Isnin, 31 Ogos 2026

Tiada Lesen, '2 jam drama' enggan beri kerjasama, dua lelaki warga China ditahan

Tiada Lesen, '2 jam drama' enggan beri kerjasama, dua lelaki warga China ditahan


Cubaan mengelak daripada memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa selama hampir dua jam akhirnya membawa padah kepada dua warganegara China dalam Ops Bersepadu JPJ Cawangan Kulim bersama Jabatan Imigresen Malaysia.


Dalam operasi sekitar Sungai Karangan kira-kira 11.15 pagi pada Jumaat lalu (28 Ogos) pasukan penguat kuasa JPJ Cawangan Kulim mengesan sebuah Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.


Pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut dinaiki seorang pemandu dan seorang penumpang, kedua-duanya warganegara China.Pemandu gagal mengemukakan lesen memandu serta dokumen berkaitan apabila diminta.


Lebih menarik perhatian, individu terbabit didapati enggan memberikan kerjasama selama hampir dua jam sepanjang proses pemeriksaan dan tindakan lanjut.


Kedua-duanya kemudian diiringi ke JPJ Cawangan Kulim sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.


Dalam tindakan sama, saman turut dikeluarkan manakala Perodua Myvi berkenaan disita bagi tujuan siasatan.


JPJ Cawangan Kulim menegaskan operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa akan terus dipergiatkan bagi memastikan undang-undang dipatuhi serta keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.


Kereta ditendang, cermin dipecahkan ketika pulang tonton aksi Liga Super

Kereta ditendang, cermin dipecahkan ketika pulang tonton aksi Liga Super


Dua lelaki berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka ditendang, dihentak dan cermin belakang dipecahkan menggunakan topi keledar oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali selepas menyaksikan perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.


Kejadian berlaku pada 10.48 malam ketika mangsa yang berusia 22 tahun bersama rakannya dalam perjalanan pulang ke Seremban, Negeri Sembilan selepas menyaksikan perlawanan antara Melaka FC dan Negeri Sembilan FC.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kejadian bermula apabila seorang lelaki tidak dikenali datang dari arah kanan jalan sebelum menendang Toyota Vios warna merah dinaiki mangsa sebaik keluar dari kawasan parkir stadium.


"Suspek yang memakai baju hitam dan berseluar denim biru kemudiannya mengejar mangsa bersama beberapa motosikal sebelum bertindak merosakkan bahagian belakang keretanya.


"Mangsa kemudiannya memberhentikan kenderaan di hadapan sebuah restoran, namun seorang lagi suspek yang memakai baju lengan panjang warna hijau dan berseluar hitam bertindak menghentak bonet hadapan kereta menggunakan tangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, mangsa yang juga akauntan kemudiannya meneruskan perjalanan untuk melarikan diri, namun suspek terus mengekorinya sebelum memukul cermin belakang kereta menggunakan topi keledar sehingga pecah.


Halim berkata, ketika mangsa berhenti di hadapan sebuah klinik di Krubong, suspek terus menyerang dan merosakkan kenderaan sebelum mangsa berjaya melarikan diri dan membuat laporan di Balai Polis Tanjung Minyak.


Menurutnya, siasatan lanjut ssedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan.


"Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan polis kini menjalankan risikan bagi mengenal pasti dan mengesan suspek yang terbabit," katanya.

Ahad, 30 Ogos 2026

Gara-gara RM1.70, dua premis berdepan denda sehingga RM100,000

Gara-gara RM1.70, dua premis berdepan denda sehingga RM100,000


Gara-gara mempamerkan harga mengelirukan, termasuk menyebabkan seorang pelanggan mengalami kerugian RM1.70, dua premis perniagaan di Kuching berdepan tindakan undang-undang dengan hukuman denda sehingga RM100,000.


Kesalahan itu dikesan dalam operasi pemeriksaan yang dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak di beberapa premis perniagaan sekitar Kuching, Rabu lalu.


Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, hasil pemeriksaan mendapati dua kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999, iaitu memberi gambaran mengelirukan mengenai harga barang yang dipamerkan untuk perdagangan.


