Selasa, 16 September 2025

Lelaki maut selepas langgar serpihan tayar pecah di lebuh raya Utara-Selatan

Lelaki maut selepas langgar serpihan tayar pecah di lebuh raya Utara-Selatan


Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas akibat daripada melanggar serpihan tayar pecah di Kilometer 50.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah Utara) malam tadi.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku pada pukul 8.15 malam ketika Muhamad Farhan Abd Rahman, 28, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Johor Bahru menuju ke arah Batu Pahat.


Katanya, ketika sampai di lokasi, mangsa dikatakan telah terlanggar serpihan tayar pecah di lorong kiri lebuh raya sehingga menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas ke atas jalan.


"Akibat kejadian itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah dibeberapa bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan dan dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat," katanya melalui kenyataan hari ini.


Menurut Bahrin lagi, Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, orang ramai yang menyaksikan kejadian ini diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.


Keadaan motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang Muhamad Farhan Abd Rahman selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 50.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah Utara) malam tadi. - Foto Kosmo Online.
PM gesa hidupkan Pendekar Madani di sekolah, IPT dan IPG

PM gesa hidupkan Pendekar Madani di sekolah, IPT dan IPG


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pengurusan sekolah, institut pengajian tinggi (IPT) serta institut pendidikan guru (IPG) di seluruh negara menyokong dan menghidupkan penubuhan kegiatan Pendekar Madani.


Beliau menerusi ucapannya pada Himpunan Pendekar Madani yang berlangsung di Politeknik Seberang Perai berkata, pihaknya berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat mendukung amanat dalam menghidupkan gerakan penyatuan semangat tersebut.


"Saya percaya, Menteri Pendidikan akan bantu gerakkan kegiatan ini dan kita akan pastikan semua sekolah-sekolah kita mendukung semangat Pendekar Madani dan seterusnya di Politeknik, Institut Pendidikan Guru dan institut pendidikan tinggi.


"Kita akan hidupkan ini sebagai suatu kegiatan yang menyatukan semangat anak-anak muda. Dengan satu matlamat, mengangkat martabat dan darjat bangsa ini," katanya hari ini.


Justeru, beliau meminta supaya gerak kerja berhubung sebarang bentuk kegiatan Pendekar Madani dimulakan segera mulai tahun ini.


"Bangsa Melayu tidak akan gagal. Bangsa Melayu akan merempat. Bangsa Melayu akan terus dihina kalau tidak ada semangat bersatu, disiplin dan kekuatan.


"Saya tegaskan semula. Sejarah kita sejarah gemilang. Bila kita sebut Kesultanan Melayu, Melaka itu apa? Kuasa? Ya. Tapi kuasa kerana ilmu. Kuasa kerana kepintaran, kerana teknologi, kerana semangat dan akhlak, disiplin yang kuat.


"Itu yang harus kita tanam di dalam diri dan inilah kuasa Pendekar Madani Yang kita sebut negara madani," ujarnya.


Dalam pada itu, beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta pada tahun ini bagi tujuan menggerakkan kegiatan Pendekar Madani kepada semua badan pertubuhan silat di negara ini.


Pada majlis tersebut juga, Anwar ditabalkan sebagai Imam Khalifah Agong 'Sri Tri Buana Simanjakini Gangga Chula Sakti' oleh Datuk Dr. Raja Abdul Majid Raja Mat Isa, yang mewakili Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia.


Anwar berucap pada Himpunan Pendekar Madani di Politeknik Seberang Perai, hari ini. - Foto Kosmo Online.

Isnin, 15 September 2025

Pemancing terkejut buaya 1.5 meter muncul depan mata berhampiran sawah padi

Pemancing terkejut buaya 1.5 meter muncul depan mata berhampiran sawah padi


Penduduk di sekitar Paya Luboh, Tangga Batu di Melaka gempar apabila kelibat seekor buaya dipercayai sepanjang 1.5 meter muncul di sungai berhampiran sawah padi, tengah hari tadi.


Kemunculan reptilia itu disedari kira-kira pukul 12 tengah hari oleh sekumpulan pemancing yang sedang memancing di tebing sungai terbabit.


Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi berkata, beliau bergegas ke lokasi selepas menerima aduan penduduk mengenai kehadiran buaya berkenaan.


"Buaya berukuran kira-kira 1.5 meter itu dilihat berada di tebing sungai kecil di Paya Luboh, ia berkemungkinan naik ke kawasan berkenaan akibat banjir kilat dan fenomena air pasang, baru-baru ini.


