Jumaat, 23 Januari 2026

Kes Tan Sri: Bermula RM10 juta, siasatan SPRM dikejutkan penemuan penyelewengan lebih RM300 juta

Kes Tan Sri: Bermula RM10 juta, siasatan SPRM dikejutkan penemuan penyelewengan lebih RM300 juta


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan mula menyiasat seorang pakar pelaburan terkenal bergelar Tan Sri apabila mendapat maklumat penyelewengan berlaku sekitar RM10 juta sahaja.


Bagaimanapun, siasatan seterusnya mendapati penyelewengan itu berkemungkinan terlalu besar dan boleh mencecah sehingga ratusan juta ringgit.


Kata sumber, suspek mendapat kepercayaan daripada pelbagai pihak untuk membuat pelaburan itu dan ada mangsa yang membuat pelaburan yang cukup besar.


"Siasatan mendapati suspek yang juga bekas pengarah syarikat itu disyaki menyalah guna dana pelaburan berjumlah RM6 juta.


"Bagaimanapun, hasil siasatan yang dijalankan pegawai penyiasat mendapati nilai dana yang diseleweng berkemungkinan mencecah ratusan juta ringgit. Ia diseleweng tanpa pengetahuan pelabur yang percaya akan mendapatkan pulangan yang lumayan," katanya hari ini.


Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, di satu acara di Kelantan mengesahkan, seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri disyaki menipu wang pelabur dipercayai mencecah jumlah lebih RM300 juta sejak dua tahun lalu.


Beliau dipetik berkata suspek lelaki berusia 60-an yang juga pemilik sebuah syarikat swasta dan ahli kewangan Islam ditahan selepas tiba di ibu pejabat agensi terbabit di Putrajaya, semalam.


Katanya, SPRM turut menahan seorang wanita yang juga ahli Lembaga Pengarah syarikat terbabit yang berpangkalan di Kuala Lumpur, kelmarin, untuk membantu siasatan kes sama.


"Kita mendapat maklumat bahawa Tan Sri berusia 60-an itu dan seorang wanita berumur 50-an yang memegang jawatan ahli Lembaga Pengarah sebuah syarikat pelaburan, disyaki terbabit penipuan pelabur berskala besar.


"Ramai pelabur dari serata negara dilaporkan kehilangan ratusan juta ringgit. Malah, kita menganggarkan kerugian dialami pelabur itu mencecah lebih RM300 juta sejak dua tahun lalu," katanya.


Individu bergelar Tan Sri itu direman selama empat hari sehingga Ahad ini, selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.


Azam juga mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


22 Jan - Seorang lelaki bergelar Tan Sri antara dua individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam penipuan pelaburan berskala besar dianggarkan bernilai lebih RM300 juta.
Da'i Syed kekal bersalah kes rogol, dihantar ke Penjara Kajang hari ini

Da'i Syed kekal bersalah kes rogol, dihantar ke Penjara Kajang hari ini


Pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful atau Da'i Syed hari ini diperintahkan untuk dihantar ke Penjara Kajang serta-merta bagi menjalani hukuman penjara 10 tahun bersabit tuduhan merogol seorang wanita tujuh tahun lalu.


Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang menolak rayuan Da'i Syed untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya yang diputuskan Mahkamah Sesyen pada 30 Ogos 2024, dan menangguhkan pelaksanaan hukuman berkenaan.


Da'i Syed yang berada dalam kandang tertuduh, kelihatan sebak ketika Hakim Adlin Abdul Majid membuat keputusan menolak rayuannya selepas mendapati sabitan dan hukuman seperti diputuskan Mahkamah Sesyen adalah selamat.


"Mahkamah menolak rayuan tertuduh dan rayuan pihak pendakwaan (bagi pemberatan hukuman). Keputusan Mahkamah Sesyen yang mendapati perayu bersalah dan disabitkan di bawah seksyen 376(1) Kanun Keseksaan adalah selamat dan dikekalkan.


"Hukuman penjara 10 tahun dan tiga kali sebatan rotan dikekalkan. Hukuman penjara bermula dari tarikh hari ini. Selepas mendengar hujahan, mahkamah tidak membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan, kerana tiada keadaan khas yang menjustifikasikan penggantungan.


"Mahkamah mendapati kesalahan di bawah seksyen 376(1) adalah serius. Oleh kerana mahkamah ini mendapati sabitan dan hukuman adalah selamat. Mahkamah seterusnya mengarahkan hukuman bermula dari hari ini, tanpa penggantungan," katanya.