Beliau berkata, kes pertama dikesan kira-kira jam 11.22 pagi di sebuah premis di Sejingkat apabila seorang peniaga mengenakan bayaran RM13.20 bagi satu produk sedangkan harga dipamerkan adalah RM11.50.


Menurutnya, perbezaan harga itu menyebabkan pelanggan mengalami kerugian RM1.70 dan pelanggan terbabit sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada peniaga serta meminta bayaran dikenakan mengikut harga yang dipamerkan.


"Bagaimanapun, peniaga berkeras dan enggan memberikan harga seperti yang dipaparkan," katanya dalam kenyataan.


Susulan itu, pihak penguat kuasa menyita satu salinan lesen ordinan perniagaan, empat resit jualan, satu tanda harga dan satu tanda harga promosi bagi membantu siasatan lanjut.


Matthew berkata, kes kedua pula dikesan kira-kira jam 12.43 tengah hari di sebuah premis di Stutong yang turut disyaki melakukan kesalahan memberi gambaran mengelirukan mengenai harga barang dipamerkan.


Katanya, dalam pemeriksaan itu, penguat kuasa menyita satu salinan lesen ordinan perniagaan dan sepasang kasut dengan nilai rampasan RM29.90 untuk tujuan siasatan lanjut, manakala semua kes akan disiasat mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.


Seksyen 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999 memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama bagi individu jika sabit kesalahan pertama


Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun manakala bagi syarikat pula, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan RM200,000 bagi kesalahan berikutnya.


Selain itu, Matthew berkata, KPDN Sarawak akan terus mempergiat pemantauan bagi memastikan peniaga tidak mengelirukan pengguna berhubung harga barangan.

'Tidak ada warga asing dibenar berniaga di pasar tani FAMA termasuk etnik Rohingya' - Muhammad

'Tidak ada warga asing dibenar berniaga di pasar tani FAMA termasuk etnik Rohingya' - Muhammad


Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri mengesahkan tidak ada warga asing termasuk etnik Rohingya mendapat tapak perniagaan di pasar tani di seluruh Terengganu.


Pengarah FAMA negeri, Muhamad Fadlee Hassan, berkata usahawan pasar tani juga sudah diberi amaran dikenakan tindakan termasuk pembatalan permit jika dikesan mengalibabakan lesen kepada warga asing atau menggajikan mereka mengendalikan perniagaan.


"Jika gerai dikendalikan warga asing tanpa kehadiran pemilik asal, permit perniagaan akan dibatalkan serta-merta," katanya ketika dihubungi hari ini.


Muhamad Fadlee berkata demikian ketika mengulas dakwaan dimuat naik di Facebook (FB) yang memaparkan seorang warga asing lelaki dipercayai etnik Rohingya sedang menjual sayur di tapak pasar tani di daerah Besut, Khamis lalu.


Katanya, siasatan dilakukan mendapati warga asing seperti diviralkan melalui FB itu menjual sayur di tapak pasar pagi dikendalikan agensi kerajaan lain dan bukannya di tapak pasar tani seliaan FAMA.


"FAMA hanya mengendalikan dua pasar tani di daerah Besut iaitu di Jertih dan di Kampung Alor Lintang pada setiap Khamis dan Sabtu bermula jam 7 pagi hingga 1 tengah hari.


"Berdasarkan gambar dimuat naik melalui laman sosial FB sejak Jumaat lalu, kelibat warga asing yang sedang menjual sayur itu bukan berlaku di tapak pasar tani seliaan FAMA, sebaliknya di tapak pasar pagi dikendalikan agensi kerajaan lain," katanya.

Kerap berkunjung, duda 40-an dan gadis 18 tahun ditahan berkhalwat dalam bilik sewa

Kerap berkunjung, duda 40-an dan gadis 18 tahun ditahan berkhalwat dalam bilik sewa

(Foto Dijana AI)

Seorang duda berusia 40-an ditahan bersama gadis berusia 18 tahun dalam bilik sewa di rumah kedai di Pasir Gudang, Johor Bahru, 2.15 pagi hari ini.


Pasangan terbabit ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) susulan aduan awam.


Menurut JAINJ, ketika pemeriksaan, penguat kuasa mendapati lelaki berkenaan berada di dalam bilik bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun dan gadis terbabit.


