Ahad, 1 November 2026

26 pendatang asing didenda sehingga RM10,000 atas kesalahan imigresen

26 pendatang asing didenda sehingga RM10,000 atas kesalahan imigresen


PASIR MAS - Seramai 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) didenda antara RM6,000 hingga RM10,000 seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas kesalahan memasuki Malaysia tanpa dokumen sah dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.


Daripada jumlah itu, lapan wanita terdiri daripada empat warga Myanmar, tiga Indonesia dan seorang Vietnam, manakala baki 18 tertuduh ialah lelaki warga Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan Indonesia.


Enam wanita didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah, manakala dua lagi didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.


Enam wanita masing-masing dikenakan denda RM6,000, sementara dua lagi didenda RM10,000 seorang. Kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.


Kesemua 26 tertuduh berusia antara 18 hingga 57 tahun dan ditahan dalam beberapa operasi berasingan Jabatan Imigresen negeri di Kubang Kerian, Kota Bharu serta Gua Musang antara 10 hingga 22 Oktober lalu.


Prosiding di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khaidijah Khairuddin. Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam, manakala sebahagian daripada mereka membuat pengakuan melalui jurubahasa mahkamah.

Dakwa mampu panjangkan umur dan beri tiket ke syurga, lelaki rugi RM290,565

Dakwa mampu panjangkan umur dan beri tiket ke syurga, lelaki rugi RM290,565


Seorang lelaki di Jawa Timur, Indonesia mendakwa kerugian lebih 1.3 bilion rupiah (RM290,565) selepas terpedaya dengan seorang individu yang mengaku sebagai Imam Mahdi dan menawarkan khidmat memanjangkan usia serta tiket masuk syurga.


Suspek dikenali sebagai FF dipercayai menggunakan dakwaan berkaitan agama untuk memperdaya pengikutnya di Kabupaten Bangkalan sejak 2019 hingga 2025.


Peguam mangsa, Jailani Muhtadi berkata, anak guamnya, Halimi menyerahkan wang secara berperingkat selepas dijanjikan pelbagai keistimewaan termasuk memanjangkan umur, menebus dosa dan menjamin keselamatan ahli keluarga di akhirat.


Menurutnya, suspek turut meminta bayaran kafarah kononnya bagi menebus kesalahan dan mendapatkan tiket ke syurga.


Malah, mangsa mendakwa pernah diminta membayar tujuh juta rupiah (RM1,565) bagi menyelamatkan arwah abangnya daripada azab kubur.


Suspek juga didakwa menakut-nakutkan pengikut dengan ancaman kematian sekiranya enggan membuat bayaran.


Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Bangkalan pada 21 Oktober lalu. Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan tiga saksi yang turut mendakwa menjadi mangsa.


Jurucakap Polis Bangkalan, Agung Intama mengesahkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti unsur penipuan atau pemerasan dalam kes berkenaan.


Sementara itu, Majlis Ulama Indonesia (MUI) Bangkalan turut meneliti dakwaan ajaran yang dibawa suspek dan mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan ajaran yang bercanggah dengan syariat.


Bagaimanapun, polis belum mengumumkan sebarang pertuduhan terhadap FF.

Sabtu, 31 Oktober 2026

Pasangan kekasih antara tiga ditahan, PGA rampas dadah bernilai RM434,400

Pasangan kekasih antara tiga ditahan, PGA rampas dadah bernilai RM434,400


BATU PAHAT - Pasangan kekasih antara tiga individu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah yang membawa kepada rampasan 5.2 kilogram methamphetamine bernilai RM434,400 di Batu Pahat dan Muar, pada Rabu.


Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan dalam operasi khas kira-kira jam 8.35 malam yang dijalankan anggota Cawangan Risik Batalion 6 PGA, Muar.


Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Superintendan Shohaiami Ismail berkata, operasi berkenaan membawa kepada rampasan lima bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki methamphetamine seberat 5.2 kilogram.


