Ahad, 5 April 2026

Hamzah memberi bayangan partinya kekal dalam gabungan PN

Hamzah memberi bayangan partinya kekal dalam gabungan PN


Bekas Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Hamzah Zainuddin membayangkan partinya masih dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).


Beliau berkata, status 'rumah baharu' yang bakal diumumkan membayangkan wadah politik mungkin sebuah parti sedia ada yang kini berada dalam gabungan PN.


"Kekeliruan timbul apabila kita menggunakan istilah 'rumah baharu', sedangkan ia tidak semestinya merujuk kepada parti yang baharu ditubuhkan secara rasmi.


"Apabila kita kata rumah baharu, tanda tanya timbul adakah kita akan menubuhkan parti baharu ataupun parti yang sedia ada... jawapannya adalah tidak semestinya parti yang baharu ditubuhkan," katanya kepada media semalam.


Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata demikian ketika ditemui pada program Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-lima dan Himpunan Alam Melayu 2026 di pekarangan Kompleks Sukan negeri, Kuala Nerus.


Ketika mengulas mungkin akan menyertai PAS, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, tidak salah partinya untuk menyertai parti itu.


"Ya...kemungkinan parti yang sedia ada...Insya-Allah, apa salahnya menyertai PAS, pada saya itu rumah baharu saya tapi rumah itu mungkin sudah tersedia ada," katanya.


Ketika mengulas mengenai pembabitan partinya dalam gabungan PN, Hamzah mencetuskan tanda tanya apabila memberikan bayangan bahawa entiti politik itu sudah menjadi komponen dalam gabungan berkenaan.


"Menyertai ataupun sudah ada dalam PN?. Sebab itu saya kata tadi kita kena tunggu... parti baharu saya tetapi parti itu mungkin sudah ada dalam PN," katanya.


Dalam perkembangan lain, Hamzah menyelar dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan tindakannya sebagai tidak wajar selepas meninggalkan BERSATU.


Katanya, setakat ini jawatan Ahli Parlimen dipegangnya masih atas mandat PN, malah mengakui mendapat sokongan majoriti daripada rakan sejawatnya yang lain.


"Kita masih lagi bersama PN dan saya bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu pun atas watikah diberikan PN," katanya.


Mengulas mengenai hala tuju perjuangan partinya, Hamzah menekankan bahawa ia melangkaui soal kelangsungan politik individu, sebaliknya fokus kepada kepemimpinan Melayu yang adil dan berpegang kepada prinsip agama serta Rukun Negara.


"Paling penting adalah perjuangan harus diteruskan bagi kita membincangkan masalah masyarakat Melayu... masyarakat Melayu mahu melihat negara ini terus dipimpin pemimpin Melayu yang tahu cara untuk memberikan keadilan kepada semua," katanya.

Sabtu, 4 April 2026

DBKL sita peralatan tiga 'ulat foto' di kawasan tumpuan pelancong

DBKL sita peralatan tiga 'ulat foto' di kawasan tumpuan pelancong


Aktiviti 'ulat foto' di sekitar kawasan tumpuan pelancong masih berlaku selepas tiga peralatan fotografi individu disita dalam operasi penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar ibu kota semalam.


DBKL berkata, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan di sekitar Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC), Jalan Ampang dan Jalan P Ramlee iaitu kawasan tumpuan pelancong.


"Dalam operasi ini, tiga individu diambil tindakan sitaan kerana menjalankan aktiviti jurugambar tanpa kebenaran di kawasan awam.


"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat individu bukan warganegara yang terbabit dalam aktiviti itu manakala seorang lagi individu adalah warga tempatan," kata kenyataan itu, hari ini.


Selain itu, DBKL berkata, sebanyak enam notis kompaun dikeluarkan terhadap kesalahan lalu lintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 membabitkan kenderaan yang didapati mengingkari peraturan.


Dalam pada itu, DBKL menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan tanpa kompromi.


"Sebarang aktiviti tidak berlesen, pelanggaran undang-undang serta tindakan yang menjejaskan imej bandar raya akan dikenakan tindakan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.


"Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa," katanya.


Terdahulu Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam dilaporkan berkata, seramai 25 'ulat foto' ditahan dalam operasi penguatkuasaan di sekitar KLCC pada Isnin lalu.


Sazalee berkata, semua tangkapan terdiri daripada 23 lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang lelaki Filipina berusia antara 16 hingga 48 tahun.


Katanya, semua individu terbabit direman tiga hari bagi membantu siasatan termasuk semakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membabitkan ketulenan kad pengenalan.


Sebelum ini media melaporkan, 18 ulat foto ditahan pada 22 Mac kerana disyaki membelasah dua lelaki selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.

Tiga perkampungan haram dalam hutan di Setia Alam terbongkar

Tiga perkampungan haram dalam hutan di Setia Alam terbongkar


Seramai 214 pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan 'bersarang' di tiga perkampungan haram yang berselindung di tengah ladang kelapa sawit di sebalik kawasan berbukit di Setia Alam, Shah Alam.


Helah itu terbongkar apabila sepasukan pegawai Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi lain menggempur perkampungan haram itu menerusi Ops Bersepadu Mega tengah malam tadi.


Wartawan yang mengikuti operasi mendapati pasukan serbuan terpaksa mendaki kawasan berbukit-bukau sejauh kira-kira 400 meter sebelum sampai ke perkampungan haram itu.


Dalam usaha menangkap PATI terbabit, pasukan serbuan bukan sahaja perlu berdepan dengan kawasan persekitaran yang berbukit dan gelap malah berhadapan risiko haiwan berbisa.


Tinjauan di lokasi mendapati koloni warga asing itu walaupun terpencil, lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk surau, kedai runcit malah barangan bersubsidi seperti tong gas dan diesel malah mempunyai bekalan elektrik serta air.


Turut kelihatan beberapa sangkar ayam yang difahamkan kemungkinan berlaku aktiviti sabung ayam selain laluan tikus turut dikesan di sekitar kawasan itu dipercayai digunakan untuk melarikan diri sekiranya diserbu pihak berkuasa.


Sementara itu, Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, ketiga-tiga penempatan itu dipercayai sudah wujud sejak lima ke sembilan tahun.


Katanya, secara keseluruhan pihaknya memeriksa 356 warga asing dalam operasi bersepadu itu dan menahan 214 disyaki PATI.


"Hasilnya, 214 disyaki PATI ditahan membabitkan 120 lelaki, 65 wanita, 16 kanak-kanak lelaki serta 13 kanak-kanak perempuan berusia satu bulan hingga 80 tahun.


"Semakan awal tangkapan membabitkan warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan dan Sri Lanka," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.


Menurutnya, rata-rata warga asing terbabit bekerja sebagai buruh serta pekerja pembersihan sekitar kawasan itu dan tidak menolak kemungkinan kampung haram itu memiliki 'penjaga' berperanan sebagai ketua yang memungut sewa bulanan.


Katanya operasi itu dijalankan dengan bantuan Imigresen Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Jumaat, 3 April 2026

Pasangan Suami isteri, lelaki berdepan hukuman mati didakwa edar 510kg syabu

Pasangan Suami isteri, lelaki berdepan hukuman mati didakwa edar 510kg syabu



Sepasang suami isteri bersama seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 510 kilogram (kg), bulan lalu.


Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas Mohd Rizuan Ramli, 37, Muhammad Amir Aswad Ismail, 27, dan Nur Atiqa Anis Ramadha Abdullah, 24, dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.


Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 510 kg.


Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di jalan utama berdekatan persimpangan mini tar Pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) Wang Kelian, Jalan Wang Kelian, Kaki Bukit dalam daerah Padang Besar, pada jam 9.30 pagi, 24 Mac lalu.


Berikutan itu, semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dihukum gantung, hendaklah dikenakan sebatan minimum 12 sebatan.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Alif Farhan Hassan, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Nur Iman Nor Azmi. Mahkamah menetapkan 2 Julai depan untuk tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan kimia.


