Isnin, 2 Mac 2026

PM Anwar dedah wujud usaha dari luar, mahu jejas kepentingan kerajaan, negara

PM Anwar dedah wujud usaha dari luar, mahu jejas kepentingan kerajaan, negara


Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan wujud usaha dari luar yang bekerjasama dengan kelompok dalam negara ini, menggunakan dana dan pengaruh untuk menjejaskan kepentingan kerajaan dan negara.


Perdana Menteri berkata, usaha daripada pihak tertentu itu hadir susulan kelantangan suara rakyat serta kerajaan dalam menentang keganasan rejim Israel, terkait isu rakyat Gaza dan Palestin dan terkini, isu serangan ke atas Iran.


"Saya hanya boleh beri jaminan kita tentu waspada. Kewaspadaan dan kesiapsiagaan itu perlu. Menganggap bahawa semuanya teratur dan terselamat itu suatu kelemahan besar dalam pemikiran kita.


"Jadi, sebab itu soal kedaulatan negara, maruah rakyat, itu bagi kita harus ada kesepakatan walaupun sama-sama tahu akan risikonya," katanya ketika ucapan penggulungan usul untuk mengutuk serangan biadab dan ganas Israel dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Datuk Seri Takiyuddin Hasan (PN-Kota Bharu) yang memetik kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengesahkan siasatan berhubung dakwaan wujudnya cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.


Mohd Khalid dalam kenyataannya sebelum ini berkata, siasatan berkenaan membabitkan seorang individu berpengaruh tempatan yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi media antarabangsa.


Mengulas lanjut, Anwar berkata, dalam kes yang dikaitkan itu tentunya memerlukan siasatan yang rapi, memandangkan ia sangat membimbangkan.


"Dalam negara kita, pada peringkat awal merdeka memang ada ancaman Komunis oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dan juga menerima bantuan sisipan daripada luar yang dibantah oleh rakyat sehingga menewaskan mereka.


"Maka jangan ada kemungkinan-kemungkinan begitu berlaku yang akan mengancam keselamatan negara kita," katanya.


Mengulas serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, Anwar berkata, Malaysia juga menggunakan hubungan baik diplomatiknya termasuk dengan Russia dan China untuk terus mendesak supaya serangan ganas dan zalim ke atas Iran dihentikan.


"Setakat ini, kenyataan-kenyataan sudah dikeluarkan oleh kedua-dua negara, Russia dan negara China. Kita akan membantu walaupun saya dengan tawaduk menyatakan ada keterbatasan kita.


"Pertama, kerana kita tidak mahu ada hubungan apa pun dengan Israel. Keduanya, kita tahu keupayaan kita mungkin tidak terjangkau ke arah itu. Tetapi apa juga cara lain, sama ada melalui ASEAN ataupun negara-negara Islam, OIC dan juga hubungan baik kita dengan negara Arab, apa saja yang perlu kita lakukan, kita sentiasa akan berikan kerjasama," katanya.


Menyentuh usaha bawa pulang rakyat Malaysia di Timur Tengah, Anwar berkata, pihak kedutaan sudah bertugas sepenuh masa untuk mencari jalan terbaik bagi membawa mereka keluar.


"Pertama, yang mahu pulang itu akan diuruskan penerbangan, walaupun masih belum dapat laluan lagi kerana kawasan itu tidak dianggap kawasan selamat, ini zon perang. Yang dibolehkan beberapa penerbangan dari Arab Saudi. Itu pun melalui Turkiye, melalui Asia dan kembali ke sini (Malaysia) dengan kos jauh lebih tinggi.


"Tetapi keputusan kita ialah mencari jalan membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang berhasrat untuk pulang, biarpun penerbangan di (Negara) Teluk itu masih terhalang. Saya tidak boleh beri jawapan lebih daripada itu sehingga keadaan lebih reda. Tapi mereka (rakyat kita di sana) dipantau.


"Sebahagiannya itu menyerbu (dan) duduk di kedutaan, agak terbatas. Ada beberapa kedutaan itu agak sesak kerana mereka menerima anak-anak Malaysia yang merasakan perlu perlindungan di kedutaan," katanya.

