Isnin, 18 Ogos 2025

Jenazah dibawa naik motosikal roda tiga kerana Ambulans mahal

Jenazah dibawa naik motosikal roda tiga kerana Ambulans mahal


Beberapa individu di Indonesia mengundang perhatian ramai kerana membawa jenazah ke tanah perkuburan dengan menaiki motosikal roda tiga, lapor portal berita Suara semalam.


Rakaman video di platform Instagram dimuatnaik oleh akaun @tante.rempong.official pada Sabtu (16 Ogos) memaparkan dua lelaki menunggang motosikal sambil membawa jenazah.


"Tiada wang untuk membayar ambulans, jenazah dibawa pulang dengan menaiki bentor (teksi motosikal) beralaskan tilam seadanya," kata kapsyen video itu.


Selain ditutup dengan kain, jenazah itu dibaringkan beralaskan tilam kecil. 


Menurut laporan, mereka terpaksa berbuat sedemikian selepas keluarga si mati tidak mampu menampung kos ambulans.


Rakaman video itu mencatatkan lebih 2,700 tanda suka dan menimbulkan pelbagai reaksi. 


"Merdeka sudah 80 kali tapi masih ramai yang alami keadaan seperti ini," kata seorang netizen.


Tangkap layar menunjukkan dua lelaki membawa jenazah menggunakan motosikal roda tiga. - Foto Instagram.

Ahad, 17 Ogos 2025

Marah kereta ditunda, lelaki bertindak bakar lori MBJB

Marah kereta ditunda, lelaki bertindak bakar lori MBJB


Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dipercayai terlibat dalam kes khianat dengan api melibatkan sebuah lori tunda milik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di depoh simpanan kenderaan, Lot 1 Johor Bahru Waterfront pada Jumaat lepas.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan dan kejadian dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek selepas kereta Perodua Axia miliknya ditunda pihak MBJB sehari sebelum itu.


"Suspek yang tidak mempunyai wang untuk membayar kompaun telah diminta membuat rayuan namun merasakan proses tersebut menyukarkan dirinya sebelum bertindak di luar batasan dengan menuang petrol dan membakar lori berkenaan sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM10,000.


"Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek pada hari sama pukul 1.06 tengah hari dan merampas beberapa barang kes termasuk sebuah tong aluminium serta pemetik api," katanya dalam kenyataan hari ini.


Raub berkata semakan rekod lampau mendapati suspek pernah terlibat dalam kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, namun saringan air kencing yang dilakukan didapati negatif.


Beliau berkata suspek kini direman selama lima hari bermula semalam hingga 19 Ogos bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.


Terdahulu, tular satu hantaran video berdurasi satu minit 39 saat di laman sosial Facebook memaparkan seorang lelaki menghampiri lori tunda milik MBJB dan menuang dipercayai minyak petrol sebelum menyalakan api.


Turut kelihatan dalam video berkenaan dua individu bertindak membantu memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api.


Seorang lelaki bertindak membakar lori tunda MBJB. - Tangkap layar video tular.
Isteri orang kena cekup tidur di rumah lelaki bujang

Isteri orang kena cekup tidur di rumah lelaki bujang


Seorang lelaki bujang dan seorang wanita berstatus isteri orang ditahan dalam serbuan kes disyaki khalwat di sebuah rumah di Taman Kenari, Kulim kira-kira pukul 10 pagi hari ini.


Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, ketika serbuan dilakukan, penghuni rumah berkenaan mengambil masa hampir 20 minit sebelum pintu dibuka oleh seorang lelaki.


Katanya, hasil pemeriksaan di dalam rumah mendapati seorang wanita berusia 27 tahun itu sedang tidur di ruang tamu bersama dua anak lelakinya di rumah teman lelakinya yang berusia 30 tahun.


"Siasatan awal mendapati wanita terbabit dalam proses perceraian selepas suaminya ditahan atas kesalahan dadah awal tahun ini.


