Tujuh lelaki warga Myanmar ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah di kawasan bahu jalan Plaza Tol Jitra (Utara), tengah malam tadi.
JIM Kedah dalam kenyataannya berkata, kesemua mereka ditahan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Kedah jam 12.30 tengah malam hari ini hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan.
Dalam operasi itu, seramai tujuh lelaki warganegara Myanmar diitahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.
"Kesemua individu yang ditahan didapati sedang menunggu kenderaan pengangkut di lokasi berkenaan sebelum diperiksa oleh pasukan penguat kuasa.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka yang berusia 22 hingga 37 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini.
"Kesemua tangkapan telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Kedah bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 serta peraturan-peraturan yang berkaitan," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, JIM Kedah turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti modus operandi pergerakan kumpulan terbabit, termasuk sama ada mereka baru tiba di Malaysia atau sedang dalam proses untuk meninggalkan negara ini melalui saluran yang tidak sah.
Selain itu, siasatan turut menjurus kepada usaha mengesan dan mengenal pasti individu atau sindiket yang dipercayai bertindak sebagai dalang dalam menguruskan pergerakan warga asing terbabit.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"JIM Kedah akan terus mempergiatkan aktiviti risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kemasukan, pergerakan serta aktiviti pendatang asing tanpa izin (PATI) demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara," katanya.

EmoticonEmoticon