Isnin, 8 September 2025

'Jangan ghairah umum keputusan penting PN' - Sanusi tegur Bersatu isu calon PM


Seorang pemimpin PAS menegur Bersatu supaya tidak terlalu 'ghairah bersendirian' membuat keputusan politik penting atas nama Perikatan Nasional (PN), termasuk berkaitan calon perdana menteri.


Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor berkata sebarang keputusan penting tidak boleh dibuat secara solo oleh Bersatu tanpa konsensus bersama rakan komponen PN.


"Contohnya, memutuskan atau menamakan calon perdana menteri dari PN secara sendiri tanpa persetujuan komponen lain.


"Begitu juga dalam percaturan kerusi di DUN Sabah dengan menamakan seseorang sebagai calon ketua menteri. Pandangan saya Bersatu jangan jadi ghairah seorang diri," kata Sanusi.


Kenyataan ketua pengarah pilihan raya PN itu menyusul selepas Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali mengumumkan Perhimpunan Agung Tahunan parti berkenaan sebulat suara menyokong dan meluluskan Presiden Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri ke-11.


Isu calon perdana menteri atau 'poster boy' PN pada PRU16 sering dibangkitkan, malah menimbulkan percanggahan dalam kalangan pemimpin komponen gabungan itu.


Pada November tahun lalu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, menafikan Muhyiddin telah disahkan sebagai calon rasmi PN bagi PRU16, sambil menegaskan PAS wajar mengetuai gabungan tersebut.


Namun, beberapa pemimpin Bersatu dan Gerakan terus menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebagai calon utama perdana menteri mewakili PN.


Bagaimanapun, pada 29 Julai lalu, Hashim berkata PN hanya akan memutuskan calon perdana menterinya selepas gabungan itu berjaya mengambil alih pentadbiran Putrajaya.


Berhubung calon ketua menteri Sabah, Muhyiddin yang juga pengerusi PN dilaporkan berkata beliau tidak menolak kemungkinan Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee, menjadi pilihan.


Namun, beliau menegaskan perkara itu masih belum dibincangkan dan diputuskan di peringkat kepimpinan Bersatu setakat ini.


Sanusi Nor berkata keputusan penting termasuk calon perdana menteri tidak boleh dibuat secara solo oleh Bersatu tanpa konsensus rakan komponen PN. - Foto FMT.


EmoticonEmoticon