan bagi memberi peluang kepada pihak pembelaan membuat persediaan sewajarnya.


Hakim Muniandy turut menegur peguam Nor Shahid Abd Malik kerana dilihat tidak bersedia, sambil mengingatkan bahawa prosiding itu merupakan peluang rayuan terakhir anak guamnya.


Peguam berkenaan memaklumkan beliau baru mengambil alih kes itu di peringkat rayuan dan memerlukan masa untuk meneliti semula hujahan bertulis.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan itu atas alasan kes berkenaan sudah beberapa kali ditangguhkan.


Mahkamah akhirnya membenarkan penangguhan dengan mengambil kira kepentingan memberi peluang kepada perayu mengemukakan rayuan terakhirnya.


Pada 17 Januari 2025, Mahkamah Tinggi Kuantan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Mohamad Amin selepas menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2022.


Beliau dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 58 tahun dan denda RM1.05 juta, namun semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan efektif selama 12 tahun.


Mohamad Amin, yang ketika kejadian bertugas sebagai majistret di Mahkamah Lipis dan Raub, didakwa meminta suapan RM100,000. Dia kemudiannya menerima RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo antara 5 Julai hingga 22 Oktober 2019.


Suapan itu didakwa sebagai dorongan supaya Mohamad Amin hanya mengenakan hukuman denda tanpa penjara terhadap Hassan Basri yang berdepan kes memiliki rokok seludup.


Kes berkenaan dibicarakan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Isteri terpaksa jamin suami ditangkap khalwat bersama rakan sekerja

Isteri terpaksa jamin suami ditangkap khalwat bersama rakan sekerja

Gambar Ilustrasi

MERSING - Seorang lelaki berstatus suami orang terpaksa berdepan tindakan undang-undang selepas ditangkap berkhalwat bersama rakan sekerjanya, seorang wanita bujang, di sebuah pusat peranginan mewah di daerah ini, tengah malam Ahad lalu.


Lebih mengejutkan, lelaki berusia lingkungan 20-an itu akhirnya dijamin oleh isterinya sendiri sementara menunggu prosiding di Mahkamah Syariah.


Pasangan yang bekerja di Johor Bahru itu ditahan kira-kira jam 12.20 tengah malam pada 1 November selepas gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang sah ketika pemeriksaan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).


Menurut JAINJ, pemeriksaan dilakukan selepas penguat kuasa mengetuk pintu bilik berkenaan yang dibuka kira-kira dua minit kemudian oleh seorang lelaki berpakaian baju T dan berseluar panjang.


Pemeriksaan lanjut menemukan seorang wanita berpakaian lengkap sedang duduk di atas katil.


Lelaki terbabit pada awalnya mendakwa wanita itu ialah isterinya, namun gagal menunjukkan surat nikah. Dakwaan itu terbongkar selepas kedua-duanya diasingkan untuk soal siasat apabila wanita berkenaan mengaku mereka belum berkahwin.


Siasatan mendapati lelaki itu membawa wanita berkenaan menaiki kereta dari Johor Bahru ke Mersing sebelum menyewa bilik di pusat peranginan terbabit.


Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.


JAINJ memaklumkan wanita berkenaan dijamin ahli keluarganya, manakala lelaki itu dijamin isterinya sendiri sementara menunggu tarikh perbicaraan.


Dalam pada itu, JAINJ mengingatkan orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan khalwat menerusi talian 07-2076429, dengan identiti pengadu dijamin dirahsiakan.

Isnin, 2 November 2026

Shuhaily kembali bertugas, pengerusikan mesyuarat strategik AKPS

Shuhaily kembali bertugas, pengerusikan mesyuarat strategik AKPS


PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, kembali menjalankan tugas hari ini selepas bercuti minggu lalu dengan mempengerusikan Mesyuarat Commander's Call Bil. 3/2026.


Menerusi perkongsian di Facebook rasmi AKPS, mesyuarat itu menghimpunkan pegawai kanan serta komander pintu masuk agensi berkenaan bagi membincangkan perancangan Gerak Atur 2027.


Perbincangan memberi tumpuan kepada pengukuhan hala tuju strategik, kesiapsiagaan operasi serta keberkesanan kawalan dan perlindungan sempadan negara.


AKPS turut menekankan kepentingan penyelarasan gerak kerja, integriti dan keselamatan di semua pintu masuk negara bagi memastikan kecekapan operasi terus dipertingkatkan.


Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan memutuskan untuk mengembalikan Mohd Shuhaily, yang berkhidmat melalui kontrak peminjaman kader, kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Perkembangan itu berlaku ketika beliau berdepan proses perundangan selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada 21 Oktober lalu atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada 28 September lalu.


Mohd Shuhaily, 54, didakwa mencederakan Mohamad Faiz Saman dan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, KLIA, antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari.


Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Shah Rukh Khan kekal pelakon terkaya India, harta cecah RM4.28 bilion

Shah Rukh Khan kekal pelakon terkaya India, harta cecah RM4.28 bilion


Bintang Bollywood, Shah Rukh Khan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelakon terkaya di India dengan nilai kekayaan dianggarkan mencecah 10,000 crore rupee (kira-kira RM4.28 bilion).


Anggaran itu berdasarkan Senarai Individu Terkaya Hurun India 2026, yang meletakkan pelakon berusia 61 tahun itu di kedudukan teratas dalam kalangan pelakon negara berkenaan.


Kekayaan yang dimiliki pelakon popular dengan gelaran King Khan itu bukan hanya hasil lakonan, malah turut disumbangkan pendapatan daripada tawaran sebagai duta jenama, syarikat produksi dan pelaburan dalam sektor sukan.


Bagaimanapun, nilai kekayaannya menunjukkan penurunan berbanding anggaran 12,490 crore rupee (RM5.36 bilion) dalam senarai sama pada 2025.


Shah Rukh memiliki syarikat produksi Red Chillies Entertainment yang ditubuhkan pada 2002 dan menerbitkan filem terkenal seperti Om Shanti Om, My Name Is Khan, Ra.One dan Don 2. Syarikat itu turut mengendalikan studio kesan visual Red Chillies VFX.


Beliau juga merupakan pemilik bersama francais kriket Kolkata Knight Riders (KKR) yang bersaing dalam Liga Perdana India (IPL), bersama pelakon Juhi Chawla dan suaminya, Jay Mehta.


Dalam bidang hartanah, antara aset utamanya ialah kediaman mewah Mannat di Bandra, Mumbai, yang dibeli pada 2001 dengan harga kira-kira 13.32 crore rupee (RM5.71 juta). Nilai semasanya dianggarkan mencecah 300 crore rupee (RM128.7 juta).


Pelakon filem Jawan itu turut dilaporkan memiliki vila di Palm Jumeirah, Dubai, apartmen di London serta rumah ladang di Alibaug, Mumbai.


Koleksi kenderaan mewahnya pula merangkumi Bugatti Veyron, BMW i8, BMW 7 Series, Audi A6, Mercedes-Benz, Rolls-Royce Phantom Drophead Coupe dan Bentley Continental GT.


Popularitinya turut menjadikan beliau antara selebriti paling mendapat permintaan untuk kempen pengiklanan jenama antarabangsa dan tempatan, termasuk Hyundai, BYJU'S, Vi, Foxtale serta Dubai Tourism.


Menurut laporan Economic Times, Shah Rukh dilaporkan menerima antara lima hingga 10 crore rupee (RM2.14 juta hingga RM4.29 juta) bagi setiap kontrak tajaan, dengan pendapatan tahunan daripada kerjasama jenama dianggarkan hampir 150 crore rupee (RM64.35 juta).

Ahad, 1 November 2026

Dulu hidup mewah, kini lapan sekeluarga tinggal dalam rumah daif

Dulu hidup mewah, kini lapan sekeluarga tinggal dalam rumah daif


Sebuah keluarga di Pacet, Bandung, Indonesia yang pernah hidup mewah hasil kejayaan perniagaan kini berdepan kemiskinan, masalah kesihatan mental dan keadaan tempat tinggal yang daif.


Kisah keluarga itu menjadi perhatian selepas rakaman video memaparkan keadaan rumah mereka yang kotor dan sempit tular di media sosial.


Menurut laporan Kompas.com, keluarga Cucu Jubadah sebelum ini hidup senang, namun keadaan berubah selepas perniagaan ketua keluarga mengalami kerugian sehingga membawa kepada perceraian.


Setiausaha Desa Mekarsari, Yasa berkata, masalah ekonomi dan konflik keluarga dipercayai menjadi antara faktor yang menyumbang kepada tekanan emosi serta masalah kesihatan mental dalam kalangan ahli keluarga berkenaan.