Kajian pindaan Akta Ibu Kota tidak sentuh kuasa Agong, Raja-Raja - Hannah Yeoh

Kajian pindaan Akta Ibu Kota tidak sentuh kuasa Agong, Raja-Raja - Hannah Yeoh


Kerajaan memberikan jaminan bahawa kajian kebolehlaksanaan pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, yang sedang dilaksanakan, tidak akan dibuat secara terburu-buru tanpa mengambil kira sejarah pembentukan Kuala Lumpur serta peruntukan sedia ada.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata sejarah ialah aspek penting yang akan dihormati dalam kajian berkenaan.


"Kita tunggu dahulu hasil kajian. Saya akan pastikan ia dibawa kepada Jemaah Menteri untuk dibincangkan. Kita tidak akan menyentuh kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong ataupun kuasa-kuasa Raja-Raja.


"Saya beri jaminan jangan risau kerana yang akan diwujudkan dalam pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ialah berasaskan undang-undang, bukan sahaja Akta Ibu Kota sedia ada, tetapi kita menghormati semua kuasa Raja, kuasa Eksekutif dan kuasa Legislatif serta sejarah pembentukan Kuala Lumpur," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.


Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Salehuddin Saidin yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mengambil kira aspek sejarah Kuala Lumpur dalam kajian kebolehlaksanaan pindaan akta berkenaan.


Sebelum ini, Hannah berkata kajian kebolehlaksanaan cadangan pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, termasuk pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur, dijangka selesai pada hujung bulan ini.


Kajian menyeluruh oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu bertujuan melaksanakan reformasi tadbir urus DBKL, susulan Rang Undang-Undang Persendirian yang dikemukakan beberapa Ahli Parlimen pada November 2025.


Menyentuh kebimbangan bahawa kajian berkenaan menunjukkan hasrat untuk mengubah kuasa pelantikan Datuk Bandar yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Hannah berkata kajian itu telah diberikan kepada UIAM sebelum beliau dilantik sebagai Menteri.


"Kajian ini telah diberikan kepada UIAM sebelum saya masuk kementerian, sebelum saya dilantik sebagai Menteri Wilayah. Kajian itu telah dimuktamadkan dan diberikan kepada UIAM awal Disember (tahun lepas). Saya masuk 17 Disember.


"Jadi, sangkaan bahawa Menteri DAP hendak menyentuh kuasa itu tidak benar. Kajian ini telah wujud sebelum saya masuk," katanya. - BERNAMA.

Lelaki maut didakwa jatuh pokok rupanya terkena tembakan

Lelaki maut didakwa jatuh pokok rupanya terkena tembakan

 

Lelaki yang sebelum ini dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh dari pokok ketika memburu di kawasan hutan Safoda, Kota Belud pada Sabtu, dipercayai maut akibat terkena tembakan.


Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.17 malam hari yang sama.


Menurutnya, maklumat awal yang diterima memaklumkan mangsa terjatuh dari pokok ketika menjalankan aktiviti memburu di Hutan Simpan Stesen Safoda, Ulu Kukut, dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.


"Hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia 44 tahun ditemui dalam keadaan terbaring kira-kira 5.2 kilometer dari Pejabat Ladang Safoda. 


"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala dan badan yang disyaki akibat kesan tembakan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.


Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat.


"Siasatan lanjut mendapati mangsa keluar memburu bersama seorang lelaki berusia 35 tahun pada awal pagi hari kejadian.


"Susulan itu, polis menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan dan hasil temu bual awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut," katanya.


Shahrudin berkata, polis turut merampas selaras senapang jenis bakakuk serta beberapa barangan lain untuk tujuan pemeriksaan forensik dan analisis balistik.


"Permohonan reman telah dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan," katanya.


Sebelum ini media melaporkan pasukan bomba terpaksa meredah hutan dengan berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk memberikan bantuan kepada mangsa.


Bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia dan mayatnya dibawa menggunakan pengusung untuk keluar dari kawasan hutan tersebut.

