Isnin, 23 Jun 2025

Misteri bunyi aneh dari siling rumah akhirnya terjawap

Misteri bunyi aneh dari siling rumah akhirnya terjawap


Sebuah keluarga di Ayutthaya tidak menyangka bahawa bunyi misteri yang sering didengari dari dalam siling rumah mereka rupanya berpunca daripada seekor biawak air yang 'mendiami' ruang itu, lapor laman berita Thaiger hari ini.


Reptilia itu, sepanjang lebih 2 meter dan berat lebih 30 kilogram, ditemui di sebuah kediaman di mukim Khan Ham, daerah Uthai, wilayah Ayutthaya, pada 23 Jun.


Pemilik rumah dan keluarga mereka pada mulanya menganggap bunyi itu yang kedengaran selama beberapa hari disebabkan oleh haiwan kecil, seperti tikus.



Bagaimanapun, apabila sebahagian siling runtuh secara tidak dijangka, menampakkan kepala biawak besar itu, mereka segera menghubungi perkhidmatan penyelamat untuk mendapatkan bantuan.


Sejurus tiba, anggota penyelamat memerhati biawak air besar itu ketika cuba bersembunyi. Pasukan itu dengan berhati-hati mendekati reptilia itu dengan melebarkan lubang siling di mana haiwan itu muncul.


Dengan menggunakan peralatan khas, mereka berjaya mengeluarkan biawak bersaiz besar itu dalam masa tiga jam. - Sumber The Thaiger.


Anggota penyelamat mengeluarkan biawak dari siling rumah. - Foto Khaosod.

Ahad, 22 Jun 2025

Pengawal keselamatan parah kena serang ketika mabuk di Nilai

Pengawal keselamatan parah kena serang ketika mabuk di Nilai


Seorang pengawal keselamatan berusia dalam lingkungan 30-an cedera parah selepas ditetak oleh sekumpulan individu tidak dikenali dalam satu kejadian pergaduhan di hadapan sebuah premis makanan segera di Bandar Baru Nilai, awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 6.08 pagi daripada pegawai perubatan Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, yang memaklumkan mangsa dimasukkan ke zon merah, Jabatan Kecemasan dengan kesan kecederaan di muka dan badan.


"Siasatan awal mendapati mangsa ditetak menggunakan senjata jenis parang dan dipukul dengan kayu oleh lebih dari empat orang suspek dalam kejadian yang berlaku pada jam 2.30 pagi.


"Mangsa kini dalam keadaan stabil dan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki," katanya ketika dihubungi.


Menurut beliau, siasatan awal mendapati insiden itu tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan gengsterisme atau dendam lama.


"Pergaduhan dipercayai tercetus ketika semua pihak berada di bawah pengaruh alkohol, yang membawa kepada salah faham dan provokasi. Pihak polis sedang giat mengenal pasti suspek terlibat serta lokasi sebenar kejadian," katanya.


Seorang pengawal keselamatan cedera parah selepas ditetak sekumpulan individu dalam pergaduhan di hadapan sebuah premis makanan segera di Bandar Baru Nilai, awal pagi tadi. - Foto Kosmo Online.

Sabtu, 21 Jun 2025

46 warga asing ditahan polis, protes depan bangunan serta rosakkan van kilang

46 warga asing ditahan polis, protes depan bangunan serta rosakkan van kilang


Seramai 46 warga asing yang melakukan protes dengan merosakkan van kilang tempat mereka bekerja di hadapan perkarangan bangunan The Summit, Bukit Mertajam, malam tadi, direman selama empat hari bagi siasatan lanjut.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima maklumat jam 10.42 malam memaklumkan terdapat sekumpulan pekerja asing berkumpul di hadapan bangunan bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka.


"Siasatan awal mendapati bangunan hotel itu dijadikan hostel pekerja oleh sebuah syarikat yang beralamat di kawasan perindustrian Bukit Minyak.


"Bagaimanapun, pekerja asing itu tidak berpuas hati terhadap warden hostel yang juga seorang lelaki warga asing kerana mengutip denda ke atas pekerja jika melanggar peraturan syarikat.


"Ia dilakukan tanpa pengetahuan pihak syarikat dan menyebabkan beberapa pekerja yang tinggal di asrama bertindak berkumpul serta merosakkan van yang diletakkan di hadapan bangunan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, kesemua pekerja asing terbabit ditahan polis bagi tindakan selanjutnya.


