Jumaat, 25 Julai 2025

Legenda gusti WWE, Hulk Hogan meninggal dunia

Legenda gusti WWE, Hulk Hogan meninggal dunia


Legenda gusti dunia World Wrestling Entertainment (WWE), Hulk Hogan, disahkan telah meninggal dunia semalam pada usia 71 tahun.


Hogan, yang nama sebenarnya Terry Gene Bollea, disahkan meninggal dunia selepas polis dan pasukan perubatan kecemasan (EMT) dipanggil ke kediamannya di Clearwater, Florida, pagi Khamis (24 Julai).


Menurut TMZ, panggilan kecemasan dibuat berhubung kejadian 'serangan jantung', dan sepasukan paramedik serta polis dilihat berada di luar rumah Hogan.


Hogan dikatakan diusung keluar dari rumahnya menggunakan pengusung sebelum dimasukkan ke dalam ambulans, dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital.


Polis Clearwater belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi setakat ini, manakala punca kematian belum diumumkan.


Pihak WWE mengesahkan berita duka itu dalam satu kenyataan rasmi.


"WWE berduka cita apabila menerima berita bahawa Ahli Dewan Kemasyhuran WWE, Hulk Hogan, telah meninggal dunia.


"Sebagai salah satu ikon yang paling dikenali, Hogan telah membantu WWE mencapai pengiktirafan global pada era 1980-an.


"WWE mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan-rakan dan peminat beliau," kata kenyataan itu.


Kesihatan Hogan sebelum ini dilaporkan semakin merosot, termasuk khabar angin yang mendakwa beliau berada dalam keadaan tenat dan koma sebelum pemergiannya.


Hulk Hogan dilaporkan sudah meninggal dunia. - Foto Reuters.

Khamis, 24 Julai 2025

Lelaki tersangkut dalam kolah bilik air diselamatkan anggota bomba

Lelaki tersangkut dalam kolah bilik air diselamatkan anggota bomba


Seorang lelaki terpaksa diselamatkan oleh anggota bomba selepas tersangkut dalam kolah bilik air di rumahnya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini.


Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazri Ab Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.49 petang.


"Setiba di lokasi, kami dapati mangsa yang berusia 48 tahun berada dalam kolah dengan keadaan separuh badan terperangkap.


"Mangsa difahamkan mempunyai berat sekitar 120 kilogram," katanya ketika dihubungi.


Menurut beliau, hasil maklumat daripada keluarga, lelaki itu dipercayai tergelincir ketika masuk ke tandas sebelum jatuh ke dalam kolah dan tidak dapat mengangkat dirinya keluar.


Ujarnya, usaha awal oleh bapa dan adik mangsa untuk mengeluarkannya gagal sebelum mereka mengambil keputusan menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.


Mohd Nazri memberitahu, seramai empat anggota dikerahkan dan operasi mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengangkat mangsa keluar dengan selamat.


"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.


Seorang lelaki terpaksa diselamatkan oleh anggota bomba selepas tersangkut dalam kolah bilik air rumahnya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini. - Foto JBPM.

Rabu, 23 Julai 2025

Harimau Malaya 'Uji' Palestin, Singapura ganti Piala CAFA 2025

Harimau Malaya 'Uji' Palestin, Singapura ganti Piala CAFA 2025


Pasukan di ranking 98 dunia, Palestin sah bakal menguji skuad Harimau Malaya pada aksi jendela antarabangsa September ini.


Perkara itu disahkan pengendali negara, Peter Cklamovski kepada pihak media ketika sesi santai minum petang bersamanya di Petaling Jaya, hari ini.


Katanya, selain Palestin, sebuah lagi pasukan adalah Singapura yang kini menghuni ranking 159 dunia.


Ujarnya, dua aksi berkenaan bakal menggantikan penyertaan Malaysia di Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang terpaksa menarik diri saat akhir.


