Khamis, 23 Mei 2024

Saintis bina reaktor nuklear mini 'umpan' makhluk asing datang ke bumi

Saintis bina reaktor nuklear mini 'umpan' makhluk asing datang ke bumi


Seorang saintis mendakwa bahawa penyelidik cuba membina reaktor nuklear mini sebesar tapak tangan bagi membantu menarik kedatangan makhluk asing ke Bumi, lapor laman berita Wion News pada 21 Mei 2024.


Idea itu berdasarkan tanggapan yang telah lama dipegang bahawa makhluk asing lebih mudah mengesan reaktor nuklear, radiasi atau senjata.


Beberapa laporan media pada masa lalu telah mengaitkan penampakan objek terbang tidak dikenali (UFO) 'muncul' berhampiran dengan tapak nuklear di seluruh dunia.


Pakar Fizik di Universiti di Albany, New York, Profesor Kevin Knuth berkata, ia adalah idea yang boleh diterima pakai, manakala reaktor nuklear sebesar tangan manusia sedang dipatenkan.


"Kami cuba memikirkan bagaimana untuk menarik kedatangan UFO dan mencari cara berhubung dengannya.


"Kami memutuskan bahawa UFO mempunyai keupayaan untuk mengesan senjata nuklear, sebahagian daripadanya berada di bawah tanah dan depoh simpanan," katanya seperti dipetik oleh akhbar Daily Star.


Saintis itu menambah bahawa makhluk asing kelihatan mempunyai keupayaan istimewa untuk mengesan senjata nuklear. - Sumber Wion News.


Gambar fail menunjukkan UFO di Bumi. - Foto AFP.

Rabu, 22 Mei 2024

Penumpang pandu teksi, pemandu tidur nyenyak di tempat duduk belakang

Penumpang pandu teksi, pemandu tidur nyenyak di tempat duduk belakang


Seorang penumpang wanita di Pattaya menjadi perhatian pengguna TikTok selepas dia berkongsi pengalaman lucu mengenai pemandu teksi yang mengantuk, lapor laman berita The Pattaya News hari ini.


Dalam satu klip video yang disiarkan semalam (21/5/2024), wanita yang tidak mendedahkan nama sebenarnya itu menceritakan pengalaman dia mendapatkan perkhidmatan teksi pada pukul 3 pagi (waktu tempatan).


Dia mahu menggunakan perkhidmatan teksi itu untuk perjalanan dari Pattaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok.


Namun, wanita berkenaan sebaliknya terpaksa memandu teksi itu kerana pemandunya tidur nyenyak di tempat duduk belakang kenderaan tersebut.


Menurut wanita itu, dia menyedari bahawa pemandu teksi yang datang menjemput dia dan rakannya kelihatan mengantuk.


Pemandu itu malah dilaporkan tertidur sebentar pada satu ketika selepas memulakan perjalanan, jadi wanita itu memutuskan untuk bertanya dengan sopan kepada pemandu tersebut sekiranya dia boleh mengambil alih pemanduan.


Seperti yang dipaparkan dalam video itu, pemandu itu bersetuju untuk membenarkan wanita itu memandu dan meminta diri ke tempat duduk belakang untuk tidur.


Rakan wanita itu merakam pengalaman lucu mereka sebelum menyiarkannya di TikTok, sambil bergurau: "Kami memandu sendiri dari Pattaya sehingga ke Lapangan Terbang Don Mueang, dengan pemandu tidur nyenyak di belakang kami."


Ramai netizen menyatakan pemahaman mereka tentang keputusan wanita itu untuk memandu, manakala ada yang mengecam pemandu teksi itu kerana tidak profesional. - Sumber The Pattaya News.


Seorang wanita memandu teksi manakala pemandunya tidur di tempat duduk belakang. - Foto The Pattaya News.

Selasa, 21 Mei 2024

Guru memuat naik gambar sekolah di media sosial bongkar isteri sebenarnya lelaki

Guru memuat naik gambar sekolah di media sosial bongkar isteri sebenarnya lelaki


Seorang lelaki di Halmahera Selatan, wilayah Maluku Utara terkejut apabila mengetahui bahawa isterinya ternyata seorang lelaki tulen, lapor laman berita Detik hari ini.


Naim Saban, 25, mengahwini Dela La Udin, 26, pada 15 Mei lalu.


Menurut Ketua Kampung Sekly, Malik Hi Daud, ketika acara pernikahan berlangsung, mereka tidak berasa curiga terhadap jantina Dela.


"Pada hari Rabu (15 Mei 2024) kira-kira pukul 9.00 pagi, mereka bernikah dan saya juga hadir. Ketika itu, kami melihat Dela kelihatan cantik dan belum mengetahui bahawa dia ialah seorang lelaki," kata Malik kepada detikcom, Sabtu (18/5/2024).


