Selasa, 30 September 2025

Pelajar perempuan Tingkatan Empat ditangkap berkhalwat di hotel

Pelajar perempuan Tingkatan Empat ditangkap berkhalwat di hotel


Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat ditangkap berkhalwat bersama lelaki berusia 20-an di sebuah hotel di Kulai, awal pagi tadi, dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).


Jurucakap JAINJ berkata, pelajar berusia 16 tahun itu masih bersekolah menengah di luar daerah ini, manakala pasangannya adalah lelaki bujang yang bekerja di sebuah kilang.


"Pasangan ini amat mengejutkan kerana membabitkan pelajar sekolah. Ketika operasi, lelaki terbabit terkejut melihat lima penguat kuasa JAINJ, malah pada mulanya hanya membuka sedikit pintu.


"Pemeriksaan penguat kuasa menemukan pelajar itu dalam bilik hotel berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurut jurucakap itu, ibu bapa pelajar itu sudah dipanggil untuk proses jaminan.


Operasi yang dijalankan bermula jam 10 malam semalam hingga 3 pagi tadi turut menahan dua lagi pasangan warga asing kerana kesalahan sama.


"Pasangan kedua membabitkan lelaki warga Indonesia berusia 30-an yang bekerja di sebuah kilang, bersama wanita senegara yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pekerja kantin.


"Manakala pasangan ketiga membabitkan warga Myanmar dalam lingkungan umur 30-an, lelaki bekerja sebagai pengawal keselamatan, manakala pasangannya bekerja di kilang di Senai," katanya.


Pihaknya menasihatkan ibu bapa, pelajar serta masyarakat supaya lebih peka terhadap cabaran gejala sosial yang semakin membimbangkan, terutama melibatkan generasi muda.


Penguat kuasa JAINJ menahan tiga pasangan termasuk pelajar sekolah dalam operasi di beberapa hotel di Kulai, awal pagi tadi. - Foto JAINJ.

Isnin, 29 September 2025

Berkahwin dengan ibu rakan sendiri, hadiahkan rumah RM1.13 juta untuk yakinkan keluarga isterinya

Berkahwin dengan ibu rakan sendiri, hadiahkan rumah RM1.13 juta untuk yakinkan keluarga isterinya


Seorang lelaki Jepun sanggup membeli rumah bernilai 40 juta yen (kira-kira RM1.13 juta) demi meyakinkan keluarga bakal isterinya yang juga ibu kepada rakan kelasnya, lapor South China Morning Post.


Lelaki itu, Isamu Tomioka, 33, mula mengenali Midori, 54, ketika zaman sekolah menengah melalui mesyuarat ibu bapa dan guru.


Perasaan cinta mula berputik apabila mereka kembali bertemu di sebuah salun kecantikan ketika Tomioka berusia 30 tahun.


Ketika itu, Midori baru sahaja bercerai dan Tomioka tanpa ragu meminta nombor untuk menghubunginya.


"Dia anggun, lembut dan penuh dengan pesona kewanitaan. Saya terus jatuh cinta," katanya.


Dalam pada itu, Midori mengakui terkejut namun berasa gembira didekati lelaki muda meskipun pada awalnya ragu kerana jarak usia.


Bagaimanapun, ketekunan Tomioka akhirnya berjaya menawan hati Midori.


Antara usahanya termasuk membawa Midori ke Disneyland, mengatur upacara gereja khas, menghias bilik hotel dengan belon dan bunga, serta menghantar mesej setiap hari.


Namun, apabila mereka merancang untuk berkahwin, keluarga Midori membantah kerana faktor usia dan zuriat.


Ibu bapanya menasihatkan agar Tomioka mencari pasangan sebaya kerana Midori tidak lagi mampu melahirkan anak.


Susulan itu, Tomioka membuktikan keikhlasan dengan membeli rumah bernilai 40 juta yen (kira-kira RM1.13 juta) dan menghiasnya khusus untuk meyakinkan keluarga Midori.


Usaha itu akhirnya berjaya melembutkan hati kedua-dua keluarga dan mereka selamat berkahwin pada Julai 2024.


