Polis menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia yang mengeksploitasi pelajar sekolah menengah sebagai mangsa seks, dalam siri operasi khas antara 24 hingga 29 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit merekrut remaja perempuan termasuk dua pelajar tingkatan dua untuk dilacurkan kepada pelanggan.
"Kegiatan ini terbongkar selepas ibu bapa mangsa membuat laporan pada 24 Julai lalu.
"Susulan itu, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Keningau menyelamatkan empat mangsa berusia 13 hingga 21 tahun dan menahan lapan individu bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dikenali sebagai 'Elly' disyaki bertindak sebagai ibu ayam sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Katanya, sindiket berkenaan menggunakan aplikasi media sosial untuk mencari pelanggan dengan bayaran sekitar RM200 bagi setiap perkhidmatan sebelum mangsa dihantar ke hotel yang ditetapkan. Hasil bayaran kemudiannya dibahagi antara suspek dan mangsa.
"Semua mangsa sudah dibawa ke Hospital Keningau untuk pemeriksaan kesihatan dan ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak.
"Bagi dua mangsa bawah umur, mahkamah meluluskan Perintah Perlindungan selama tiga bulan dan mereka ditempatkan di Rumah Perlindungan Ampang, Selangor sehingga 13 November depan," katanya.
EmoticonEmoticon