"Pemeriksaan mendapati gadis berkenaan sedang berada di atas katil bujang, manakala kanak-kanak terbabit tidur di lantai beralaskan selimut dan bantal.


"Lelaki itu yang bekerja di Pasir Gudang mengaku berstatus duda anak dua, manakala gadis terbabit masih belum berkahwin dan tidak bekerja," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya lagi, ketika disoal siasat, pasangan itu pada awalnya memberi alasan gadis berkenaan datang ke bilik tersebut untuk membantu mengemas rumah.


Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati gadis berkenaan yang tinggal kira-kira 15 kilometer dari situ kerap datang ke premis berkenaan, iaitu kira-kira dua hingga tiga kali seminggu.


Katanya, lelaki terbabit menyewa bilik berkenaan bersama anaknya, manakala bekas isterinya menjaga seorang lagi anak mereka.


"Lebih mengelirukan apabila kanak-kanak berkenaan memanggil lelaki itu sebagai 'papa' dan gadis terbabit sebagai 'mama'.


"Apabila ditanya sama ada mereka sudah berkahwin, kedua-duanya mengakui belum berkahwin dan hanya merancang untuk bernikah tidak lama lagi," katanya.


Susulan pengakuan itu, pasangan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.

Dua keluarga berjiran gaduh gempar 'bercakar' hal sampah, saling memukul dihadapkan ke mahkamah

Dua keluarga berjiran gaduh gempar 'bercakar' hal sampah, saling memukul dihadapkan ke mahkamah


Pergaduhan antara dua keluarga berjiran dipercayai berpunca daripada isu sampah membawa padah selepas mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka pada Khamis atas pertuduhan gaduh gempar.


Tiga beranak iaitu W Norizan W Husain, 50, bersama anaknya, Nurathirah Natashha Kamarul Zaman, 28, dan Muhammad Alif Najmi Kamarul Zaman, 21, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.


Bagaimanapun, jiran mereka, Md Isaa Osman, 62, dan isterinya, Deni Rismayani Purba, 53, tidak mengaku bersalah atas pertuduhan sama.


Mengikut pertuduhan, kesemua lima mereka didakwa melakukan gaduh gempar dengan memukul antara satu sama lain di tempat awam di Jalan Permatang Pasir, Alai, Melaka sekitar jam 3.45 petang pada 15 Oktober 2025.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Difahamkan, kejadian tercetus selepas cucu kepada W Norizan, berusia 11 tahun, dimarahi jiran tersebut kerana membuang sampah hingga masuk ke kawasan rumahnya.


Perselisihan faham itu kemudian berlarutan sebelum berlaku pertengkaran yang membawa kepada pergaduhan lebih serius.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri, manakala Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Mawardi Zainudin mewakili tertuduh.


Siti Nur Alia mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap Md Isaa sementara tiada jaminan ditawarkan kepada Deni yang berstatus warga Indonesia.


Bagaimanapun, Mawardi memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah terhadap Md Isaa yang tidak bekerja hanya membantu isterinya berniaga dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan selain menganggung seorang anak berusia 20 tahun yang masih belajar di peringkat diploma.


Mahkamah kemudian membenarkan Md Isaa dan Deni diikat jamin RM1,000 serta menetapkan 12 Oktober depan untuk penyerahan dokumen dan urusan lantikan peguam.


Sementara itu, Mawardi turut memohon hukuman ringan terhadap tiga beranak yang mengaku bersalah, dengan alasan pengakuan itu menjimatkan masa serta kos mahkamah dan pendakwaan.


Menurutnya, ketiga-tiga tertuduh menyesal atas perbuatan tersebut, selain ini merupakan kesalahan pertama mereka dan berjanji tidak akan mengulanginya.


Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM600 setiap seorang atau penjara selama sebulan jika gagal membayar denda.


Kesemua tertuduh diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, pada Khamis.
Lelaki Dipenjara 5 Bulan, Didenda RM19,000 Selepas Rakam Isteri Bersama Kekasih Secara Rahsia

Lelaki Dipenjara 5 Bulan, Didenda RM19,000 Selepas Rakam Isteri Bersama Kekasih Secara Rahsia


Taktik seorang lelaki di Taiwan menggunakan pembersih vakum robotik untuk membongkar dakwaan kecurangan isterinya membuahkan hasil apabila dia memenangi saman sivil terhadap wanita itu dan kekasihnya, lapor NDTV.