Ahad, 1 Mac 2026

 'Semua salah JDT, salah FAM, tetapi diri sendiri tak pernah salah'

'Semua salah JDT, salah FAM, tetapi diri sendiri tak pernah salah'


Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegur sikap segelintir kelab bola sepak tempatan yang tidak menunjukkan langkah untuk menyumbang kepada mata ranking 'Member Association' (MA).


Baginda berkata, Johor Darul Ta'zim (JDT) satu-satunya kelab yang menyumbang mata MA dan pasukan dari Malaysia hanya bermain di Asia atas tiket Harimau Selatan.


"Kita adalah satu-satunya kelab yang menyumbang mata. Yang ada hanya pandai drama depan penyokong sendiri untuk tutup kegagalan masing-masing. Pergi Asia pun atas tiket JDT.


"Asyik main skrip yang sama setiap tahun. Kita didengki, VAR (video bantuan pengadil) salah, pengadil salah, semua salah JDT, salah FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), tetapi diri sendiri tak pernah salah.


"Sedangkan diri sendiri yang gagal. Gagal dan tak boleh terima hakikat," titah baginda.


Baginda meninggalkan komen tersebut pada satu hantaran di laman Instagram Official Johor sebagai reaksi balas kepada kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berhubung kedudukan ranking 'Member Association' (MA) Malaysia yang kini berdepan risiko.


Terdahulu, Garcia menyuarakan kebimbangan mengenai nasib slot kejohanan kelab Asia buat Malaysia sekiranya kelab-kelab tempatan lain terus gagal menyumbang mata MA di pentas antarabangsa.


Jelas beliau, walaupun JDT konsisten bersaing di tahap tertinggi dan telah menyumbang lebih 70 peratus daripada jumlah mata keseluruhan, kedudukan MA Malaysia tidak mampu bertahan lama jika hanya bergantung kepada satu pasukan.


"JDT berjaya mengutip banyak mata dengan kelayakan ke Pusingan 16 Terbaik ACLE (Liga Juara-Juara AFC Elit), namun malangnya mata MA akan dijumlahkan dan kemudian dibahagikan dengan jumlah pasukan dari Malaysia yang bertanding di Asia, dan perkara itu telah mengekang kedudukan ranking MA kita.


"Singapura dan Indonesia telah mengutip lebih banyak mata berbanding Malaysia pada musim ini dengan adanya dua pasukan masing-masing menyumbang mata, manakala Thailand dan Australia pula semakin ke hadapan apabila pasukan-pasukan mereka secara kolektif menyumbang mata dengan konsisten," ujarnya.

Sabtu, 28 Februari 2026

Cubaan jatuhkan kerajaan: Beri masa polis siasat - KPN

Cubaan jatuhkan kerajaan: Beri masa polis siasat - KPN


Siasatan dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara membabitkan individu berpengaruh memerlukan masa dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa bagi memastikan setiap aspek diteliti secara menyeluruh.


Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata penelitian terhadap laporan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.


"Perkara ini masih dalam tindakan polis dan diharap semua pihak dapat bersabar. Sudah pasti siasatan akan dijalankan secara profesional serta berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh. Sekiranya ada perkembangan, kita akan maklum," katanya ketika dihubungi hari ini.


Semalam, media melaporkan Polis Diraja Malaysia menyiasat seorang individu berpengaruh dan agensi media antarabangsa berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.


Siasatan itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan. Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun.


Media turut melaporkan satu konspirasi terancang membabitkan penggunaan ejen pelobi asing dan agensi media antarabangsa terbongkar menerusi pendedahan dokumen sulit yang dikaitkan dengan keluarga tokoh berpengaruh.


Pendedahan ini menyusul selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan siasatan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan terhadap seorang individu berpengaruh tempatan atas dakwaan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.


Sumber berkata, siasatan ini berakar umbi daripada satu laporan polis dibuat pada 26 Februari oleh seorang individu.


"Pengadu mendedahkan pada Julai 2025, satu pertemuan sulit diadakan di kediaman individu itu untuk merancang kempen 'menyerang' Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes itu.