"Reman yang dipohon di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam membenarkan seramai 46 lelaki terbabit direman selama empat hari hingga 24 Jun untuk siasatan lanjut," katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.


Terdahulu tular video berdurasi satu minit dan 47 saat memaparkan sekumpulan pekerja asing melakukan demonstrasi di hadapan bangunan The Summit yang dijadikan asrama penginapan mereka.


Demonstrasi berkenaan mendapat kecaman warganet yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pekerja asing yang melampaui batas.


Tangkap layar memaparkan sekumpulan pekerja asing melakukan bantahan di hadapan bangunan The Summit Bukit Mertajam. - Foto Harian Metro.

Khamis, 19 Jun 2025

Taktik aneh, lelaki campak serbuk cili sebelum rompak kedai emas

Taktik aneh, lelaki campak serbuk cili sebelum rompak kedai emas


Seorang lelaki bertindak mencampakkan serbuk cili ke arah pekerja kedai emas sebelum melarikan barangan kemas bernilai RM50,000 dalam kejadian rompakan di Pekan Pandak Mayah, Kuah di Langkawi hari ini.


Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.48 pagi itu, suspek yang memakai topeng ski meluru masuk ke kedai emas tersebut sebelum mencampakkan serbuk cili ke arah pekerja di situ.


"Suspek seterusnya memecahkan cermin pameran emas menggunakan parang yang dibawa dan melarikan sejumlah barangan kemas dianggarkan bernilai RM50,000.


"Pemilik kedai emas berusia 69 tahun dan pekerja wanita berusia 60 tahun kemudian bertindak mengejar suspek," katanya hari ini.


Kata beliau, cubaan suspek berusia 45 tahun untuk melarikan diri gagal apabila berjaya ditahan oleh anggota polis yang membuat rondaan di kawasan tersebut.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan," ujarnya.


Suspek bertindak memecahkan cermin pameran sebelum melarikan barangan kemas dalam kejadian rompakan di Pekan Pandak Mayah, Kuah di Langkawi, hari ini. - Foto Kosmo Online.

Rabu, 18 Jun 2025

Lelaki hidup bersama berus gigi dalam badan selama 52 tahun

Lelaki hidup bersama berus gigi dalam badan selama 52 tahun


Seorang warga emas berusia 64 tahun di wilayah Anhui, China terkejut apabila mengetahui bahawa berus gigi yang ditelannya lebih lima dekad lalu masih berada di dalam badannya, lapor portal berita Must Share News pada 17 Jun 2025.


Lelaki dikenali sebagai Yang itu segera mendapatkan rawatan perubatan selepas mengalami sakit dada yang berterusan.


Semasa dia menjalani endoskopi dan imbasan tomografi berkomputer (CT), doktor terkejut apabila menemui objek yang panjang dan nipis di dalam duodenum iaitu bahagian usus kecilnya.


Pemeriksaan lanjut mengesahkan bahawa objek tersebut adalah berus gigi plastik kanak-kanak.


Menurut Yang, dia secara tidak sengaja menelan berus gigi itu ketika bermain pada usia 12 tahun.


Selain merahsiakan perkara itu daripada ibunya, Yang menganggap objek tersebut akan larut secara semula jadi di dalam badan.


Bahkan, berus gigi itu kekal di tempat sama selama 52 tahun tanpa menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa.


Yang selamat menjalani pembedahan dan doktor berjaya mengeluarkan objek itu. - Sumber MS News.


Doktor mengeluarkan berus gigi yang berada dalam ususnya selama 52 tahun. - Foto Liberty Times Net.

Isnin, 16 Jun 2025

Dibelasah 9 rakan sekolah gara-gara simpan gambar bekas kekasih

Dibelasah 9 rakan sekolah gara-gara simpan gambar bekas kekasih


Sembilan pelajar sekolah menengah di daerah Kemaman ditahan reman selama tiga hari berhubung kes memukul rakan sekolah hujung bulan lalu.


Perintah reman ke atas kesemua remaja itu dibenarkan Hakim Wan Suhaila Mohd. di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, sembilan pelajar berusia 15 hingga 18 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 tengah hari semalam selepas pihaknya menerima aduan daripada mangsa berusia 14 tahun.