Media sebelum ini melaporkan, taktik licik penyeludup dadah membawa isteri seolah-olah bersiar bagi mengaburi pihak berkuasa gagal selepas polis berjaya merampas 510 kg dadah jenis methamphetamine bernilai RM25.5 juta.


Operasi penahanan suspek bagaimanapun mencemaskan apabila polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan sindiket yang cuba melarikan diri, sebelum terbabas.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, dilaporkan berkata kejayaan melumpuhkan rangkaian besar sindiket itu adalah hasil serbuan di Wang Kelian dan Kaki Bukit dari 24 hingga 28 Mac lalu.

 'Rundingan aman cara terbaik selesaikan konflik, hentikan perang' - Tun Mahathir

'Rundingan aman cara terbaik selesaikan konflik, hentikan perang' - Tun Mahathir


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tampil bersuara meminta dunia menghentikan peperangan. Menerusi kenyataannya hari ini, beliau menegaskan perang bukan penyelesaian kepada sebarang masalah, sebaliknya hanya membawa kepada pembunuhan besar-besaran serta kemusnahan.


"Saya sentiasa menentang perang. Saya tidak dapat menerima pembunuhan manusia sebagai penyelesaian kepada sebarang masalah, namun, perang adalah tentang membunuh manusia, pembunuhan secara besar-besaran," jelasnya.


Ujar Dr Mahathir, peperangan merupakan suatu perkara yang tidak dapat diterima kerana terdapat cara lain yang kurang membawa maut dan kosnya jauh lebih rendah untuk menyelesaikan masalah.


"Manusia dikurniakan keupayaan untuk berfikir. Cara-cara ini melibatkan rundingan, timbang tara atau mahkamah undang-undang. Dengan keupayaan berfikir, manusia boleh menilai kebaikan dan keburukan sesuatu penyelesaian.


"Jelas sekali, rundingan secara aman adalah cara terbaik untuk menyelesaikan konflik. Hentikan perang," katanya.


Kenyataan itu dilihat hadir ketika ketegangan di Asia Barat semakin meningkat susulan tindakan ketenteraan melibatkan beberapa kuasa besar yang mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan serantau serta keselamatan global.


Ketegangan geopolitik di Asia Barat terus memuncak apabila tindakan ketenteraan melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran mencetuskan siri serangan balas yang semakin meluas di rantau itu.


Konflik yang bermula pada 28 Februari lalu menyaksikan serangan udara terkoordinasi oleh AS dan Israel ke atas beberapa sasaran strategik di Iran, termasuk kemudahan nuklear serta infrastruktur ketenteraan utama.


Sejak itu, Israel meningkatkan operasi ketenteraan dengan melancarkan ratusan serangan udara ke atas sasaran berkaitan Iran, termasuk kemudahan peluru berpandu, pangkalan tentera dan sistem pertahanan udara.


Dalam perkembangan terbaharu, serangan tersebut turut melibatkan kawasan di Tehran serta sasaran di luar Iran, termasuk Beirut, sekali gus memperluas skala konflik serantau.


Sebagai tindak balas, Iran melancarkan beberapa gelombang serangan peluru berpandu ke arah Israel serta negara Teluk, selain memberi amaran keras terhadap sebarang operasi darat oleh AS dan sekutunya.


Menurut laporan, konflik kini memasuki fasa lebih berbahaya apabila kedua-dua pihak mula menyasarkan infrastruktur tenaga dan ekonomi, termasuk loji gas, penapisan minyak serta kemudahan industri strategik.


Perkembangan itu turut menyebabkan gangguan besar terhadap perdagangan global apabila laluan penting seperti Selat Hormuz terjejas, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga dunia.


Di peringkat serantau, konflik semakin melebar apabila sekutu Iran seperti kumpulan Houthi di Yemen dan Hezbullah di Selatan Lubnan turut terlibat melancarkan serangan ke arah Israel, manakala beberapa negara Teluk menjadi sasaran serangan balas.


Iran pula menegaskan kesediaannya untuk berdepan perang jangka panjang, sambil memberi amaran akan meningkatkan lagi serangan sekiranya tekanan ketenteraan berterusan.