"Kami sudah ada dua perlawanan yang boleh disahkan. Satu menentang Singapura, babitkan aksi derbi. Perlawanan kedua pula menentang pasukan dalam ranking 100 terbaik dunia, Palestin," katanya.


Ditanya mengenai pemilihan dua pasukan terbabit, Cklamovski tegaskan kedua-dua negara itu mampu meningkatkan mutu permainan pasukan.


"Sekali lagi, saya rasa kita menghormati setiap lawan, tetapi apabila kita menentang Singapura, ia akan menjadi perlawanan penuh emosi, suasana di stadium akan hebat, ia perlawanan bermakna dan cabaran yang baik untuk kami.


"Palestin juga sama, negara yang penuh emosi dan patriotik dan kami mahu mencabar diri menentang mereka.


"Sekali lagi, dengan asas membina identiti pasukan, terus membangunkan permainan kerana apa yang kami lakukan menentang Vietnam bagus. Kami bermain bola yang baik, menjaringkan empat gol menewaskan seteru 4-0," katanya.


pengendali negara, Peter Cklamovski bersama media dalam sesi minum petang. - Foto Harian Metro.

Selasa, 22 Julai 2025

Buruh mengaku salah bakar basikal, cover set motor berhadapan hukumam penjara 14 tahun

Buruh mengaku salah bakar basikal, cover set motor berhadapan hukumam penjara 14 tahun


Seorang buruh mengaku salah di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu hari ini atas tuduhan membakar basikal dan cover set motosikal abangnya, kira-kira dua minggu lalu.


Tertuduh, Mohd. Jasri Mohd. Daud, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.


Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan api iaitu membakar sebuah basikal dan set badan motosikal milik abangnya berusia 40 tahun.


Pertuduhan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bukit Mak Lipah, Mahligai Gunong, Bachok, kira-kira jam 6.30 petang pada 12 Julai 2025.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Ogos untuk prosiding jatuh hukuman.


Anggota polis membawa Mohd. Jasri (tengah) untuk didakwa atas pertuduhan melakukan khianat dengan api di Mahkamah Sesyen
Kota Bharu hari ini. - Foto Harian Metro.

Isnin, 21 Julai 2025

Wanita amuk dihalang masuk stadium tengok konsert K-pop, G-Dragon

Wanita amuk dihalang masuk stadium tengok konsert K-pop, G-Dragon


Tindakan seorang wanita dipercayai warga asing yang cuba membuka pintu masuk Stadium Nasional Bukit Jalil secara agresif menarik perhatian orang ramai.


Menerusi hantaran di aplikasi TikTok milik @Itsnotkamelia wanita itu bertindak demikian kerana pintu stadium yang menjadi lokasi penganjuran konsert bintang K-pop, G-Dragon ditutup disebabkan melebihi waktu yang ditetapkan.


"Wanita itu mula menjerit kepada pihak pengurusan dan mengamuk kerana disekat untuk masuk ke dalam stadium.


"Pengumuman terlebih awal sudah dimaklumkan, tetapi mereka ambil mudah dan sengaja lambat. Nasib baik ada seorang rakyat tempatan yang 'sekolahkan' wanita tersebut supaya berhenti membuat kecoh," katanya.


Di ruangan komen, orang ramai meluahkan rasa tidak senang dengan perbuatan wanita tersebut kerana menghalang pihak pengurusan konsert untuk menjalankan tugas.


"Kakak yang tegur itu sangat berani ya, terima kasih orang baik," komen seorang netizen.


"Kakak baju hijau itu tegur elok-elok sahaja, tapi mereka masih cakap kuat dan tengking balik kakak itu," komen netizen lain.


Tangkap layar menunjukkan seorang wanita dipercayai warga asing cuba membuka pintu stadium secara agresif selepas dilarang pihak pengurusan konsert G-Dragon.

