Jumaat, 2 Oktober 2026

Kanak-kanak 8 tahun alami kerosakan otak menang saman hospital RM12.19 juta

Kanak-kanak 8 tahun alami kerosakan otak menang saman hospital RM12.19 juta


Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, Melaka, hari ini, menganugerahkan RM12.19 juta kepada seorang kanak-kanak perempuan sebagai ganti rugi untuk saman kecuaian perubatan yang difailkan terhadap sebuah hospital kerajaan dan beberapa doktornya.


Hanan Qaireen Mohd Sukri yang kini berusia lapan tahun menyaman melalui bapanya yang juga wakil litigasinya yang sah, Mohd Sukri Mahat, 46, berikutan mengalami kerosakan otak semasa proses kelahiran 18 Februari 2018 dan seterusnya didiagnosis mengalami Cerebral Palsy Spastik Kuadriplegia akibat kecuaian defendan.


Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Isa Aziz Ibrahim menganugerahkan Hanan Qaireen sebanyak RM10.77 juta bagi ganti rugi am masa hadapan berkaitan kos dan perbelanjaan yang akan terus ditanggung ahli keluarga plaintif sepanjang hayatnya kerana tidak mampu berdikari termasuk rawatan, rehabilitasi dan bantuan pelbagai disiplin lain.


Jumlah ganti rugi am masa hadapan itu diberikan selepas mahkamah menolak tuntutan RM220,000 bagi rawatan sel stem kerana memutuskan kaedah itu belum dibuktikan keberkesanannya dan masih pada peringkat eksperimen.


Selain itu, mahkamah turut menganugerahkan ganti rugi am sebanyak RM500,000, ganti rugi khas (RM441,754.83), ganti rugi teruk (RM300,000), ganti rugi pra-bicara (RM157,792.22) serta kos guaman dan perbelanjaan (RM176,718.75), di samping faedah lima peratus ditetapkan terhadap jumlah penghakiman.


Dalam penghakimannya, Isa menasihati keluarga plaintif supaya menguruskan pampasan berkenaan dengan sebaiknya demi kebajikan dan faedah kanak-kanak itu.


"Walaupun jumlah ini kelihatan banyak, ia adalah untuk tempoh 55 tahun. Jika dikira pampasan sebulan cuma kira-kira RM20,000 dan saya rasa ia memadai serta bukannya satu kemewahan.


"Apa yang terjadi adalah telah terjadi, ini adalah qada dan qadar kita sebagai orang Islam. Diharapkan jumlah ini tidak dibazirkan dan digunakan sebagaimana yang sepatutnya," katanya.


Mengikut penyataan tuntutan, saman yang difailkan pada 30 Oktober 2023 itu menamakan 11 defendan membabitkan Kerajaan Malaysia, pengarah hospital serta sembilan doktor.


Ibu plaintif, Noraisah Ali, 42, pada awalnya bertindak sebagai plaintif kedua.


Bagaimanapun, saman terhadap 10 defendan ditarik balik, manakala nama plaintif kedua digugurkan selepas Kerajaan Malaysia selaku defendan ke-11 mengaku liabiliti pada hari terakhir perbicaraan pada 16 Jun lalu.


Perbicaraan bagi penilaian ganti rugi berlangsung selama enam hari bermula 29 September tahun lalu dengan mengemukakan empat saksi termasuk dua pakar bagi pihak plaintif, manakala defendan tidak memanggil sebarang saksi.


Berdasarkan fakta kes, plaintif lahir pada 18 Februari 2018 dengan skor APGAR rendah iaitu 1, 3 dan 4 pada minit pertama, kelima serta ke 10, selain memerlukan intubasi pada minit keempat kerana gagal bernafas sendiri sebelum dimasukkan ke Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU).


Pemeriksaan Elektroensefalografi (EEG) pada tarikh sama menunjukkan kerosakan fungsi otak pada tahap sederhana hingga teruk (moderate to severe neonatal encephalopathy).


Siri pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan susulan dari 2018 hingga 2023 mengesahkan kecederaan teruk pada struktur penting otak yang menyebabkan plaintif mengidap Cerebral Palsy Spastik Kuadriplegia, iaitu lumpuh pergerakan keempat-empat anggota badan.


Dalam prosiding itu, plaintif diwakili Nur Maizatul Syakira Hashim dan Mohamed Fadly Zakariya, manakala Peguam Kanan Persekutuan Norafiah Saini mewakili Kerajaan Malaysia.