Sementara itu, kepimpinan AS memberi bayangan kemungkinan tindakan ketenteraan lebih agresif dalam tempoh terdekat, sekali gus meningkatkan risiko konflik berskala besar di Asia Barat.

Harga diesel di Thailand naik 3.50 baht berkuat kuasa hari ini

Harga diesel di Thailand naik 3.50 baht berkuat kuasa hari ini


Harga runcit diesel di Thailand meningkat sebanyak 3.50 baht (RM0.43) seliter bermula hari ini, susulan pengurangan kadar subsidi oleh Jawatankuasa Pengurusan Dana Bahan Api Minyak (OFFMC) di tengah-tengah lonjakan mendadak harga diesel global.


Dalam satu kenyataan pada Khamis, jawatankuasa itu memaklumkan bahawa subsidi untuk Diesel B7 akan dikurangkan sebanyak 3.51 baht seliter, daripada 17.78 baht kepada 14.27 baht seliter, manakala subsidi untuk Diesel B20 akan dikurangkan sebanyak 3.48 baht seliter, daripada 20.12 baht kepada 16.64 baht seliter.


Jawatankuasa itu mengaitkan pelarasan berkenaan dengan peningkatan ketara harga diesel global yang telah melonjak melebihi US$292 setong, sekali gus membawa kepada kos penapisan yang lebih tinggi.


"Pelarasan kadar subsidi adalah perlu bagi mencerminkan situasi pasaran semasa," menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa keputusan berkenaan dibuat selepas pertimbangan teliti.


Berikutan itu, harga runcit Diesel B7 akan meningkat kepada 47.74 baht (RM5.90) seliter, manakala Biodiesel B20 akan meningkat kepada 42.74 baht seliter.


OFFMC menekankan bahawa langkah itu bertujuan untuk mencapai keseimbangan antara mengekalkan keselamatan tenaga nasional dan mengurangkan kesan kepada orang awam, selain menggesa masyarakat supaya menggunakan tenaga secara cekap dan berjimat cermat semasa tempoh ketidaktentuan harga tenaga global.


Ini menandakan hari kedua berturut-turut harga diesel meningkat selepas ia turut dinaikkan sebanyak 3.50 baht pada Khamis.


Sementara itu, harga petrol bagi semua jenis di Thailand juga dijangka meningkat sebanyak 0.70 baht (RM0.09), berkuat kuasa 3 April.


Setakat 2 April, harga Gasohol 95 berada pada paras 43.25 baht (RM5.34) seliter, Gasohol 91 pada 42.88 baht (RM5.29) seliter, manakala Diesel B7 dijual pada harga 44.24 baht (RM5.46) seliter.

Khamis, 2 April 2026

Guru lari 4 kilometer ke sekolah demi jimat minyak kenderaan

Guru lari 4 kilometer ke sekolah demi jimat minyak kenderaan


Seorang guru di Bojonegoro mencuri perhatian ramai apabila memilih untuk berlari sejauh empat kilometer (km) ke sekolah sebagai usaha menjimatkan bahan bakar minyak (BBM) dan mengamalkan gaya hidup sihat.


Ahmad Zaki Febiansyah, 34, guru Pendidikan Jasmani, Olahraga dan Kesihatan (PJOK) di Sekolah Menengah Pertama Negeri (SMPN) Kasiman, menjadi tular selepas video berdurasi 36 saat memaparkan rutin uniknya berlari ke tempat kerja dimuat naik di media sosial.


Tindakan itu bukan sekadar mencuri perhatian, sebaliknya merupakan respons kreatif terhadap arahan Presiden Prabowo Subianto yang menekankan penjimatan tenaga, selain disokong inisiatif kerajaan tempatan yang menggalakkan penjawat awam menggunakan pengangkutan mesra alam bagi jarak dekat.


Berbeza dengan saranan menggunakan basikal bagi jarak sekitar tujuh kilometer, Zaki yang berasal dari Kecamatan Padangan memilih untuk berlari sebagai alternatif lebih mencabar.


Menurutnya, langkah itu selari dengan peranannya sebagai guru sukan untuk menjadi contoh kepada pelajar.


