Jumaat, 16 Ogos 2024

Wanita catat rekod baharu Guinness lidah paling lebar di dunia

Wanita catat rekod baharu Guinness lidah paling lebar di dunia


Seorang wanita di negeri Texas menempa nama dalam Guinness World Records kerana memiliki lidah paling lebar di dunia, lapor agensi berita United Press International (UPI) pada 15 Ogos 2024.


Brittany Lacayo mencatatkan rekod dunia tersebut selepas Guinness mengesahkan dia mempunyai lidah dengan ukuran lebar 7.89 sentimeter (3.10 inci).


Dia berjaya mengalahkan pemegang rekod sebelumnya yang juga seorang wanita, Emily Schlenker.


Emily mempunyai ukuran lebar lidah 7.34 sentimeter (2.89 inci).


Lacayo mendapati lidahnya lebih lebar berbanding panjang, selepas diukur dari epiglotis yang terletak di belakang lidah.


"Ia kemas dan agak lucu," kata Lacayo kepada Guinness World Records.


Bagi kategori lelaki pula rekod Guinness milik Brian Thompson dari Amerika, lidahnya berukuran 8.86 sentimeter (3.49 inci) lebar. - Sumber UPI.


Brittany Lacayo mencatatkan rekod dunia dengan ukuran lebar 7.89 sentimeter. - Guinness World Records.
Macam aksi dalam filem, lelaki panjat lori bergerak curi rim tayar

Macam aksi dalam filem, lelaki panjat lori bergerak curi rim tayar


Sebuah video menunjukkan seorang lelaki sedang mencuri rim kereta dari sebuah lori yang sedang bergerak di Jalan Yos Sudarso, Kampung Mabar, Bandaraya Medan, wilayah Sumatera Utara, tular di media sosial sejak Khamis lalu (15/8/2024).


Dalam video tersebut, lelaki berbaju hitam masuk ke dalam sebuah lori yang sedang bergerak. Lelaki itu kemudian dilihat mengambil rim kereta dan membalingnya ke atas jalan raya.


Sementara itu, seorang rakan subahatnya dilihat mengekori lori tersebut menggunakan motosikal.


Ketua Polis Daerah Medan Labuhan, Komisioner Polis Panggil Sarianto Simbolon berkata, insiden itu berlaku pada Rabu (14/8/2024), manakala kedua-dua suspek berjaya ditahan.


"Kami segera bertindak balas selepas mendapat maklumat daripada media sosial mengenai pencurian ini.


"Siasatan dan penahanan dilakukan dalam masa tiga jam dari maklumat yang diperoleh," kata Panggil Sarianto Simbolon.


Polis Medan Labuhan berjaya mendapatkan barang bukti berupa rim yang dicuri, sepasang seluar pendek kuning, dan sebuah motosikal jenis Yamaha Legenda Z yang digunakan penjenayah ketika melakukan aksi tersebut.


Jika disabit bersalah, kedua-dua suspek yang dikenali sebagai Fikram, 24, dan Fanes, 32, berdepan hukuman penjara lima tahun. - Sumber DetikSumut.


Salah seorang pencuri tersebut memanjat ke atas lori dan mencuri rim tayar. - Foto Detik.

Rim kereta yang dicuri suspek. - Foto Istimewa.

Rabu, 14 Ogos 2024

Pecah rumah curi telefon bimbit, suami lari tinggalkan isteri yang dikejar penduduk

Pecah rumah curi telefon bimbit, suami lari tinggalkan isteri yang dikejar penduduk


Seorang lelaki di Mojokerto, wilayah Jawa Timur tergamak meninggalkan isterinya yang dikejar orang ramai ketika mereka cuba mencuri telefon bimbit milik seorang penduduk, lapor laman berita Mili pada 12 Ogos 2024.


Suspek dikenali sebagai Rosidi, 47, ketika kejadian sedang menunggu isterinya, Sumiyah di atas motosikal jenis Honda Supra.