"Saya serah kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci, telus dan profesional. Pada saya, kedaulatan negara adalah isu serius yang perlu disiasat sedalam-dalamnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dividen kekal lebih 6 peratus cermin kekuatan KWSP - PM Anwar

Dividen kekal lebih 6 peratus cermin kekuatan KWSP - PM Anwar


Pencapaian KWSP yang mengekalkan kadar dividen melebihi enam peratus mencerminkan kekuatan pengurusan agensi itu dalam menghadapi cabaran pasaran global ketika kini.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kejayaan berkenaan turut mengukuhkan keyakinan berterusan rakyat terhadap sistem simpanan persaraan negara.


"Alhamdulillah, KWSP mengisytiharkan dividen 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Shariah untuk 2025 dengan jumlah agihan RM79.6 bilion.


"Pencapaian ini, meskipun dalam keadaan pasaran global yang mencabar, mencerminkan kekuatan pengurusan pelaburan KWSP dan keyakinan berterusan rakyat terhadap sistem simpanan persaraan negara," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan menyambut baik pencapaian prestasi berkenaan dan akan terus melaksanakan dasar yang mampan bagi memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.


Menurutnya, tindakan progresif seperti itu bagi memastikan setiap rakyat Malaysia mampu merancang masa depan dengan lebih yakin dan bermaruah.


Terdahulu, KWSP mengumumkan kadar dividen 2025 sebanyak 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Shariah.


Pengagihan dividen bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 itu membabitkan agihan sebanyak RM67.1 bilion bagi Simpanan Konvensional dan RM12.5 bilion bagi Simpanan Shariah dengan jumlah keseluruhan agihan RM79.6 bilion.


Pengkreditan dividen bagi Simpanan Konvensional dan Shariah selesai esok dan ahli boleh menyemaknya melalui i-Akaun atau Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.


Bagi tahun dikaji, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada tahun 2024.


Aset pelaburan meningkat kepada RM1.409 trilion, menokok 12.8 peratus daripada RM1.250 trilion, didorong oleh pendapatan portfolio serta jumlah caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion.

J

Jumaat, 27 Februari 2026

Serah beg berisi RM1 juta kepada Lim Guan Eng, tak masuk akal tapi memang berlaku - Saksi

Serah beg berisi RM1 juta kepada Lim Guan Eng, tak masuk akal tapi memang berlaku - Saksi


Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa penyerahan beg berisi wang RM1 juta kepada Lim Guan Eng di lokasi terbuka ketika beliau berpakaian rasmi sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang memang berlaku meskipun kedengaran seperti tidak masuk akal.


Datuk Seri G Gnanaraja, 44, berkata demikian semasa disoal balas oleh peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim pada perbicaraan kes rasuah projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang melibatkan Ahli Parlimen Bagan itu.


Ramkarpal: Saya katakan beg itu tidak pernah diserahkan kepada Lim Guan Eng seperti yang didakwa kerana tidak masuk akal untuk Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, untuk ke Publika pada waktu yang sibuk iaitu hari Ahad dengan berpakaian seragam Ketua Menteri Pulau Pinang serta pegang satu beg kononnya mengandungi RM1 juta… ini satu perkara yang tidak pernah berlaku.


Gnanaraja: Memang tidak masuk akal, tapi memang sudah berlaku.


Pada 27 Ogos tahun lalu, saksi itu memberitahu mahkamah beliau menyerahkan beg hitam berisi wang RM1 juta itu kepada Lim semasa menghantar beliau ke Publika di Hartamas, dan tertuduh mengambilnya serta menepuk bahu Pengarah Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang berada di tempat duduk pemandu.


Ramkarpal: Setuju ke Encik Gana (Gnanaraja) bahawa dalam perjumpaan tersebut, mengikut versi kamu, Lim Guan Eng telah keluar dari kereta dan tiada sebarang pegawainya berjumpa dengan beliau.


Gnanaraja: Betul tiada.


