JOHOR BAHRU - Empat lelaki tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Khamis lalu atas pertuduhan melakukan khianat menggunakan api dengan membakar sebuah rumah di penempatan warga Rohingya di Kulai Besar, Kulai, dua minggu lalu.
Keempat-empat tertuduh ialah Yap Tze Hong, 31; Muhamad Amirul Ezlan Masrihan, 28; Muhammad Khairul Abd Bahrin, 27; dan Chen Jie Ming, 28. Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membakar rumah milik P Rajagopal, 73, di Lorong 5, Kulai Besar, kira-kira jam 1.30 pagi, 13 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin. Bagaimanapun, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM25,000 bagi setiap tertuduh sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara membenarkannya.
Mahkamah kemudian membenarkan Yap Tze Hong dan Chen Jie Ming diikat jamin RM8,000 setiap seorang, manakala Muhamad Amirul Ezlan dan Muhammad Khairul masing-masing RM10,000.
Semua tertuduh turut dikenakan tiga syarat tambahan, iaitu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mangsa dan saksi. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 November depan.
Pada 13 Oktober lalu, media melaporkan kebakaran sebuah rumah di penempatan warga Rohingya sekitar Kulai Besar yang dipercayai berpunca daripada balingan bom petrol.