Dalam kejadian awal pagi Ahad (11/8/2024), Sumiyah memasuki sebuah rumah secara senyap-senyap bagi melarikan telefon bimbit milik seorang lelaki yang sedang tidur.


Ketika kejadian, mangsa masih tidur di ruang tamu rumah dengan telefon bimbit jenama Vivo Y19 diletakkan di sebelah badannya.


Bagaimanapun, tindakan Sumiyah itu disedari isteri mangsa yang baru pulang dari membeli-belah sekitar jam 04.30 WIB. Isteri mangsa yang melihat aksi itu menjerit, membuatkan mangsa terjaga daripada tidur.


"Isteri mangsa melihat seorang wanita mengambil telefon bimbit, lalu dia menjerit dan mangsa bangun untuk mengejar suspek di samping beberapa penduduk," kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Dawarblandong, Inspektor Agus Shodikin.


Sumiyah gagal melarikan diri kerana penduduk setempat mengepungnya di segenap penjuru. Dia kemudian ditangkap betul-betul di hadapan rumah mangsa.


Suaminya yang melihat keadaan itu dengan pantas melarikan diri dan meninggalkan Sumiyah. Penduduk kemudian cuba mengejar lelaki itu, namun gagal.


Sumiyah dibawa ke balai polis terdekat untuk disoal siasat, manakala suaminya masih diburu. - Sumber Mili.id.


Sumiyah ditangkap penduduk setempat. - Foto Istimewa.

Selasa, 13 Ogos 2024

Pertandingan menatap wajah bekas kekasih paling lama

Pertandingan menatap wajah bekas kekasih paling lama

 

Menjelang sambutan kemerdekaan Indonesia yang disambut pada 17 Ogos ini, masyarakat di Jawa Barat mengisinya dengan pelbagai aktiviti, ini termasuk mengadakan pertandingan yang pelik dan unik.


Antara pertandingan yang pelik termasuklah penganjur mengadakan pertandingan menatap wajah bekas kekasih paling lama.


"Perlumbaan itu berlangsung pada 11 Ogos lalu di desa Salam Jaya Kecamatan Pabuaran Subang Provinsi Jawa Barat," lapor portal berita Sumeks.co yang memetik hantaran Instagram penduduk.


Menerusi klip video hantaran itu memperlihatkan peserta yang kesemuanya lelaki masing-masing berlumba menatap foto wanita cantik yang dianggap bekas teman wanita mereka.



Mereka masing-masing ditemani oleh isteri yang terlihat memberi sokongan bagi membolehkan pasangan mereka memenangi pertandingan berkenaan.


Memang luar biasa, namun pertandingan unik memeriahkan Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ini mengundang gelak tawa orang ramai yang melihatnya.


Bagaimanapun hadiah kepada pemenang tidak didedahkan kepada umum.


Tarikh 17 Ogos setiap tahun merupakan ulang tahun Hari Kemerdekaan Indonesia daripada pemerintahan kolonial Belanda pada 1945.


Seperti tahun-tahun sebelumnya, sambutan kemerdekaan atau dikenali sebagai 'tujuhbelasan' oleh penduduk tempatan disambut dengan pelbagai aktiviti antaranya pertandingan menangis paling lama.


Para peserta kelihatan bersemangat memegang gambar seorang wanita cantik dan menatapnya. - Foto Sumeks.co.

Isnin, 12 Ogos 2024

Lelaki AS melakar sejarah cipta 15 rekod dunia dalam sehari

Lelaki AS melakar sejarah cipta 15 rekod dunia dalam sehari


Seorang lelaki dari Idaho, Amerika Syarikat (AS) melakar sejarah dengan pencapaian luar biasa selepas mencipta 15 Rekod Dunia Guinness (GWR) dalam sehari, lapor Portal berita NDTV pada 10 Ogos 2024.