Polis turut merampas dua kenderaan, masing-masing Toyota Vios dan Honda Civic FD yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.


Menurutnya, operasi dijalankan di kawasan tempat letak kenderaan bersebelahan sebuah pasar raya di Batu Pahat serta Kampung Sarang Buaya Laut, Muar.


Kesemua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk siasatan lanjut.


Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.


Shohaiami berkata, PGA akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis.

Dakwa isteri tolak hubungan intim, remaja disyaki rogol adik kandung hingga hamil

Dakwa isteri tolak hubungan intim, remaja disyaki rogol adik kandung hingga hamil


Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan polis selepas disyaki merogol adik kandungnya yang berusia 15 tahun sehingga mangsa hamil dan melahirkan seorang bayi di Kabupaten Lebong, Indonesia.


Kes itu terbongkar selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) menunjukkan padanan sebanyak 99.99 peratus antara suspek dengan sampel yang diperiksa.


Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Lebong, AKP Darmawel Saleh berkata, suspek yang sudah berkahwin dipercayai melakukan perbuatan itu selepas mendakwa isterinya menolak ajakan untuk melakukan hubungan intim.


Siasatan mendapati suspek disyaki melakukan jenayah berkenaan sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga hari berturut-turut pada Januari lalu, menggunakan pujukan, paksaan dan ugutan terhadap mangsa.


Akibat kejadian itu, mangsa hamil sebelum melahirkan bayi pada 23 September lalu.


Menurut Darmawel, siasatan pada awalnya menjurus kepada seorang lelaki lain, namun keputusan DNA tidak menunjukkan sebarang padanan.


Mangsa kemudian mendedahkan kemungkinan abang kandungnya terbabit dalam kejadian itu ketika memberikan keterangan pada 8 Oktober.


Polis menghantar sampel tambahan ke Makmal Forensik Polis Sumatera Selatan sebelum keputusan pada 26 Oktober mengesahkan padanan DNA sebanyak 99.99 peratus.


Suspek kemudian ditahan dan kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Lebong untuk siasatan lanjut. Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara maksimum 12 tahun.


Dalam pada itu, Polis Bengkulu mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan identiti atau gambar mangsa bagi melindungi privasinya. Mangsa turut diberikan bantuan serta pendampingan sepanjang proses pemeriksaan kesihatan dan kelahiran.

Jumaat, 30 Oktober 2026

Hantaran jelik terhadap Tuanku Muhriz, dua pengguna media sosial didakwa di mahkamah

Hantaran jelik terhadap Tuanku Muhriz, dua pengguna media sosial didakwa di mahkamah


KUALA LUMPUR - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat hantaran jelik melampau terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menerusi media sosial, Ogos lalu.


Kedua-dua tertuduh, Abdullah Aidid Mochtar @ Ahmad Duta, 44, dan Ashadi Zul'izzi Zainal Abidin, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad.


Mengikut pertuduhan, Abdullah Aidid didakwa memuat naik hantaran jelik menggunakan akaun TikTok 'rookiebenz_albenzauto' pada 1 Ogos lalu, manakala Ashadi Zul'izzi didakwa melakukan kesalahan sama menerusi akaun Threads '@razakahmad725' pada 4 Ogos lalu.


Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan dengan niat menyakitkan hati orang lain.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pegawai pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nazrul Nizam Mohd Zameri menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.


Bagaimanapun, kedua-dua lelaki yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tidak mempunyai pendapatan tetap.


Abdullah Aidid memaklumkan beliau sudah kehilangan pekerjaan sejak tiga bulan lalu, manakala Ashadi Zul'izzi bekerja sebagai pereka grafik sambilan dengan pendapatan bergantung kepada tempahan pelanggan.


Mahkamah kemudian membenarkan masing-masing diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 1 Disember ini bagi penyerahan dokumen.