Namun, perkara itu terbongkar selepas seorang gurunya memuat naik gambar Dela semasa sekolah menengah yang jelas menunjukkan dia seorang pelajar lelaki.


"Selepas gambar itu tular, saya memberitahu anak imam yang menyolek wajah Dela periksa semula. Saya menyuruh mereka memeriksa anggota kelamin Dela untuk memastikan perkara tersebut," ujarnya.


Tambah Malik, Dela dikatakan enggan ditemani sesiapa pun ketika dia mahu menyalin pakaian pengantin, membuatkan mereka berasa curiga.


Perkara itu akhirnya dapat dipastikan selepas beberapa penduduk mahu memeriksa anggota badan Dela dan dia akhirnya membuat pengakuan.


Keluarga Namin yang mendapat tahu hal itu turut berang dan mahu membawa Dela ke balai polis.


Selepas dibawa ke pejabat pemerintah setempat, Dela akhirnya membuat permohonan maaf dan mengaku bahawa dia seorang lelaki.


"Saya, selaku pelaku yang membuat keadaan menjadi kecoh di Kampung Sekly, memohon maaf. Saya sebenarnya lelaki," ujarnya. - Sumber Detik.com.


Naim mengahwini Dela pada 15 Mei lalu. - Foto Detik.com.
Misteri kepala paip keluar suara puntianak mengilai apabila ditutup

Misteri kepala paip keluar suara puntianak mengilai apabila ditutup


Kepala paip pada dinding bilik mandi di sebuah rumah di Semarang, wilayah Jawa Tengah mengeluarkan bunyi mirip puntianak mengilai, lapor portal berita Banjarmasin Post pada 20 Mei 2024.


Bunyi menakutkan itu membuatkan pemilik rumah terkejut dan panik.


Klip video tentang kepala paip mengeluarkan bunyi seram itu boleh ditonton di platform TikTok menggunakan akaun @alynn20. Rakaman itu menjadi tular pada Sabtu lalu (18/5/2024).


Pada permulaan rakaman, tidak ada yang aneh ketika kepala paip itu dibuka.


Namun, ketika hendak ditutup, ia mengeluarkan bunyi seperti puntianak sedang ketawa.


Pelbagai cara dilakukan pemilik rumah seperti memukul dan menekan kepala paip supaya suara unik tersebut hilang.


Walaupun pelbagai cara sudah dilakukan, suara mirip ketawa puntianak itu kembali bergema sehingga netizen menyarankan supaya kepala paip itu diganti dengan segera. - Sumber Banjarmasin Post.


Tangkap layar kepada paip yang mengeluarkan suara mirip puntianak di Semarang. - Foto TikTok.

Isnin, 20 Mei 2024

Polis kesan lelaki pegang, tayang kemaluan pada pekerja wanita

Polis kesan lelaki pegang, tayang kemaluan pada pekerja wanita


Polis sedang mengesan seorang lelaki yang berkelakuan tidak senonoh terhadap pekerja wanita di sebuah kedai menjual aksesori telefon bimbit di Manggatal, Kota Kinabalu pada Jumaat lalu.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya telah menerima satu laporan yang menyatakan seorang pelanggan lelaki tidak dikenali telah memegang alat sulitnya sambil bertelefon.


Menurutnya, siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada jam 8.30 malam.


"Pengadu menyatakan tidak pernah melihat suspek sebelum ini dan suspek bukanlah pelanggan tetap di premis tersebut.


"Hasil semakan rakaman pada kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati seorang lelaki berbaju putih dengan zip seluarnya terbuka dan mengeluarkan serta memegang kemaluan sambil berlegar di kawasan belakang kedai tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Kasim berkata, susulan daripada laporan itu, pihaknya sedang mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mengenali suspek supaya berhubung dengan balai polis yang berdekatan.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan," katanya.


Polis sedang mengesan seorang lelaki yang melakukan perbuatan tidak senonoh di kedai menjual aksesori telefon bimbit di Manggatal, Kota Kinabalu. - Foto Tular.

Ahad, 19 Mei 2024

Remaja hilang selama 26 tahun ditemui di rumah jiran dalam kandang biri-biri

Remaja hilang selama 26 tahun ditemui di rumah jiran dalam kandang biri-biri


Seorang remaja yang hilang selama 26 tahun semasa perang saudara di Algeria dalam tahun 1990-an kini ditemui semula, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC News) pada 16 Mei 2024.


Remaja dikenali sebagai Omar bin Omran itu didapati hilang di Djelfa ketika berusia lewat belasan tahun.


Bagaimanapun, mangsa yang kini berumur 45 tahun, ditemui pada jarak hanya 200 meter dari kediaman dia dibesarkan.