Menurut GWR, David Rush telah memecahkan lebih 250 rekod dunia sepanjang hayatnya. Dia baru-baru ini mengunjungi ibu pejabat GWR di London untuk mencuba mencipta rekod dunia paling banyak secara serentak, yang kini mencapai 180.


"Mengadili banyak rekod dalam satu hari adalah memenatkan, jadi saya lebih kagum bagaimana Rush terus memecahkan rekod tanpa kelihatan penat," kata Will Sinden, pengadil rasmi untuk GWR.


Menurut GWR, Rush mula-mula menunjukkan bakat juggling yang mengagumkan.


"Dia mengunyah tiga epal dengan gigitan terbanyak sambil melakukan juggling dalam satu minit, dengan 198 cubaan yang mengagumkan.


"Dia kemudian menggunakan ketangkasannya untuk merekodkan masa terpantas untuk melantunkan bola ping pong pada dua penutup botol 10 kali menggunakan tangan secara silih berganti, mencapai kejayaan sukar itu dalam masa 2.09 saat sahaja.


"Dia juga memecahkan rekod bagi sentuhan besbol dengan sisi tangan berselang-seli dalam masa 30 saat dengan jumlah keseluruhan sebanyak 125," katanya.


Senarai rekod itu termasuk, bola ping pong paling banyak melantun ke dinding dengan menggunakan mulut dalam masa 30 saat, dan yang paling banyak dipukul ke dinding dalam satu minit.


Rush juga berjaya mencipta rekod lain termasuk masa terpantas untuk melipat dan membaling pesawat kertas dengan hanya 5.12 saat.


Rekod lain dicipta Rush pada hari sama adalah memakai baju-T paling banyak dalam masa 30 saat (individu) dan terpantas untuk menyusun 10 gulungan kertas tandas dengan satu tangan. - Sumber NDTV.


David Rush juga sudah memecahkan lebih 250 rekod dunia. - Foto GWR.

Sabtu, 10 Ogos 2024

Kapal angkasa rosak, 2 angkasawan NASA terkandas di orbit Bumi hingga tahun depan

Kapal angkasa rosak, 2 angkasawan NASA terkandas di orbit Bumi hingga tahun depan


Dua angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang terkandas di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) berkemungkinan tidak akan kembali ke Bumi sehingga Februari 2025, lapor akhbar Daily Mail pada 8 Ogos 2024.


Sunita Williams, 58, dan Butch Wilmore, 61, terkandas selepas kapal angkasa keluaran Boeing, Starliner yang mereka naiki menuju ke ISS rosak lebih dua bulan lalu.


Kakitangan di Bumi bergelut untuk menyelesaikan isu tersebut. Bagaimanapun, pendedahan kelmarin menyatakan bahawa mereka mungkin tidak dapat pulang sehingga Februari tahun depan.


NASA berkongsi pelan kecemasan untuk menghantar dua angkasawan dalam misi syarikat aeroangkasa SpaceX, Crew-9 pada September ini. Namun, ia tidak akan membawa pulang dua angkasawan tersebut sehingga beberapa bulan kemudian.



Sunita dan Butch pada asalnya dijadualkan pulang ke Bumi pada 13 Jun lalu. Mereka sepatutnya menghabiskan masa tidak lebih seminggu di ISS.


Namun, kapal angkasa Starliner berdepan pelbagai masalah semasa penerbangan selama 25 jam itu. Rentetan itu, misi mereka telah dilanjutkan selama dua minggu lagi.


Bagaimanapun, kedua-dua angkasawan tersebut telah berada di angkasa lepas selama 63 hari kerana kapal angkasa Starliner dilanda masalah kegagalan pendorong dan kebocoran gas helium. 


Masalah itu memaksa mereka berada di orbit lebih lama kerana bimbang perjalanan pulang ke bumi dengan menaiki kapal angkasa sama akan berakhir dengan bencana.