Adlin berkata, berdasarkan keterangan yang dikemukakan, mahkamah mendapati tiada kekhilafan dalam dapatan hakim Mahkamah Sesyen bahawa pembelaan tertuduh tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Beliau mendapati, hakim Mahkamah Sesyen mendapati pembelaan tertuduh pada dasarnya bersifat penafian, dan terdapat percanggahan dalam keterangan yang diberikan olehnya mengenai kejadian yang berlaku.


Katanya, secara amnya, dapatan hakim Mahkamah Sesyen mengenai pembelaan tertuduh adalah dapatan fakta yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen selepas meneliti keterangan, termasuk keterangan lisan oleh tertuduh sendiri.


"Mahkamah atasan tidak seharusnya mengganggu dapatan fakta yang dibuat oleh mahkamah bawahan, melainkan terdapat kesilapan yang jelas.


"Mengenai rayuan terhadap hukuman, secara amnya mahkamah atasan tidak akan mengganggu hukuman yang dijatuhkan oleh hakim perbicaraan, melainkan hukuman terlalu berlebihan atau terlalu tidak mencukupi atau tidak sah di sisi undang-undang.


"Mahkamah mendapati hukuman yang diberikan oleh hakim Mahkamah Sesyen adalah munasabah. Walaupun mahkamah mendapati persetubuhan di antara tertuduh dan saksi pendakwaan pertama berlaku tanpa kerelaannya, namun tiada bukti bahawa terdapat kekasaran atau kekerasan yang berlebihan ketika kejadian," katanya.


Pada 10 Disember 2020, Da'i Syed didakwa merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019.


Dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.


Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan dia daripada pertuduhan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.


Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.


Pada 30 Ogos 2024, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas tuduhan berkenaan dan tertuduh diperintahkan ke penjara pada hari sama.


Bagaimanapun, selepas 21 hari merengkuk di Penjara Kajang, dia dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi sehingga rayuan utamanya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman didengar.

Khamis, 22 Januari 2026

Tiga kampung di Indonesia kini termasuk wilayah Malaysia

Tiga kampung di Indonesia kini termasuk wilayah Malaysia


Tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara dilaporkan kini termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara kedua-dua negara.


Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Badan Nasional Pengurusan Sempadan Indonesia (BNPP), Komjen Polis Makhruzi Rahman, dalam mesyuarat bersama Suruhanjaya II Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia di Kompleks Parlimen, Senayan pada Rabu.


Menurut beliau, perubahan tersebut berkait dengan penyelesaian beberapa Outstanding Boundary Problem (OBP) atau isu sempadan yang sebelum ini belum dimuktamadkan antara Indonesia dan Malaysia, khususnya melibatkan Pulau Sebatik yang terbahagi kepada dua pentadbiran negara.


Makhruzi menjelaskan, tiga OBP telah dipersetujui secara rasmi melalui pemeteraian memorandum persefahaman pada Mesyuarat Bersama Indonesia-Malaysia ke-45 yang berlangsung di Pulau Sebatik pada 18 Februari 2025.


"Perjanjian itu melibatkan titik sempadan B-2700, B-3000 serta kawasan Simantipal.


"Hasilnya, kira-kira 127 hektar di Pulau Sebatik disahkan kekal berada dalam wilayah Indonesia," katanya.


Beliau turut memaklumkan, masih terdapat empat segmen OBP di sektor barat Kalimantan Barat yang belum diselesaikan sepenuhnya, iaitu di D-400, Gunung Rayan, Sibuan dan Batu Aum.


Kesemua kawasan itu kini berada pada peringkat tinjauan lapangan secara unilateral oleh pasukan teknikal perundingan Indonesia serta proses pertukaran maklumat bagi membincangkan terma rujukan (TOR) dan prosedur operasi standard (SOP).


Dalam perkembangan berkaitan, Makhruzi mengesahkan, terdapat tiga kampung di kawasan bekas OBP Sinapat dan Kecamatan Lumbis Hulu, Kabupaten Nunukan, yang sebahagian wilayahnya kini berada di bawah pentadbiran Malaysia.


"Tiga kampung tersebut ialah Kampung Kabungalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas," jelasnya.


Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Indonesia turut memperoleh tambahan keluasan wilayah hasil pelarasan sempadan berkenaan.