Polis mengesahkan telah menahan seorang lelaki berusia 61 tahun yang disyaki mengurung mangsa di rumahnya.



Ketika kehilangannya, keluarga Omar bimbang dia menjadi antara 200,000 orang yang dianggarkan terbunuh atau menjadi salah seorang daripada 20,000 mangsa culik dalam perang saudara tersebut.


Bagaimanapun, dia ditemui berada di dalam kandang biri-biri di sebalik timbunan jerami di rumah penculiknya pada 12 Mei lalu.


Pejabat pendakwa raya menerima aduan daripada seorang yang tidak dikenali bahawa Omar berada di rumah salah seorang jirannya, kata seorang pegawai mahkamah.


"Susulan laporan ini, pendakwa raya mengarahkan siasatan dibuka dan pasukan polis menyerbu kediaman suspek. Mereka kemudian menemui Omar," tambahnya.


Suspek dilaporkan cuba melarikan diri dari tempat kejadian, tetapi dihalang dan ditahan, kata pegawai mahkamah.


Kementerian berkata siasatan masih dijalankan dan mangsa dalam proses menerima rawatan perubatan dan psikologi.


Seorang jurucakap menyifatkan jenayah itu sebagai "keji".


Mangsa mendakwa bahawa dia tidak dapat menjerit atau melarikan diri kerana disihir oleh penculiknya.


Ibunya meninggal dunia pada 2013. - Sumber BBC News.


Omar ditemui di sebalik timbunan jerami di sebuah rumah di Algeria baru-baru ini. - Foto X.

Sabtu, 18 Mei 2024

Gadis pakai bikini jual durian, strategi unik untuk tarik pelanggan

Gadis pakai bikini jual durian, strategi unik untuk tarik pelanggan


Seorang gadis menggunakan strategi perniagaan yang unik apabila dia menjual durian dengan memakai bikini di sebuah pekan di Thailand, lapor portal berita VnExpress pada 17 Mei 2024.


Menurut laman berita Thaiger, Aum, 22, sebelum ini pernah tular dua tahun lalu apabila dia berkongsi imej dan video dirinya memakai bikini semasa menjual durian dalam talian.


Pengkritik berpendapat bahawa dia memanfaatkan penampilannya daripada kualiti buah yang dijualnya untuk mendapatkan populariti.


Tidak berputus asa, Aum terus mengusahakan gerai duriannya di pekan Kamphaeng Phet dengan memakai pakaian renang tahun ini.


Aum turut menjemput rakan-rakan untuk membantu dia berniaga walaupun mereka memilih untuk tidak memakai pakaian provokatif sepertinya.


Dalam wawancara bersama portal berita ThaiRath, Aum menafikan dia menjadi daya tarikan pelanggan untuk mengunjungi kedainya.


Gadis itu berkata, antara produk kualiti unggul di kedainya adalah durian Monthong dari ladang terkenal di wilayah Rayong, timur Thailand.


Dia menolak kritikan mengenai pakaian bikininya. Aum berkata, gaya pakaiannya yang provokatif adalah pilihan peribadi.


Selain menjual durian, Aum juga bekerja sebagai model glamor dan fotonya banyak terdapat dalam akaun Facebooknya. - Sumber VN Express.


Aum memakai pakaian renang ketika jual durian di gerainya. - Foto Thai Rath.
Kucing terima Ijazah Kehormat 'Doctor of Litter-ature' di sebuah universiti

Kucing terima Ijazah Kehormat 'Doctor of Litter-ature' di sebuah universiti


Sebuah universiti di Amerika Syarikat (AS) menganugerahkan Ijazah Kehormat 'Doctor of Litter-ature' kepada seekor kucing yang menjadi kesayangan warga kampus berkenaan.


Vermont State University Castleton Campus mengumumkan 'anugerah khas' kepada kucing digelar Max itu, menjelang pengijazahan pelajar pada hari Sabtu kerana kemesraan luar biasa si comel tersebut.


"Max telah menjadi sebahagian daripada warga Castleton selama bertahun-tahun," ujar pihak universiti itu.



Kucing belang popular itu tinggal bersama sebuah keluarga di jalan menghala ke pintu masuk kampus berkenaan dan bersosial bersama penuntut di sana sejak empat tahun lalu.


"Ia sering ke universiti itu. Mereka sangat menyayanginya," kata pemiliknya, Ashley Dow pada Khamis yang turut dirujuk sebagai 'ibu' kepada Max.


Difahamkan, Max tidak akan menyertai majlis penyampaian ijazah tersebut, sebaliknya Ijazahnya akan dihantar kepada Dow selepas upacara tamat pengajian penuntut selesai pada Sabtu. - Sumber AP News.


