Selasa, 8 April 2025

Lelaki 'joging' dalam keadaan bogel rupanya ada masalah mental

Lelaki 'joging' dalam keadaan bogel rupanya ada masalah mental


Seorang remaja lelaki ditahan selepas berlari dalam keadaan bogel di simpang tiga, Persiaran Kayangan, Seksyen 8 di Shah Alam pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan insiden itu pada jam 8.30 pagi.


"Sepasukan anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Seksyen 6 segera digerakkan ke lokasi dan menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.


"Remaja tersebut berjaya dipujuk dan ditenangkan sebelum dibawa ke balai polis.


"Anggota Balai Polis Seksyen 6 telah memberikan pakaian kepada remaja tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd Iqbal berkata, remaja itu didapati hanya boleh berintraksi menggunakan isyarat tangan dan dia telah menulis nombor telefon orang yang boleh dihubungi.


"Seorang lelaki telah hadir ke balai polis dan memaklumkan bahawa anak saudaranya itu tinggal bersamanya di Seksyen 9, Shah Alam.


"Remaja itu mengalami masalah gangguan mental serta pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.


"Remaja terbabit kini diserahkan kepada bapa saudaranya untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Shah Alam," katanya.


Tangkap layar video tular memaparkan seorang remaja lelaki berlari dalam keadaan bogel di Seksyen 8, Shah Alam hari ini. - Foto Sinar Harian.

Isnin, 7 April 2025

Buruh binaan panjat kren setinggi 126 meter selepas terdengar bisikan

Buruh binaan panjat kren setinggi 126 meter selepas terdengar bisikan


Seorang buruh binaan memanjat menara kren setinggi kira-kira 126 meter di sebuah kawasan tapak pembinaan bangunan di Luyang, Penampang pada awal pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, lelaki berusia 40-an terbabit mendakwa dia tidak menyedari perbuatannya namun hanya terdengar bisikan untuk naik ke puncak kren sebaik bangun dari tidur.


Susulan kejadian itu, orang awam yang ternampak lelaki terbabit bertindak menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.57 pagi.


"Menurut laporan, lelaki terbabit berada di hujung menara kren di kedudukan atas bangunan dan ketika kejadian, lelaki tersebut berjaya turun dengan sendiri dari ketinggian 126 meter dalam keadaan selamat.


"Menurut lelaki tersebut, dia bukan berniat mahu membunuh diri tetapi dalam keadaan tidak sedar seperti ada bisikan selepas bangun waktu subuh," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata, lelaki terbabit kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


"Operasi turut ditamatkan pada jam 8.02 pagi selepas anggota kami memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian," katanya.


Seorang lelaki memanjang menara kren tanpa disedarinya selepas mendakwa terdengar bisikan sebaik bangun tidur awal pagi tadi dalam kejadian di kawasan tapak pembinaan di Luyang, Penampang di Sabah. - Foto Sinar Harian.
Saintis tunjuk bukti tamadun asing purba di Planet Marikh

Saintis tunjuk bukti tamadun asing purba di Planet Marikh


Seorang penyelidik Planet Marikh mendedahkan bahawa permukaan planet merah itu mempunyai pelbagai tinggalan binaan yang menggambarkan tamadun asing purba, lapor portal berita Daily Mail pada 6 April 2025.


Pengasas dan penyiasat utama Institut Cydonia, George J. Haas dalam buku terbaharunya berkata, pasukannya menganalisis berpuluh-puluh gambar struktur Marikh yang diyakini hasil binaan 'benda hidup'.


Ia termasuk piramid, formasi berbentuk lubang kunci dan struktur mirip burung kakaktua.


Menurutnya, formasi itu mungkin tinggalan bandar yang dahulunya megah, piramid yang menjulang tinggi, geoglyph gergasi dan banyak lagi.


Sebagai seorang penyelidik terlatih, Haas mempunyai mata tajam untuk menguraikan perbezaan halus antara pembentukan semula jadi dan struktur yang sengaja dibuat.


"Anda tidak perlu menjadi ahli geologi untuk mengetahui perbezaan antara batu dan arca. Ia adalah suatu corak geometri," kata Haas.


Bagaimanapun, saintis-saintis lain berkata, dakwaan Haas adalah hasil daripada pareidolia iaitu fenomena otak apabila seseorang melihat wajah dalam imej atau corak secara rawak. - Sumber Daily Mail.


Struktur 'lubang kunci' di permukaan Marikh terdiri daripada dua bahagian utama: formasi berbentuk baji dan kubah bulat yang melekat. - Foto George J. Haas.

