Rabu, 10 September 2025

BERSATU Kelantan akui tandatangan SD, sokong Hamzah terajui parti, desak Muhyiddin berundur


Sekurang-kurangnya enam daripada 14 ketua bahagian BERSATU di Kelantan setakat ini mengakui menandatangani akuan bersumpah (SD) yang mendesak presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur dengan memberikan jawatan berkenaan kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin.


Seorang ketua bahagian BERSATU yang enggan dikenali berkata, enam ketua bahagian berkenaan antara 120 ketua bahagian yang hadir pada pertemuan di ibu negara awal bulan ini.


Katanya, ada yang mendakwa SD berkenaan tidak wujud kononnya tidak mahu isu SD diperbesarkan sedangkan perkara itu sebenarnya wujud.


"Mereka (ketua bahagian) yang hadir pada pertemuan berkenaan adalah 120 orang dan semua mereka tandatangan SD berkenaan. Bagi ketua bahagian yang tidak hadir atas urusan tertentu, SD berkenaan dihantar untuk ditandatangani sekiranya menyokong perkara berkenaan," katanya ketika dihubungi.


Beliau berkata, menerusi tandatangan SD berkenaan jelas menyaksikan Hamzah mendapat sokongan tinggi dalam kalangan ketua bahagian.


"Perlu faham, kita bukan mendesak perkara yang tidak wujud, sebaliknya SD berkenaan ditandatangani supaya Muhyiddin menunaikan janji sebagaimana yang disenaraikan dalam pelan penggantian yang dibuat Muhyiddin pada tahun lalu dengan menamakan Hamzah sebagai calon Timbalan Presiden dan bakal pengganti yang mengambil alih amanah presiden parti," katanya.


Di Alor Setar, Ketua Penerangan BERSATU Kedah, Khairul Anuar Ramli, menafikan wujud SD membabitkan 120 Ketua Bahagian BERSATU mendesak Muhyiddin berundur, sebaliknya ia sengaja dibangkitkan kerana agenda dan kepentingan tersendiri pihak tertentu.


Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Padang Serai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, bagaimanapun tidak menafikan ada perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli terhadap kepimpinan parti, namun menganggap ia perkara biasa dalam mana-mana organisasi.


"Ada 120 SD itu tak benar, cuma digembar-gembur beberapa pihak yang ada agenda tersendiri. Kita boleh tengok kebenarannya apabila usul PAT meluluskan sebulat suara Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-11," katanya.


"Jelas maknanya SD itu tak ada, jika wujud sudah tentu usul itu tak lulus sebulat suara, yang sokong adalah semua perwakilan yang sah, bukan ahli biasa yang tak dibenarkan masuk ke dewan," katanya ketika dihubungi semalam. - Sumber Harian Metro.


Tan Sri Muhyiddin Yassin.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon