Khamis, 10 Julai 2025

Suami orang kena tahan 'kantoi' menyelinap ke rumah janda

Suami orang kena tahan 'kantoi' menyelinap ke rumah janda


Seorang janda dan kekasihnya yang berstatus suami orang ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas dipercayai berkhalwat di sebuah rumah di Kluang, awal pagi tadi.


Tangkapan dilakukan hasil serbuan dilakukan jam 1.20 pagi selepas anggota dan pegawai penguat kuasa JAINJ menerima aduan orang awam berhubung kedatangan lelaki itu ke rumah janda terbabit.


JAINJ dalam satu kenyataan berkata, hasil maklumat, pihaknya menemui sebuah kenderaan yang diparkir berhampiran kediaman didiami janda berusia 48 tahun itu.


"Pemeriksaan di dalam rumah kemudiannya menemukan seorang lelaki berusia 59 tahun yang berstatus suami orang.


"Lelaki itu gagal menunjukkan sebarang bukti hubungan mahram atau perkahwinan yang sah apabila diminta," katanya dalam kenyataan itu hari ini.


Menurut JAINJ, lelaki itu tinggal berhampiran rumah janda terbabit dan dipercayai keluar tanpa pengetahuan isteri yang mungkin menyangka dia pergi memancing atau bertemu rakan di kedai makan.


"Pasangan ini dibawa ke Balai Polis Kluang untuk proses tahanan. Mereka disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997," katanya.


Anggota penguatkuasa menyerbu rumah didiami janda selepas disyaki berdua-duaan dengan suami orang. - Foto Ihsan JAINJ.
Lapan lagi negara terima surat Tarif daripada Donald Trump

Lapan lagi negara terima surat Tarif daripada Donald Trump


Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu mengutus surat kepada pemimpin lapan lagi negara, memaklumkan bahawa tarif antara 20 hingga 50 peratus akan dikenakan ke atas barangan import dari negara-negara berkenaan bermula 1 Ogos, lapor Xinhua hari ini.


Trump terlebih dahulu memuat naik surat berkenaan kepada tujuh negara - Filipina, Brunei, Moldova, Algeria, Iraq, Libya dan Sri Lanka - di Truth Social, platform media sosial miliknya.


Menurut kandungan surat itu, tarif sebanyak 30 peratus akan dikenakan ke atas Libya, Iraq, Algeria dan Sri Lanka; 25 peratus ke atas Brunei dan Moldova; serta 20 peratus ke atas Filipina.


Pada hari sama, Trump mengumumkan bahawa tarif sebanyak 50 peratus akan dikenakan ke atas barangan dari Brazil, yang juga berkuat kuasa 1 Ogos.


Dalam surat kepada Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Trump mendakwa bahawa "sebahagiannya disebabkan oleh serangan halus Brazil terhadap Pilihan Raya Bebas dan Hak Kebebasan Bersuara asas rakyat Amerika... kami akan mengenakan cukai 50 peratus ke atas semua produk Brazil yang dihantar ke AS."


"Sebarang tindakan unilateral untuk menaikkan tarif akan dibalas berdasarkan undang-undang timbal balik ekonomi Brazil," kata Lula di platform X pada Rabu.


Naib Presiden Brazil Geraldo Alckmin pula menyifatkan tindakan Trump mengenakan tarif 50 peratus ke atas produk Brazil sebagai tidak adil.


"Saya tidak nampak sebarang sebab untuk menaikkan tarif ke atas Brazil. Brazil bukan masalah kepada Amerika Syarikat; ini penting untuk ditegaskan.


"Amerika Syarikat mencatatkan defisit perdagangan global, namun mempunyai lebihan dagangan dengan Brazil," kata Alckmin.


Presiden AS Donald Trump mengutus surat kepada pemimpin lapan lagi negara, tarif sebanyak 30 peratus akan dikenakan ke atas Libya, Iraq, Algeria dan Sri Lanka; 25 peratus ke atas Brunei dan Moldova; serta 20 peratus ke atas Filipina. - Foto fail AFP.
Anggota JPJ pandu secara berbahaya potong 'double line' digantung tugas

Anggota JPJ pandu secara berbahaya potong 'double line' digantung tugas


Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membawa kenderaan pasukan secara berbahaya ketika melalui jalan Simpang Pulai, Perak dikenakan tindakan gantung tugas.


Kejadian itu dirakam kamera papan pemuka (dashcam) orang awam sebelum dimuat naik dan tular di media sosial, sejak semalam.


Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, anggota itu ditempatkan ke jawatan kumpulan di ibu pejabat sehingga siasatan kes tersebut selesai.


"Notis saman kepada anggota yang memandu atas kesalahan memotong di garisan berkembar juga dikeluarkan selain dilarang memandu kenderaan jabatan.


"Pihak JPJ memandang serius kejadian itu dan tindakan tegas secara serta-merta dikeluarkan kepada anggota JPJ terlibat," katanya dalam kenyataan, semalam.


Menurut Aedy Fadly, pihaknya juga mengambil langkah susulan dengan melaksanakan siasatan berkaitan kesalahan lain melibatkan anggota berkenaan untuk tindakan lanjut.


Tegasnya, JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya termasuk anggota serta kakitangan jabatan ini yang melakukan kesalahan lalu lintas.


"Pihak JPJ merakam setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada orang awam yang merakam kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.


"JPJ menyeru kepada orang awam untuk melaporkan aduan secara terus jika terdapat mana-mana pengguna yang tidak mematuhi peraturan jalan raya dengan menerusi aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel berserta butiran lengkap," ujarnya.


Terdahulu tular di media sosial sebuah video yang merakam kenderaan JPJ memotong garisan berkembar.


Kejadian yang dirakam pada pukul 10.18 pagi itu memaparkan pemandu dari arah bertentangan sempat mengelak daripada terlanggar kenderaan JPJ tersebut.


Tangkap layar rakaman kamera papan pemuka memaparkan kenderaan JPJ sedang memotong garisan berkembar. 

Rabu, 9 Julai 2025

Bau busuk bongkar warga Pakistan jual ayam hidup dalam tandas kedai runcit di Melaka

Bau busuk bongkar warga Pakistan jual ayam hidup dalam tandas kedai runcit di Melaka


Bau busuk najis binatang dari sebuah kedai runcit berjaya membongkarkan kegiatan seorang warga Pakistan dipercayai menjual ayam hidup yang disembunyikan dalam tandas.


Kedai runcit yang diuruskan individu terbabit dan tidak mempunyai lesen dari pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dikesan menerusi operasi dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka di Taman Cheng Emas, Cheng baru-baru ini.


Pengarahnya, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, pemeriksaan yang dilakukan pegawai penguat kuasa mendapati premis itu bukan sahaja dicemari bau busuk najis unggas berkenaan malah dalam keadaan kotor.



Menurutnya, pada awalnya lelaki berusia 40-an itu berdolak-dalik dan menafikan dia menjalankan perniagaan di premis itu yang turut dikesan belum mendapat lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan.


"Bagaimanapun selepas ditunjukkan bukti berlakunya aktiviti perniagaan, lelaki itu mengaku menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen PBT.


"Hasil pemeriksaan juga mendapati premis itu gagal menyelenggara tanda harga serta menggunakan alat sukat iaitu timbangan elektronik yang tidak ditentusahkan dan telah tamat tempoh," katanya.


Terdahulu, tular video berdurasi 4 minit 40 saat yang dimuat naik KPDN Melaka di aplikasi TikTok.


Video berkenaan memaparkan pegawai penguat kuasa melakukan pemeriksaan di kedai runcit itu sebelum menemui lebih tujuh ekor ayam hidup yang disorokkan dalam tandas berhampiran stor.


Mengulas lanjut Mohd Hazimin berkata, difahamkan peniaga Pakistan berkenaan dalam proses menukar hak milik perniagaan yang dibeli daripada warga tempatan dan hanya mempunyai lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


"KPDN Melaka mengeluarkan kompaun keseluruhan RM500 mengikut Akta Timbang Dan Sukat 1972 serta Akta Kawalan Harga dan Antipencacutan 2011.


"Pemeriksaan dilakukan mendapati individu itu gagal meletakkan tanda harga pada barangan jualan, namun tiada sitaan dilakukan," ujarnya.


Pegawai Penguat kuasa periksa alat timbangan elektronik yang telah tamat tempoh namun masih digunakan. - Foto Sinar Harian.
Jambatan runtuh ketika trafik sesak di India ragut 10 nyawa

Jambatan runtuh ketika trafik sesak di India ragut 10 nyawa


Sekurang-kurangnya sepuluh orang terbunuh dan beberapa kenderaan jatuh ke dalam Sungai Mahisagar selepas sebahagian jambatan Gambhira-Mujpur di Padra, Vadodara di Gujarat runtuh pada Rabu.


Jambatan itu, yang menghubungkan daerah Anand dan Vadodara, runtuh pada 7.30 pagi (waktu tempatan) ketika aliran trafik sesak, mengakibatkan kematian dan kecederaan kepada tiga individu lain.


Menurut laporan awal, empat kenderaan, termasuk dua trak, SUV Bolero, dan pikap, sedang melintasi jambatan itu apabila ia tiba-tiba runtuh, lapor NDTV.


Menurut saksi, bunyi retak yang kuat kedengaran beberapa saat sebelum kenderaan itu terjatuh ke dalam sungai.