Selain menjadi suami, Tomioka kini juga bapa tiri dan datuk kepada empat cucu Midori.


Kisah mereka mendapat liputan rancangan bual bicara Jepun dan tular dengan pelbagai reaksi netizen yang mendoakan kebahagiaan pasangan berkenaan.


Isamu Tomioka (kiri) 33, dan isterinya, Midori, 54. - Foto Agensi.
Bekas menteri pertanian China dihukum mati kerana rasuah

Bekas menteri pertanian China dihukum mati kerana rasuah


Bekas menteri pertanian China dijatuhi hukuman mati semalam atas tuduhan rasuah dengan penangguhan hukuman selama dua tahun, menurut satu kenyataan mahkamah.


Tang Renjian menerima rasuah dalam bentuk wang tunai dan harta bernilai lebih daripada 268 juta yuan (RM158 juta) antara tahun 2007 dan 2024, menurut kenyataan Mahkamah Rakyat Changchun di wilayah Jilin, timur laut China.


Mahkamah memutuskan bahawa rasuah itu "menyebabkan kerugian yang amat teruk kepada kepentingan negara dan rakyat, dan oleh sebab itu wajar dikenakan hukuman mati," sambil menambah bahawa Renjian mengaku terhadap jenayahnya dan menyatakan kekesalan.


Hukuman ke atas Renjian adalah yang terbaharu dalam kempen antirasuah besar-besaran oleh Presiden Xi Jinping yang menjatuhkan beberapa tokoh peringkat tinggi.


Penyokong kempen antirasuah Jinping berkata, ia menggalakkan tadbir urus yang bersih tetapi pengkritik berpendapat ia memberi kuasa kepada presiden untuk menyingkirkan saingan politik.


Renjian sebelum ini berkhidmat sebagai gabenor wilayah barat laut Gansu serta naib pengerusi wilayah autonomi selatan Guangxi.


Kejatuhannya menyusuli siasatan rasuah yang sama terhadap bekas menteri pertahanan, Li Shangfu dan Wei Fenghe.


Shangfu disingkirkan daripada jawatan hanya selepas tujuh bulan berkhidmat dan kemudiannya dipecat daripada Parti Komunis China atas kesalahan termasuk disyaki menerima rasuah, lapor media kerajaan.


Penggantinya, Dong Jun, juga dilaporkan diletakkan di bawah siasatan atas tuduhan rasuah.


Tang Renjian menerima hukuman mati terhadap kes rasuah di Mahkamah Changchun, Wilayah Jilin. - Foto Mahkamah Rakyat Changchun.
Polis buru 20 penunggang motosikal kepung, serang pemandu Myvi di Puchong

Polis buru 20 penunggang motosikal kepung, serang pemandu Myvi di Puchong


Polis kini giat memburu kira-kira 20 penunggang motosikal yang bertindak ganas mengepung, menumbuk dan menendang sebuah kereta Perodua Myvi dalam kejadian yang rakamannya tular di media sosial, awal pagi semalam.


Dalam insiden cemas berhampiran Plaza Tol Batu 13, Puchong itu, pemandu kereta terbabit, seorang pengawal keselamatan berusia 52 tahun, terpaksa menahan detik ketakutan apabila dikepung kumpulan samseng jalanan berkenaan.


Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, mangsa tampil membuat laporan polis sejurus selepas kejadian kira-kira jam 4 pagi itu.


"Polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.


"Dianggarkan kira-kira 20 penunggang motosikal terbabit dalam kes ini, dan usaha mengesan serta menahan kesemua mereka sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.


Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, selain menyeru saksi tampil memberikan maklumat.


Menerusi rakaman berdurasi 29 saat itu, kereta dipandu pengadu dikelilingi sekumpulan penunggang motosikal berhampiran Plaza Tol Batu 13.


Dalam rakaman itu, motosikal dilihat bergerak rapat di kedua-dua sisi dan hadapan kereta seolah-olah cuba mengepung serta menghalang laluan kenderaan berkenaan.


Seorang daripada penunggang motosikal turut dilihat menumbuk cermin bahagian pemandu sebelum menendang pintu di bahagian sama, menyebabkan pemandu memperlahankan kereta bagi mengelak insiden lebih buruk.


