Seorang wanita di Shanghai, China dimasukkan ke hospital pada 17 Julai lalu selepas dilaporkan mengambil sehingga 200 pil kurus sehari dalam usaha terdesak untuk menurunkan berat badan.
Berdasarkan laporan media tempatan China, akibat tabiat melampau itu, berat badan wanita berusia 39 tahun itu susut mendadak kepada hanya 25 kilogram (kg) dan dia mengalami kesukaran untuk berjalan.
Wanita itu dikatakan mula berdiet lebih kurang 10 tahun lalu dan menjadi sangat bergantung kepada pil yang dikenali sebagai 'pil merah jambu kecil', sejenis julap dalam usaha untuk kekal kurus.
Ketika mula berdiet, berat badannya sekitar 40 kilogram, namun dia masih tidak berpuas hati dengan bentuk tubuhnya, terutamanya di bahagian paha dalam.
Dalam pencarian untuk penyelesaian, dia menemui pil tersebut yang berfungsi dengan merangsang saraf di usus bagi mencetuskan pergerakan usus dan melegakan sembelit.
Dia pada awalnya hanya menelan satu biji pil setiap hari sambil mengurangkan pengambilan makanan.
Lama-kelamaan, dia mengambil lebih daripada 150 biji sehari dan mencecah 200 biji, hingga akhirnya pil-pil tersebut pengganti makanan sebenar.
Disebabkan berat badan yang menyusut teruk, dia mengalami kesukaran makan dan masalah kekurangan zat makanan.
Lebih memburukkan keadaan, meskipun mengambil dos pil yang tinggi, dia masih tidak dapat membuang air besar menyebabkan masalah kesihatannya semakin serius.
Selepas lebih 10 tahun bergelut dengan ketagihan itu, barulah dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena dan mendapatkan rawatan perubatan.
Keadaan wanita itu kini dilaporkan sangat lemah dan dia terpaksa dibawa ke hospital dengan kerusi roda.
EmoticonEmoticon