Pasukan bomba, polis tempatan dan anggota pentadbiran daerah Vadodara bergegas ke tempat kejadian dan melancarkan operasi menyelamat segera.


Penduduk tempatan turut menyertai operasi menyelamat dan membantu mengeluarkan mangsa yang cedera dari serpihan.


Setakat ini, tiga orang berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan.


Pihak berkuasa telah mengepung kawasan itu untuk mengelakkan kemalangan lanjut dan memulakan siasatan ke atas punca runtuhan.


Penduduk tempatan mendakwa bahawa jambatan itu, laluan utama yang menghubungkan Gujarat Tengah ke Saurashtra dan penting untuk penduduk antara Anand, Vadodara, Bharuch dan Ankleshwar, telah lama diabaikan oleh pentadbiran.


"Jambatan Gambhira telah menjadi terkenal bukan hanya sebagai bahaya lalu lintas tetapi juga sebagai titik bunuh diri. Amaran berulang tentang keadaannya tidak diendahkan," kata seorang penduduk. - Sumber The Times Of India.


Orang ramai membantu menyelamatkan mangsa. - Foto Reuters.

Selasa, 8 Julai 2025

Polis 'buru' kumpulan pengayuh basikal halang laluan bas

Polis 'buru' kumpulan pengayuh basikal halang laluan bas


Polis sedang mengesan sekumpulan pengayuh basikal yang dipercayai menghalang laluan sebuah bas di Kilometer 23 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur menghala Sungai Buloh selepas lampu isyarat Batu Arang, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, kejadian yang tular di media sosial itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.35 pagi (Ahad).


"Siasatan awal mendapati mereka mengayuh basikal secara berkumpulan di lorong kiri jalan berkenaan yang kemudian dipercayai menghalang pergerakan sebuah bas yang turut berada di situ.


"Bagaimanapun tiada kemalangan dilaporkan dalam kejadian itu," katanya hari ini.


Jelasnya, kes disiasat mengikut Peraturan 42(3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang basikal secara bersaing.


Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor atau mana-mana balai polis berhampiran.


"Polis juga menasihatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan dan menghormati keselesaan pengguna lain," katanya.


Terdahulu, media tempatan melaporkan Rapid Bus sedang menjalankan siasatan berhubung insiden membabitkan bas perantara Aliran Transit Massa (MRT) dan sekumpulan penunggang basikal yang tular di media sosial itu.


Kejadian berlaku selepas pemandu bas terpaksa memberhentikan kenderaan akibat halangan daripada sekumpulan penunggang basikal yang mengayuh secara berkumpulan di hadapannya.


Namun, berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kebetulan melalui jalan itu menenangkan keadaan.


Tangkap layar video kejadian tular itu.

Isnin, 7 Julai 2025

Lelaki mengamuk bawa gunting, kejar orang awam di MRT Sungai Buloh ditahan

Lelaki mengamuk bawa gunting, kejar orang awam di MRT Sungai Buloh ditahan


Polis menahan seorang lelaki selepas mengamuk sambil mengacukan sebilah gunting dan mengejar orang awam di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh, tengah malam tadi.


Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang anggota polis bantuan Prasarana yang bertugas di lokasi berkenaan, pada pukul 12.32 tengah malam.


Menurut beliau, laporan dibuat seorang perempuan memaklumkan bahawa ayahnya dikejar oleh seorang lelaki tidak dikenali di kawasan bawah stesen berkenaan kira-kira pukul 11.15 malam, semalam.


"Dengan dipandu arah oleh perempuan tersebut, anggota polis bantuan bersama rakan setugas menuju ke lokasi dan mendapati suspek berada di tangga dalam keadaan meracau.


"Suspek telah mengacukan sebilah gunting dan bertindak mengejar orang awam yang berada di stesen berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Susulan kejadian itu, Mohd. Hafiz berkata, pihaknya polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.


Jelasnya, suspek kini direman selama tiga hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan. Mohd. Hafiz turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Sungai Buloh.

Ahad, 6 Julai 2025

Anggota bomba selamatkan dua wanita sesat, tak jumpa jalan keluar ketika daki Bukit Broga

Anggota bomba selamatkan dua wanita sesat, tak jumpa jalan keluar ketika daki Bukit Broga


Dua wanita berdepan detik cemas apabila tersesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Broga, Semenyih pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.52 pagi itu, kedua-dua mangsa yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an dilaporkan gagal mencari jalan keluar selepas dipercayai tersasar dari trek asal.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih digerakkan ke lokasi.


"Seramai lima anggota termasuk seorang pegawai dengan kekuatan satu jentera dikerahkan ke lokasi dan tiba pada jam 10.02 pagi.


"Setibanya di lokasi, komander operasi dimaklumkan terdapat dua wanita yang tersesat dari laluan asal pendakian," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Ahmad Mukhlis, operasi mencari dan menyelamat segera dijalankan berdasarkan maklumat awal yang diterima.