"Pada awalnya, ibu bapa mereka berjaya dan kaya. Tiba-tiba keadaan ekonomi merosot dan bapa mereka mengalami tekanan. Kemudian Erna pula mengalami masalah sama, mungkin diburukkan lagi oleh perceraian ibu bapa mereka," katanya.


Cucu mempunyai tiga anak, iaitu Ogi Umaedi, Erna Maryana dan Melinda Ulhusna. Ogi sebelum ini merantau ke Lampung dan mendirikan rumah tangga dengan Indah Triyanti sebelum kembali ke kampung halaman kira-kira empat bulan lalu.


Bagaimanapun, keadaan tempat tinggal yang tidak terurus dan tekanan kehidupan keluarga menimbulkan kebimbangan terhadap kesejahteraan mereka.


Lapan ahli keluarga dilaporkan tinggal berhimpit di sebuah rumah berukuran kira-kira 4x5 meter yang berada dalam keadaan kotor dan berbau.


Walaupun pihak kampung beberapa kali menjalankan kerja pembersihan, keadaan rumah dilaporkan kembali tidak terurus.


Situasi tersebut turut menjejaskan kebajikan kanak-kanak dalam keluarga itu, termasuk pendidikan dan perkembangan sosial mereka.


Susulan laporan pihak berkuasa kampung, Jabatan Sosial Kabupaten Bandung mengambil tindakan membantu keluarga terbabit melalui proses pemindahan dan pemulihan secara berperingkat.


Indah yang baru melahirkan bayi perempuan melalui pembedahan Caesarean telah dipindahkan bersama bayinya ke pusat kesihatan sebelum menjalani program pemulihan. Sementara itu, Ogi, Erna dan Melinda turut menerima bantuan pemulihan kesihatan mental.


Menurut Yasa, pihak berkuasa kini memberi perhatian terhadap masa depan dua kanak-kanak dalam keluarga tersebut, termasuk usaha memastikan mereka mendapat pendidikan yang sewajarnya.


Pemerintah Desa Mekarsari turut berusaha mendapatkan kemudahan pendidikan menerusi program Sekolah Rakyat bagi membantu anak-anak berkenaan meneruskan persekolahan.


Kes itu mencetuskan perhatian terhadap kepentingan bantuan sosial, akses rawatan kesihatan mental dan perlindungan kanak-kanak dalam keluarga yang berdepan krisis ekonomi.

26 pendatang asing didenda sehingga RM10,000 atas kesalahan imigresen

26 pendatang asing didenda sehingga RM10,000 atas kesalahan imigresen


PASIR MAS - Seramai 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) didenda antara RM6,000 hingga RM10,000 seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas kesalahan memasuki Malaysia tanpa dokumen sah dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.


Daripada jumlah itu, lapan wanita terdiri daripada empat warga Myanmar, tiga Indonesia dan seorang Vietnam, manakala baki 18 tertuduh ialah lelaki warga Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan Indonesia.


Enam wanita didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah, manakala dua lagi didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.


Enam wanita masing-masing dikenakan denda RM6,000, sementara dua lagi didenda RM10,000 seorang. Kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.


Kesemua 26 tertuduh berusia antara 18 hingga 57 tahun dan ditahan dalam beberapa operasi berasingan Jabatan Imigresen negeri di Kubang Kerian, Kota Bharu serta Gua Musang antara 10 hingga 22 Oktober lalu.


Prosiding di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khaidijah Khairuddin. Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam, manakala sebahagian daripada mereka membuat pengakuan melalui jurubahasa mahkamah.

Dakwa mampu panjangkan umur dan beri tiket ke syurga, lelaki rugi RM290,565

Dakwa mampu panjangkan umur dan beri tiket ke syurga, lelaki rugi RM290,565


Seorang lelaki di Jawa Timur, Indonesia mendakwa kerugian lebih 1.3 bilion rupiah (RM290,565) selepas terpedaya dengan seorang individu yang mengaku sebagai Imam Mahdi dan menawarkan khidmat memanjangkan usia serta tiket masuk syurga.


Suspek dikenali sebagai FF dipercayai menggunakan dakwaan berkaitan agama untuk memperdaya pengikutnya di Kabupaten Bangkalan sejak 2019 hingga 2025.


