Khamis, 11 September 2025

Cuba curi kabel, lelaki terperangkap di tiang landasan MRT diselamatkan Bomba

Cuba curi kabel, lelaki terperangkap di tiang landasan MRT diselamatkan Bomba

 

Pasukan penyelamat terpaksa dikerah ke Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di Kuala Lumpur bagi menurunkan seorang lelaki yang terperangkap di tiang landasan tren aliran massa (MRT) selepas dikatakan cuba mencuri kabel.


Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) dalam kenyataan berkata, sebuah jentera dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas dikerah ke lokasi sejurus terima panggilan pada 2.41 pagi semalam (Rabu).


"Anggota operasi menjalankan kerja penyelamatan dengan bantuan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) bagi menurunkan mangsa dengan selamat.


"Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun berjaya diturunkan dan diserah kepada polis untuk tindakan selanjutnya.


"Menurut polis, individu berkenaan disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah mencuri kabel," katanya dalam kenyataan hari ini.


PGOKL berkata, seramai 12 anggota dan pegawai lain-lain pangkat terbabit dalam operasi menyelamat itu.


Pasukan penyelamat membawa turun seorang lelaki dikatakan tersangkut selepas cuba mencuri kabel. - Foto PGOKL.
Ibu tunggal dicekup berkhalwat bersama pasangan di pondok belakang rumah

Ibu tunggal dicekup berkhalwat bersama pasangan di pondok belakang rumah


Seorang ibu tunggal dicekup berkhalwat dengan teman lelakinya di sebuah pondok kecil yang tidak ubah seperti stor di belakang rumah teman lelakinya di sebuah penempatan Felda, Kulim hari ini.


Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kegiatan maksiat di situ dan bergegas ke lokasi pada 1.20 pagi.


Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, pondok kecil itu tertutup dari dalam dan selepas mengetuknya berkali-kali, seorang lelaki hanya berseluar panjang tanpa baju, membukanya.


"Pemeriksaan lanjut dalam pondok itu menemukan seorang wanita hanya berselimut di atas katil.


"Hasil soal siasat mendapati, pasangan itu gagal menunjukkan mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri dan disyaki berkhalwat," katanya ketika dihubungi hari ini.


Anwar Shariffudin berkata, wanita berusia 45 tahun itu mendakwa bercerai dengan bekas suaminya setahun lalu dan mempunyai dua anak berusia 12 dan 21 tahun.


Beliau berkata, wanita itu bekerja menjual kuih dan menetap di Sungai Petani.


"Dia mengaku mengenali lelaki berusia 30 tahun itu lebih setahun lalu ketika bekerja di sebuah kedai makan di kawasan itu.


"Lelaki itu pula masih bujang dan hidup yatim piatu selepas ibu bapanya meninggal dunia dan tinggal bersama kakaknya di situ," katanya.


Menurutnya, wanita itu mendakwa rapat dengan lelaki itu selepas dia bercerai dan memberi alasan tumpang bermalam di situ kerana datang dari Sungai Petani untuk bertemu dengan anak serta ibu bapanya.


Katanya, pasangan itu mendakwa hubungan mereka tidak direstui keluarga, malah keluarga lelaki berkenaan tidak tahu mereka bermalam di situ.


"Mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke balai polis berhampiran untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat," katanya.


Penguatkuasa (kiri) menyoal lelaki yang dicekup berkhalwat dengan pasangannya yang berselimut di sebuah pondok kecil di sebuah penempatan Felda dekat Kulim. - Foto PADK.

Rabu, 10 September 2025

BERSATU Kelantan akui tandatangan SD, sokong Hamzah terajui parti, desak Muhyiddin berundur

BERSATU Kelantan akui tandatangan SD, sokong Hamzah terajui parti, desak Muhyiddin berundur


Sekurang-kurangnya enam daripada 14 ketua bahagian BERSATU di Kelantan setakat ini mengakui menandatangani akuan bersumpah (SD) yang mendesak presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur dengan memberikan jawatan berkenaan kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin.