"Sungai kecil itu sering menjadi lokasi kanak-kanak mandi serta aktiviti memancing, jadi saya segera menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Melaka untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita, hari ini.


Beliau berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu turut berada di lokasi melakukan pemantauan sebelum kes diserahkan kepada pihak Perhilitan.


Sementara itu, Pengarah Perhilitan Melaka, Petra Sulai ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menghantar kakitangan untuk mengesan reptilia berkenaan.


Kelibat seekor buaya sepanjang kira-kira 1.5 meter sempat dirakam pemancing ketika muncul di tebing sungai Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka tengah hari tadi.
Berang ditegur merokok, lelaki serang pasangan suami isteri di restoran

Berang ditegur merokok, lelaki serang pasangan suami isteri di restoran


Seorang lelaki bertindak menyerang pasangan suami isteri selepas ditegur kerana merokok dalam sebuah restoran di Seksyen 13, Shah Alam, Khamis lalu.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu, mangsa yang merupakan wanita hamil bersama suaminya tidak selesa dengan tindakan suspek yang merokok di meja berdekatan.


Beliau berkata, mangsa kemudian meminta pekerja restoran menegur perbuatan suspek itu namun tidak diendahkan.


"Selepas tiga kali ditegur oleh suami mangsa, suspek bangun dan menghampiri pasangan berkenaan.


"Suspek kemudian didakwa menghembus asap rokok ke arah mangsa sebelum berlakunya pertengkaran," katanya dalam kenyataan hari ini (Isnin).


Katanya, mangsa sempat merakam kejadian kerana bimbang suaminya dicederakan.


"Suspek kemudian bertindak menepis tangan mangsa mengakibatkan telefon bimbit mangsa terjatuh.


"Insiden itu bertukar menjadi aksi tolak-menolak sebelum suspek beredar meninggalkan restoran yang ketika itu dipenuhi pelanggan," katanya.


Menurutnya, siasatan di lokasi mendapati terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kejadian berkenaan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil," katanya.


Sebelum ini tular kejadian seorang lelaki bertindak menyerang pasangan suami isteri selepas berang ditegur kerana merokok dalam kejadian di sebuah restoran di Shah Alam.


Tular kejadian seorang lelaki bertindak menyerang pasangan suami isteri selepas berang ditegur kerana merokok dalam kejadian di sebuah restoran di Shah Alam. - Foto Sinar Harian.

Ahad, 14 September 2025

Pemandu warga asing tiada lesen memandu sudah 5 tahun bawa van 'haram'

Pemandu warga asing tiada lesen memandu sudah 5 tahun bawa van 'haram'


Pemandu warga asing tanpa lesen ditahan selepas dikesan menerusi Ops Gempur Kenderaan Perdagangan ketika membawa sebuah van dengan muatan besi buruk di Jalan Iskandar, Klang, semalam.


Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, lelaki warga Pakistan berusia 40-an itu mendakwa disuruh majikannya untuk membawa van berkenaan.


"Lelaki terbabit didapati tiada lesen memandu yang sah malah kenderaan dipandunya tidak mempunyai cukai jalan dan tiada perlindungan insurans.


"Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan berkenaan mempamerkan nombor pendaftaran palsu dan semakan nombor casis mendapati didaftarkan atas sebuah syarikat," katanya.


Menurutnya, hasil soal siasat pemandu terbabit mengaku bekerja sebagai pemandu van membawa besi buruk berkenaan sejak lima tahun lalu.


Sementara itu Azrin berkata, sebanyak 75 kenderaan diperiksa terdiri daripada 30 kenderaan persendirian, perdagangan (40), dan perkhidmatan awam (lima) menerusi operasi itu yang dijalankan oleh empat anggota serta pegawai.


"Keseluruhannya 58 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, tiada insurans, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, memandu bawah umur, dan langgar lampu isyarat merah.


"JPJ Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dan memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan," katanya.


Seorang lelaki warga Pakistan berusia 40-an ditahan kerana didapati memandu van menggunakan nombor pendaftaran palsu dan tiada lesen memandu. - Foto JPJ Selangor.
Wang KWSP lesap, rugi RM537,000 penyelia kilang diperdaya sindiket melalui telefon

Wang KWSP lesap, rugi RM537,000 penyelia kilang diperdaya sindiket melalui telefon


Seorang penyelia kilang berusia 59 tahun berputih mata apabila wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM400,000 miliknya lesap selepas diperdaya sindiket penyamaran melalui panggilan telefon.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian itu berlaku apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang kononnya menyamar sebagai ejen insurans dan pegawai polis pada 31 Ogos 2024.