"Secara keseluruhan, Indonesia menerima tambahan kira-kira 5,207 hektar kawasan.


"Tanah ini sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia dan kini dicadangkan bagi menyokong pembangunan kawasan sempadan, termasuk sebagai kawasan gantian hutan untuk pembinaan Pos Lintas Batas Negara (PLBN) serta pembangunan Zon Perdagangan Bebas," katanya.


Isu perubahan sempadan ini dijangka terus mendapat perhatian kedua-dua negara memandangkan ia melibatkan kepentingan kedaulatan, pentadbiran tempatan serta pembangunan sosioekonomi masyarakat di kawasan sempadan.


Perubahan tersebut berkait dengan penyelesaian beberapa OBP atau isu sempadan yang sebelum ini belum dimuktamadkan antara Indonesia dan Malaysia. - Foto Agensi.
Saman Sivil SRC: Najib akui RM42 juta dalam akaun peribadi bukan derma Arab Saudi

Saman Sivil SRC: Najib akui RM42 juta dalam akaun peribadi bukan derma Arab Saudi


Datuk Seri Najib Razak hari ini mengakui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa wang RM42 juta yang dimasukkan ke akaun bank peribadinya tiada sebarang kaitan dengan derma dari Arab Saudi.


Bekas perdana menteri itu membuat pengakuan tersebut ketika disoal balas oleh peguam SRC International Sdn Bhd, Kwan Will Sen, dalam saman sivil RM42 juta yang difailkan terhadapnya oleh SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd.


"Pada ketika itu, saya menyangka ia adalah derma dari Arab Saudi," kata Najib.


Kwan: Pada fikiran anda - jika saya boleh menggunakan perkataan itu - pada ketika ini, adakah RM42 juta itu tidak ada kena-mengena dengan derma Arab Saudi?


Najib: Berdasarkan pengetahuan yang diperoleh kemudian, ya.


Terdahulu, Kwan meminta Najib mengakui bahawa pembelaan beliau berhubung "derma Arab Saudi" telah ditolak sepenuhnya oleh mahkamah dalam prosiding jenayah berkaitan.


Kwan: Pembelaan anda (derma Arab Saudi) telah ditolak di semua peringkat mahkamah (dalam kes jenayah SRC International). Betul?


Najib: Ya, tetapi saya perlu menjelaskan kerana saya tidak berpeluang memberikan penjelasan penuh di Mahkamah Persekutuan. Sebab itulah dalam prosiding semakan, salah seorang hakim - seorang hakim kanan - bersetuju dengan pendirian kami. Dalam semakan itu, beliau memutuskan bahawa saya tidak mendapat perbicaraan yang adil.


Kwan: Secara keseluruhan, dapatan majoriti mengekalkan kesimpulan bahawa dana tersebut bukan derma Arab Saudi. Adakah betul?


Najib menjawab: "Ya, malangnya begitu."


Najib turut mengakui bahawa Mahkamah Tinggi, dalam keputusan terbaharu perbicaraan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), memutuskan tiada bukti dokumentari yang menyokong pembelaan beliau berhubung "derma Arab Saudi".


Saman sivil yang difailkan pada tahun 2021 oleh SRC dan Gandingan Mentari itu menuntut satu pengisytiharan bahawa Najib bertanggungjawab ke atas RM42 juta berkenaan, selain menuntut ganti rugi atas penerimaan dengan pengetahuan, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam serta penyalahgunaan kuasa.


Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.

Ada ganjaran lapor cubaan sogok libatkan penjawat awam

Ada ganjaran lapor cubaan sogok libatkan penjawat awam


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang mempergiat usaha memerangi rasuah menerusi pendekatan digital apabila melancarkan inisiatif e-flyer Mutiara SPRM Pulau Pinang.


Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy berkata, menerusi usaha itu, penjawat awam digesa tampil melaporkan sebarang cubaan rasuah termasuk dengan tawaran ganjaran tunai.


Katanya, inisiatif itu diperkenalkan menerusi program kerjasama strategik bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) khusus melibatkan unit penguatkuasaan dan pelesenan.


Menurutnya, langkah berkenaan selari dengan usaha SPRM untuk memperkasa pegawai penguat kuasa agar berintegriti serta berani mengambil tindakan sekiranya berdepan tawaran sogokan ketika menjalankan tugas.


