Sabtu, 19 Julai 2025

Jalin hubungan dengan beberapa ketua sami, rakam hubungan seksual, peras ugut lebih RM50 juta


Skandal seks dan pemerasan besar menggemparkan Thailand selepas polis menahan seorang wanita pada Selasa kerana memerangkap sami Buddha dalam hubungan seksual dan kemudian memeras ugut mereka untuk mendapatkan wang.


Kes itu menarik perhatian ramai kerana membabitkan sami yang melanggar sumpah hidup bujang dan dalam kesederhanaan.


Dilaporkan sekurang-kurangnya sembilan ketua sami dan sami kanan terbabit dalam skandal itu dilucutkan dan diusir daripada komuniti sami, menurut Biro Siasatan Pusat Polis Diraja Thai.


Suspek adalah Wilawan Emsawat, wanita berusia 30-an, ditahan di kediaman mewahnya di Nonthaburi, utara Bangkok. Dia menghadapi tuduhan pemerasan, pengubahan wang haram serta menerima barangan curi.



Polis yang merujuk suspek sebagai 'Cik Golf' berkata, wanita itu menjalin hubungan seksual dengan sekurang-kurangnya sembilan sami.


Bagaimanapun, selepas merampas telefonnya, penyiasat menemui mesej dan video intim dengan beberapa pemimpin Buddha lain, selain mendapati bahawa wang hasil pemerasan itu kebanyakan dibelanjakan ke laman web perjudian atas talian.


Beberapa sami mengaku pernah menjalin hubungan dengan Wilawan, yang dikenali mereka menerusi media sosial, lapor The Times.


Seorang sami mendakwa dia menjalinkan hubungan jangka panjang dan pernah menerima sebuah kereta daripada Wilawan, namun hubungan itu mula berantakan selepas mengetahui suspek turut bertemu dengan sami lain serta menuntut wang.


Penyiasat percaya Wilawan memperoleh kira-kira 385 juta baht (lebih RM50 juta) dalam tempoh tiga tahun lalu hasil skandal terbabit, menurut laporan BBC.


Polis juga memaklumkan menemui lebih 80,000 foto dan video menunjukkan aksi intim suspek bersama beberapa sami Buddha di kediamannya yang digunakan untuk tujuan pemerasan.


Dalam laporan lain, Wilawan mendakwa melahirkan seorang anak hasil hubungan dengan salah seorang sami.


Polis berkata, skandal itu mula terbongkar pertengahan Jun lalu apabila ketua sami di Wat Tri Thotsathep tiba-tiba meninggalkan kehidupan sebagai sami.


Siasatan polis mendapati ketua sami tersebut diperas ugut oleh Wilawan yang mendakwa sami itu bapa kepada anaknya dan memintanya membayar 7.2 juta Baht (kira kira RM942,000).


Sebuah jawatankuasa senat Thailand mencadangkan pindaan undang-undang bagi membolehkan wanita yang menjalinkan hubungan seksual dengan sami didakwa di mahkamah.


Bagaimanapun cadangan itu mencetuskan kemarahan ramai kerana dianggap berat sebelah terhadap wanita dan lelaki sepatutnya bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.


Wanita didakwa menjalin hubungan seksual dengan sami dan memeras ugut mereka. - Foto VN Express.





EmoticonEmoticon