Bekas ketua balai bomba didakwa terima suapan RM2,000, mengaku tidak bersalah

Bekas ketua balai bomba didakwa terima suapan RM2,000, mengaku tidak bersalah


KUANTAN - Seorang bekas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands berdepan tindakan mahkamah selepas didakwa menerima wang RM2,000 tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai urusan berkaitan tugas rasminya.


Wan Muhammad Faiz Wan Asri, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, di hadapan Hakim Sazlina Safie.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM2,000 sedangkan beliau mengetahui individu terbabit mempunyai hubungan dengannya dalam urusan tugas rasmi.


Perbuatan itu didakwa berlaku di luar sebuah dewan serbaguna di Cameron Highlands kira-kira jam 9.45 malam, 28 Mei tahun lalu.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli mencadangkan jaminan RM12,000 berserta syarat tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.


Bagaimanapun, peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan kira-kira RM3,000 sebulan selain menanggung isteri, seorang anak dan ibu bapanya yang sudah lanjut usia.


Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.


Tertuduh turut diwajibkan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.


Mahkamah menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Pasangan kekasih dicekup dalam keadaan separuh berpakaian dalam kereta

Pasangan kekasih dicekup dalam keadaan separuh berpakaian dalam kereta

Gambar Ilustrasi

BATU PAHAT - Cubaan sepasang kekasih untuk berdua-duaan di dalam sebuah kereta di kawasan gelap terbongkar apabila mereka dicekup penguat kuasa agama dalam keadaan separuh berpakaian, malam tadi.


Pasangan berusia 17 dan 21 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.20 malam di tempat letak kenderaan Pura Kencana, Sri Gading, di sini, selepas menimbulkan syak anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) yang sedang melakukan rondaan.


Menurut JAINJ, anggota bertugas pada awalnya mengesan sebuah kereta dalam keadaan enjin masih hidup tetapi lampunya tidak dipasang di kawasan berkenaan.


Pemeriksaan menggunakan lampu suluh mendapati terdapat individu di dalam kenderaan itu. Ketika penguat kuasa mengetuk cermin, kereta berkenaan tiba-tiba mengundur sebelum berhenti apabila laluan dihalang van JAINJ.


Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berusia 21 tahun itu berada di tempat duduk pemandu tanpa memakai seluar, manakala remaja perempuan berusia 17 tahun ditemukan di tempat duduk belakang tanpa berbaju.


Hasil soal siasat mendapati lelaki terbabit masih bujang dan bekerja di Batu Pahat, manakala remaja perempuan berkenaan masih bersekolah.


Kedua-duanya ditahan untuk tindakan lanjut dan akan didakwa mengikut Seksyen 24 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

Skrin LED MPK digodam, tayangan video lucah mengejutkan orang ramai di Kluang

Skrin LED MPK digodam, tayangan video lucah mengejutkan orang ramai di Kluang


KLUANG - Orang ramai di sekitar bandar Kluang dikejutkan dengan paparan gambar dan video lucah pada beberapa skrin diod pemancar cahaya (LED) milik Majlis Perbandaran Kluang (MPK) selepas sistem berkenaan dipercayai digodam, semalam.


MPK dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.


Menurutnya, siasatan sedang dilaksanakan dengan kerjasama pihak vendor bagi mengenal pasti punca kejadian, selain mengambil langkah pemulihan serta memperkukuh keselamatan sistem.


MPK turut memandang serius insiden itu dan memohon maaf atas kebimbangan yang timbul dalam kalangan masyarakat.


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, turut mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan semua skrin LED terbabit sudah ditutup bagi mengelakkan paparan tidak senonoh itu berulang.


Insiden itu mula tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp selepas beberapa skrin LED di Dataran Tasik Kluang, Taman Intan serta laluan menghala ke Kahang didapati memaparkan kandungan tidak senonoh.


Kejadian berkenaan mencetuskan kebimbangan dan kemarahan penduduk yang menggesa pihak berkuasa mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab.