Peguam mangsa, Jailani Muhtadi berkata, anak guamnya, Halimi menyerahkan wang secara berperingkat selepas dijanjikan pelbagai keistimewaan termasuk memanjangkan umur, menebus dosa dan menjamin keselamatan ahli keluarga di akhirat.


Menurutnya, suspek turut meminta bayaran kafarah kononnya bagi menebus kesalahan dan mendapatkan tiket ke syurga.


Malah, mangsa mendakwa pernah diminta membayar tujuh juta rupiah (RM1,565) bagi menyelamatkan arwah abangnya daripada azab kubur.


Suspek juga didakwa menakut-nakutkan pengikut dengan ancaman kematian sekiranya enggan membuat bayaran.


Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Bangkalan pada 21 Oktober lalu. Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan tiga saksi yang turut mendakwa menjadi mangsa.


Jurucakap Polis Bangkalan, Agung Intama mengesahkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti unsur penipuan atau pemerasan dalam kes berkenaan.


Sementara itu, Majlis Ulama Indonesia (MUI) Bangkalan turut meneliti dakwaan ajaran yang dibawa suspek dan mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan ajaran yang bercanggah dengan syariat.


Bagaimanapun, polis belum mengumumkan sebarang pertuduhan terhadap FF.

Sabtu, 31 Oktober 2026

Pasangan kekasih antara tiga ditahan, PGA rampas dadah bernilai RM434,400

Pasangan kekasih antara tiga ditahan, PGA rampas dadah bernilai RM434,400


BATU PAHAT - Pasangan kekasih antara tiga individu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah yang membawa kepada rampasan 5.2 kilogram methamphetamine bernilai RM434,400 di Batu Pahat dan Muar, pada Rabu.


Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan dalam operasi khas kira-kira jam 8.35 malam yang dijalankan anggota Cawangan Risik Batalion 6 PGA, Muar.


Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Superintendan Shohaiami Ismail berkata, operasi berkenaan membawa kepada rampasan lima bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki methamphetamine seberat 5.2 kilogram.


Polis turut merampas dua kenderaan, masing-masing Toyota Vios dan Honda Civic FD yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.


Menurutnya, operasi dijalankan di kawasan tempat letak kenderaan bersebelahan sebuah pasar raya di Batu Pahat serta Kampung Sarang Buaya Laut, Muar.


Kesemua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk siasatan lanjut.


Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.


Shohaiami berkata, PGA akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis.

Dakwa isteri tolak hubungan intim, remaja disyaki rogol adik kandung hingga hamil

Dakwa isteri tolak hubungan intim, remaja disyaki rogol adik kandung hingga hamil


Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan polis selepas disyaki merogol adik kandungnya yang berusia 15 tahun sehingga mangsa hamil dan melahirkan seorang bayi di Kabupaten Lebong, Indonesia.


Kes itu terbongkar selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) menunjukkan padanan sebanyak 99.99 peratus antara suspek dengan sampel yang diperiksa.


Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Lebong, AKP Darmawel Saleh berkata, suspek yang sudah berkahwin dipercayai melakukan perbuatan itu selepas mendakwa isterinya menolak ajakan untuk melakukan hubungan intim.


Siasatan mendapati suspek disyaki melakukan jenayah berkenaan sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga hari berturut-turut pada Januari lalu, menggunakan pujukan, paksaan dan ugutan terhadap mangsa.


Akibat kejadian itu, mangsa hamil sebelum melahirkan bayi pada 23 September lalu.


Menurut Darmawel, siasatan pada awalnya menjurus kepada seorang lelaki lain, namun keputusan DNA tidak menunjukkan sebarang padanan.


Mangsa kemudian mendedahkan kemungkinan abang kandungnya terbabit dalam kejadian itu ketika memberikan keterangan pada 8 Oktober.


Polis menghantar sampel tambahan ke Makmal Forensik Polis Sumatera Selatan sebelum keputusan pada 26 Oktober mengesahkan padanan DNA sebanyak 99.99 peratus.


Suspek kemudian ditahan dan kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Lebong untuk siasatan lanjut. Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara maksimum 12 tahun.


Dalam pada itu, Polis Bengkulu mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan identiti atau gambar mangsa bagi melindungi privasinya. Mangsa turut diberikan bantuan serta pendampingan sepanjang proses pemeriksaan kesihatan dan kelahiran.