Rabu, 3 September 2025

Pelancong asing terkejut jumpa rusa 'kayangan' di tepi tasik

Pelancong asing terkejut jumpa rusa 'kayangan' di tepi tasik


Seorang pelancong asing menemui seekor rusa jantan berwarna putih berkeliaran di tepi tasik Loch of the Lowes dekat Dunkeld, Scotland, lapor portal berita MailOnline semalam.


Menurut cerita rakyat, rusa putih tidak pernah dapat ditangkap, melambangkan pencarian abadi manusia terhadap sesuatu yang mustahil dicapai.


Pelancong dari Belanda, Jose van Hell terkejut terserempak dengan haiwan itu ketika dia mengembara.


"Dalam perjalanan ke Pitlochry, kami singgah di Loch of the Lowes. Kami sempat berbual dengan seorang sukarelawan di sana, dia memberitahu kami tentang rusa putih itu.


"Bagi kami ia sangat ajaib. Nasib baik rusa itu bangun dan bergerak, kalau tidak saya akan percaya haiwan itu hanyalah sebuah patung.


"Ini merupakan salah satu detik paling indah dalam perjalanan kami dan memori yang tidak akan kami lupakan," katanya.


Seorang pelancong asing terjumpa seekor rusa putih. - Foto Jam Press/Jose van Hell.

Selasa, 2 September 2025

Presiden China sifatkan hubungan dengan Malaysia erat seperti air sentiasa mengalir

Presiden China sifatkan hubungan dengan Malaysia erat seperti air sentiasa mengalir


Presiden China, Xi Jinping menyifatkan hubungan rapat antara China dan Malaysia 'erat ibarat air yang sentiasa mengalir'.


Beliau berkata, hubungan China-Malaysia yang terjalin sejak lebih 50 tahun lalu menyaksikan kedua-dua negara bekerjasama menuju pemodenan.


Jinping juga mengakui kehangatan sambutan rakyat Malaysia ketika lawatan beliau ke Kuala Lumpur meninggalkan kesan mendalam padanya.


"China dan Malaysia berkongsi persahabatan yang lama terjalin, erat seperti air yang mengalir. Sejak hubungan diplomatik terjalin lebih setengah abad lalu, kedua-dua negara sentiasa berdiri teguh bersama menghadapi perubahan landskap antarabangsa.


"(Kedua-dua negara) berjalan seiring menuju pemodenan dan berjaya membuka lembaran baharu hubungan 'emas 50 tahun' China-Malaysia," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap sempena kunjungan hormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Great Hall of the People di Beijing, malam ini.


Dalam pada itu, Jinping menitipkan pesanan kepada Anwar untuk menyampaikan salam hormat kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.


Katanya, ketika lawatan beliau pada April lalu, kedua-dua negara mencapai kesepakatan membina komuniti strategik peringkat tinggi China-Malaysia dan berkongsi masa depan bersama.


"China sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk memajukan pembinaan komuniti strategik peringkat tinggi China-Malaysia dengan masa depan bersama.


"Ini demi memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara dan menyumbang kepada keamanan serta pembangunan serantau dan global," katanya.


Anwar hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Jinping dan Perdana Menteri China, Li Qiang di Rumah Tetamu Negara Diaoyutai.


Anwar berada di China untuk lawatan kerja selama empat hari, lawatan keempatnya sejak 2023.


Di Tianjin semalam, beliau menghadiri dan menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak SCO Plus 2025. Hari ini, beliau mempengerusikan siri mesyuarat bersama peneraju industri utama China.


Esok pula, beliau dijadualkan bertemu pemimpin dunia lain di Dataran Tiananmen bagi menyaksikan perbarisan Hari Kemenangan China.


Anwar bersalaman dengan Jinping ketika pertemuan di Great Hall of the People di Beijing, hari ini. - Foto Bernama.
Suami orang dan janda antara 3 pasangan ditahan berkhalwat dalam bilik hotel

Suami orang dan janda antara 3 pasangan ditahan berkhalwat dalam bilik hotel


Suami orang dan kekasihnya yang juga janda antara tiga pasangan ditahan selepas disyaki berkhalwat apabila ditemui berdua-duaan dalam bilik hotel ketika pemeriksaan Ops Bersepadu di Lahad Datu, tengah malam tadi.


Operasi selama empat jam bermula 9 malam itu dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.


Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Lahad Datu Mardi Ariffin berkata, operasi bersepadu itu membabitkan pemeriksaan terhadap 10 hotel di sekitar bandar ini.


Menurutnya, sebanyak 60 bilik diperiksa dan membawa kepada penahanan ketiga pasangan terbabit.


"Pasukan operasi turut merampas beberapa barangan antaranya kondom, tisu dan cecair pelincir," katanya.


Difahamkan, kesemua pasangan yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 84 (Khalwat) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah No 3/1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.