Namun, kemenangan itu bertukar menjadi padah apabila dia kemudian dijatuhi hukuman penjara kerana merakam imej peribadi secara bersembunyi tanpa kebenaran.


Menurut penghakiman mahkamah yang dikeluarkan baru-baru ini dan dilaporkan media tempatan, lelaki berkenaan berkahwin pada 2021 dan tinggal bersama ibu bapanya. Dia dan isterinya menggunakan rumah peranginan mereka terutama ketika musim percutian.


Syak wasangkanya terhadap isterinya meningkat pada September 2023 selepas dia menemukan berus gigi yang sudah digunakan di kediaman berkenaan. Dia kemudian menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di garaj tempat letak kereta sebelum menyedari seorang lelaki tidak dikenali memandu keretanya untuk menghantar isterinya pulang.


Kira-kira tiga bulan kemudian, si suami mengaktifkan pembersih vakum robotik di rumah peranginan itu secara kawalan jauh menerusi aplikasi telefon bimbitnya. Peranti berkenaan dilengkapi fungsi audio terbina dalam yang membolehkan pengguna berkomunikasi menerusinya.


Bagaimanapun, strim langsung daripada pembersih vakum itu merakam isterinya bersama lelaki lain dalam keadaan intim. Si suami kemudian merakam paparan berkenaan sebelum menyerahkannya sebagai bahan bukti dalam saman sivil terhadap isterinya dan lelaki terbabit.


Pada mulanya dia menuntut ganti rugi sebanyak 2 juta dolar Taiwan (kira-kira RM254,000), lapor South China Morning Post. Mahkamah sivil memutuskan hubungan itu melampaui batas persahabatan biasa dan memerintahkan isteri serta lelaki berkenaan membayar pampasan 500,000 dolar Taiwan (kira-kira RM63,000) kepadanya.


Bagaimanapun, kemenangannya tidak bertahan lama apabila dia berdepan tindakan undang-undang berasingan berhubung cara mendapatkan bukti berkenaan.


Isterinya mendakwa lelaki itu merakam imej peribadi secara bersembunyi tanpa kebenarannya, namun dia berhujah tindakan itu wajar kerana rakaman berkenaan diterima sebagai bukti dalam prosiding sivil.


Mahkamah menolak pembelaan itu dan memutuskan bahawa kewajipan perkahwinan tidak mengatasi hak privasi seseorang. Mahkamah turut mendapati rakaman berkenaan dilakukan secara sengaja.


Mahkamah turut memutuskan sebarang lampu atau pemberitahuan suara yang dikeluarkan pembersih vakum robotik tidak mencukupi untuk membuktikan wanita berkenaan mengetahui dirinya dirakam atau memberikan kebenaran.


Lelaki itu akhirnya dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan didenda 150,000 dolar Taiwan (kira-kira RM19,000) kerana merakam imej peribadi secara haram.


Di bawah undang-undang Taiwan, tindakan merakam atau mendedahkan aktiviti peribadi atau maklumat intim orang lain secara bersembunyi tanpa kebenaran boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga 300,000 dolar Taiwan (kira-kira RM38,000).

Sabtu, 29 Ogos 2026

Serangan dua anjing ketika joging, pemilik diperintah bayar RM248,457

Serangan dua anjing ketika joging, pemilik diperintah bayar RM248,457


Seorang pemilik dua anjing German Shepherd diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam supaya membayar RM178,457.60 ganti rugi khas dan RM70,000 ganti rugi am berhubung serangan haiwan itu sehingga menyebabkan jirannya mengalami patah tulang belakang, lima tahun lalu.


Hakim, Zawiyah Saad memutuskan demikian selepas mendapati defendan, Datuk Seri Ong Thiam Boon, bertanggungjawab terhadap kejadian menimpa plaintif, Datuk Mohd Kamal Abdullah pada 10 Februari 2021.


Beliau membenarkan tuntutan Mohd Kamal selepas mempertimbangkan keterangan saksi, dokumen yang dikemukakan serta hujahan bertulis kedua-dua pihak selepas perbicaraan penuh.