Situasi itu jelas memperlihatkan suasana tegang serta ancaman terhadap pemandu kereta yang terperangkap di tengah-tengah kumpulan motosikal.


Rakaman video berdurasi 29 saat itu memaparkan kereta dikelilingi sekumpulan penunggang motosikal berhampiran Plaza Tol Batu 13. - Foto tangkap layar video tular.

Ahad, 28 September 2025

Orang ramai mahu tangkap pocong suka kebas wang penduduk

Orang ramai mahu tangkap pocong suka kebas wang penduduk


Penduduk desa Sukamulya, Bekasi dalam wilayah Jawa Timur melakukan rondaan di sekeliling kampung untuk menangkap 'pocong' yang dituduh menjadi punca wang simpanan mereka hilang secara misteri, lapor portal berita Kumparan News.


Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @lambenya_emak menunjukkan orang ramai berarak mengelilingi kawasan kampung sambil membawa lampu suluh.


Ada antara mereka yang menjerit dan memanggil makhluk ghaib itu untuk muncul.


Difahamkan, mereka kerap ternampak susuk serba putih berkeliaran di sekitar kawasan kampung.


Lebih aneh, terdapat beberapa orang yang mengadu kehilangan wang sekitar 500,000 rupiah (RM127) sehingga 600,000 rupiah (RM152) selepas penampakan itu.


"Pocong itu sudah muncul sebanyak lima kali tetapi gagal ditangkap. Pocong itu juga adalah hantu palsu yang menggunakan ilmu hitam untuk menakutkan dan mencederakan orang ramai," kata seorang penduduk.


Tangkap layar video menunjukkan penduduk tempatan berarak di sekitar kawasan kampung untuk menangkap 'pocong'. - Foto TikTok.

Sabtu, 27 September 2025

Drama wanita Pakistan pura-pura pengsan ketika pemeriksaan imigresen tak menjadi

Drama wanita Pakistan pura-pura pengsan ketika pemeriksaan imigresen tak menjadi


Seorang wanita warga Pakistan sanggup berpura-pura pengsan ketika pemeriksaan imigresen semata-mata mahu mengelak ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Sultan Azlan Shah, malam tadi.


Menurut sumber, wanita terbabit tiba-tiba terbaring ketika sedang dikumpul bersama ratusan warga asing lain.


Situasi itu mencetuskan kekecohan apabila seorang rakannya meraung merayu simpati supaya dia dilepaskan.


Namun, rayuan itu tidak diendahkan pegawai imigresen dan pemeriksaan kesihatan mengesahkan wanita berkenaan berada dalam keadaan sihat dan stabil.


Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, semakan lanjut mendapati pasport miliknya telah tamat tempoh sebelum dibawa bersama tahanan lain menaiki lori imigresen untuk tindakan lanjut.


Selain itu, katanya, tindakan seorang lelaki warga asing yang mengambil video mengundang padah apabila pemeriksaan dilakukan mendapati dia tidak memiliki pasport yang sah.


"Warga asing terbabit pada mulanya tidak ditahan bagaimanapun dilihat cuba merakam dia kemudian diperiksa.


"Lelaki ini mendakwa sengaja mengambil video ketika operasi dijalankan sekadar simpanan peribadinya.


"Bagaimanapun, pemeriksan dilakukan mendapati video yang diambil itu dihantar kepada beberapa nombor dipercayai sebagai makluman berkaitan serbuan dijalankan," katanya pada sidang akhbar di lokasi operasi, malam tadi.


Wan Mohammed Saupee berkata, seramai 400 individu diperiksa terdiri daripada warga Indonesia, Pakistan, Bangladesh, India, Jordan, Nepal, Filipina dan Sri Lanka serta warga tempatan.


Katanya, daripada jumlah itu, 199 ditahan, termasuk 196 warga asing dan tiga majikan tempatan.


"Operasi dijalankan menerusi KL Strike Force ini turut melibatkan kerjasama JIM Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan serta turut dibantu Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.


