Baru sergah sedikit terus mengaku guna kad pengenalan, MyKad milik orang lain. Itu antara reaksi 46 individu disyaki warga asing rata-rata dipercayai warga Indonesia dan Filipina yang ditahan menerusi Ops Roda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ke atas sebuah kilang motosikal di Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Klang hari ini.
Kesemua mereka berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka menggunakan MyKad milik orang lain malah ada juga dikesan memiliki kad pengenalan palsu.
Faizah, 23, antara warga Indonesia yang mengaku menggunakan MyKad milik orang lain untuk mendapatkan pekerjaan di kilang berkenaan.
"Saya minta kerja guna IC kawan kepada sepupu sebab muka kami lebih kurang. Saya kerja di sini lebih kurang enam bulan, sebelum itu bekerja dengan taukeh sarang burung.
"Pada mulanya saya masuk Malaysia pada 2023 untuk makan angin, tetapi bila dapat peluang bekerja di negara ini saya teruskan sahaja sampai sekarang," katanya kepada wartawan Harian Metro ketika ditemui hari ini.
Asman, 21, pula berkata dia menggunakan MyKad palsu yang dibeli daripada seorang kenalan dengan harga RM500 yang kemudian digunakan untuk mencari pekerjaan secara haram di Malaysia.
Pemuda itu memberi alasan terpaksa menggunakan cara itu bagi mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan dan paling utama mengelak ditahan pihak berkuasa namun tembelangnya pecah.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPN, Mazhad Abdul Aziz berkata kecuaian pihak majikan yang tidak membuat pengesahan dengan teliti dengan pihak pembekal tenaga buruh antara punca situasi itu berlaku.
"Ada yang mengaku meminjam kad pengenalan orang lain semata-mata untuk memohon kerja. Selepas berjaya mendapat kerja, mereka pulangkan semula kad tersebut kepada pemilik asal.
"Majikan pula mungkin terlepas pandang atau terlalu percaya kepada ejen sehingga tidak menyemak sama ada gambar di kad itu sepadan dengan orangnya atau tidak.
"Pihak kilang mendakwa mereka tidak mengambil pekerja asing, tetapi ejen yang membekalkan mereka (pekerja) ini," katanya kepada pemberita selepas mengetuai serbuan itu hari ini.
Menurutnya, pihak kilang mendakwa polisi mereka tidak menggajikan buruh asing dan majoriti tangkapan dalam operasi itu membabitkan pekerja dibekalkan oleh syarikat atau ejen membekal sumber manusia.
Katanya, kesemua tangkapan di tahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
"Kita juga akan menjalankan siasatan terhadap ejen-ejen yang membekalkan pekerja ini. Untuk tindakan terhadap majikan, itu kita serahkan kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengikut bidang kuasa mereka," katanya. - Sumber Harian Metro.

EmoticonEmoticon