Ahad, 20 Julai 2025

Polis serbu parti liar dalam rumah banglo 38 individu penuntut IPTS ditahan

Polis serbu parti liar dalam rumah banglo 38 individu penuntut IPTS ditahan


Kelekaan sekumpulan penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS) berhibur sambil mengambil dadah dalam satu parti persendirian di sebuah banglo di Subang Jaya mengundang padah apabila diserbu polis tengah malam tadi.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Azlan Wan Mamat berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menjalankan serbuan itu jam 12.30 tengah malam.


Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati seramai 38 individu membabitkan 25 warga tempatan dan 13 warga asing berusia 18 hingga 27 tahun rata-ratanya penuntut IPTS menyertai parti liar itu.


"Dalam serbuan terbabit, polis menahan empat lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 25 tahun yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.


"Sebanyak 6.5 gram disyaki ganja dan 1.7 gram disyaki ketamin dirampas dalam serbuan itu," katanya dalam kenyataannya malam ini.


Wan Azlan berkata, kesemua individu terbabit dibawa ke BSJN IPD Subang Jaya untuk menjalani ujian air kencing dan seramai sembilan warga tempatan dan tiga warga negara asing didapati positif dadah.


"Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.


Antara individu yang ditahan berparti di sebuah rumah banglo di Subang Jaya. - Foto Ihsan PDRM.
Masih tak puas hati berat 40kg, wanita telan 200 pil kurus setiap hari kini alami kurus melampau, berat hanya 25kg

Masih tak puas hati berat 40kg, wanita telan 200 pil kurus setiap hari kini alami kurus melampau, berat hanya 25kg


Seorang wanita di Shanghai, China dimasukkan ke hospital pada 17 Julai lalu selepas dilaporkan mengambil sehingga 200 pil kurus sehari dalam usaha terdesak untuk menurunkan berat badan.


Berdasarkan laporan media tempatan China, akibat tabiat melampau itu, berat badan wanita berusia 39 tahun itu susut mendadak kepada hanya 25 kilogram (kg) dan dia mengalami kesukaran untuk berjalan.


Wanita itu dikatakan mula berdiet lebih kurang 10 tahun lalu dan menjadi sangat bergantung kepada pil yang dikenali sebagai 'pil merah jambu kecil', sejenis julap dalam usaha untuk kekal kurus.


Ketika mula berdiet, berat badannya sekitar 40 kilogram, namun dia masih tidak berpuas hati dengan bentuk tubuhnya, terutamanya di bahagian paha dalam.


Dalam pencarian untuk penyelesaian, dia menemui pil tersebut yang berfungsi dengan merangsang saraf di usus bagi mencetuskan pergerakan usus dan melegakan sembelit.


Dia pada awalnya hanya menelan satu biji pil setiap hari sambil mengurangkan pengambilan makanan.


Lama-kelamaan, dia mengambil lebih daripada 150 biji sehari dan mencecah 200 biji, hingga akhirnya pil-pil tersebut pengganti makanan sebenar.


Disebabkan berat badan yang menyusut teruk, dia mengalami kesukaran makan dan masalah kekurangan zat makanan.


Lebih memburukkan keadaan, meskipun mengambil dos pil yang tinggi, dia masih tidak dapat membuang air besar menyebabkan masalah kesihatannya semakin serius.


Selepas lebih 10 tahun bergelut dengan ketagihan itu, barulah dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena dan mendapatkan rawatan perubatan.


Keadaan wanita itu kini dilaporkan sangat lemah dan dia terpaksa dibawa ke hospital dengan kerusi roda.


Seorang wanita dimasukkan ke hospital selepas dilaporkan mengambil sehingga 200 pil kurus sehari dalam usaha terdesak untuk menurunkan berat badan. - Foto NetEase News.

Sabtu, 19 Julai 2025

Op Noda Bukit Aman: Pelacur Jepun, Rusia, Uzbekistan antara 21 ditahan

Op Noda Bukit Aman: Pelacur Jepun, Rusia, Uzbekistan antara 21 ditahan


Kegiatan persundalan yang berselindung di sebalik sebuah hotel dan apartment di Petaling Jaya serta Subang Jaya diserbu pada Khamis.