Max menerima 'anugerah khas' itu kerana kemesraannya bersama penuntut kampus berkenaan sejak empat tahun lalu. - Foto AF News.

Jumaat, 17 Mei 2024

Lembaga putih renung kanak-kanak tidur atas lantai

Lembaga putih renung kanak-kanak tidur atas lantai


Satu lembaga putih yang merenung seorang kanak-kanak sedang tidur dirakam oleh sebuah kamera keselamatan di sebuah rumah lama berusia 100 tahun, lapor laman berita Daily Star pada 13 Mei 2024.


Imej ngeri itu dikongsikan di laman Facebook pada Sabtu lalu, 11 Mei 2024 oleh Jon Kipke dari Michigan, Amerika Syarikat (AS).


Jon sebelum itu menemui pemandangan menyeramkan tersebut pada Ogos 2022, hanya sebulan selepas bapanya meninggal dunia.


Jon menulis: "Saya tidak pasti apakah ini (lembaga putih). Namun, salah satu kamera saya merakamnya.


"Saya tidak pernah dihubungi dari alam lain (alam ghaib) atau apa-apa perkara pelik berlaku di rumah. Bagaimanapun, saya tinggal di rumah ladang berusia 100 tahun itu. Itu adalah anak bongsu saya yang tidur di atas lantai."


Pengguna Facebook pantas berkongsi teori mereka tentang lembaga itu.


"Ia kelihatan seperti seorang lelaki budiman. Anda boleh melihat badan besar, kepala, bahu, lengan. Ia juga memakai topi."


Seorang lagi menambah: "Ia sedang merenung anak anda." - Sumber Daily Star.


Satu lembaga putih misteri 'merenung' anak kecil di rumah berusia 100 tahun di AS. - Foto Kamera Keselamatan/JonKipke/Facebook.

Khamis, 16 Mei 2024

Aneh, pelbagai jenis serangga merayap keluar daripada badan lelaki

Aneh, pelbagai jenis serangga merayap keluar daripada badan lelaki


Seorang lelaki di wilayah Udon Thani, Thailand mendakwa bahawa dia terkena perbuatan sihir sehingga menyebabkan banyak serangga keluar daripada kulit badannya, lapor laman berita Thaiger hari ini.


Lelaki berusia 43 tahun dan hanya dikenali sebagai Ad itu berkata, sepanjang tempoh dua bulan lalu, dia mendakwa hidup menderita kerana serangga merayap keluar daripada kulitnya. Dia percaya kejadian aneh itu berpunca daripada ilmu sihir.


Masalah itu menyebabkan dia tidak dapat bekerja atau melakukan aktiviti harian seperti biasa.


Selepas berita mengenainya tular, sekumpulan wartawan pergi ke rumah Ad di daerah Mueng, wilayah Udon Thani untuk mendengar ceritanya dan melihat sendiri keadaan lelaki itu.


Di sana, wartawan disambut oleh Ad, yang menceritakan permulaan penderitaannya dengan serangga, bermula dengan apa yang disifatkannya sebagai telur di kepalanya.


Dia pada awalnya menggunakan limau purut di kawasan itu untuk mengusir serangga, tetapi kelegaan itu tidak lama kerana lebih banyak serangga terus muncul.


Katanya, pelbagai jenis serangga daripada kutu hinggalah kepada pepijat penghisap darah terus keluar dari dalam kulitnya, memaksa dia menggunakan ubat topikal secara berkala untuk mengurangkan gejala.


Wartawan kemudian ditunjukkan bagaimana Ad mengekstrak serangga daripada kulitnya menggunakan ubat topika dalam prosedur yang menyerlahkan keadaannya yang teruk.


Sementara itu, bapa saudara Ad, Kamphiw membuat spekulasi bahawa masalah anak saudaranya itu mungkin berkaitan isu psikologi berpunca daripada tekanan akibat masalah keluarga dan pekerjaan.


Menurut Kamphiw, Ad sebelum ini merupakan seorang pekerja rajin yang terlibat dalam sektor pembinaan dan pinjaman wang.


Namun, lelaki itu sangat terkesan sejak berpisah dengan isterinya dua tahun lalu. Ia menyebabkan Ad murung dan terjerumus ke dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.


Ad bagaimanapun menafikan bahawa dia berhalusinasi, sebaliknya berkata, dia sudah lama tidak mengambil bahan terlarang itu.


Makcik Ad yang berusia 67 tahun, Ratchanee, juga menyatakan keraguan tentang kehadiran serangga, menunjukkan bahawa kepercayaannya boleh menjadi manifestasi gangguan kesihatan mental dan bukannya serangan sebenar atau ilmu sihir. - Sumber The Thaiger.


Sekumpulan wartawan melihat sendiri keadaan Ad. - Foto Khaosod.