BERSATU Kelantan tidak menolak kemungkinan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, akan dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan berkuatkuasa hari ini.
Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md Noor, berkata ia mengambil kira status PAS dan BERSATU selaku dua parti besar dalam gabungan berkenaan.
Malah, katanya sebelum ini pun Muhyiddin pernah menawarkan jawatan berkenaan kepada Abdul Hadi, namun ditolak Ahli Parlimen Marang itu.
"Memandangkan dalam PN hanya mempunyai dua parti besar iaitu BERSATU dan PAS berbanding parti lain, maka logiknya Pengerusi PN nanti adalah dari PAS.
"Mengikut perlembagaan PN, mereka yang mengetuai PN adalah ketua parti masing-masing dan jika PAS yang mengetuai PN nanti, sudah tentulah Tan Sri Abdul Hadi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut ketibaan pelancong di pintu masuk sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) hari ini.
Sebelum ini, PAS memberi bayangan bahawa pemimpin parti itu yang akan menerajui PN tidak semestinya diwakili Abdul Hadi selaku Presiden.
Sebaliknya, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata pemimpin parti itu yang akan diangkat sebagai Pengerusi PN adalah individu yang diyakini boleh menggembleng kekuatan parti yang ada di bawah perikatan terbabit.
Mengulas lanjut katanya, pelantikan Pengerusi PN dijangka dibuat dalam masa terdekat selepas perbincangan mendapat kata sepakat.
"Untuk pelantikan Pengerusi PN, semua ketua parti dalam PN akan berbincang bagi mencapai kata sepakat berkaitan lantikan baharu.
"Kami di BERSATU tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Pengerusi PN yang dilantik nanti daripada PAS," katanya.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sebelum ini mengesahkan parti itu akan mengusulkan beberapa nama untuk dicadangkan sebagai Pengerusi PN yang baharu, menggantikan Muhyiddin.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PN dalam masa terdekat.

EmoticonEmoticon