"Operasi turut melibatkan pemeriksaan sebanyak 45 premis merangkumi kedai runcit, restoran, kedai serbaneka dan pelbagai premis perniagaan lain," ujarnya.


Susulan itu, kesemua individu ditahan dibawa ke pejabat JIM Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.


Wanita ini pura-pura pengsan elak ditahan dalam operasi bersepadu di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Kosmo Online.
Lelaki bunuh teman wanitanya sebab diejek tak mampu beli iPhone

Lelaki bunuh teman wanitanya sebab diejek tak mampu beli iPhone


Seorang lelaki berusia 42 tahun di wilayah Lampung, Indonesia, ditahan polis selepas membunuh teman wanitanya yang berusia 15 tahun selepas mangsa didakwa mengejeknya kerana gagal membelikannya sebuah iPhone, lapor MustShareNews.


Remaja itu didakwa meminta sebuah iPhone berharga 8 juta rupiah (kira-kira RM2,300) daripadanya pada 15 September lalu.


Lelaki itu dilaporkan memberitahu mangsa bahawa dia hanya mampu menyediakan 3 juta rupiah (RM870) yang kemudiannya mencetuskan pertengkaran.


Tidak berpuas hati, remaja itu didakwa melemparkan wang berkenaan ke muka teman lelakinya dan menghina lelaki itu.


Berang dengan tindakan itu, suspek mengambil sebatang kayu dan memukul mangsa sehingga tidak sedarkan diri.


Dia kemudian cuba menyembunyikan jenayah itu dengan membuang mayat mangsa di sungai berhampiran.


Dua hari kemudian, pada 17 September, penduduk kampung menemukan mayat remaja itu sekali gus mendedahkan kesan ngeri serangan itu.


Selepas pembunuhan itu, lelaki yang dipercayai menyesal, menelan racun dalam cubaan untuk membunuh diri.


Dia ditemukan oleh ahli keluarga dan dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan. Lelaki itu kini sudah ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.


Suspek ditahan atas tuduhan membunuh teman wanitanya yang berusia 15 tahun kerana pertengkaran tentang iPhone. - Foto Polis Lampung.
Pengantin baru minta cerai, anjing suami kerap ganggu kucing isteri

Pengantin baru minta cerai, anjing suami kerap ganggu kucing isteri


Sebuah mahkamah keluarga di Bhopal, tengah India menerima satu kes luar biasa melibatkan konflik rumah tangga, lapor portal berita Independent kelmarin.


Kes itu melibatkan pasangan suami isteri yang baru beberapa bulan berkahwin tetapi meminta untuk bercerai kerana haiwan peliharaan mereka, seekor anjing dan seekor kucing kerap bergaduh.


Pasangan berkahwin pada Disember 2024 itu telah menghadiri sesi kaunseling mandatori oleh mahkamah dan kemudian memfailkan permohonan cerai, demikian menurut laporan kaunselor.


Si suami yang bertugas dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan isterinya yang juga bekerja, pada awalnya jatuh cinta kerana sama-sama menyayangi haiwan, lapor saluran televisyen NDTV.


Dalam sesi kaunseling, si isteri berkata, anjing suaminya kerap mengganggu malah pernah menyerang kucingnya sehingga dia bimbang tentang keselamatan haiwan itu.


"Kami menasihati pasangan ini berkali-kali, tetapi si isteri tidak mahu melepaskan kucingnya. Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan perkahwinan ini," kata kaunselor, Shail Awasthi.


Gambar fail seekor kucing dan anjing. - Foto AFP.

Jumaat, 26 September 2025

'Kapal hantu' bawa dadah diserbu, tentera rampas kokain hampir 10 tan bernilai RM2.6 bilion

'Kapal hantu' bawa dadah diserbu, tentera rampas kokain hampir 10 tan bernilai RM2.6 bilion


Tentera Laut Perancis merampas hampir 10 tan kokain bernilai hampir AS$609 juta (RM2.6 bilion) daripada sebuah kapal nelayan di luar pantai Afrika Barat, lapor saluran berita CBS memetik kenyataan pihak berkuasa negara berkenaan semalam.