"Lelaki berstatus bujang itu pula bekerja sebagai kontraktor pemasangan paip dan hasil soal siasat, kedua-dua mereka mengaku saling mengenali sejak lama dan rapat selepas suami wanita itu ditahan dan dimasukkan ke penjara," katanya hari ini.


Menurut Anwar Sharifuddin, ketika soal siasat wanita itu memberi alasan menumpang tidur di rumah lelaki itu kerana letih selepas baru sampai dari Perlis.


Jelasnya, namun pihak kami dimaklumkan rumah ibu mentua wanita terbabit berada berdekatan sahaja.


Tambahnya, pasangan itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran sebelum dibawa ke pejabat agama daerah untuk diambil keterangan dan ks disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat.


Pasangan kekasih yang di tahan didalam sebuah rumah oleh Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) dalam operasi pencegahan jenayah syariah di Taman Kenari, Kulim, hari ini. - Foti Kosmo Online.

Sabtu, 16 Ogos 2025

Sindiket pelacuran babitkan dua pelajar Tingkatan 2 tumpas, gadis 18 tahun jadi ibu ayam didakwa

Sindiket pelacuran babitkan dua pelajar Tingkatan 2 tumpas, gadis 18 tahun jadi ibu ayam didakwa


Polis menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia yang mengeksploitasi pelajar sekolah menengah sebagai mangsa seks, dalam siri operasi khas antara 24 hingga 29 Julai lalu.


Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit merekrut remaja perempuan termasuk dua pelajar tingkatan dua untuk dilacurkan kepada pelanggan.


"Kegiatan ini terbongkar selepas ibu bapa mangsa membuat laporan pada 24 Julai lalu.


"Susulan itu, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Keningau menyelamatkan empat mangsa berusia 13 hingga 21 tahun dan menahan lapan individu bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dikenali sebagai 'Elly' disyaki bertindak sebagai ibu ayam sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.


Katanya, sindiket berkenaan menggunakan aplikasi media sosial untuk mencari pelanggan dengan bayaran sekitar RM200 bagi setiap perkhidmatan sebelum mangsa dihantar ke hotel yang ditetapkan. Hasil bayaran kemudiannya dibahagi antara suspek dan mangsa.


"Semua mangsa sudah dibawa ke Hospital Keningau untuk pemeriksaan kesihatan dan ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak.


"Bagi dua mangsa bawah umur, mahkamah meluluskan Perintah Perlindungan selama tiga bulan dan mereka ditempatkan di Rumah Perlindungan Ampang, Selangor sehingga 13 November depan," katanya.


Yampil berkata, polis mengingatkan masyarakat, khususnya ibu bapa, agar peka terhadap pergerakan anak-anak dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang di daerah ini.
Mangsa maut, isteri obes terhempap suami ketika tidur

Mangsa maut, isteri obes terhempap suami ketika tidur


Seorang lelaki berusia 59 tahun di Campanhã, kawasan pinggir bandar Porto, utara Portugal dilaporkan meninggal dunia selepas badannya dihempap secara tidak sengaja oleh isterinya yang memiliki berat lebih 100 kilogram.


Insiden tragis itu berlaku pada pagi Isnin, 11 Ogos lalu, di ruangan bilik tidur mereka, ketika wanita berkenaan cuba turun dari katil sebelum tergelincir. Tubuhnya kemudian menimpa suaminya yang sedang berbaring di lantai semasa sedang tidur.


Penduduk sekitar yang mendengar suara jeritan dari rumah itu langsung segera membantu dengan kemudian mengangkat tubuh wanita itu, namun mangsa didapati tidak sedarkan diri ketika pasukan perubatan tiba di lokasi.


Hasil pemeriksaan pihak berkuasa mendapati punca kematian adalah berpunca daripada insiden asfiksia, iaitu terhentinya bekalan oksigen ke tubuh akibat tekanan berat yang dikenakan ke atas dada dan saluran pernafasan.