Saksi pendakwaan ke-37 itu juga berkata, beliau menyerahkan beg berisi wang RM1 juta tersebut berhampiran kawasan Publika namun tidak ingat lokasi yang tepat.


Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 65, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.


Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.


Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Khamis, 26 Februari 2026

Penceramah agama digelar tuan guru nafi cabul isteri pengikut di sebuah vila

Penceramah agama digelar tuan guru nafi cabul isteri pengikut di sebuah vila


Seorang penceramah agama dikenali tuan guru yang juga pengerusi sebuah madrasah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan mencabul isteri pengikut kuliahnya tahun lalu.


Tertuduh, Muhammad Salleh Hamzah, 70, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap peniaga sebuah restoran terkenal di Melaka, wanita berusia 46 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatannya.


Perbuatan itu dilakukan di sebuah vila di Pengkalan Balak, Masjid Tanah, dalam daerah Alor Gajah kira-kira jam 9 pagi pada 1 November tahun lalu.


Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 berserta syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa.


Bagaimanapun, peguam, Muhammad Denial Khairul Hizam memohon jaminan rendah sekitar RM3,000 dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap.


Menurutnya, tertuduh yang merupakan guru agama perlu menanggung seorang isteri dan hanya bergantung kepada sumbangan orang awam sebagai penceramah.


Selain itu, tertuduh juga menanggung kos rawatan di hospital kerana menghadapi masalah radang perut serta sakit saraf.


Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dan membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan. Kes akan disebut semula pada 14 April ini.


Difahamkan, kes berlaku apabila suami mangsa yang juga merupakan pengikut kuliah agama suspek yang digelar 'tuan guru' menerima panggilan telefon memintanya menghantar isteri dan anak perempuannya ke vila berkenaan.


Setibanya di vila tersebut, suspek didakwa mengarahkan mangsa yang juga pengikutnya mengurut badannya serta memberi amaran kononnya akan ditimpa musibah sekiranya ingkar, selain mendakwa tindakan itu sebagai tidak menghormati 'tuan guru'.


Suspek kemudian didakwa menolak mangsa ke atas katil, menghempap badannya serta menggosok kemaluannya pada bahagian kaki paha mangsa selain meramas payudara wanita itu.


Selepas kejadian, mangsa dalam keadaan trauma membawa anaknya keluar dari villa berkenaan sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Pusat data sulung Google di Malaysia dijangka jana lebih RM12 bilion, wujud 26,500 peluang kerja - PM Anwar

Pusat data sulung Google di Malaysia dijangka jana lebih RM12 bilion, wujud 26,500 peluang kerja - PM Anwar


Pusat data pertama Google di Malaysia yang sedang dibangunkan di Taman Perniagaan Elmina (EBP) di Selangor, dijangka membawa pulangan ekonomi AS$3.2 bilion (RM12.43 bilion) dengan 26,500 peluang pekerjaan diwujudkan menjelang 2030.


Perkembangan itu dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut memberitahu, kemajuan projek pelaburan Google bernilai AS$2 bilion (RM7.06 bilion) itu berada pada tahap memberangsangkan, malah melangkaui jangkaan awal.


"Pagi ini saya mengadakan panggilan sidang video bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet & Google, Ruth Porat, serta pasukannya.


"Antara yang dibicarakan ialah perkembangan pelaburan AS$2 bilion oleh Google di Malaysia yang diumumkan pada Mei 2024.


"Alhamdulillah, saya dimaklumkan pelaburan ini bergerak dengan kemajuan yang memberangsangkan, malah melangkaui jangkaan awal," katanya menerusi Facebook hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaburan strategik terbabit adalah manifestasi keyakinan berterusan terhadap ekosistem ekonomi digital negara.


Jelasnya, ia selari aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau bagi aliran data yang selamat, pengkomputeran awan dan inovasi kecerdasan buatan (AI).


"Pelaburan ini merangkumi pembinaan dan pengoperasian pusat data serta perkhidmatan awan Google yang pertama di Malaysia.