Serbuan Op Noda pada jam 6.30 petang itu dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hasil risikan dan maklumat awam.


Pemangku Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil serbuan ini membawa kepada penangkapan 21 individu termasuk tiga rakyat tempatan.



Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun berperanan sebagai penjaga wanita terbabit ditahan bersama 20 wanita disyaki menjalankan khidmat pelacuran.


"Kesemua wanita terbabit terdiri daripada dua wanita tempatan, lapan wanita warga China, masing-masing tiga wanita warga Mongolia dan Uzbekistan serta masing-masing satu wanita warga Jepun, Rusia, Vietnam dan Laos.


"Modus operandi sindiket pelacuran ini adalah menawarkan perkhidmatan seks melalui laman web dengan mempamerkan gambar-gambar wanita berpakaian seksi dengan meletakkan pakej serta harga untuk setiap perkhidmatan seks," katanya hari ini.


Beliau berkata, harga yang ditawarkan antara RM400 hingga RM1,000 untuk setiap perkhidmatan dan bayaran akan dibuat terus kepada pelacur.



Tambah Fadil, sindiket ini menjadikan bilik-bilik hotel di tingkat yang berbeza sebagai tempat menjalankan aktiviti seks dan menyewa unit apartment bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.


"Pelanggan yang hendak mendapatkan khidmat seks ini akan membuat tempahan melalui nombor telefon yang tertera di laman web dan seterusnya mereka akan diberikan lokasi dan nombor bilik sebaik tiba di lokasi," ujarnya.


Katanya lagi, Op Noda terbabit turut merampas 59 kondom, 21 tuala mandi, 21 telefon bimbit, 16 kad akses dan wang tunai berjumlah RM4,470 yang disyaki hasil aktiviti persundalan.


Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


Antara yang ditahan polis dalam serbuan Op Noda pada Khamis. - Foto JSJ Bukit Aman.
Jalin hubungan dengan beberapa ketua sami, rakam hubungan seksual, peras ugut lebih RM50 juta

Jalin hubungan dengan beberapa ketua sami, rakam hubungan seksual, peras ugut lebih RM50 juta


Skandal seks dan pemerasan besar menggemparkan Thailand selepas polis menahan seorang wanita pada Selasa kerana memerangkap sami Buddha dalam hubungan seksual dan kemudian memeras ugut mereka untuk mendapatkan wang.


Kes itu menarik perhatian ramai kerana membabitkan sami yang melanggar sumpah hidup bujang dan dalam kesederhanaan.


Dilaporkan sekurang-kurangnya sembilan ketua sami dan sami kanan terbabit dalam skandal itu dilucutkan dan diusir daripada komuniti sami, menurut Biro Siasatan Pusat Polis Diraja Thai.


Suspek adalah Wilawan Emsawat, wanita berusia 30-an, ditahan di kediaman mewahnya di Nonthaburi, utara Bangkok. Dia menghadapi tuduhan pemerasan, pengubahan wang haram serta menerima barangan curi.



Polis yang merujuk suspek sebagai 'Cik Golf' berkata, wanita itu menjalin hubungan seksual dengan sekurang-kurangnya sembilan sami.


Bagaimanapun, selepas merampas telefonnya, penyiasat menemui mesej dan video intim dengan beberapa pemimpin Buddha lain, selain mendapati bahawa wang hasil pemerasan itu kebanyakan dibelanjakan ke laman web perjudian atas talian.


Beberapa sami mengaku pernah menjalin hubungan dengan Wilawan, yang dikenali mereka menerusi media sosial, lapor The Times.


Seorang sami mendakwa dia menjalinkan hubungan jangka panjang dan pernah menerima sebuah kereta daripada Wilawan, namun hubungan itu mula berantakan selepas mengetahui suspek turut bertemu dengan sami lain serta menuntut wang.


Penyiasat percaya Wilawan memperoleh kira-kira 385 juta baht (lebih RM50 juta) dalam tempoh tiga tahun lalu hasil skandal terbabit, menurut laporan BBC.