Bagi pesalah wanita, mereka juga berdepan kemungkinan ditempatkan di rumah kebajikan sehingga tiga tahun.


Antara pasangan yang ditangkap berkhalwat dalam serbuan Ops Bersepadu di beberapa hotel di Lahad Datu. - Foto Sinar Harian.

Isnin, 1 September 2025

Kereta Ahli Parlimen Dungun terbakar di LPT2 menghala ke Kuala Terengganu

Kereta Ahli Parlimen Dungun terbakar di LPT2 menghala ke Kuala Terengganu


Kereta Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dilaporkan terbakar dalam kejadian di Kilometer 330 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Kuala Terengganu hari ini (Isnin).


Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Rohaya Jamil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.47 tengah hari sebelum sebuah jentera bersama 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh digerakkan ke lokasi kejadian.


Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang terbakar hampir 95 peratus.


"Seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa berada dalam kenderaan tersebut namun kedua-duanya selamat," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran hos dari tangki air jentera bomba dan api berjaya dikawal pada jam 1.17 tengah hari sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.25 tengah hari.


Sebelum itu, insiden berkenaan tular di media sosial selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkongsi video kejadian tersebut.


"Kereta YB Ustaz Wan Hassan terbakar di LPT2 sebentar tadi. Mohon doa sahabat-sahabat dimudahkan urusan YB Ustaz dan isteri," tulisnya menerusi hantaran di laman sosial Facebook.


Kenderaan milik Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, musnah terbakar hampir 95 peratus dalam kejadian di LPT2 berhampiran susur keluar Paka, hari ini. - Foto Facebook.
Gelang emas hilang, wanita minta keringkan sungai

Gelang emas hilang, wanita minta keringkan sungai


Sebuah kolam tadahan air terjun di Indonesia terpaksa 'dikeringkan' demi mencari gelang emas milik seorang wanita yang hilang ketika berenang, lapor portal berita Lambe Turah.


Kejadian berlaku di Sungai Mudal baru-baru ini.


Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @fldzh_Ina menunjukkan beberapa petugas berusaha mencari barang kemas di sekitar kolam yang kering-kontang.


"Saya pasti gelang itu jatuh ke dalam sungai. Saya nampak gelang itu berada di pergelangan tangan sebelum hilang. Saya sudah biasa berenang tanpa menanggalkan barang perhiasan," kata wanita itu.


Gelang tersebut ditemukan tidak lama kemudian oleh dirinya sendiri.


Rakaman itu mencatatkan lebih 550,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.


"Sungai sanggup jadi 'korban' demi seorang wanita," kata seorang netizen.


Tangkap layar video menunjukkan beberapa petugas berusaha mencari gelang emas di sekitar kolam yang dikeringkan. - Foto TikTok.

Ahad, 31 Ogos 2025

Abang 'sado' tampil sopan, tiada lagi otot sasa terdedah

Abang 'sado' tampil sopan, tiada lagi otot sasa terdedah


Akur terhadap kecaman dan kritikan, anggota tentera darat berbadan sasa tampil lebih 'sopan' pada perbarisan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya, hari ini.


Berbanding imej dedah otot 'seksi' dan sasa pada penampilan raptai penuh pada Jumaat lalu, otot berurat abang askar sado hari ini ditutup dengan baju.


Walaupun tanpa mendedahkan otot sasa, mereka tetap diberi sorakan dan teriakan oleh pengunjung yang hadir di Dataran Putrajaya.


Sebelum ini, kemunculan anggota tentera darat berbadan sado di majlis raptai penuh Hari Kebangsaan 2025 telah pun menjadi bualan hangat di platform media sosial.


Perkara tersebut telah menimbulkan rasa kurang senang untuk sesetengah pihak, di mana mereka mempersoalkan sama ada menayang tubuh badan sudah menjadi satu trend 'wajib' apabila perarakan Hari Kebangsaan.


Imej 'abang sado' tentera darat yang tampil lebih sopan selepas mengenakan baju bersesuaian pada sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya hari ini. - Foto Kosmo Online.

Imej anggota tentera darat dedah otot 'seksi' dan sasa pada penampilan raptai sebelum ini. - Foto Bernama.
Ops Ambang Merdeka: 30 individu ditahan berkhalwat dalam hotel bajet di Pulau Pinang

Ops Ambang Merdeka: 30 individu ditahan berkhalwat dalam hotel bajet di Pulau Pinang


Malam ambang Merdeka di Pulau Pinang dicemari dengan aktiviti tidak bermoral apabila 30 individu ditahan selepas disyaki berkhalwat di beberapa hotel bajet sekitar Seberang Perai awal pagi tadi (Ahad).


Serbuan Ops Ambang Merdeka yang dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) itu membabitkan operasi di tiga daerah bermula jam 12 tengah malam hingga 6 pagi.


Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Muhamad Helmi Rosley berkata, mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 45 tahun terdiri daripada pasangan yang gagal mengemukakan bukti ikatan pernikahan yang sah.