"Berbeza dengan yang lain berbasikal, saya fikir berlari juga satu bentuk senaman yang boleh dilakukan ketika ke tempat kerja selain memberi contoh menjaga kesihatan," katanya.


Zaki mengambil masa hanya kira-kira 15 minit 40 saat untuk menempuh jarak empat kilometer dari rumah ke sekolah, sekali gus membuktikan tahap kecergasan yang tinggi.


Tambahnya, keputusan untuk tidak menggunakan kenderaan bermotor juga bertujuan mendidik masyarakat tentang kepentingan disiplin kesihatan dalam rutin harian yang sibuk.


Aksi tersebut turut memberi kesan positif apabila beberapa rakan sejawat mula menunjukkan minat untuk mengikuti langkah sama.


Beliau berharap usaha kecil itu mampu memberi inspirasi kepada lebih ramai penjawat awam untuk mengamalkan gaya hidup aktif serta menyokong inisiatif penjimatan tenaga.


"Semoga ini menjadi perkara positif kepada rakan-rakan lain. Isnin nanti saya akan berlari bersama guru Bimbingan Kaunseling," katanya.

Rabu, 1 April 2026

Aktiviti proses plastik haram bernilai RM8.5 juta di Sungai Siput tumpas

Aktiviti proses plastik haram bernilai RM8.5 juta di Sungai Siput tumpas


Pihak berkuasa menumpaskan operasi pemprosesan plastik haram bernilai RM8.5 juta dan merampas puluhan tan plastik serta beberapa mesin dalam satu serbuan di Sungai Siput semalam.


Serbuan yang dijalankan pada tengah hari itu adalah sebahagian daripada Op Taring Alpha 5, membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput.


Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, premis itu dipercayai beroperasi tanpa kelulusan JAS dan digunakan untuk memproses bahan plastik terpakai.


"Siasatan awal mendedahkan bahawa premis itu telah beroperasi selama lebih daripada tiga tahun, mendapatkan sisa plastik dari kawasan perindustrian di Kulim, Kedah sebelum memprosesnya menjadi bahan separa siap untuk diedarkan ke Lembah Klang," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, pemeriksaan bersama JAS mendapati bahawa kemudahan itu telah memasang dan mengendalikan beberapa mesin pemprosesan plastik tanpa memaklumkan atau mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa.


"Sejumlah besar bahan plastik, baik yang belum diproses mahupun yang separa diproses, turut ditemui di lokasi tersebut, bersama pelbagai jentera yang digunakan dalam aktiviti pemprosesan.


"Antara barang yang dirampas ialah kira-kira 100,000 kilogram plastik yang belum diproses dan 45,000 kilogram plastik separa diproses, selain pelbagai mesin dan peralatan.


"Seorang wanita berusia 40-an dipercayai pemilik premis telah ditahan bagi membantu siasatan," katanya yang memaklumkan kes diserah kepada JAS Perak untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (Pindaan) 2024 kerana gagal mengemukakan laporan kesan alam sekitar.


Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM100,000 hingga RM1 juta jika sabit kesalahan.


Beliau berkata, JAS turut mengambil tindakan segera dengan menghentikan operasi jentera di premis tersebut, terutamanya peralatan yang berkaitan dengan pencemaran mengikut Seksyen 38(1)(a) akta sama.


Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam aktiviti pemprosesan plastik haram dan memberi amaran bahawa operasi sedemikian boleh menimbulkan risiko serius kepada alam sekitar dan keselamatan awam.


"Kami akan terus memperhebatkan operasi, pengumpulan risikan dan penguatkuasaan untuk membendung aktiviti haram yang mengancam kelestarian alam sekitar.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pencemaran alam sekitar atau aktiviti pemprosesan plastik haram digesa untuk menghubungi Briged Utara GOF bagi membantu usaha penguatkuasaan," katanya.