Siasatan polis mengesahkan kejadian tersebut sebagai kemalangan tanpa sebarang unsur niat atau keganasan. Tekanan fizikal yang tinggi menyebabkan mangsa sukar bernafas sehingga mengalami serangan jantung sebelum meninggal dunia.


Pihak berkuasa menutup siasatan dengan mengklasifikasikan insiden itu sebagai tragedi yang tidak disengajakan.


Isteri mangsa dilaporkan mengalami trauma mendalam dan kini menerima rawatan serta kaunseling psikologi bagi mengatasi kesedihan akibat kehilangan suaminya yang tercinta. - Sumber Daily Mail.


Doktor sahkan kematian itu berpunca daripada insiden asfiksia. (Gambar stesen kereta api Campanha di Porto, utara Portugal) - Foto Daily Mail.

Jumaat, 15 Ogos 2025

10 kapal tentera laut ASEAN tiba di Pulau Pinang, kira-kira 1,600 warga kapal

10 kapal tentera laut ASEAN tiba di Pulau Pinang, kira-kira 1,600 warga kapal


Sebanyak 10 kapal tentera laut ASEAN tiba di Terminal Pelayaran Jeti Swettenham Pulau Pinang (SPCT) di Georgetown hari ini, bagi menyertai acara ketenteraan bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.


Kesemuanya melibatkan tujuh kapal perang tentera laut ASEAN dan tiga kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan keseluruhan kira-kira 1,600 warga kapal.


Tinjauan Bernama mendapati tiga kapal perang TLDM iaitu KD Kedah sepanjang 91 meter (m), KD Lekiu (106.5m) dan KD Lekir (98m) mendahului ketibaan kapal lain di SPCT.


Seterusnya kapal perang tentera laut dari Singapura iaitu RSS Vigour, UMS King Sin Phyu Shin (Myanmar), BRP Antonio Luna (Filipina), KRI Bung Tomo (Indonesia), VPNS Quang Trang (Vietnam), HTMS Krabi (Thailand) dan KPD Darulaman dari Brunei.


Kapal-kapal berkenaan berlabuh di SPCT dari 9.15 pagi hingga 1.45 tengah hari dan disambut dengan tradisi ketenteraan dan delegasi TLDM serta diiringi persembahan pancaragam.


Tinjauan di kawasan Padang Kota yang terletak kurang 200m dari SPCT mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk melihat armada tersebut termasuk merakamkan detik ketibaan aset tentera laut negara-negara ASEAN itu.


Kapal-kapal berkenaan juga dibuka untuk lawatan umum pada Ahad ini iaitu pengunjung berpeluang menaiki kapal dan melihat sendiri keupayaan serta teknologi digunakan angkatan tentera laut serantau.


Pulau Pinang menjadi pentas utama kepada acara ketenteraan maritim terbesar di rantau ini anjuran TLDM dari 15 hingga 22 Ogos, melibatkan tiga acara utama sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.


Acara berkenaan ialah Mesyuarat Panglima Tentera Laut Negara ASEAN (ANCM) ke-19, Eksais Tentera Laut Multilateral ASEAN (AMNEX) ketiga dan ASEAN Fleet Review (AFR) yang akan berlangsung di sekitar George Town dan Batu Ferringhi, yang turut membuka ruang keterlibatan masyarakat awam.


Bernama sebelum ini melaporkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja ANCM Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin berkata program bermula dengan ketibaan kapal tentera laut ASEAN di SPCT.


Esok, Majlis Pembukaan AMNEX dan permulaan Fasa Pelabuhan AMNEX ketiga akan berlangsung bagi memberikan ruang serta peluang kepada semua pegawai operasi kapal untuk membincangkan dan memperhalusi perancangan latihan yang akan dilaksanakan sewaktu Fasa Laut AMNEX.


TLDM juga akan menganjurkan Persidangan Kejuruteraan Tentera Laut (NEC) iaitu forum ilmiah menghimpunkan jurutera tentera laut serantau untuk berkongsi ilmu mengenai perkembangan teknologi serta inovasi kejuruteraan dengan tema Innovation and Technology Towards Improving Ship Survivability at Sea.