Rampasan oleh dua kapal tentera laut pada Isnin itu dilakukan selepas menerima maklumat daripada pihak berkuasa perisikan dadah, maritim dan polis Britain.


Operasi itu merupakan sebahagian daripada misi tentera laut Perancis, Corymbe yang dikerahkan di Teluk Guinea sejak 1990 bagi memastikan keselamatan di kawasan tersebut.



Ini kerana rantau itu menyaksikan sering berlakunya aktiviti lanun.


"Secara keseluruhan, sebanyak 9.6 tan kokain dengan nilai pasaran hampir AS$609 juta (RM2.6 bilion) dirampas daripada sebuah kapal (nelayan)," kata Jabatan Maritim Atlantik, sambil menambah, kapal tersebut tidak didaftarkan di mana-mana negara.


Pihak berkuasa turut mengeluarkan imej operasi berkenaan yang menunjukkan sebuah kapal tentera laut, helikopter tentera dan anggota-anggota keselamatan memunggah bungkusan dadah tersebut.


Menjelang akhir Ogos lalu, tentera laut Perancis telah pun merampas hampir enam tan kokain di luar pantai Afrika Barat.


Tentera Laut Perancis melakukan operasi membanteras dadah di luar pantai barat Afrika. - Foto Tentera Laut Perancis.

Khamis, 25 September 2025

Penduduk panik, bau durian disangka kebocoran gas, mereka lapor polis dan jurutera gas

Penduduk panik, bau durian disangka kebocoran gas, mereka lapor polis dan jurutera gas


Raja buah mencetuskan panik dalam kalangan penduduk tempatan di bandar Lytham St Annes di England, baru-baru ini, selepas baunya disalah anggap sebagai kebocoran gas, lapor The Straits Times.


Durian yang terkenal dengan bau yang kuat serta tekstur berkrim menimbulkan kebimbangan di bandar tepi laut itu apabila seorang jurutera gas muncul di deretan kedai untuk menyiasat aduan mengenai "bau gas yang kuat" dari kawasan itu pada 16 September lalu.


Dua pembantu kedai buah-buahan dan sayur-sayuran, Wai Peng Cheng, 51, dan pasangannya Candy Pooi Kuan Lam, 46, memberitahu akhbar harian British, The Times, bahawa mereka tidak tahu apa yang berlaku apabila melihat seorang jurutera gas dari syarikat gas Cadent memasuki sebuah kedai amal berdekatan.


"Kira-kira sejam kemudian, dia memeriksa kedai penjagaan badan di sebelah sebelum masuk ke dalam kedai Strongs," kata Cheng yang bekerja di kedai Strongs Fruit and Veg.


Katanya, jurutera itu memberitahunya bahawa dia mencari kebocoran gas dan kedai amal di sebelah melaporkan "kebocoran" itu selepas seorang pelanggan memberitahu mereka tentang "bau seperti gas yang kuat".


Cheng kemudian menyedari bahawa bau busuk itu datangnya daripada durian yang diterima oleh kedai itu pada awal hari sama.


"Apabila dia menyebut tentang bau itu, saya beritahu dia ia adalah durian tetapi pada mulanya dia tidak percaya. Hanya selepas saya membawanya ke luar dan memberinya sebiji, barulah dia sedar. Kami semua mula ketawa. Ia sangat melucukan," kata Cheng kepada The Times.


Cheng dan Lam melihat buah itu semasa lawatan ke Malaysia baru-baru ini dan mencadangkan kepada pemilik kedai, Andrew Simpkins untuk mengimportnya untuk jualan.


Durian itu dihantar pada awal 16 September lalu dan dijual pada harga 22 pound sterling (kira-kira RM125) untuk 500 gram.


"Saya tahu baunya busuk tetapi saya tidak sangka ia akan menyebabkan kehadiran pasukan teknikal gas. Mereka memberitahu saya ada beberapa anggota polis di sana juga," kata Simpkins.


Beliau menambah, di sebalik insiden itu, buah itu "laris dijual".


Ketua penghantaran operasi di cawangan barat laut syarikat gas Cadent mengesahkan bahawa tiada sebarang kesan gas di kawasan itu.