Seorang ketua bahagian BERSATU yang enggan dikenali berkata, enam ketua bahagian berkenaan antara 120 ketua bahagian yang hadir pada pertemuan di ibu negara awal bulan ini.


Katanya, ada yang mendakwa SD berkenaan tidak wujud kononnya tidak mahu isu SD diperbesarkan sedangkan perkara itu sebenarnya wujud.


"Mereka (ketua bahagian) yang hadir pada pertemuan berkenaan adalah 120 orang dan semua mereka tandatangan SD berkenaan. Bagi ketua bahagian yang tidak hadir atas urusan tertentu, SD berkenaan dihantar untuk ditandatangani sekiranya menyokong perkara berkenaan," katanya ketika dihubungi.


Beliau berkata, menerusi tandatangan SD berkenaan jelas menyaksikan Hamzah mendapat sokongan tinggi dalam kalangan ketua bahagian.


"Perlu faham, kita bukan mendesak perkara yang tidak wujud, sebaliknya SD berkenaan ditandatangani supaya Muhyiddin menunaikan janji sebagaimana yang disenaraikan dalam pelan penggantian yang dibuat Muhyiddin pada tahun lalu dengan menamakan Hamzah sebagai calon Timbalan Presiden dan bakal pengganti yang mengambil alih amanah presiden parti," katanya.


Di Alor Setar, Ketua Penerangan BERSATU Kedah, Khairul Anuar Ramli, menafikan wujud SD membabitkan 120 Ketua Bahagian BERSATU mendesak Muhyiddin berundur, sebaliknya ia sengaja dibangkitkan kerana agenda dan kepentingan tersendiri pihak tertentu.


Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Padang Serai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, bagaimanapun tidak menafikan ada perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli terhadap kepimpinan parti, namun menganggap ia perkara biasa dalam mana-mana organisasi.


"Ada 120 SD itu tak benar, cuma digembar-gembur beberapa pihak yang ada agenda tersendiri. Kita boleh tengok kebenarannya apabila usul PAT meluluskan sebulat suara Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-11," katanya.


"Jelas maknanya SD itu tak ada, jika wujud sudah tentu usul itu tak lulus sebulat suara, yang sokong adalah semua perwakilan yang sah, bukan ahli biasa yang tak dibenarkan masuk ke dewan," katanya ketika dihubungi semalam. - Sumber Harian Metro.


Tan Sri Muhyiddin Yassin.
SPRM tahan 18 pegawai penguat kuasa disyaki terlibat 'counter setting'

SPRM tahan 18 pegawai penguat kuasa disyaki terlibat 'counter setting'


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 27 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa ekoran disyaki terlibat sindiket 'counter setting' bagi melepaskan warga asing masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur ditetapkan.


Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman membenarkan 13 individu terdiri empat pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat, seorang pengurus syarikat dan tiga orang awam direman selama tiga hari sehingga 12 September depan.


Manakala, Majistret Uthman Abd. Ghani membenarkan tiga pegawai agensi penguat kuasa direman selama empat hari sehingga 13 September serta dua lagi selama lima hari sehingga 14 September depan.


Kesemua perintah reman itu dikeluarkan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor dan Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, pagi tadi.


Sementara itu, Majistret Sara Afiqah Zulkipli membenarkan lapan pegawai agensi penguat kuasa direman selama tujuh hari sehingga 16 September, manakala Majistret S. Arunjothy membenarkan seorang lagi pegawai agensi penguat kuasa direman selama lima hari sehingga 14 September.


Ia selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.


Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada 19 lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an ditahan menerusi operasi di sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan pada Selasa.


"Suspek yang ditahan disyaki terlibat sindikit counter setting di mana mereka dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukkan warga negara asing ke negara ini tanpa menerusi prosedur yang ditetapkan.


"Susulan operasi itu juga SPRM telah menyita wang tunai lebih RM200,000, beberapa unit barangan kemas, kepingan emas, kereta, motosikal, beg tangan, jam tangan dan peranti telekomunikasi," katanya tadi.