"Apabila mula beroperasi kelak, ia dijangka menyokong penghasilan kesan ekonomi berjumlah AS$3.2 bilion dan mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030," katanya.


Pada masa sama, Anwar berkata kerajaan mengalu-alukan Google untuk terus meneroka peluang pelaburan tambahan di Malaysia pada masa hadapan.


Malah, katanya kerajaan kekal konsisten dalam memudah cara serta menyediakan platform sokongan yang diperlukan bagi memastikan pelaburan yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.


Untuk rekod, pada Oktober tahun lalu, Anwar menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan pusat data dan wilayah awan pertama Google di Malaysia.


Pusat data terbabit akan membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap keupayaan Google Cloud, inovasi AI, serta produk dan perkhidmatan digital lain yang digunakan oleh rakyat dan organisasi di Malaysia pada setiap hari.


Fasa pembinaan pusat data Google itu dijangka selesai dibangunkan pada suku ketiga tahun ini.


Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat bersama Google secara dalam talian di Perdana Putra. - Foto PMO.
Ahli Parlimen pembangkang gesa semua dividen KWSP masuk Akaun 3 bantu pencarum beraya

Ahli Parlimen pembangkang gesa semua dividen KWSP masuk Akaun 3 bantu pencarum beraya


Seorang ahli Parlimen pembangkang menggesa supaya dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun kewangan 2025 disalurkan sepenuhnya ke Akaun 3 (Fleksibel) bagi meringankan beban pencarum yang terkesan dengan tekanan kos sara hidup.


Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, langkah itu penting bagi membantu pencarum yang sangat memerlukan wang ketika menjalani ibadah puasa dan membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.


"Menjelang pengumuman kadar dividen 2025 oleh KWSP pada Sabtu ini, saya ingin menyeru agar pihak kerajaan mempertimbangkan satu langkah yang benar-benar memberi kelegaan kepada rakyat.


"Saya memohon agar dividen yang diumumkan dimasukkan 100 peratus terus ke Akaun 3 supaya ia boleh dimanfaatkan segera oleh pencarum yang memerlukan," katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.


Perkara itu terdahulu turut dibangkitkan Shahidan yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat.


Pada Selasa, KWSP dilaporkan akan mengumumkan kadar dividen bagi 2025 pada Sabtu ini berdasarkan jemputan media yang dikeluarkan kumpulan tersebut bagi mengadakan taklimat mengenai dividen 2025 pada hari berkenaan.


KWSP mengisytiharkan kadar dividen tahun 2024 sebanyak 6.3 peratus bagi akaun simpanan konvensional dan syariah.


Kadar dividen bagi 2023 pula masing-masing 5.5 peratus dan 5.4 peratus untuk simpanan konvensional dan simpanan syariah.


Jumaat lalu, media turut melaporkan pencarum KWSP mengharapkan semua dividen yang bakal diumumkan dimasukkan sepenuhnya ke Akaun 3 supaya boleh digunakan bagi perbelanjaan sempena Hari Raya Aidilfitri.


Menurut Shahidan, cadangan berkenaan tidak memberi sebarang implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan kerana ia hanya melibatkan pengagihan dividen KWSP.


"Kerajaan tidak perlu buat apa-apa, hanya dividen KWSP yang akan diberikan pada Mac ini perlu dimasukkan semuanya ke Akaun 3.


"Sekarang dividen dimasukkan ke Akaun 1 dan Akaun 2 yang sukar dikeluarkan dan hanya sedikit ke Akaun 3," ujarnya.


Beliau turut memberi contoh seorang pegawainya yang mempunyai simpanan sebanyak RM300,000, namun tidak boleh mengeluarkan wang berkenaan kerana faktor umur yang masih muda.


Tambahnya, dividen tahunan yang diterima pegawainya itu dianggarkan hampir RM10,000.


"Dia (pegawai saya) kata kalau dapat dividen berkenaan, ia cukup-cukup menolongnya. Jadi kita mintalah pada bulan Ramadan ini agar perkara ini dipertimbangkan kerana pencarum berpuasa dan mahu membuat persiapan Hari Raya," ujarnya.