Geoglyph burung nuri mempunyai 22 mata ketepatan anatomi, menurut Haas. - Foto George J. Haas.

Piramid Sagan ialah piramid tiga segi yang terletak di Marikh yang menarik perhatian ahli astronomi terkenal Carl Sagan pada tahun 1970-an. - Foto George J. Haas.

George J. Haas ialah pengasas dan penyiasat utama kumpulan penyelidikan Marikh yang dikenali sebagai The Cydonia Institute, dan pengarang 'The Great Architects of Mars'. - Foto The Proof is Out There.

Sabtu, 5 April 2025

Penumpang wanita bergaduh kerana bau badan, penerbangan terpaksa ditangguhkan selama 2 jam

Penumpang wanita bergaduh kerana bau badan, penerbangan terpaksa ditangguhkan selama 2 jam


Dua penumpang wanita yang menaiki penerbangan Shenzhen Airlines dari Shenzhen ke Jingdezhen, China saling menarik rambut ketika bergaduh tentang isu bau badan, lapor laman berita MSNews semalam.


Pengguna platform Weibo dikenali sebagai Terminal Lady berkata, pertengkaran bermula apabila salah seorang penumpang itu mengadu bahawa badan seorang lagi wanita berbau busuk.


Menurutnya, kekecohan tercetus sebelum pesawat berlepas apabila penumpang pertama menyembur minyak wangi.


Salah seorang daripada mereka juga didakwa menggigit pramugari yang cuba meleraikan pergaduhan itu.


Menurut Sing Tao Daily, insiden itu berlaku pada Selasa (1 April) sebelum pesawat itu berlepas.


Penumpang-penumpang terbabit diserahkan kepada polis, manakala Shenzhen Airlines sedang menyiasat kejadian itu.


Penerbangan itu terpaksa ditangguhkan selama lebih dua jam berikutan pergaduhan tersebut. - Sumber MSNews.


Pramugari dan penumpang meleraikan dua wanita bergaduh dalam sebuah pesawat. - Foto Weibo.

Jumaat, 4 April 2025

Lelaki maut ketika curi kabel atas bumbung Pasar Siti Hajar

Lelaki maut ketika curi kabel atas bumbung Pasar Siti Hajar


Seorang lelaki ditemui maut di atas bumbung dipercayai mencuri kabel elektrik bangunan Pasar Siti Hajar, Pasir Puteh hari ini.


Lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an itu disahkan meninggal dunia oleh pihak polis kira-kira pukul 4.50 pagi tadi.


Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Engku Mohd. Azam Engku Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.59 pagi untuk membantu menurunkan mangsa dari atas bumbung bangunan pasar berkenaan.


Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati seorang lelaki meninggal dunia di atas bumbung.


"Difahamkan, lelaki terbabit bersama dua lagi rakannya berada di atas bumbung pasar berkenaan untuk mencuri kabel. Dua rakannya sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak polis," katanya ketika dihubungi hari ini.


Engku Mohd.Azam memberitahu, mangsa akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


Seorang lelaki ditemui meninggal dunia semasa mencuri kabel di atas bumbung Pasar Siti Hajar, Pasir Puteh hari ini. - Foto Kosmo Online/ Bomba.
Tukang sapu jalanan jadi model selepas foto tular di media sosial

Tukang sapu jalanan jadi model selepas foto tular di media sosial


Kisah seorang tukang sapu jalanan di Thailand mencuri perhatian ramai selepas foto transformasi wajahnya selepas disolek, tular di media sosial.


Noppajit 'Mee' Somboonsate, 28, yang bekerja sebagai tukang sapu jalanan di Bangkok, menjadi popular selepas fotonya dirakam selepas disolek oleh jurusolek terkenal, Nong Chat.


Ia sebenarnya bermula apabila jurugambar Rusia, Semyon Rezchikov, memuat naik video sesi fotografi Mee di akaun TikToknya.


Video itu menunjukkan transformasi Mee selepas disolek, dan ia mendapat perhatian ramai pengguna TikTok di Thailand.


Ramai netizen terkejut dengan perubahan Mee, dan foto-fotonya mula tular di platform media sosial lain.


Populariti Mee di media sosial menarik perhatian media tempatan, yang kemudiannya menemu bualnya mengenai kerjaya dan kehidupan peribadinya.


Dalam satu temu bual, Mee berkata, dia adalah ibu tunggal kepada dua anak lelaki, dan sudah bekerja sebagai tukang sapu jalanan selama setahun. Dia menyatakan rasa terkejutnya apabila fotonya mendapat perhatian ramai.


