Taktik menjadikan sebuah premis sebagai stor sementara menyimpan minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai terbongkar apabila polis menahan tiga individu dalam satu serbuan di Shah Alam, semalam.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, serbuan Operasi Bersepadu Intra/Inter Agensi Op Taring Alpha 2 itu dilakukan pada 12 Ogos lalu.
"Dalam serbuan berkenaan, polis menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 38 hingga 63 tahun serta seorang lelaki warga Myanmar berusia 29 tahun.
"Antara rampasan yang dibuat ialah sebuah lori Hino 10 tan, satu unit mangga, 55,680 tin arak, serta empat telefon bimbit pelbagai jenama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,232,966.72.
Katanya, operasi itu diketuai Cawangan Pengoperasian Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman bersama Risik Briged Tengah PGA Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tambahnya, operasi turut dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Undang-Undang Kecil 1974," katanya.
Sementara itu, MBSA turut mengeluarkan notis kompaun berjumlah RM2,000 terhadap pemilik gudang tersebut atas kesalahan di bawah Akta Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan & Perindustrian (MBSA) 2007.
EmoticonEmoticon