SPRM turut membekukan 40 akaun perbankan melibatkan 34 akaun individu dan enam akaun syarikat melibatkan nilai lebih RM1 juta.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.


Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi mendapatkan perintah reman, hari ini. - Foto SPRM.

Selasa, 9 September 2025

Curi kabel naik Jaguar, dua lelaki dicekup lepas terbabit kemalangan

Curi kabel naik Jaguar, dua lelaki dicekup lepas terbabit kemalangan


Taktik licik dua lelaki menggunakan kereta mewah jenis Jaguar untuk mencuri kabel telekomunikasi terbongkar apabila seorang daripada mereka dicekup selepas terlibat kemalangan di Pekan Junjung, Kulim semalam.


Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi, kereta dinaiki dua suspek dikejar polis sebelum terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal. Mereka cuba melarikan diri, namun seorang suspek berusia 36 tahun berjaya ditahan.


Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, hasil penahanan itu, pihaknya merampas satu peket plastik lut sinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu dan peralatan mencuri kabel.


"Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku masuk ke kawasan Junjung bersama rakannya untuk mencuri kabel. Kereta mewah yang digunakan didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dipercayai dicuri di tempat lain," katanya hari ini.


Katanya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut susulan aduan kecurian yang dibuat oleh sebuah syarikat telekomunikasi pada 20 Ogos lalu.


"Syarikat berkenaan menerima aduan daripada pelanggannya mengenai gangguan telekomunikasi di kawasan Kulim Hi-Tech. Berdasarkan aduan itu, kakitangan syarikat membuat pemeriksaan di kabin milik syarikat dan mendapati ada kesan kabel dipotong lalu membuat aduan kepada polis," katanya.


Suspek yang mempunyai sembilan rekod jenayah dan positif dadah jenis methamphetamine direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.


Kereta mewah jenis Jaguar yang disyaki digunakan suspek untuk mencuri kabel di Pekan Junjung, Kulim semalam.
Peniaga didenda RM20,000 jadi keldai akaun kepada scammer

Peniaga didenda RM20,000 jadi keldai akaun kepada scammer


Tindakan seorang peniaga kedai alat ganti sewakan tiga akaun kepada sindiket penipuan pelaburan dan tawaran kerja membawa padah apabila didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Muar hari ini.


Tertuduh, Tan Bo Xu, 25, yang bakal dituduh berkaitan kes sama di beberapa negeri, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.


Mengikut pertuduhan, tertuduh masih bujang didakwa secara tidak langsung terbabit dalam transaksi kemasukan wang berjumlah RM60,000 ke dalam akaun miliknya tanpa tujuan sah, di dua buah bank dalam daerah Muar, pada pukul 3.21 petang, 8 Januari lalu.


Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424C (1) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2004 yang boleh didenda sehingga RM150,000 atau penjara maksimum 10 tahun.


Berdasarkan fakta kes, wanita berusia 31 tahun membuat laporan polis mengatakan menerima panggilan daripada seorang wanita tidak dikenali mendakwa nombornya digunakan untuk menyebar pautan palsu berkenaan tawaran kerja dan pelaburan.


Disebabkan ketakutan, mangsa memasukkan wang berjumlah RM60,000 ke dalam dua akaun atas nama tertuduh selepas turut diugut sindiket itu.


Siasatan polis mendapati, akaun digunakan sindiket adalah milik tertuduh yang mana diserahkan kepada seorang lelaki tidak dikenali untuk mendapatkan komisyen.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Pada masa sama, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.


Bo Xu didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Muar hari ini selepas didapati bersalah menyewakan akaun bank miliknya kepada scammer. - Foto Kosmo Online.