Menurutnya, suspek mendakwa kononnya mangsa sedang disiasat oleh pihak polis kerana terlibat dalam membuat tuntutan insurans palsu di sebuah hospital swasta di Selangor.


"Mangsa kemudian diarahkan membuka akaun simpanan di sebuah bank dan memindahkan wang KWSP berjumlah RM400,000 ke akaun tersebut, selain turut menyerahkan akses penggunaan akaun kepada suspek.


"Hasil siasatan mendapati terdapat 21 transaksi pemindahan wang ke lapan akaun bank berbeza, dengan jumlah keseluruhan RM400,000 antara 5 hingga 11 September 2024," katanya ketika dihubungi hari ini (Ahad).


Tambah beliau, mangsa sekali lagi terperdaya apabila membuat 56 transaksi ke 30 akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM137,000 antara 9 Februari hingga 12 September 2025.


"Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas suspek gagal dihubungi, dengan kerugian keseluruhan dialaminya berjumlah RM537,000," katanya.


Beliau berkata, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada Ahad dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Dalam pada itu, Mohd Razi menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan panggilan telefon daripada pihak yang tidak dikenali.


"Orang ramai disaran membuat semakan nombor telefon atau akaun bank yang meragukan melalui aplikasi Semak Mule. Selain itu, hubungi talian National Scam Response Centre (NSRC) 997 untuk pengesahan sebelum melakukan sebarang transaksi," katanya.

Sabtu, 13 September 2025

Suami isteri pegawai imigresen buka kedai emas hasil wang rasuah ditahan SPRM

Suami isteri pegawai imigresen buka kedai emas hasil wang rasuah ditahan SPRM


Sepasang suami isteri pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) disyaki menggunakan wang rasuah diterima dalam tempoh empat tahun untuk membuka sebuah kedai emas dengan modal kira-kira RM600,000.


Dalam tempoh itu, kedua-dua suspek dipercayai berperanan mengatur kemasukan warga asing tanpa dokumen lengkap ke negara ini.


Memetik laman TikTok rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), siasatan mendedahkan pasangan terbabit menggunakan nama adik wanita berkenaan dan anak mereka sendiri sebagai proksi bagi membuka kedai emas tersebut.


Operasi khas Op Dygo turut menahan reman pasangan berusia lingkungan 40-an itu selama lima hari sehingga 14 September di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, suspek terlibat dalam tugasan program pemutihan yang bertujuan memberi peluang kepada majikan mendapatkan permit kerja sah bagi pekerja asing tanpa permit.


Menurutnya, proses berkenaan memerlukan majikan menghantar fail pekerja warga asing untuk semakan pertama oleh bahagian penguat kuasa.


"Setelah melepasi peringkat pertama tapisan, majikan perlu membawa fail kepada suspek untuk menentukan kelengkapan dokumen sebelum memperoleh Akaun Penerimaan (AP).


"Bagaimanapun, bagi mempercepatkan proses daripada tujuh hari kepada tiga hari sahaja, majikan dipercayai perlu membayar RM700 bagi setiap seorang warga asing," katanya.


Beliau menjelaskan, bayaran rasuah tersebut diterima secara tunai serta diagihkan kepada pegawai lain yang menguruskan fail, manakala suspek menerima RM150 bagi setiap seorang warga asing.


Dalam tempoh empat tahun bermula 2020, suspek dipercayai mengumpul kira-kira RM900,000 yang digunakan untuk membuka kedai emas selain membeli sebuah kereta mewah.


Hasil serbuan SPRM di kedai barangan kemas di Pahang menemui simpanan emas dianggarkan seberat tiga kilogram dengan nilai semasa kira-kira RM1.4 juta. Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.


Sebuah kedai emas di Pahang diserbu SPRM untuk siasatan kes rasuah. - Foto Sinar Harian.
Tidak puas hati isu harta dipercayai jadi punca anak kandung tikam bapa hingga maut

Tidak puas hati isu harta dipercayai jadi punca anak kandung tikam bapa hingga maut


Tidak puas hati berkaitan isu harta dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga emas maut ditikam oleh anaknya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Permaisuri, Cheras hari ini (Sabtu).


Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Ridzuan Khalid berkata, suspek dipercayai bertindak demikian kerana perselisihan berhubung harta keluarga.


"Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan penganggur tidak berpuas hati mengenai isu harta sehingga bertindak menikam mangsa.