Antara acara utama dibuka kepada orang awam ialah ASEAN Navies' City Parade (ANCP) iaitu inisiatif TLDM bagi mempromosikan tradisi tentera laut kepada masyarakat umum pada Ahad ini di Esplanade, Padang Kota Lama yang diadakan bersama Hari Buletin 4.0 anjuran kerajaan negeri.


Penganjuran ANCP di Pulau Pinang memiliki signifikan sejarah kerana mengimbau detik pelaksanaan International Royal Fleet Review (IRFR) pada Mei 1990 yang melibatkan 59 kapal perang dan 11,000 warga tentera laut dari pelbagai negara.


Sebanyak 10 kapal tentera laut ASEAN tiba di Terminal Pelayaran Jeti Swettenham Pulau Pinang (SPCT) hari ini, bagi menyertai acara ketenteraan bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025. - Foto Bernama.
Empat lelaki, seorang wanita dicekup, disyaki lakukan maksiat dan ambil dadah di Muar

Empat lelaki, seorang wanita dicekup, disyaki lakukan maksiat dan ambil dadah di Muar


Empat lelaki dan seorang wanita dicekup pegawai serta anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan polis selepas menjadikan sebuah bilik hotel di daerah Muar sebagai 'port' maksiat serta mengambil dadah.


Dalam serbuan pada jam 3 pagi tadi, penguat kuasa JAINJ turut mendapati keempat-empat lelaki termasuk seorang duda disyaki baru selesai 'mengerjakan' wanita yang didakwa masih berstatus anak dara.


Menurut JAINJ, ketika serbuan dilakukan, penguat kuasa mendapati terdapat individu dalam bilik terbabit namun mereka enggan memberi kerjasama membuka pintu.


Katanya, pihaknya juga terhidu bau seperti kertas dibakar selain gam dari dalam bilik yang disewa empat lelaki dan wanita itu.


"Disebabkan enggan memberi kerjasama, penguat kuasa JAINJ menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar termasuk cawangan narkotik bagi membantu menjalankan operasi.


"Lima anggota polis tiba tidak lama kemudian. Apabila pintu dibuka terdapat empat lelaki berusia 29 hingga 48 tahun dan seorang wanita berusia 34 tahun.


"Pemeriksaan mendapati tiga lelaki berstatus bujang dan seorang duda manakala wanita itu anak dara. Ketika diserbu kesemua mereka dalam keadaan terpinga-pinga.


"Bilik itu disyaki disewa untuk aktiviti menghisap dadah dan melakukan maksiat," katanya dalam kenyataan.


Katanya, polis turut menemui beberapa bahan bukti berkaitan selepas menggeladah bilik terbabit.


"Penguat kuasa JAINJ menahan mereka atas kesalahan khalwat manakala polis menahan berkaitan kes dadah. Semakan polis mendapati, suspek mempunyai kesalahan jenayah lampau berkaitan dadah.


"Kesemua suspek ditahan di lokap polis IPD Muar dan kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang memperuntukkan denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya," katanya.


Bilik disewa lima inividu termasuk wanita diserbu selepas menjadi 'port' maksiat dan dadah. - Foto JAINJ.

Khamis, 14 Ogos 2025

Rekod Kerajaan Madani tidak dapat ditandingi kerajaan terdahulu – PM Anwar

Rekod Kerajaan Madani tidak dapat ditandingi kerajaan terdahulu – PM Anwar


Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan, sebanyak 23 akta baharu dan akta lama telah dipinda dari tahun 2023 hingga tahun ini.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah rekod dua setengah tahun pentadbiran Kerajaan Madani yang tidak dapat ditandingi oleh kerajaan terdahulu.


"Tahun 2023, lima akta baru dan 34 akta yang dipinda. Tahun 2024, lima akta baru dan 57 akta yang dipinda. Tahun 2025, setakat ini, empat akta baharu, enam akta yang dipinda, dua RUU baharu dan 11 RUU yang dipinda sehingga kini.