"Kita mahu pegawai di lapangan tampil melaporkan jika ditawarkan rasuah. Kerajaan telah menyediakan garis panduan yang membolehkan penjawat awam menerima ganjaran berdasarkan nilai sogokan yang dilaporkan.


"Insentif ini sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya bagi membanteras rasuah dari peringkat awal," katanya kepada media selepas Program Dialog Antirasuah Kerjasama Antara SPRM Pulau Pinang dan MBPP di Komtar, George Town pada Rabu.


E-flyer Mutiara SPRM Pulau Pinang merupakan bahan kesedaran digital yang dilengkapi kod QR bagi memudahkan akses dan perkongsian maklumat oleh ketua jabatan serta pegawai.


Karunanithy berkata, e-flyer berkenaan akan menampilkan tema berbeza setiap bulan antaranya cara membuat laporan kepada SPRM, kaedah menyalurkan maklumat berkualiti serta tip pencegahan rasuah secara praktikal.


"Bahan ini direka supaya mudah dikongsi melalui platform seperti WhatsApp dan boleh dimanfaatkan oleh penjawat awam serta orang awam.


"Pendekatan ini pernah dilaksanakan di Sabah ketika saya bertugas di sana dan terbukti berkesan," katanya.


Beliau berkata, kebanyakan laporan yang diterima sebelum ini banyak melibatkan warga asing yang cuba menyogok pegawai penguat kuasa.


Katanya, siasatan sedang dijalankan dan kes akan dibawa ke mahkamah sekiranya bukti mencukupi.


"Sementara itu, kita menerima kurang daripada lima laporan berkaitan tawaran rasuah daripada penjawat awam di Pulau Pinang sepanjang tahun lalu," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan SPRM Pulau Pinang menerima sebanyak 37 maklumat risikan berkaitan MBPP sepanjang tahun lalu melibatkan pelbagai entiti dan isu penguatkuasaan.


"Daripada jumlah itu, lima tangkapan telah dibuat namun kes berkenaan masih dalam proses penelitian dan belum dibawa ke peringkat pendakwaan kerana sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara," ujarnya.


Karunanithy (dua dari kiri) ketika menghadiri Program Dialog Antirasuah Kerjasama Antara SPRM Pulau Pinang dan MBPP di George Town, Semalam. - Foto Kosmo Online.
PRK Kinabatangan: Kempen BN-GRS masuk 'gear 5'

PRK Kinabatangan: Kempen BN-GRS masuk 'gear 5'


Kempen Barisan Nasional (BN) bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kini memasuki 'gear lima'.


Ia sebagai usaha meraih sebanyak mungkin undi buat Calon BN Mohd Kurniawan Naim Moktar yang dipertaruhkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dalam tempoh kempen berbaki dua hari lagi sebelum hari pengundian Sabtu ini.


Mohd Kurniawan Naim berkata, tempoh dimanfaatkan dengan memperkemas dan melipatgandakan usaha bagi memastikan kemenangan.


"Kita dalam pecutan terakhir bagi memastikan kita dapat memenangkan kerusi Parlimen. Jadi saya akan terus berkempen hingga hari terakhir agar mendapat kemenangan yang lebih baik," katanya kepada pemberita hari ini.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan ceramah kelompok di kawasan Suan Lamba yang terletak kira-kira 55 kilometer dari pekan Kota Kinabatangan dan turut dihadiri Ketua GRS Bahagian Sukau Datuk Juhari Janan.


Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan itu yang mesra disapa Naim Moktar berkata, beliau telah selesai menjelajah kesemua 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan Parlimen berkenaan.


Kempen bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag telah memasuki hari ke-12 hari ini sejak bermula pada 10 Jan lepas selepas tamat proses penamaan calon.


Kedua-dua PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.


Sementara itu, Juhari berkata, beliau yakin menerusi komitmen dan kerjasama jitu yang ditunjukkan parti komponen Kerajaan Perpaduan Sabah dalam PRK kali ini mampu membantu memenangkan Mohd Kurniawan Naim, termasuk meningkatkan majoriti undi berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Pada PRU15, Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan selepas memperoleh majoriti 4,330 undi dengan menewaskan pencabarnya Mazliwati Abdul Malek daripada Parti Warisan (Warisan).


"Insya-Allah kita yakin dan kita berdoa kepada Allah SWT (supaya Mohd Kurniawan Naim menang)… kita mahu tingkatkan undi kepada majoriti lebih 10,000," katanya.


PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati (Warisan).

