PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 3 Disember depan sebagai tarikh baharu pendengaran rayuan seorang bekas majistret yang mencabar hukuman penjara 12 tahun dan denda RM1.05 juta selepas disabitkan atas enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah.
Penangguhan itu dibuat selepas panel tiga hakim mendapati peguam yang mewakili Mohamad Amin Shahul Hamid, 45, kurang bersedia dan gagal menjawab beberapa persoalan penting berhubung isu rayuan berkenaan.
Panel diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K Muniandy membenarkan permohonan penangguhan bagi memberi peluang kepada pihak pembelaan membuat persediaan sewajarnya.
Hakim Muniandy turut menegur peguam Nor Shahid Abd Malik kerana dilihat tidak bersedia, sambil mengingatkan bahawa prosiding itu merupakan peluang rayuan terakhir anak guamnya.
Peguam berkenaan memaklumkan beliau baru mengambil alih kes itu di peringkat rayuan dan memerlukan masa untuk meneliti semula hujahan bertulis.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan itu atas alasan kes berkenaan sudah beberapa kali ditangguhkan.
Mahkamah akhirnya membenarkan penangguhan dengan mengambil kira kepentingan memberi peluang kepada perayu mengemukakan rayuan terakhirnya.
Pada 17 Januari 2025, Mahkamah Tinggi Kuantan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Mohamad Amin selepas menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2022.
Beliau dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 58 tahun dan denda RM1.05 juta, namun semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan efektif selama 12 tahun.
Mohamad Amin, yang ketika kejadian bertugas sebagai majistret di Mahkamah Lipis dan Raub, didakwa meminta suapan RM100,000. Dia kemudiannya menerima RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo antara 5 Julai hingga 22 Oktober 2019.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan supaya Mohamad Amin hanya mengenakan hukuman denda tanpa penjara terhadap Hassan Basri yang berdepan kes memiliki rokok seludup.
Kes berkenaan dibicarakan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

EmoticonEmoticon