Thiam Boon turut diarahkan membayar faedah lima peratus setahun ke atas jumlah berkenaan bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.


Mahkamah turut menolak tuntutan balas defendan dengan kos serta memerintahkannya membayar kos global RM15,000 kepada plaintif.


Dalam saman itu, Mohd Kamal mendakwa dua anjing milik jirannya menyerangnya ketika berjoging di Taman Anjung Tiara, Segambut.


Plaintif mendakwa kejadian itu menyebabkannya terjatuh ketika cuba melindungi diri daripada serangan berkenaan seterusnya mengalami patah tulang belakang yang memerlukan pembedahan dan rawatan susulan.


Beliau mendakwa kejadian itu berpunca daripada kegagalan defendan mengawal anjing berkenaan dengan baik selain memastikan pintu pagar kediamannya sentiasa tertutup.


Bagaimanapun, Thiam Boon menafikan dakwaan bahawa anjing terbabit menyerang atau bersentuhan dengan plaintif.


Menurut pembelaannya, Mohd Kamal hilang keseimbangan lalu terjatuh ketika bergerak ke belakang di jalan yang curam dan tidak rata selepas mengayunkan tongkat ke arah kedua-dua anjing berkenaan.


Defendan turut mendakwa kecederaan yang dialami plaintif berpunca atau disumbangkan oleh kecuaian dirinya sendiri.


Dalam tuntutan balas, Thiam Boon mendakwa plaintif mengugutnya sehingga menyebabkan beliau mengalami ketakutan, penghinaan dan tekanan mental.


Dalam prosiding itu, Mohd Kamal diwakili peguam, Shahril Madisa daripada Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq manakala Ong diwakili Tan Shao Jia dan Wong Win Xien daripada Tetuan Manjit Singh Sachdev, Mohammad Radzi & Partners.

Lelaki dipenjara 23 hari selepas buat lebih 1,000 panggilan 'senyap' terhadap polis

Lelaki dipenjara 23 hari selepas buat lebih 1,000 panggilan 'senyap' terhadap polis


Seorang lelaki yang membuat lebih 1,000 panggilan senyap kepada polis untuk suka-suka dan keseronokan dijatuhi hukuman penjara 23 hari pada Rabu, lapor portal CNA.


Foo Jia Hong, 37, warga Singapura, mengaku bersalah atas satu pertuduhan menghalang secara sengaja pegawai yang bertugas di kaunter Pusat Polis Kejiranan (NPC) Yishun dengan membuat 425 panggilan senyap ke talian tetap pusat berkenaan.


Tiga lagi pertuduhan membabitkan panggilan selebihnya yang dibuat kepada pusat polis di Ang Mo Kio North, Bedok dan Geylang turut diambil kira oleh mahkamah.


Antara 21 hingga 29 April tahun ini, NPC Ang Mo Kio North, NPC Bedok, NPC Geylang dan NPC Yishun menerima banyak panggilan ke talian tetap mereka daripada nombor tidak dikenali dengan pemanggil tidak berkata apa-apa.


Nombor berkenaan didaftarkan atas nama seorang pekerja asing yang kemudiannya disiasat dan mendakwa bahawa dia sudah membuang kad SIM yang dikaitkan dengan nombor itu.


Mahkamah dimaklumkan bahawa Foo membeli sarung telefon bimbit terpakai di sebuah pasar malam di Ang Mo Kio pada awal tahun ini.


Dia menemukan kad SIM daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi Simba di dalam sarung telefon itu dan memutuskan untuk menggunakannya.


Polis mendapati bahawa dia menggunakan nombor berkenaan untuk menghubungi pusat-pusat polis.


Foo mengakui menggunakan direktori panggilan atau risalah daripada NPC untuk mendapatkan nombor talian tetap berkenaan sambil berkata bahawa dia membuat panggilan itu untuk suka-suka dan keseronokan.


Daripada 425 panggilan yang dibuat kepada NPC Yishun, sebanyak 330 panggilan dijawab oleh empat pegawai, manakala selebihnya tidak dijawab.


Menurut pihak pendakwaan, panggilan yang tidak dijawab turut menyebabkan gangguan kepada talian telefon kerana panggilan berikutnya terpaksa menunggu dalam barisan, sekali gus menghalang panggilan lain daripada dijawab dengan segera.