Rabu, 21 Januari 2026

Gagal bayar RM8,000, mahkamah arah sita aset Caprice

Gagal bayar RM8,000, mahkamah arah sita aset Caprice


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengarahkan penyitaan aset milik pempengaruh media sosial Caprice selepas gagal membayar kos berjumlah RM8,000 kepada seorang ahli perniagaan dalam kes saman fitnah.


Writ penyitaan dan penjualan bertarikh 3 Dis 2025 dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Qasiratul Jannah Usmani Othman terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, susulan perintah yang diperoleh oleh ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat perkapalan Datuk Seri R Jeyenderan.


Jumlah terhutang itu merangkumi RM8,000 yang dianugerahkan melalui perintah mahkamah bertarikh 15 Okt 2025 bersama-sama alokatur RM320 yang dikira setakat 21 Nov tahun sama.


Writ itu membenarkan penyitaan dan jika perlu, penjualan harta alih milik Caprice selaku defendan untuk melangsaikan hutang penghakiman itu.


Peguam Muniandy Vestanathan dan Afiq Yahawa yang mewakili ahli perniagaan itu, mengesahkan bahawa dua bailif mahkamah cuba melaksanakan writ itu di kediaman Caprice di Mont Kiara pada 10 pagi hari ini, yang turut disertai pengawal keselamatan kompleks pangsapuri itu.


Bagaimanapun, pelaksanaannya tidak dapat dilakukan kerana tiada pihak yang membuka pintu selepas loceng dibunyikan beberapa kali, selain pengurusan pangsapuri memaklumkan defendan telah berpindah selepas tempoh penyewaannya tamat pada tahun lalu.


Pada 15 Okt tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Roslan Mat Nor membenarkan permohonan Jeyenderan untuk mendapatkan injunksi inter-parte dalam saman fitnah terhadap Caprice dan memerintahkan pempengaruh itu membayar kos RM8,000 sebagai kos dalam tempoh dua minggu.


Bagaimanapun, Caprice gagal menjelaskan bayaran itu.


Jeyenderan memfailkan saman itu pada 21 Julai 2025 mendakwa defendan memuat naik beberapa hantaran Instagram pada 10 Julai tahun sama termasuk gambar dan video yang didakwa mengaitkan dirinya dengan beberapa aktiviti jenayah, gangsterisme serta ugutan bersenjata tanpa sebarang bukti sahih.


Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta bagi kerosakan reputasi, ganti rugi khas, am dan teladan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Akmal sokong PM wajibkan BM, Sejarah, minta kaji umur 6 tahun masuk darjah 1

Akmal sokong PM wajibkan BM, Sejarah, minta kaji umur 6 tahun masuk darjah 1


Pemuda UMNO menyokong beberapa langkah pengumuman reformasi pendidikan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.


Ketuanya, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, sokongan itu khususnya dalam penguatkuasaan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di seluruh sistem pendidikan negara, termasuk Unified Examination Certificate (UEC).


Beliau berkata, langkah itu adalah berani dan baik, malah merupakan tindakan yang dinantikan ramai pihak.


"PMX, 'you earn my respect' bila mewajibkan silibus mata pelajaran Bahasa Melayu dan juga sejarah kepada seluruh sistem pendidikan dalam negara ini termasuklah UEC.


"Ini langkah yang sangat berani, langkah yang sangat baik," katanya menerusi satu video yang dikongsi di laman Facebooknya semalam.


Bagaimanapun, Muhammad Akmal menegaskan terdapat beberapa isu yang perlu dibahaskan dan diteliti lebih lanjut. Antara masalah utama yang dikenal pasti adalah kekurangan guru dan fasiliti di sekolah.


Menurut beliau, pengumuman untuk membolehkan murid berumur enam tahun memasuki Darjah 1 secara sukarela berpotensi menambah bilangan pelajar yang seterusnya boleh membebankan guru dan menjejaskan kualiti pengajaran.


"Masalah yang kita ada sebenarnya bukan soal cikgu kita tak nak mengajar, tetapi kita ada masalah kekurangan guru untuk mengajar dan kekurangan fasiliti di setiap sekolah.


"Kalau masalah asas ini tidak diselesaikan dan kita tambah lagi bilangan pelajar, ia akan memberikan kesan secara tidak langsung kepada anak-anak kita," ujarnya.