Polis juga memaklumkan menemui lebih 80,000 foto dan video menunjukkan aksi intim suspek bersama beberapa sami Buddha di kediamannya yang digunakan untuk tujuan pemerasan.


Dalam laporan lain, Wilawan mendakwa melahirkan seorang anak hasil hubungan dengan salah seorang sami.


Polis berkata, skandal itu mula terbongkar pertengahan Jun lalu apabila ketua sami di Wat Tri Thotsathep tiba-tiba meninggalkan kehidupan sebagai sami.


Siasatan polis mendapati ketua sami tersebut diperas ugut oleh Wilawan yang mendakwa sami itu bapa kepada anaknya dan memintanya membayar 7.2 juta Baht (kira kira RM942,000).


Sebuah jawatankuasa senat Thailand mencadangkan pindaan undang-undang bagi membolehkan wanita yang menjalinkan hubungan seksual dengan sami didakwa di mahkamah.


Bagaimanapun cadangan itu mencetuskan kemarahan ramai kerana dianggap berat sebelah terhadap wanita dan lelaki sepatutnya bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.


Wanita didakwa menjalin hubungan seksual dengan sami dan memeras ugut mereka. - Foto VN Express.




Sepatutnya FAM ada pelan B, bukan tarik diri daripada Piala CAFA

Sepatutnya FAM ada pelan B, bukan tarik diri daripada Piala CAFA


Persatuan Bolasepak Malaysia dan Harimau Malaya sepatutnya mempunyai perancangan lain yang lebih baik selain menarik diri daripada Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA).


Pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, badan induk bola sepak itu seharusnya berani mempertaruhkan pemain lain selain pemain warisan yang dikatakan kemungkinan besar tidak akan dilepaskan oleh kelab mereka kerana kejohanan berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).


Menurutnya, ia juga akan menjadi pendedahan berguna kepada pemain negara serta Harimau Malaya selain mengelakkan keputusan menarik diri yang jelas mencemarkan imej bola sepak Malaysia.


"Apa salahnya mereka memberikan ruang kepada pemain-pemain lain untuk beraksi dalam kejohanan itu agar pemain-pemain ini dapat pengalaman berguna. Walaupun mungkin kalah atau tidak layak ke pusingan seterusnya, tetapi ini proses untuk mendewasakan pasukan negara.


"Kalau nak kata kalah dan jatuh ranking, kejohanan berlangsung di luar kalendar FIFA, jadi tak ada masalah pun mengenai ranking," katanya.


Sebelum ini, FAM telah mengumumkan Harimau Malaya tidak akan beraksi pada saingan CAFA susulan perubahan terkini terhadap tarikh penganjuran yang jatuh di luar jendela antarabangsa FIFA.


Menurut FAM, ia telah menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain, dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan.


Bagaimanapun, alasan tersebut dibidas CAFA yang menegaskan bahawa tiada sebarang perubahan tarikh berlaku, malah FAM telah dimaklumkan awal mengenai jadual kejohanan yang akan berlangsung dari 29 Ogos hingga 8 September 2025.


Dalam pada itu, Sadek turut melihat Harimau Malaya telah melepaskan peluang keemasan untuk menguji pasukan di ranking lebih baik seperti pasukan Iran susulan keputusan menarik diri itu.


"Sebelum ini, FAM nak sangat cari pasukan di ranking tinggi untuk bermain, tetapi bila dah dapat mereka sia-siakan. Saya tidak faham apa sebenarnya perancangan FAM.


"Kemudian untuk aksi kalendar FIFA akan datang, sudah tentu pasukan negara berdepan masalah untuk mencari pasukan yang berada di kedudukan ranking lebih baik untuk dijadikan lawan perlawanan persahabatan," katanya. - Sumber Sinar Harian.


Skuad Harimau Malaya sepatutnya menyertai Piala CAFA 2025 hujung bulan depan tetapi menarik diri pada saat akhir. - Foto Malaysia NT.