"Jadi kalau kita lihat perkembangan ini, walaupun masih banyak dalam tindakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan juga kementerian," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berhubung undang-undang yang disifatkan sebagai lapuk yang akan dipinda atau dimansuhkan oleh kerajaan.


Menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah), Anwar berkata, beliau tidak pernah memohon kekebalan atau imuniti daripada tindakan saman dalam kes sebelum ini.


Beliau berkata, tindakan itu sebaliknya hanya merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan.


Katanya, beliau hanya memohon keputusan mahkamah berhubung persoalan apakah tuntutan yang tidak mempunyai asas munasabah.


"Persoalan tindakan menindas pihak lawan tanpa niat sebenar untuk mendapatkan keadilan dan salah guna proses mahkamah diterima dalam semua kes, termasuk kes sivil.


"Terserah kepada mahkamah. Mahkamah yang buat keputusan, bukan Perdana Menteri. Keputusan itu keputusan mahkamah," katanya.

Paling Kecil RM300, Besar Sekali RM20,000 - Peniaga Kaki Lima Jual Batu Di Bukit Bintang

Paling Kecil RM300, Besar Sekali RM20,000 - Peniaga Kaki Lima Jual Batu Di Bukit Bintang


Dalam satu klip video, seorang individu bertanya harga bagi sebiji batu yang dijual peniaga kaki lima di ibu kota.


"Paling kecil RM300 dan yang besar sekali RM20,000," kata peniaga itu.


Menurut lelaki terbabit, meskipun kelihatan seperti batu di tepi jalan, namun peniaga terbabit mendakwa batu berkenaan mempunyai bahan berharga termasuk berlian.


Difahamkan klip video tersebut dirakam di sebuah kawasan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur namun tidak dapat dipastikan kesahihan sama ada batu itu betul mempunyai berlian atau sebaliknya.


Menjengah ke ruangan rata-rata pengguna media sosial meninggalkan pelbagai komen yang mengecam tindakan tidak masuk akal peniaga terbabit.


"Kalau betul ada yang beli dan percaya memang bongok, kalau betul batu itu harga beribu-ribu buat apalah dia duduk di situ jual batu. Benda boleh kaya kenapa nak duduk tepi jalan," komen seorang netizen.


"Aku yakin mesti orang beli, pasal orang Malaysia ni dia percaya pada batu-batu," tulisnya seorang lagi netizen.


Tangkap layar klip video memaparkan batu yang dijual peniaga terbabit.

Rabu, 13 Ogos 2025

Polis rampas RM1.23 juta arak tidak bercukai di Shah Alam

Polis rampas RM1.23 juta arak tidak bercukai di Shah Alam


Taktik menjadikan sebuah premis sebagai stor sementara menyimpan minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai terbongkar apabila polis menahan tiga individu dalam satu serbuan di Shah Alam, semalam.


Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, serbuan Operasi Bersepadu Intra/Inter Agensi Op Taring Alpha 2 itu dilakukan pada 12 Ogos lalu.


"Dalam serbuan berkenaan, polis menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 38 hingga 63 tahun serta seorang lelaki warga Myanmar berusia 29 tahun.


"Antara rampasan yang dibuat ialah sebuah lori Hino 10 tan, satu unit mangga, 55,680 tin arak, serta empat telefon bimbit pelbagai jenama," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,232,966.72.


Katanya, operasi itu diketuai Cawangan Pengoperasian Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman bersama Risik Briged Tengah PGA Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Tambahnya, operasi turut dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).


"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Undang-Undang Kecil 1974," katanya.


Sementara itu, MBSA turut mengeluarkan notis kompaun berjumlah RM2,000 terhadap pemilik gudang tersebut atas kesalahan di bawah Akta Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan & Perindustrian (MBSA) 2007.


Polis menahan tiga individu dalam satu serbuan di Shah Alam, semalam. - Foto Kosmo Online.