Tindakan seorang peniaga kedai alat ganti sewakan tiga akaun kepada sindiket penipuan pelaburan dan tawaran kerja membawa padah apabila didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Muar hari ini.
Tertuduh, Tan Bo Xu, 25, yang bakal dituduh berkaitan kes sama di beberapa negeri, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, tertuduh masih bujang didakwa secara tidak langsung terbabit dalam transaksi kemasukan wang berjumlah RM60,000 ke dalam akaun miliknya tanpa tujuan sah, di dua buah bank dalam daerah Muar, pada pukul 3.21 petang, 8 Januari lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424C (1) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2004 yang boleh didenda sehingga RM150,000 atau penjara maksimum 10 tahun.
Berdasarkan fakta kes, wanita berusia 31 tahun membuat laporan polis mengatakan menerima panggilan daripada seorang wanita tidak dikenali mendakwa nombornya digunakan untuk menyebar pautan palsu berkenaan tawaran kerja dan pelaburan.
Disebabkan ketakutan, mangsa memasukkan wang berjumlah RM60,000 ke dalam dua akaun atas nama tertuduh selepas turut diugut sindiket itu.
Siasatan polis mendapati, akaun digunakan sindiket adalah milik tertuduh yang mana diserahkan kepada seorang lelaki tidak dikenali untuk mendapatkan komisyen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada masa sama, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.
EmoticonEmoticon