Foo ditahan pada Mei dan kemudiannya ditempatkan di Institut Kesihatan Mental untuk penilaian psikiatri.


Dia didapati mempunyai ketidakupayaan intelek ringan, namun laporan institut mendapati keadaan itu tidak mempunyai kaitan yang menyumbang kepada kesalahan yang dilakukan.


Timbalan Pendakwa Raya Ng Jun Kai memohon hukuman penjara antara tiga hingga lima minggu terhadap Foo sambil menyatakan bahawa dia pernah disabitkan kesalahan pada Januari 2025 kerana menyampaikan mesej palsu tetapi tidak memberikan perincian lanjut.


Ng turut berkata tiada kes terdahulu yang serupa bagi kesalahan khusus ini, namun jumlah panggilan yang banyak dibuat kepada NPC mengganggu talian bukan kecemasan.


Peguam bela Daniel Atticus Xu memohon hukuman penjara dua minggu dan menegaskan bahawa membuat panggilan kepada NPC tidak sama dengan menghubungi talian kecemasan 999.


Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Koo Zhi Xuan berkata, mahkamah perlu mengambil kira dan menangani hakikat bahawa Foo mempunyai ketidakupayaan intelek ringan, manakala pertimbangan utama dalam menjatuhkan hukuman adalah untuk memberi kesan pencegahan.


Bagi kesalahan menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi awamnya, Foo boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau didenda sehingga S$6,500 (RM20,528) atau kedua-duanya sekali.

Polis Myanmar tahan suspek curi 17 penyaman udara Hospital Besar Mandalay

Polis Myanmar tahan suspek curi 17 penyaman udara Hospital Besar Mandalay


Polis menahan individu yang mencuri 17 unit penyaman udara dari Hospital Besar Mandalay, menurut laporan Asia News Network.


Pegawai di Balai Polis No 8, Perbandaran Chan Aye Tha San, membuat laporan pada 6 Ogos selepas 17 unit penyaman udara dilaporkan hilang dari beberapa jabatan di Hospital Besar Mandalay.


Ini termasuk jabatan kecemasan, jabatan X-ray utama, bilik darjah sementara jabatan kecemasan dan dewan bedah utama. Susulan itu, polis menjalankan siasatan bagi menahan suspek pencuri penyaman udara.


Hasil siasatan mendapati seorang individu yang sedang menanggalkan sebuah unit penyaman udara di kawasan kuil berhampiran hospital ditahan untuk disoal siasat kerana disyaki terbabit dalam kes itu.


Siasatan lanjut mendapati suspek adalah pekerja perkhidmatan penyaman udara dan mencuri unit penyaman udara dari beberapa jabatan di hospital itu selama beberapa hari.


Dia menanggalkannya satu demi satu, mengangkutnya dalam jumlah yang banyak serta mengambil paip tembaga mengikut kesempatan termasuk pada waktu siang.


"Kes kecurian itu tidak berlaku dalam satu hari. Jika mereka hendak mencuri radiator, paip tembaga dan pemampat satu demi satu pada waktu siang, mereka akan menanggalkannya.


"Mereka juga menanggalkannya tanpa pemampat. Kipas, dandang gas, paip tembaga, motor, gegelung dan komponen lain turut ditanggalkan apabila mereka mempunyai masa," kata pegawai penyiasat.


Menurutnya, suspek mahir membaiki penyaman udara.


"Bagaimana seorang pencuri biasa boleh bertindak begitu pantas? Mereka mencurinya dengan begitu kemas sehingga kehilangan itu hanya disedari apabila penyaman udara hendak digunakan.


"Mereka tidak mungkin dapat membuka unit-unit tersebut satu demi satu tanpa kemahiran berkenaan.


"Oleh sebab itu, jumlah kes yang dibuka oleh balai polis adalah sebanyak 17," kata pegawai penyiasat berhubung perbuatan suspek.


Difahamkan, seorang kakitangan pembersihan hospital dan seorang ahli keluarganya turut terbabit dalam pencurian unit penyaman udara itu.


Mereka sudah ditahan dan sedang disiasat di Balai Polis Bandar No 8 di bawah Seksyen 6(1) Akta Perlindungan Harta Awam (PA) 110/2026.