"Dalam serbuan yang dilakukan, terdapat seorang lelaki cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat dua sebuah hotel di Lorong Kampung Benggali, Butterworth namun berjaya ditahan tidak lama kemudian.


"Kami turut menahan dua lelaki termasuk seorang duda bersama pasangan warga asing yang masing-masing bukan beragama Islam, selain seorang lagi lelaki tempatan yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan bersama wanita warga Indonesia," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.


Mengulas lanjut, Muhamad Helmi berkata, ada antara pasangan yang ditahan memberi alasan hanya mahu berehat selepas keluar makan sempena malam Merdeka, walaupun mereka tinggal di kawasan berhampiran.


Jelasnya, alasan sedemikian sering digunakan oleh pelaku kesalahan jenayah syariah untuk mengelirukan pihak berkuasa.


Beliau berkata, kesemua individu terbabit dibawa ke pejabat JHEAIPP untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.


Tegasnya, operasi berterusan akan dilakukan bagi memastikan Pulau Pinang bebas daripada aktiviti tidak bermoral.


Antara pasangan yang ditahan dalam Ops Ambang Merdeka awal pagi tadi. - Foto Sinar Harian.

Jumaat, 29 Ogos 2025

Pelajar Tingkatan Empat didakwa rogol rakan perempuan dalam kelas

Pelajar Tingkatan Empat didakwa rogol rakan perempuan dalam kelas


Seorang pelajar Tingkatan Empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini, atas pertuduhan merogol rakan perempuan berusia 14 tahun di dalam kelas, Mei lalu.


Bagaimanapun, tertuduh lelaki yang berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Saiful Sayoti selepas pertuduhan dibacakan pada prosiding dijalankan secara tertutup memandangkan tertuduh adalah pesalah bawah umur.


Mengikut pertuduhan, pelajar lelaki itu didakwa merogol pelajar perempuan berumur 14 tahun pada kira-kira jam 7.20 pagi dalam kelas sebuah sekolah menengah di Ampangan, Seremban pada 2 Mei lalu.


Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun dan boleh juga disebat.


Timbalan Pendakwa Raya P Rubini menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan, tetapi tertuduh yang tidak diwakili peguam yang akan dijamin bapanya seorang pesara tentera memohon wang jaminan rendah.


Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM4,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta menetapkan sebutan semula kes pada 5 November depan.


Tertuduh berbaju hitam ketika hadir ke mahkamah. - Foto Sinar Harian.
Jet F-16 terhempas semasa latihan, juruterbang maut

Jet F-16 terhempas semasa latihan, juruterbang maut


Seorang juruterbang maut selepas jet pejuang F-16 dikendalikannya terhempas dan terbakar ketika melakukan latihan pertunjukan udara di sebuah lapangan terbang di Poland, lapor akhbar The Sun UK.


Kejadian dirakam sekitar pukul 5.30 petang (waktu Britain) di Lapangan Terbang Radom, kira-kira 99.77 kilometer ke selatan Warsaw. 


Rakaman video kejadian di platform X menunjukkan penonton berlari ketakutan apabila pesawat F-16 itu tiba-tiba menjunam selepas membuat pusingan di udara.


Ia terhempas di landasan dan terbakar dengan asap tebal menyelubungi langit. Tentera Poland mengesahkan tiada penonton yang cedera.


Masih belum jelas sama ada juruterbang terbabit berjaya mengaktifkan kerusi anjal atau terbunuh selepas pesawat terhempas. 


Jet F-16 itu dilaporkan berlepas dari Pangkalan Udara Taktikal ke-31 dekat Poznan. Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca nahas.


Tangkap layar menunjukkan jet pejuang F-16 terhempas dan terbakar di Lapangan Terbang Radom semalam. - Foto X.
Mak nyah mengaku bersalah tetak lelaki diarah jalani ujian psikiatri

Mak nyah mengaku bersalah tetak lelaki diarah jalani ujian psikiatri


Seorang mak nyah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan pisau pemotong daging, Ahad lalu.


Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap tertuduh, K. Devandran, 36, pada 4 September depan dan memerintahkannya untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.


Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 49 tahun dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging.


Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah kedai agensi pelancongan, Jalan Melaka Raya 14, Taman Melaka Raya dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2.10 petang pada 24 Ogos 2025.


Terdahulu, tertuduh tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan sebalik memaklumkan mahkamah mendakwa dia di bawah preskripsi ubat psikiatri.


Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Haderiah Siri, Devandran bagaimanapun mengaku tidak bersalah di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki sebilah pisau pemotong daging.


Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar tidak menawarkan sebarang jaminan, tetapi mencadangkan jumlah RM20,000 sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara.


Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh 6 Oktober depan untuk sebutan semula kes.


Tertuduh diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka. - Foto Kosmo Online.