"Pelajar tingkatan dua itu mendakwa dia dipukul sekumpulan rakan sekolahnya pada 27 dan 28 Mei lalu.


"Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat rasa tidak puas hati salah seorang suspek terhadap mangsa yang masih menyimpan gambar remaja perempuan didakwa kekasihnya.


"Sebelum menjalin hubungan dengan suspek, gadis itu ialah bekas kekasih mangsa," katanya ketika dihubungi wartawan hari ini.


Katanya, tindakan suspek utama dan rakan-rakannya memukul mangsa secara berkumpulan menyebabkan remaja tersebut cedera di kepala dan belakang badan.


Sebahagian sembilan pelajar sekolah yang ditahan reman bagi membantu siasatan mencederakan rakan sekolah di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini. - Foto Kosmo Online.

Ahad, 15 Jun 2025

Beli pisang tiramisu, dalam ada inti cicak goreng

Beli pisang tiramisu, dalam ada inti cicak goreng


Seorang pelanggan kesal apabila pisang goreng tiramisu yang dibeli di sebuah premis Bayan Baru, Pulau Pinang turut diberikan 'topping' istimewa iaitu cicak goreng.


Menerusi video dimuat naik pengguna TikTok alisha.azni, kelihatan bangkai cicak tersebut di dalam pisang goreng tiramisu yang dibeli serta diletakkan di dalam bekas kertas makanan.


"Beli pisang goreng tiramisu dapat cicak goreng. Hati-hati kedai pengotor tak bertanggungjawab.


"Keracunan makanan atau kehilangan nyawa sebab teracun kena tanggung sendiri sebab penjual tak kisah asalkan untung.


"Saya kongsi untuk orang ramai hati-hati bila makan, jijik kedai ni. Dah lah bau longkang keliling kedai. Penjual tak peduli langsung bila kita bagitahu dekat dia. Saya dah pergi dua klinik. Dari 29 Mei keracunan makanan, sampai sekarang tak baik," katanya.


Dalam pada itu, ramai yang loya selepas melihat menu cicak goreng itu serta mencadangkan kepada pelanggan tersebut untuk mengambil tindakan.


"Buat laporan kepada pihak berwajib supaya mereka tak ambil mudah selepas ini," kata seorang pengguna TikTok.


"Boleh rujuk jabatan terlibat, buat laporan... bukan main-main. Cicak wei," komen seorang individu.


"Buat laporan dekat Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa. Bukan nak melingkup bisnes ka apa, tapi nak bagi kesedaran pentingnya jaga kebersihan," kata pengguna TikTok yang lain.


Tangkap layar video bangkai cicak di dalam makanan yang dibeli di sebuah premis di Pulau Pinang. - Foto Kosmo Online.

Jumaat, 13 Jun 2025

Misteri cahaya merah menegak di langit Singapura

Misteri cahaya merah menegak di langit Singapura


Satu pancaran cahaya merah ganjil yang menegak dapat dilihat di langit Singapura pada waktu malam, lapor portal berita MSNews hari ini.


Pembaca MSNews yang melihat fenomena itu menggambarkannya sebagai 'Cahaya Merah Menegak' di langit Pangkalan Udara Paya Lebar, Selasa lalu (10 Jun).


Menurut pembaca yang dikenali sebagai Mike, dia melihat cahaya aneh tersebut ketika berjalan pulang selepas makan malam bersama keluarganya.


Mike berkata, fenomena ganjil itu muncul kira-kira pukul 8.30 malam (waktu tempatan) tetapi dia tidak dapat melihatnya dengan jelas pada masa itu kerana persekitaran di tempatnya.


Semasa dia terus berjalan, pancaran cahaya itu dapat dilihat dengan lebih kira-kira pukul 9 malam.


Apabila Mike tiba di rumah kira-kira pukul 10.30 malam, lelaki tersebut menyedari bahawa awan telah mula menutup cahaya itu dan dia tidak dapat melihatnya lagi.


"Cahaya ini berada di sana selama lebih 3 jam. (Ia) berada pada kedudukan yang sama sepanjang masa," ujarnya. - Sumber MS News.


Satu pancaran cahaya merah menegak di langit Singapura. - Foto Pembaca MSNews.