Isnin, 8 September 2025

5 tahun bersekedudukan hingga lahirkan 2 anak, janda dan kekasih dicekup JAINJ

5 tahun bersekedudukan hingga lahirkan 2 anak, janda dan kekasih dicekup JAINJ

 

Lima tahun bersekedudukan hingga melahirkan dua anak tidak sah taraf. Itulah pembongkaran mengejutkan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas menyerbu sebuah rumah dalam daerah Kluang tengah malam, semalam.


Serbuan dilakukan pada jam 12 tengah malam, hasil maklumat awam, menemukan pasangan lelaki dan wanita berstatus janda dengan kedua-duanya berusia 30-an serta dua kanak-kanak dalam rumah terbabit.


Menurut JAINJ, pasangan ini tinggal di rumah sewa sejak lima tahun lalu dan kehidupan mereka berdua bagaikan suami isteri.


Katanya, wanita itu pernah bernikah di luar negara sebelum ini namun dia ditinggalkan suami terdahulu.


"Sepanjang tempoh mereka tinggal bersama, penguat kuasa tidak menerima aduan mengenai kedudukan pasangan terbabit.


"Penguat kuasa JAINJ mengambil keterangan pasangan itu untuk siasatan lanjut. Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.


"Hukumannya adalah denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau sebatan ataupun ketiga-tiga hukuman terbabit, jika didapati bersalah," katanya.


Penguat kuasa menyerbu sebuah yang didiami duda dan janda yang disyaki bersekedudukan. - Foto JAINJ.
Vaksin kanser Russia keberkesanan tinggi sedia dikeluarkan

Vaksin kanser Russia keberkesanan tinggi sedia dikeluarkan


Vaksin kanser yang baru dibangunkan oleh Russia menunjukkan keberkesanan tinggi dalam ujian praklinikal dan kini bersedia untuk dilancarkan, lapor portal berita RT News semalam yang memetik kenyataan Ketua Agensi Perubatan Biologi Persekutuan, Veronika Skvortsova.


Ubat penemuan baharu itu sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Russia.


Menurut pegawai itu, vaksin tersebut menunjukkan hasil yang cemerlang sepanjang tiga tahun ujian praklinikal.


"Ujian itu telah membuktikan keselamatan vaksin, termasuk penggunaannya secara berulang dan tinggi keberkesanannya yang dikaitkan dengan pengurangan saiz tumor dan perlambatan pertumbuhan tumor," katanya kepada akhbar Izvestia di luar Forum Ekonomi Timur di Vladivostok.


Beliau menambah bahawa dalam beberapa jenis kanser, kesan vaksin itu mencapai 60 peratus hingga 80 peratus.


"Kajian juga menunjukkan peningkatan kadar kelangsungan hidup yang sangat penting.


"Kami telah menyerahkan dokumen kepada Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan kebenaran bagi penggunaan klinikal" tambah pegawai itu.


Beliau berkata, pelancaran awal dirancang untuk kanser kolorektum diikuti dengan suntikan bagi glioblastoma dan melanoma.


Menurut penciptanya, Institut Penyelidikan Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya, ia merupakan vaksin berasaskan mRNA yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk melatih sistem imun pesakit menyerang sel-sel kanser.


Ketua institut, Alexander Gintsburg sebelum ini berkata bahawa vaksin itu tertakluk kepada rangka kerja peraturan unik kerana sifatnya. 


"Ini adalah proses yang pada asasnya berbeza daripada pendaftaran ubat standard," katanya bulan lalu.


Institut itu juga membangunkan vaksin Covid-19, Sputnik V Russia dan kini sedang berusaha untuk mengeluarkan vaksin HIV menggunakan teknologi mRNA yang sama.


Gambar fail Veronika Skvortsova (tiga dari kiri) di Pusat Gamaleya Center, Moscow. - Foto Ria Novosti.
 'Jangan ghairah umum keputusan penting PN' - Sanusi tegur Bersatu isu calon PM

'Jangan ghairah umum keputusan penting PN' - Sanusi tegur Bersatu isu calon PM


Seorang pemimpin PAS menegur Bersatu supaya tidak terlalu 'ghairah bersendirian' membuat keputusan politik penting atas nama Perikatan Nasional (PN), termasuk berkaitan calon perdana menteri.


Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor berkata sebarang keputusan penting tidak boleh dibuat secara solo oleh Bersatu tanpa konsensus bersama rakan komponen PN.


"Contohnya, memutuskan atau menamakan calon perdana menteri dari PN secara sendiri tanpa persetujuan komponen lain.


"Begitu juga dalam percaturan kerusi di DUN Sabah dengan menamakan seseorang sebagai calon ketua menteri. Pandangan saya Bersatu jangan jadi ghairah seorang diri," kata Sanusi.


Kenyataan ketua pengarah pilihan raya PN itu menyusul selepas Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali mengumumkan Perhimpunan Agung Tahunan parti berkenaan sebulat suara menyokong dan meluluskan Presiden Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri ke-11.


Isu calon perdana menteri atau 'poster boy' PN pada PRU16 sering dibangkitkan, malah menimbulkan percanggahan dalam kalangan pemimpin komponen gabungan itu.


Pada November tahun lalu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, menafikan Muhyiddin telah disahkan sebagai calon rasmi PN bagi PRU16, sambil menegaskan PAS wajar mengetuai gabungan tersebut.


Namun, beberapa pemimpin Bersatu dan Gerakan terus menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebagai calon utama perdana menteri mewakili PN.


Bagaimanapun, pada 29 Julai lalu, Hashim berkata PN hanya akan memutuskan calon perdana menterinya selepas gabungan itu berjaya mengambil alih pentadbiran Putrajaya.


Berhubung calon ketua menteri Sabah, Muhyiddin yang juga pengerusi PN dilaporkan berkata beliau tidak menolak kemungkinan Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee, menjadi pilihan.


Namun, beliau menegaskan perkara itu masih belum dibincangkan dan diputuskan di peringkat kepimpinan Bersatu setakat ini.


Sanusi Nor berkata keputusan penting termasuk calon perdana menteri tidak boleh dibuat secara solo oleh Bersatu tanpa konsensus rakan komponen PN. - Foto FMT.

Ahad, 7 September 2025

Suspek kes pembunuhan Sahroni, 5 sekeluarga akhirnya diberkas polis

Suspek kes pembunuhan Sahroni, 5 sekeluarga akhirnya diberkas polis


Kes pembunuhan lima sekeluarga yang menggemparkan penduduk Indramayu, wilayah Jawa Barat, akhirnya menemui petunjuk jelas apabila polis berjaya menangkap suspek, lapor laman berita Ntvnews.id semalam.


Mayat lelaki bernama Sahroni, 76, bersama empat anggota keluarganya ditemukan tertanam di dalam satu lubang di belakang rumah mereka.


Polis berkata, keluarga itu menjadi mangsa pembunuhan yang disyaki dilakukan oleh anak angkat Sahroni sendiri.


Berita mengejutkan itu pertama kali tular melalui hantaran di platform Instagram milik akaun @suc731 kelmarin.



"Suspek pembunuhan Sahroni sudah ditangkap di Indramayu. Pelakunya ialah anak angkat mangsa sendiri yang masih remaja," tulis keterangan dalam hantaran tersebut.


Kes itu bermula apabila polis menerima laporan mengenai kehilangan keluarga Sahroni. Setelah menjalankan siasatan, pihak berkuasa menemukan mayat lima mangsa dalam satu lubang yang tertutup.


Kelima-lima mangsa dikenal pasti sebagai Sahroni (76), anak kandungnya, Budi Awaludin (40), menantu, Euis Juwita Sari (37), cucu, Ratu Khairunnisa (7) dan seorang lagi cucu, Bela, 10 bulan.


Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Jawa Barat, Senior Asisten Komisioner, Hendra Rochmawan mengesahkan penangkapan itu dan berkata, semua mangsa dipercayai menjadi mangsa jenayah pembunuhan.


Gambar fail rumah keluarga Sahroni. - Foto Kompas.