MPK turut menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Khamis, 29 Oktober 2026

Helah mengaku abang saudara terbongkar, pasangan muda dicekup berkhalwat di hotel

Helah mengaku abang saudara terbongkar, pasangan muda dicekup berkhalwat di hotel

Gambar Ilustrasi
PONTIAN - Cubaan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun menyembunyikan hubungan dengan teman lelakinya terbongkar apabila alasan kononnya lelaki berkenaan ialah abang saudaranya gagal dipertahankan ketika pemeriksaan pihak berkuasa agama di sebuah hotel, awal pagi tadi.


Pasangan berusia 18 dan 19 tahun itu dicekup pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kira-kira jam 1.50 pagi ketika pemeriksaan berkala dijalankan di hotel berkenaan.


Menurut kenyataan JAINJ, pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya mengesyaki terdapat pasangan berlainan jantina berada di dalam sebuah bilik hotel yang pendingin hawanya masih terpasang.


Pintu bilik dibuka selepas kira-kira tiga minit diketuk oleh seorang lelaki berusia 19 tahun. Pemeriksaan kemudian menemukan seorang remaja perempuan sedang duduk di atas katil dengan memakai seluar panjang dan baju-T.


Ketika disoal mengenai hubungan mereka, remaja perempuan itu mendakwa lelaki berkenaan ialah abang saudaranya. Namun, dia gagal memberikan maklumat munasabah mengenai keluarga lelaki terbabit sebelum akhirnya mengakui mereka sebenarnya pasangan kekasih.


Siasatan mendapati kedua-duanya berkenalan menerusi aplikasi dalam talian kira-kira empat bulan lalu sebelum menjalinkan hubungan cinta.


Mereka turut mengakui bukan pasangan suami isteri dan tidak mempunyai sebarang pertalian mahram.


Ketika ditanya sebab berada di hotel, pasangan itu memberi alasan hanya singgah berehat kerana hujan selepas menunggang motosikal. Mereka mendakwa turut merancang untuk pulang ke rumah masing-masing yang terletak di sekitar Pontian.


Difahamkan, lelaki berkenaan bekerja di Johor Bahru, manakala remaja perempuan itu bekerja di Pontian. Kedua-duanya turut mengakui mempunyai perancangan untuk berkahwin, namun belum bersedia dari segi kewangan.


Pasangan itu kemudian ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan berkhalwat.


Kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan dibawa ke Mahkamah Syariah untuk tindakan lanjut.

Wanita Indonesia didenda RM3,500 tawar khidmat seks di pusat refleksologi

Wanita Indonesia didenda RM3,500 tawar khidmat seks di pusat refleksologi


KUCHING - Seorang wanita warga Indonesia didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menawarkan khidmat seksual dengan bayaran RM250 di sebuah pusat refleksologi di Jalan Batu Kawa.


Majistret Nureina Syafika Mohd Najib menjatuhkan hukuman itu terhadap Diana Sri Mondo, 31, dan memerintahkan dia dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.


Mengikut pertuduhan, Diana menawarkan perkhidmatan seksual bagi tujuan persundalan dengan bayaran RM250 kira-kira jam 3.15 petang, pada 16 Oktober lalu.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, wanita itu ditahan dalam serbuan polis menerusi Ops Noda selepas pihak berkuasa menemui dia bersama seorang lelaki warga tempatan dalam keadaan berbogel di sebuah bilik premis berkenaan.


Pemeriksaan lanjut mendapati Diana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah. Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan kegiatan itu, termasuk minyak urut, kondom, tisu, tuala dan wang tunai RM250.


Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, Diana turut mengaku bersalah atas kesalahan tinggal lebih masa di Malaysia selepas pasnya tamat tempoh.


Hakim Mursyida Abd Halim menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bermula 29 Oktober 2026 dan memerintahkan wanita itu dihantar pulang ke Indonesia selepas selesai menjalani hukuman.


Kedua-dua kes dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani dan Marvind Kaliyani. Tertuduh tidak diwakili peguam.