Khamis, 12 Jun 2025

Operasi 8 jam jejak monyet ragut barang kemas bernilai RM113,000

Operasi 8 jam jejak monyet ragut barang kemas bernilai RM113,000


Kunjungan sebuah keluarga untuk beribadat ke Kuil Banke Bihari, Vrindavan bertukar kecoh apabila seekor monyet tiba-tiba meragut beg tangan seorang wanita yang mengandungi barang kemas bernilai lebih 20 lakh (kira-kira RM113,000).


Insiden yang berlaku Khamis lalu itu menjadi lebih dramatik apabila polis bersama penduduk tempatan terpaksa melancarkan operasi selama lapan jam, termasuk menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) semata-mata untuk mengesan monyet terbabit.


Menurut laporan Times of India, kejadian berlaku ketika Abhishek Agarwal, penduduk Aligarh, sedang meninggalkan kuil bersama keluarganya selepas selesai bersembahyang.


Tiba-tiba, seekor monyet menyambar beg tangan isterinya lalu melompat ke atas pokok.


"Beg itu mengandungi rantai bertatah berlian, dua cincin berlian, dua subang berlian dan tiga gelang perak," kata seorang peniaga yang menyaksikan kejadian itu.


Usaha orang ramai untuk mendapatkan semula beg itu tidak berhasil apabila monyet berkenaan hilang dalam sekelip mata.


Sedih dengan jumlah kerugian dialami, keluarga itu terus membuat laporan polis dengan harapan dapat menemui semula barangan berharga itu.


Pihak berkuasa kemudian memulakan operasi pencarian dengan meneliti rakaman CCTV untuk menjejaki laluan monyet terbabit.


Selepas hampir lapan jam, beg berkenaan ditemui ditinggalkan dalam semak dan lebih melegakan apabila semua barang kemas masih kekal berada di dalam beg tangan itu.


"Beg itu dijumpai dalam keadaan di dalamnya tidak terusik," kata Deputi Superintendan Polis Mathura Sadar, Sandeep Kumar Singh.


Walaupun keluarga Agarwal bersyukur dengan penemuan semula barangan mereka, kejadian itu menimbulkan semula kebimbangan terhadap tingkah laku monyet liar di kawasan ibadat sekitar Vrindavan.


Kuil itu memang terkenal dengan gelagat monyet yang gemar mencuri makanan, cermin mata dan kini, beg tangan mewah berisi berlian. - Sumber Times of India.


Antara barang kemas bernilai lebih 20 lakh ditemui semula. - Foto Times of India.

Selasa, 10 Jun 2025

Remaja disiasat kerana menyamar jadi askar demi pikat wanita

Remaja disiasat kerana menyamar jadi askar demi pikat wanita


Seorang remaja di Kota Palu, wilayah Sulawesi Tengah disiasat oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI) kerana menyamar sebagai anggota badan beruniform tersebut semata-mata untuk kelihatan hebat dan meyakinkan wanita yang disukainya, lapor laman berita Lambe Turah pada 9 Jun 2025.


Namun, drama penyamaran itu berakhir dengan tragis. Seorang anggota tentera yang curiga dengan pergerakan pelaku akhirnya menangkapnya. Tanpa banyak bicara, pelaku terus dipukul kerana dianggap menghina institusi rasmi negara.


Dalam muat naik video yang tular di media sosial, pelaku kelihatan lebam, mukanya bengkak dan mulutnya kelihatan cedera parah. Kejadian ini dikatakan berlaku selepas dia menjalani proses soal siasat oleh anggota tentera di sebuah ibu pejabat di kawasan Palu.


Menurut maklumat dari akaun Facebook yang berkongsi video kejadian ini pada 1 Jun 2025, pelaku menjalinkan hubungan percintaan dengan seorang wanita yang curiga dengan statusnya. Selepas wanita itu melaporkannya kepada seorang anggota TNI sebenar, identiti palsu pelaku terbongkar.


Menurut lelaki tersebut, dia bertindak demikian kerana mahu kelihatan hebat dan memikat hati teman wanitanya.


Sumber yang sama menyatakan bahawa pelaku telah melarikan diri sebelum akhirnya dapat ditangkap. Dia kini sedang menjalani siasatan lanjut dan berdepan hukuman kerana menipu dan menyalahguna uniform rasmi negara. - Sumber Lambe Turah.


Remaja berkenaan kini disiasat oleh TNI. - Foto Facebook.