Pelakon, model Indonesia didenda RM2,300 kerana salah guna dadah di KLIA

Pelakon, model Indonesia didenda RM2,300 kerana salah guna dadah di KLIA


Pelakon dan model Indonesia, Samudera Hurley Taylor, didenda RM2,300 oleh Mahkamah Majistret Sepang, selepas mengaku bersalah mengambil dadah dalam kejadian pada Julai lalu.


Majistret, Khairatul Animah Jelani, menjatuhkan hukuman denda itu selepas ujian patologi mendapati sampel diambil positif dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid.


Dalam prosiding pada 9 September lalu, mahkamah turut memerintahkan Samudera, 24, menjalani hukuman penjara selama empat bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.


Pada Julai lalu, Samudera mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah berkenaan untuk kegunaan sendiri.


Dia melakukan kesalahan itu kira-kira jam 5.40 petang, 28 Julai lalu, di tandas Pusat Pengurusan Lapangan Terbang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Bagaimanapun, peguamnya, Shah Wira Abdul Halim, berkata Samudera dikehendaki terus kekal di Malaysia sementara menunggu laporan patologi selepas pertama kali didakwa.


Katanya, Samudera membayar denda berkenaan 9 September dan sudah kembali ke Indonesia selepas prosiding selesai.


"Dia mahu segera pulang (ke Indonesia) untuk bertemu ibunya yang sedang menjalani rawatan kanser. Selepas beberapa isu imigresen diselesaikan, dia dibenarkan pulang," katanya.


Samudera sebelum ini didenda RM500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan terbabit pertengkaran dengan kakitangan syarikat penerbangan dan pegawai polis bantuan di KLIA.


Dia didenda RM400 kerana gagal mematuhi arahan sah yang diberikan pegawai polis bantuan dan RM100 kerana menyebabkan gangguan awam.


Kesalahan pertama membabitkan kegagalan mematuhi arahan supaya bertenang, tidak menimbulkan kekacauan dan terus menaiki penerbangan.


Kesalahan kedua pula membabitkan perbuatan menjerit serta menggunakan bahasa kesat dan berunsur provokasi terhadap kakitangan syarikat penerbangan dan pegawai polis bantuan, selain mengganggu petugas kaunter tiket.


Kesalahan itu dilakukan antara jam 7.20 malam hingga 8.12 malam, 27 Julai lalu, di Pintu 4, KLIA Terminal 1.

Penganggur didenda RM24,000, alih RM1.1 juta milik pesara masuk akaun sendiri

Penganggur didenda RM24,000, alih RM1.1 juta milik pesara masuk akaun sendiri


Seorang penganggur wanita dijatuhi hukuman denda RM24,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengalihkan wang RM1.1 juta milik seorang pesara ke dalam akaun bank miliknya, lapan tahun lalu.


Hakim Muhammad Ilmami Ahmad juga memerintahkan Chin Chew Woon, 43, menjalani hukuman penjara 24 bulan jika gagal membayar denda itu.


Chew Woon didakwa mengalihkan wang RM500,000 dan RM600,000 milik lelaki berusia 66 tahun ke dalam akaun bank miliknya di sebuah bank di Brickfields pada 26 dan 27 Disember 2018.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan mendakwanya terlibat dalam kes pengubahan wang haram.


Mangsa diarahkan untuk memindahkan wang simpanan berjumlah RM500,000 dan RM600,000 ke dalam akaun Chew Woon kononnya bagi tujuan siasatan.


Bagaimanapun, mangsa gagal menghubungi individu itu untuk mendapatkan kembali wang tersebut.


Siasatan mendapati Chew Woon ialah pemilik akaun yang menerima wang tersebut dan dia juga gagal memberikan penjelasan memuaskan berhubung transaksi itu.


Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan, mengambil kira faktor mangsa mengalami kerugian besar dan kekerapan kes penipuan di Malaysia.


"Mohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang memberikan keinsafan kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang," katanya.


Chew Woon yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia kini tidak bekerja dan menanggung dua anak, ibu serta ibu mentua yang sakit.


Lapan anggota polis antara ditahan terbabit aktiviti air ketum

Lapan anggota polis antara ditahan terbabit aktiviti air ketum


Lapan anggota polis antara sembilan individu ditahan kerana disyaki terbabit dengan aktiviti air ketum dalam serbuan di Taman Keramat, Kuala Lumpur pada Selasa.


Menurut sumber, serbuan dilakukan jam 8.45 malam itu, hasil kerjasama Cawangan Risikan dan Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang Jaya.


"Lapan anggota ditahan itu membabitkan tujuh yang bertugas di pelbagai cawangan sekitar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, manakala seorang lagi bertugas di IPD Brickfields.