Memetik laporan NDTV News, NASA menegaskan bahawa angkasawan itu dan lapan angkasawan lain di dalam ISS adalah selamat.


Menurut Boeing, Starliner boleh kekal berlabuh dengan stesen angkasa selama maksimum 90 hari, selepas itu bateri di dalam kapal angkasa mungkin habis.


Akibatnya, ahli teknologi angkasa AS mempunyai lebih kurang 35 hari lagi untuk menentukan sama ada Sunita dan Butch Wilmore akan kembali ke Bumi dengan Boeing Starliner yang terjejas, atau jika mereka akan menggunakan SpaceX's Crew Dragon atau kapal angkasa Soyuz Rusia.


Kedua-dua kenderaan siap sedia ini sudah pun berlabuh di stesen angkasa, jadi Sunita mahupun lapan angkasawan yang lain tidak benar-benar terkandas di angkasa.


Dalam satu kenyataan, NASA berkata, ujian tanah untuk pendorong Sistem Kawalan Reaksi (RCS) selesai dan pembongkaran dan pemeriksaan menyimpulkan, pasukan Starliner sedang menyemak data yang akan membantu dalam misi masa depan dan membuka jalan bagi angkasawan NASA Butch Wilmore dan Sunita Williams untuk kembali ke Bumi. - Sumber Daily Mail.


Foto yang disediakan oleh NASA ini menunjukkan kapal angkasa Starliner Boeing yang melancarkan angkasawan Butch Wilmore dan Sunita Williams ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). - Foto AP.

Sunita Williams dan Butch Wilmore kini telah berada di angkasa selama 63 hari. - Foto AFP.
Pesawat penumpang terhempas, 61 terkorban

Pesawat penumpang terhempas, 61 terkorban


Sebuah pesawat penumpang terhempas di kawasan pedalaman Sao Paulo, Brazil pada Jumaat, mengorbankan kesemua 61 orang di dalam pesawat dan disahkan oleh syarikat penerbangan Voepass, menurut Xinhua.


Syarikat penerbangan itu memaklumkan jumlah mangsa terkorban adalah 61, bukan 62 seperti yang dilaporkan pada awalnya.


Voepass dalam satu kenyataan menjelaskan pesawat yang terhempas di bandar Vinhedo itu membawa 57 penumpang dan empat anak kapal.


Pesawat syarikat penerbangan serantau Brazil itu sedang dalam perjalanan dari bandar Cascavel di selatan Parana ke Lapangan Terbang Antarabangsa Guarulhos di Sao Paulo.


Pesawat yang mempunyai kapasiti untuk membawa 68 penumpang itu terhempas ke atas rumah di kawasan kejiranan Capela de Vinhedo.


Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, ketika menghadiri satu acara di pelabuhan Itajaí, di selatan Santa Catarina turut meminta semua hadirin bertafakur seketika sebagai tanda penghormatan.


Presiden menyatakan 'solidariti sepenuhnya terhadap keluarga dan rakan mangsa' di platform sosial X. - Sumber Xinhua.


Lokasi sebuah pesawat syarikat penerbangan Voepass terhempas mengorbankan 61 penumpang dan anak kapal. - Foto AFP.

Khamis, 8 Ogos 2024

29 ular sawa ditangkap dalam saliran longkang berdekatan sebuah restoran

29 ular sawa ditangkap dalam saliran longkang berdekatan sebuah restoran


Sejumlah 28 ekor anak ular sawa dan seekor induk ditangkap dalam saliran longkang berdekatan sebuah restoran di Seksyen 20 dekat Shah Alam, malam tadi.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan jam 9.56 malam.


Didapati 28 anak ular sawa yang dipercayai baru menetas serta seekor induk berada dalam saliran longkang berkenaan.


"Bomba kemudian menangkap semua anak ular serta induknya menggunakan penjerut.


"Anak-anak ular berkenaan dianggarkan sepanjang setengah meter manakala induknya sekitar dua meter," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, operasi menangkap ular itu mengambil masa 12 minit dan semua tangkapan dilepaskan ke tempat yang selamat.