Susulan populariti Mee, jurusolek terkenal Thailand, Nong Chat, menawarkan untuk mengubah Mee menjadi watak Panor daripada filem terkenal Thailand, 'Art of the Devil 2'. Nong Chat memilih Mee kerana persamaan personalitinya.


Transformasi Mee oleh Nong Chat sekali lagi mendapat pujian daripada netizen di media sosial. Nong Chat turut mengambil Mee sebagai model untuk mempromosikan produk baharunya.


Populariti Mee di media sosial membuka peluang baharu untuknya, dan ramai yang berharap wanita ini akan mendapat lebih banyak peluang dalam industri hiburan. - Sumber The Thaiger.


Perbezaan wajah 'Mee' sebelum dan selepas disolek. - Foto Facebook / Browit_by_nongchat.

Rabu, 2 April 2025

Gadis tinggal dalam tandas kilang kerana sewa rumah mahal

Gadis tinggal dalam tandas kilang kerana sewa rumah mahal


Seorang wanita di wilayah Hunan, China menjadi perhatian pengguna media sosial kerana menjadikan ruang di dalam tandas seluas 0.5 meter persegi sebagai rumahnya, lapor laman berita South China Morning Post pada 30 Mac 2025.


Wanita yang identitinya tidak didedahkan itu tinggal di dalam tandas yang sudah tidak digunakan di kilang perabot tempat dia bekerja.


Dia yang berusia 19 tahun, memuat naik hantaran di media sosial yang menunjukkan kehidupannya di dalam tandas disewa daripada majikannya pada harga 50 yuan (RM30) sebulan.


Menurutnya, desakan hidup membuatkan dia tidak mampu menyewa rumah biasa yang kebiasaannya berharga melebihi 800 yuan (RM500) sebulan.



Tambahnya, dia ketika ini menerima gaji kurang daripada 3,000 yuan (RM1,830) dan dia cuba menjimatkan sebanyak wang yang boleh untuk membuat bayaran pendahuluan rumah sewa.


"Dia mendesak untuk membayar saya 50 yuan untuk bil elektrik dan air setiap bulan," kata majikan wanita berkenaan.


Tambah majikan tersebut lagi, dia menawarkan bilik pejabat kosong untuk digunakan oleh pekerjanya itu, namun wanita berkenaan menolaknya kerana mahukan lebih privasi dengan tinggal di dalam tandas.


"Buat masa ini, mempunyai tempat untuk tinggal sudah mencukupi," kata wanita tersebut. - Sumber South China Morning Post.


Gadis tersebut menjadikan tandas di kilang tempat dia bekerja sebagai bilik sewa. - Foto Oddity Central.
Pencuri yang sering guna muslihat 'berak dan lari' akhirnya tumpas

Pencuri yang sering guna muslihat 'berak dan lari' akhirnya tumpas


Pihak berkuasa akhirnya berjaya memberkas pencuri yang terkenal dengan 'muslihat pelik' iaitu berak dalam seluar untuk melarikan diri.


Suspek dikenali sebagai Deepak, 27, di New Delhi, India itu beberapa kali lolos apabila dia menggunakan taktik menjijikkan sedemikian.


Polis turut memberi gelaran 'berak dan lari' kepadanya selepas mereka gagal menangkap pencuri tersebut beberapa kali.


Pihak berkuasa kemudiannya tampil dengan idea untuk memakai topeng muka dan sarung tangan ketika cuba memberkasnya.


"Seperti dijangkakan, Deepak cuba menggunakan taktik kotor itu, namun gagal kerana 'persediaan awal' dibuat anggota kami untuk menahan bau busuk najisnya," ujar jurucakap polis.


Susulan penahanan 'bersejarah' itu, Deepak didakwa di bawah Akta Senjata di Balai Polis Sadar Bazar.


Dia turut mengaku terlibat beberapa kes kecurian dan jenayah bersenjatakan pisau di kawasan berkenaan.


Menurut polis, Deepak mempunyai lebih enam rekod jenayah, tetapi, mekanisme pertahanan diri luar biasa itu menyebabkannya terselamat daripada dicekup. - Sumber India Today.


Deepak (tengah) mempunyai lebih enam rekod jenayah. - Foto India Today.

Sabtu, 29 Mac 2025

Muzium di Jepun terbeli lukisan palsu pada harga RM2 juta

Muzium di Jepun terbeli lukisan palsu pada harga RM2 juta


Muzium Seni Moden Tokushima mengesahkan bahawa lukisan minyak dipamerkan, 'At the Cycle-Race Track' adalah palsu, angkara pemalsu seni terkenal dari Jerman, Wolfgang Beltracchi.


