Taktik licik dua lelaki menggunakan kereta mewah jenis Jaguar untuk mencuri kabel telekomunikasi terbongkar apabila seorang daripada mereka dicekup selepas terlibat kemalangan di Pekan Junjung, Kulim semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi, kereta dinaiki dua suspek dikejar polis sebelum terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal. Mereka cuba melarikan diri, namun seorang suspek berusia 36 tahun berjaya ditahan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, hasil penahanan itu, pihaknya merampas satu peket plastik lut sinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu dan peralatan mencuri kabel.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku masuk ke kawasan Junjung bersama rakannya untuk mencuri kabel. Kereta mewah yang digunakan didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dipercayai dicuri di tempat lain," katanya hari ini.
Katanya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut susulan aduan kecurian yang dibuat oleh sebuah syarikat telekomunikasi pada 20 Ogos lalu.
"Syarikat berkenaan menerima aduan daripada pelanggannya mengenai gangguan telekomunikasi di kawasan Kulim Hi-Tech. Berdasarkan aduan itu, kakitangan syarikat membuat pemeriksaan di kabin milik syarikat dan mendapati ada kesan kabel dipotong lalu membuat aduan kepada polis," katanya.
Suspek yang mempunyai sembilan rekod jenayah dan positif dadah jenis methamphetamine direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.
EmoticonEmoticon