"Pemeriksaan mendapati mangsa cedera parah di bahagian muka dan kepala akibat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sebelum ini media tempatan melaporkan seorang lelaki warga emas maut ditikam anak kandungnya di sebuah pangsapuri di Bandar Permaisuri, Cheras.


Ridzuan berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian berkenaan pada jam 3.01 pagi pada Sabtu.


Beliau berkata, mangsa berusia 62 tahun ditemui dalam keadaan terlentang di ruang tamu kediamannya dengan kesan tikaman sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras untuk proses bedah siasat.


Menurutnya, anak lelaki mangsa berusia 24 tahun kemudiannya diberkas dan direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Suspek (duduk kiri) berusia 24 tahun yang menikam bapanya di sebuah pangsapuri di Bandar Permaisuri, Cheras ditahan. - Foto PDRM.
'Pas fokus menang PRU16, bukan isu calon Perdana Menteri' - Tuan Ibrahim

'Pas fokus menang PRU16, bukan isu calon Perdana Menteri' - Tuan Ibrahim


Tumpuan utama Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) adalah meningkatkan gerak kerja bagi memastikan kemenangan, berbanding membincangkan soal calon Perdana Menteri.


Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebarang keputusan besar termasuk berkaitan calon Perdana Menteri hanya akan diputuskan menerusi mesyuarat tertinggi Perikatan Nasional (PN).


Menurutnya, apa-apa keputusan penting khususnya yang melibatkan dasar akan dibawa dalam mesyuarat PN atau Majlis Presiden.


"Dalam Pas, ramai tokoh berwibawa yang boleh diketengahkan, tetapi bagi kami yang lebih penting adalah menang pilihan raya dahulu. Calon Perdana Menteri ini akan diputuskan dalam mesyuarat PN," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat ke-66 di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar semalam (Jumaat).


Mengulas mengenai keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang meluluskan usul mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, Tuan Ibrahim menegaskan perkara itu adalah hak setiap parti.


"Itu hak parti masing-masing dan kita menghormati hak itu. Bagi saya, yang penting sekarang ialah memperkukuh gerak kerja pilihan raya," katanya.


Ditanya mengenai kemungkinan Pas membawa usul mencalonkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri dalam muktamar parti itu, Tuan Ibrahim menjelaskan setakat ini tiada usul seumpama itu diterima.


"Biasanya usul dihantar awal untuk dibincang dalam jawatankuasa usul sebelum dibawa ke Muktamar.


"Kita ada mesyuarat terakhir pada Ahad ini untuk kita tengok semua usul. Sepanjang maklumat saya, tidak ada usul tersebut sehingga setakat ini," ujarnya.


Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan wujud usul tergempar berkaitan isu tersebut pada saat akhir.


Tuan Ibrahim ketika hadir pada perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat ke-66 di Kompleks Pas Kedah pada Jumaat. - Foto Sinar Harian.

Jumaat, 12 September 2025

Pencuri panjat pagar kebas 9 pasang kasut sukan bernilai lebih RM2,000

Pencuri panjat pagar kebas 9 pasang kasut sukan bernilai lebih RM2,000


Dua orang lelaki mengundang perhatian orang ramai apabila dirakam mencuri sembilan pasang kasut sukan di sebuah rumah di Kota Malang, wilayah Jawa Timur, lapor portal berita Bhinneka Nusantara.


Kejadian berlaku di sebuah kejiranan dalam daerah Blimbing, beberapa hari lalu.


Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki memanjat pagar lalu mengambil beberapa pasang kasut yang terletak di halaman sebuah rumah.


Pemilik rumah tersebut, Nguroho Wisnu berkata, kecurian itu diketahui apabila pasu bunga yang sepatutnya tergantung, tiba-tiba berada di lantai.


"Saya segera memeriksa rak kasut. Rupa-rupanya ada sembilan pasang kasut yang hilang. Jumlah kerugian adalah sekitar 10 juta rupiah (RM2,568).


"Seorang lelaki ditugaskan untuk memanjat pagar dan mengambil kasut, manakala rakannya menunggu di luar rumah untuk memerhatikan suasana," kata Nguroho.


Ketua Perhubungan Awam Polis Kota Malang, Inspektor Pertama Yudi Risdiyanto menggesa mangsa untuk membuat laporan rasmi agar siasatan boleh dijalankan.


Tangkap layar video menunjukkan seorang lelaki memanjat pagar sebelum mengambil beberapa kasut sukan. - Foto Bhinneka Nusantara.