The Japan News melaporkan, muzium itu pada asalnya percaya lukisan itu karya artis Perancis, Jean Metzinger (1883-1956) dan membelinya dengan harga 67.2 juta yen (kira-kira RM2 juta) dari sebuah galeri di Osaka, pada 1999. Galeri itu kini sudah tidak lagi beroperasi.


Bagaimanapun, berdasarkan sijil kesahihan dan maklumat diberikan oleh polis Jerman, muzium itu kini secara pasti mengenal pasti karya itu sebagai palsu.


Akibatnya, muzium itu dalam satu kenyataan pada 25 Mac lalu sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan bayaran balik penuh sebanyak 67.2 juta yen (kira-kira RM2 juta) daripada penjual lukisan itu.


Siasatan ke atas keaslian lukisan itu bermula pada Jun tahun lalu selepas muzium menerima maklumat yang menunjukkan bahawa Beltracchi adalah artis yang disyaki terbabit dalam pemalsuan.


Dia disabitkan dengan pemalsuan pada 2011 dan menjalani hukuman tiga tahun di penjara Jerman, namun kini seorang artis yang berjaya menjual karyanya sendiri.


Menurut pengumuman muzium, pihaknya menghubungi organisasi pengurusan hak cipta artis di Perancis, dan pada Julai lalu, kumpulan itu menjawab bahawa sijil ketulenan karya itu adalah tidak sah.


Selain itu, Beltracchi sendiri mengaku kepada The Yomiuri Shimbun bahawa dia yang melukis karya seni itu.


Seorang penyiasat di Polis Berlin yang bertanggungjawab menyiasat Beltracchi pada 2010 dan 2011, juga dihubungi melalui e-mel sejak Ogos tahun lalu.


Muzium itu mengetahui bahawa pemilik asal lukisan minyak itu adalah peniaga seni Jerman yang disabitkan sebagai rakan sekongkol Beltracchi.


Selain itu, individu yang pada mulanya mengeluarkan sijil ketulenan karya itu mengesahkan lukisan itu tidak tulen.


Berikutan semua faktor itu, pihak muzium membuat kesimpulan bahawa lukisan itu adalah palsu. - Sumber The Straits Times.


Lukisan bertajuk "At the Cycle-Race Track", yang kini disahkan palsu. - Foto Muzium Seni Moden Tokushima.
Lelaki bakar rumah majikan, kecewa gaji tak dibayar

Lelaki bakar rumah majikan, kecewa gaji tak dibayar


Kecewa gajinya tidak dibayar, seorang lelaki RG, 45, di Kabupaten Tapanuli Tengah (Tapteng), Sumatera Utara bertindak membakar rumah majikannya, lapor laman berita Detik.com pada 28 Mac 2025.


Ketua Polis Daerah Tapteng, Wahyu Endrajaya mengesahkan, kejadian itu berlaku di Jalan Prof M Hazairin, Daerah Pandan, 14 Februari lalu.


Katanya, suspek berjaya ditangkap di Jalan Faisal Tanjung, pada 21 Mac lalu.


"Suspek disyaki sengaja membakar rumah setelah berasa marah kepada majikannya.


"Kejadian berlaku jam 10 malam. Ketika itu mangsa terdengar bunyi letupan.


"Selepas diperiksa, api membakar bahagian hadapan rumah dan mangsa cuba menyelamatkan barang-barangnya yang diletakkan di hadapan rumah," katanya pada sidang media, kelmarin.


Dengan bantuan isteri mangsa, Wahyu berkata, api itu akhirnya berjaya dipadamkan.


"Dalam kejadian itu, sebahagian siling rumah, basikal kanak-kanak dan beberapa barangan lain hangus.


"Mangsa mengalami kerugian sehingga 5 juta rupiah (RM1,339.14).


Polis juga sedang menyiasat kejadian itu berdasarkan hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ia menunjukkan suspek melakukan perbuatan itu.


"Penjenayah mengaku kebakaran dimulakan dengan menyalakan api menggunakan palam pencucuh.


"Suspek membakar selipar terpakai yang dicampak ke arah barang di hadapan rumah," katanya.


Ketika disoal siasat, suspek itu mengaku nekad berbuat demikian kerana jengkel dengan mangsa kerana mangsa sering memarahinya dan tidak membayar gajinya. - Sumber Detiksumut.


Polis menunjukkan bahan bukti kejadian kebakaran sebuah rumah. - Foto Polis Daerah Tapteng.