"Turut ditahan bersama mereka di lokasi adalah seorang orang awam," kata sumber itu.


Sumber itu memaklumkan bahawa kesemua suspek kini ditempatkan di Lokap Balai Polis Hulu Kelang.


Kertas siasatan dibuka dan permohonan reman dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.


Sementara itu, Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid ketika dihubungi, mengesahkan kejadian dan penahanan kesemua suspek berkenaan.

 17 premis jual vape di Subang Jaya diperiksa, dikompaun RM35,000

17 premis jual vape di Subang Jaya diperiksa, dikompaun RM35,000


Sebanyak 28 tindakan penguatkuasaan dengan kompaun berjumlah RM35,000 dikenakan terhadap 17 premis menjual rokok elektronik di sekitar Subang Jaya pada Rabu.


Operasi Bersepadu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor itu dijalankan bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa'ari berkata, operasi membabitkan 68 pegawai dan anggota daripada empat agensi itu bagi memeriksa pematuhan premis terhadap undang-undang berkaitan perdagangan, kesihatan, pendaftaran perniagaan serta pelesenan premis.


"Hasil pemeriksaan, KPDN Selangor mengambil tiga tindakan kes mengikut Perenggan 6, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Rokok Elektronik) 2022.


"Tindakan ini berkaitan kegagalan mematuhi subperenggan 4(2)(b) membabitkan peranti rokok elektronik atau alat ganti yang tidak mempunyai tanda seperti ditetapkan," katanya dalam kenyataan, semalam.


Muhamad Hanif berkata, KPDN turut mengeluarkan lima kompaun mengikut Akta Timbang Sukat 1972 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.


MBSJ pula mengeluarkan 14 kompaun mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBSJ serta Undang-Undang Kecil Iklan MBSJ.


SSM mengeluarkan lima kompaun mengikut akta di bawah bidang kuasanya, manakala KKM mengeluarkan dua notis mengikut Seksyen 18(1)(a) kerana gagal mempamerkan tanda amaran larangan merokok.


Muhamad Hanif berkata, nilai keseluruhan kompaun yang direkodkan dalam operasi itu berjumlah RM35,000, manakala barangan bernilai kira-kira RM38,000 dirampas.


"KPDN mengingatkan semua peniaga rokok elektronik sentiasa mematuhi sepenuhnya keperluan perakuan dan penandaan peranti rokok elektronik yang ditetapkan.


"Setiap peranti rokok elektronik atau alat ganti yang ditawarkan untuk jualan hendaklah mempunyai perakuan daripada pihak berkuasa berwibawa serta ditandakan dengan tanda yang ditetapkan," katanya.


Beliau berkata, KPDN akan terus meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang gagal mematuhi peruntukan ditetapkan.

Wanita ditemui maut dipercayai dibunuh suami di sebuah rumah pekerja ladang di Tawau

Wanita ditemui maut dipercayai dibunuh suami di sebuah rumah pekerja ladang di Tawau


Seorang wanita maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di sebuah rumah pekerja ladang di Felda Umas, Jalan Kalabakan, petang Isnin.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang itu, mangsa ialah wanita warga Indonesia berusia 37 tahun yang bekerja di ladang berkenaan.


"Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di rumah berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan kira-kira jam 8.16 malam," katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis telah menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun yang merupakan suami mangsa.


"Suspek turut mengalami kecederaan pada bahagian leher dan kini menerima rawatan di Hospital Tawau.


"Siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala, leher dan tangan mangsa," katanya.


Rosdi berkata, pemeriksaan di lokasi turut membawa kepada rampasan beberapa barang kes, termasuk sabit dan kayu untuk membantu siasatan.


"Siasatan lanjut mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hubungan rumah tangga selepas mereka kembali daripada bercuti. Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.


Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


"Polis masih menjalankan siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan forensik, analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA), laporan perubatan dan bedah siasat bagi melengkapkan siasatan.


"Sebarang pengakuan awal suspek masih tertakluk kepada pengesahan melalui bukti-bukti lain yang diperoleh sepanjang siasatan," katanya.


Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Khamis, 1 Oktober 2026

Tipu pemandu e-hailing, penganggur dipenjara lima hari, denda RM3,000

Tipu pemandu e-hailing, penganggur dipenjara lima hari, denda RM3,000


Penganggur dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memperdaya seorang pemandu e-hailing dengan mengemuka resit pembayaran palsu.


Majistret A Shaarmini menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap tertuduh, B Parameswara, 26, bermula dari tarikh ditahan Isnin lalu.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.


Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdaya Mohd Firdaus Md Naim dengan secara curang mendorong mangsa mempercayai resit pembayaran yang dikemukakan adalah benar.


Perbuatan itu juga menyebabkan mangsa mempercayai bayaran sudah dibuat, sekali gus mendorong mangsa menyerahkan wang baki kepadanya.


Kesalahan itu didakwa dilakukan pada di sebuah hotel di Jalan Bakawali 52, Taman Johor Jaya, Johor Bahru pada 17 September lalu.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Shafeeqah Mohd Sharifuddin manakala tertuduh diwakili peguam, P Rajagunaseelan.

Lelaki dipenjara 13 tahun kerana bunuh rakan rogol anak

Lelaki dipenjara 13 tahun kerana bunuh rakan rogol anak


Seorang lelaki warga Indonesia dihukum penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan menyebabkan kematian rakan senegaranya pada Ogos 2024.


Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki berusia 30 tahun itu, yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sebelum digantikan dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) kanun sama.


Mahkamah turut memerintahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 2 September 2024, serta dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman penjara berkenaan.


Mengikut pertuduhan, bapa kepada enam anak itu didakwa menyebabkan kematian mangsa, lelaki berusia 33 tahun, di sebuah rumah tidak bernombor di Tawau, antara kira-kira 7.30 malam 31 Ogos 2024 hingga tengah hari 1 September 2024.


Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.


Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Jhessery P Kang.


Berdasarkan fakta kes, kejadian itu berlaku selepas anak perempuan tertuduh yang ketika itu berusia 12 tahun memberitahu ibunya bahawa dia dirogol si mati ketika dalam perjalanan pulang daripada satu majlis keramaian pada malam kejadian.


Tertuduh yang mengetahui perkara itu kemudian mengambil sebilah parang dan mencari mangsa sebelum mengejarnya ke kawasan reban ayam berdekatan dan melibas lelaki itu beberapa kali.


Pemeriksaan di Hospital Tawau mendapati terdapat koyakan baharu pada bahagian sulit anak tertuduh, manakala analisis Jabatan Kimia Malaysia mendapati DNA si mati terdapat pada kepingan kuku anak tertuduh dan kesan air mani pada seluar dalamnya sepadan dengan DNA mangsa.


Polis turut merampas parang digunakan dalam kejadian itu daripada tertuduh ketika dia ditahan polis di rumahnya pada 2 September 2024.

SPRM reman dua tokoh korporat bergelar Datuk Seri dan Datuk, sita 15 kereta mewah

SPRM reman dua tokoh korporat bergelar Datuk Seri dan Datuk, sita 15 kereta mewah


Dua tokoh korporat adik-beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk direman lima hari bagi membantu siasatan kes bersubahat menyeleweng dan menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan sebanyak kira-kira RM10 juta.


Perintah reman terhadap dua beradik berusia lingkungan 40-an dan 50-an itu sehingga 6 Oktober ini dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.


Kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 9 malam, semalam, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.


Menurut sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu pada penghujung 2020.


"Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan berasaskan pendidikan untuk meluluskan pelaburan berjumlah kira-kira RM10 juta.


"Pelaburan itu disalurkan kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada suspek pertama yang bergelar Datuk Seri berusia lingkungan 40-an," katanya.


Sumber berkata, SPRM turut menyita pelbagai aset dan barangan termasuk 15 kereta mewah serta 12 motosikal berkuasa tinggi dalam siasatan berkenaan.


"Turut disita lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan dan wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000.


"Sitaan dibuat susulan siasatan yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek," katanya.


Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Lelaki didakwa rakam empat wanita buang air kecil, miliki video lucah

Lelaki didakwa rakam empat wanita buang air kecil, miliki video lucah


Lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini atas tuduhan merakam empat wanita membuang air kecil dalam tandas dan memiliki video lucah pada bulan lalu.


Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Mukhris Sulaiman, 22, mengaku tidak bersalah terhadap lima tuduhan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sharifah Razali.


Bagi tuduhan pertama hingga keempat, Muhammad Mukhris didakwa melakukan kesalahan di sebuah kilang di Bukit Minyak, Seberang Perai Tengah antara 11.44 pagi dan 6.55 petang, 2 September hingga 23 September lalu.


Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Dia juga didakwa dengan tuduhan memiliki beberapa video lucah ketika pemeriksaan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, pada 9.30 pagi, 24 September lalu.


Tertuduh didakwa Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili V Sivakumar.


Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi semua tuduhan dan memerintahkannya tidak mendekati mangsa sehingga perbicaraan selesai.


Kes akan disebut semula pada 19 November ini untuk serahan dokumen.