Beliau turut menekankan isu kesesakan di kelas sedia ada, dengan sesetengah kelas menampung 30 hingga 35 pelajar, menyebabkan ketidakselesaan dalam proses pembelajaran.


Tambahan bilangan pelajar Darjah 1, ujarnya, perlu ditampung sepanjang enam tahun pengajian di peringkat rendah, yang memerlukan perancangan teliti.


Muhammad Akmal meminta Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan untuk meneliti semula cadangan yang diumumkan bagi memastikan masalah asas dalam sistem pendidikan negara dapat ditangani terlebih dahulu.


"Kalau tak dapat menyelesaikan masalah yang asas ini, saya percaya ini akan memberikan kesan yang sangat tidak baik kepada sistem pendidikan anak-anak kita. Jangan tambah lagi masalah baru," ujarnya.


Beliau menegaskan bahawa keprihatinan terhadap kesejahteraan murid dan guru harus menjadi keutamaan dalam sebarang reformasi pendidikan.

Selasa, 20 Januari 2026

Ribut Matahari dahsyat menuju ke Bumi, satelit radio dijangka terhenti

Ribut Matahari dahsyat menuju ke Bumi, satelit radio dijangka terhenti


Bumi dijangka dilanda ribut suria yang boleh menyebabkan beberapa satelit radio terhenti, lapor akhbar Metro UK semalam.


Letupan zarah suria sedang bergerak ke arah Matahari pada kelajuan berjuta-juta kilometer sejam dan akan tiba sama ada malam ini atau esok pagi (waktu tempatan).


Ini bermakna penduduk Britain berpeluang melihat fenomena dikenali sebagai 'Northern Lights' yang berlaku apabila plasma berinteraksi dengan medan magnet Bumi.


Pejabat Meteorologi Britain memberi amaran bahawa letusan zarah bercas boleh menyebabkan ribut suria yang teruk.


Ahli-ahli meteorologi angkasa lepas mengeluarkan amaran cuaca angkasa berwarna kuning, dari pukul 12.01 tengah malam (waktu tempatan) ini hingga 11.59 malam (waktu tempatan) esok untuk ribut geomagnetik G3.


Amaran itu menyatakan, walaupun gangguan bekalan elektrik boleh berlaku semasa ribut sedemikian, ahli-ahli meteorologi menganggap risiko tersebut kecil.


Selain itu, frekuensi radio dan navigasi satelit GPS mungkin terjejas selama berjam-jam.


Terdapat risiko ribut itu boleh menjadi lebih teruk daripada yang dijangkakan, menjadikannya ribut geomagnetik G4.


Perkhidmatan cuaca angkasa lepas Amerika, NOAA juga mengeluarkan amaran untuk ribut G4 semalam.


Ia memberi amaran tentang 'kemungkinan masalah kawalan voltan yang meluas dan beberapa sistem perlindungan mungkin tersilap mengeluarkan aset utama dari grid kuasa'.

Isnin, 19 Januari 2026

Pegawai kanan imigresen didakwa terima rasuah RM140,000 lepas kemasukan 56 warga Bangladesh

Pegawai kanan imigresen didakwa terima rasuah RM140,000 lepas kemasukan 56 warga Bangladesh


Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM140,000 antara 3 hingga 15 Mei 2025.


Mastura Aziz, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.


Wanita itu didakwa menerima suapan wang masing-masing RM12,500, RM47,500, RM52,500 dan RM27,500 daripada seorang lelaki warga asing di empat lokasi dan tarikh berasingan pada Mei 2025.


Wang itu didakwa sebagai upah tertuduh yang ketika itu selaku Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal Satu, melepaskan kemasukan 56 warga Bangladesh ke Malaysia tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan JIM.


Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pusat beli belah di Sepang; Pusat Penjaja Kota Warisan Bandar di Bandar Baru Salak Tinggi dan sebuah stesen minyak di Persiaran Warisan Maju masing-masing pada 3, 7, 11 dan 15 Mei 2025.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.


Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM50,000, selain wanita itu perlu dikenakan syarat tambahan.


Bagaimanapun peguam Datuk Geethan Ram Vincent memohon supaya jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dengan mengambil kira anak guamnya tidak pernah gagal untuk hadir, setiap kali dipanggil memberi keterangan dan sedia memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan mahkamah.


Mohd Nasir kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan wanita itu perlu melapor diri ke pejabat SPRM terdekat sebulan sekali serta menetapkan 25 Feb untuk sebutan semula kes.