"Anggota bomba melakukan pendakian dan pencarian di sekitar kawasan yang dipercayai menjadi lokasi terakhir mangsa dilihat.


"Tidak lama selepas itu, kedua-dua mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan," katanya.


Mangsa kemudiannya dibawa turun ke kaki bukit dengan dibantu anggota bomba bertugas.


Bomba menyelamatkan dua wanita yang tersesat ketika mendaki Bukit Broga selepas tersasar dari landasan pendakian pagi ini. - Foto BOMBA.
Misteri belut hidup berenang dalam perut pesakit

Misteri belut hidup berenang dalam perut pesakit


Sepasukan anggota perubatan di sebuah hospital di wilayah Hunan, China terkejut apabila menemui seekor belut hidup di dalam rongga perut seorang pesakit, lapor laman berita Oddity Central pada 4 Julai 2025.


Pesakit berusia 33 tahun itu tiba di hospital dalam keadaan muka pucat, berpeluh-peluh, kesejukan dan mengadu mengalami sakit perut yang teruk.


Apabila melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT), doktor terkejut apabila melihat satu objek asing misteri yang kelihatan menembusi dinding perut, menyebabkan berlakunya rongga pada perut pesakit.


Ketika pembedahan dijalankan, doktor mendapati belut itu telah menembusi dinding usus sepenuhnya dan sedang 'berenang' di dalam rongga perut, yang berisiko dijangkiti jika tidak dirawat segera.


Menggunakan alat seperti pengapit, pakar bedah berjaya menangkap dan mengeluarkan belut, kemudian menjahit lubang di kolon sigmoid dan menyiram rongga perut dengan larutan garam untuk meminimumkan risiko jangkitan.


Selepas pembedahan, lelaki itu pulih sepenuhnya tidak lama kemudian dan dibenarkan keluar dari hospital. Tiada berita tentang apa yang berlaku kepada belut itu.


Belut adalah haiwan akuatik yang terbiasa hidup dalam persekitaran dengan dasar kelodak, seperti sawah, tasik, kolam, sungai, dan terusan. Ia dikenali 'mahir' menggali lubang di tanah yang agak lembut, jadi ia boleh menembusi usus manusia dengan mudah.


Walaupun pakar perubatan yang terlibat dalam kes ini tidak membincangkan bagaimana belut masuk ke dalam kolon lelaki itu, ia tidak terlalu sukar untuk orang ramai membuat kesimpulan.


"Semua orang tahu bagaimana dia masuk", komen seorang.


"Dia duduk di atasnya secara tidak sengaja," tulis orang lain.


Menariknya, kes sebegini tidak jarang seperti yang anda fikirkan. Kami menulis tentang kes yang sangat serupa tahun lepas. - Sumber Oddity Central.


BACA: Doktor keluarkan belut hidup dari perut pesakit.


Seekor belut hidup ditemui dalam rongga perut ketika menjalani pembedahan. - Foto Huaihua Daily.

Sabtu, 5 Julai 2025

Isteri tikam suaminya beberapa kali selepas kena tendang

Isteri tikam suaminya beberapa kali selepas kena tendang


Perbalahan rumah tangga bertukar menjadi ganas apabila seorang suami ditikam oleh isterinya selepas mereka saling kata-mengata, lapor portal berita Thaiger pada 5 Julai 2025.


Si suami yang dikenali sebagai Thirawat, 30, ditikam di belakang kiri dan di tulang kiri dengan objek tajam selepas dia menendang isterinya.


Dia mengalami pendarahan yang banyak diberi pertolongan cemas oleh anggota-anggota penyelamat sebelum dibawa ke Hospital Memorial Pattaya.


Keseluruhan kejadian dirakam sistem kamera televisyen tertutup (CCTV) di hadapan beberapa bilik sewa di Pattaya Selatan.



Polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu tiba bersama anggota-anggota penyelamat dari Yayasan Sawang Boriboon Thammasathan. 


Susulan serangan itu, isterinya dikenali sebagai Ice, 30, melarikan diri dari tempat kejadian bersama anak perempuan mereka, lapor portal berita The Pattaya News.


Siasatan awal mendapati bahawa Ice mungkin telah menaiki bas untuk pulang ke kampung halamannya di wilayah Ratchaburi.


Polis memberitahu Thirawat bahawa dia boleh membuat laporan di Balai Polis Bandar Pattaya jika memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap isterinya. 


Siasatan sedang dijalankan ketika polis berusaha mengumpul maklumat lanjut dan mengesan suspek. - Sumber The Thaiger.


Suami dan isteri bergaduh di depan bilik sewa di Pattaya. - Foto Thaiger.