Sejumlah 28 ekor anak ular sawa dan seekor induk ditangkap dalam saliran longkang berdekatan sebuah restoran di Seksyen 20 Shah Alam, malam tadi. - Foto JBPM Selangor.
Bimbang lukakan perasaan Isteri, pencuri seluar dalam rayu dakwaan terhadap dirinya ditarik balik

Bimbang lukakan perasaan Isteri, pencuri seluar dalam rayu dakwaan terhadap dirinya ditarik balik


Seorang lelaki Thailand yang dituduh mencuri seluar dalam wanita dari sebuah kampung di wilayah Nonthaburi, Bangkok merayu agar dakwaan terhadap dirinya ditarik balik.


Hal ini kerana, suspek bernama Sanit Cherdchoo itu bimbang jika isterinya berasa kecewa dan menganggap dia menyukai seluar dalam orang lain berbanding seluar dalam milik pasangannya.


Menerusi laporan yang dibuat oleh mangsa, Sanit Cherdchoo dikatakan mencuri 12 seluar dalamnya yang digantung di luar rumah.


Sanit Cherdchoo kemudiannya ditahan selepas rakaman CCTV yang memperlihatkan dirinya mencuri seluar dalam diteliti oleh pihak berkuasa.


Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan pada 7 Ogos lalu dan mengakui bersalah. Sanit Cherdchoo memberitahu, dia berbuat demikian kerana berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah.


Dia turut mengaku menggemari gaya seluar dalam seksi yang diperbuat daripada renda dan bergaris nipis di bahagian tepi. Isterinya tidak mempunyai seluar dalam seperti itu, jadi dia terpaksa mencuri.


Sungguhpun Sanit Cherdchoo merayu supaya dakwaan digugurkan, namun, mangsa berkeras untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dirinya.


Selain didakwa kerana mencuri harta milik orang lain, Sanit Cherdchoo turut menghadapi pertuduhan penggunaan dadah. - Sumber The Thaiger.


Sanit Cherdchoo juga memberitahu polis bahawa dia paling suka seluar dalam warna merah jambu. - Foto MGR Online.

Rabu, 7 Ogos 2024

Pemuda diliwat ketika minta kerja, lelaki warga asing direman 5 hari

Pemuda diliwat ketika minta kerja, lelaki warga asing direman 5 hari


Seorang lelaki warga Pakistan direman lima hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas didakwa meliwat seorang pemuda yang datang untuk mencari kerja kosong di sebuah kedai perabot semalam.


Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, suspek ditahan oleh sepasukan polis kira-kira pukul 6.30 petang semalam selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh mangsa yang berusia 22 tahun.


"Tangkapan terhadap suspek ini dibuat berhampiran sebuah kedai perabot di Taman Tanjung Minyak Setia, Tanjung Minyak pada petang semalam.


"Mangsa dikatakan datang ke premis berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi semalam untuk minta kerja sebelum suspek meminta pengadu naik ke tingkat atas bagi berjumpa dengan pengurus.


"Bagaimanapun tiada sesiapa ditingkat atas dan suspek kemudian bertindak menarik pengadu ke dalam sebuah bilik sebelum mencium pengadu di mulut, dada, leher, punggung dan betis sebelum meliwat pengadu," katanya dalam kenyataan di sini.


Difahamkan, mangsa telah dirujuk ke Hospital Melaka dan pemeriksaan lanjut mangsa mendapati ada kesan koyakan baharu pada duburnya.


Mengulas lanjut Zainol berkata, mangsa cuba melepaskan diri tetapi telah dihalang oleh suspek.


"Hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek mendapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (KK) iaitu dengan sengaja melakukan persetubuhan di luar tabii.


"Suspek berdepan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan," katanya.


Suspek berusia 36 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini. - Foto Astro Awani.