Berang dengar adik dikatakan 'mengumpat' dipercayai punca abang tembak guna bakakuk

Berang dengar adik dikatakan 'mengumpat' dipercayai punca abang tembak guna bakakuk


Suspek kes tembak adik dikatakan naik angin selepas mendengar mangsa dan isterinya bercakap buruk mengenainya sebelum menembak mangsa dengan bakakuk dari jendela rumahnya di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong, Tenom kelmarin.


Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak, berkata suspek sudah lama dipercayai ada masalah kesihatan mental, terutama selepas bercerai dengan isterinya dan seorang anak perempuannya turut dipelihara mangsa.


"Pada pagi kejadian, suspek tiba-tiba naik angin apabila menuduh mangsa bersama isterinya bercakap buruk mengenai dirinya di hadapan rumah mangsa yang boleh didengari dari rumahnya yang terletak bersebelahan.


"Suspek kemudian bertindak agresif dengan menetak pokok buah naga milik mangsa menggunakan parang sebelum tidak berpuas hati lalu mengambil senjata api buatan sendiri.


"Suspek dipercayai melepaskan tembakan dari tingkap rumahnya ke arah mangsa di (rumah) sebelah sehingga adiknya maut di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Azmir berkata, siasatan forensik masih dijalankan di lokasi dan beberapa barangan kes termasuk senjata bakakuk, peluru serta kelongsong peluru sudah dirampas untuk dianalisis lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, manakala siasatan lanjut masih diteruskan.


Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai ditembak beberapa kali oleh suspek yang juga abang kandungnya.


Suspek berusia 57 tahun dilaporkan menggunakan senjata buatan sendiri jenis bakakuk miliknya sebelum dia ditembak mati polis selepas enggan menyerah diri dan mengancam keselamatan anggota polis.


Polis merampas selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk dipercayai milik suspek.

Selasa, 31 Mac 2026

Lelaki bunuh adik guna bakakuk sebelum mati ditembak polis

Lelaki bunuh adik guna bakakuk sebelum mati ditembak polis


Seorang lelaki maut selepas ditembak abangnya sendiri menggunakan senjata buatan sendiri jenis bakakuk dalam kejadian di Kampung Kangkawang, Tenom pada Ahad.


Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun dilaporkan mengalami lapan kesan tembakan pada badan, manakala suspek berusia 57 tahun yang bertindak agresif serta enggan menyerah diri turut disahkan maut selepas ditembak dalam operasi di lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima maklumat awal mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan terdapat insiden tembakan melibatkan orang awam di kampung berkenaan.


"Kejadian tersebut melibatkan mangsa yang merupakan adik kepada suspek dan mengalami lapan kesan tembakan di bahagian belakang badan.


"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan tiga pegawai bersama anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, penduduk kampung memaklumkan bahawa suspek berada di dalam rumah sambil memegang bakakuk dan mengugut untuk menembak sesiapa sahaja yang menghampiri," katanya ketika dihubungi semalam.



Katanya lagi, pasukannya bertindak membuat kepungan di rumah suspek dan mengarahkannya keluar serta menyerah diri sebanyak tiga kali, namun arahan tersebut tidak diendahkan.


"Beberapa das gas pemedih mata kemudian dilepaskan ke dalam rumah bagi mendorong suspek keluar, namun suspek masih berkeras sebelum bertindak berlari ke arah dapur sambil mengacukan senjata ke arah salah seorang pegawai polis.


"Susulan itu, seorang pegawai polis kemudian melepaskan tiga das tembakan bagi mempertahankan diri selepas suspek mengancam keselamatan pasukan.


"Tembakan tersebut mengenai lengan kanan, dada kiri dan rusuk kiri suspek. Pasukan polis kemudian menyerbu masuk ke dalam rumah dan mendapati suspek terbaring di bahagian dapur bersama senjata api miliknya di sisi," katanya.


Tambah Azmir lagi, hasil pemeriksaan mendapati senjata bakakuk tersebut masih mempunyai satu peluru hidup, iaitu dalam keadaan sedia digunakan.


Katanya, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk bakakuk, peluru hidup, kelongsong peluru serta sebilah parang panjang.


"Siasatan awal mendapati suspek dikatakan mempunyai masalah mental, bagaimanapun siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 302 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.