Rabu, 22 Mei 2024

Penumpang pandu teksi, pemandu tidur nyenyak di tempat duduk belakang


Seorang penumpang wanita di Pattaya menjadi perhatian pengguna TikTok selepas dia berkongsi pengalaman lucu mengenai pemandu teksi yang mengantuk, lapor laman berita The Pattaya News hari ini.


Dalam satu klip video yang disiarkan semalam (21/5/2024), wanita yang tidak mendedahkan nama sebenarnya itu menceritakan pengalaman dia mendapatkan perkhidmatan teksi pada pukul 3 pagi (waktu tempatan).


Dia mahu menggunakan perkhidmatan teksi itu untuk perjalanan dari Pattaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok.


Namun, wanita berkenaan sebaliknya terpaksa memandu teksi itu kerana pemandunya tidur nyenyak di tempat duduk belakang kenderaan tersebut.


Menurut wanita itu, dia menyedari bahawa pemandu teksi yang datang menjemput dia dan rakannya kelihatan mengantuk.


Pemandu itu malah dilaporkan tertidur sebentar pada satu ketika selepas memulakan perjalanan, jadi wanita itu memutuskan untuk bertanya dengan sopan kepada pemandu tersebut sekiranya dia boleh mengambil alih pemanduan.


Seperti yang dipaparkan dalam video itu, pemandu itu bersetuju untuk membenarkan wanita itu memandu dan meminta diri ke tempat duduk belakang untuk tidur.


Rakan wanita itu merakam pengalaman lucu mereka sebelum menyiarkannya di TikTok, sambil bergurau: "Kami memandu sendiri dari Pattaya sehingga ke Lapangan Terbang Don Mueang, dengan pemandu tidur nyenyak di belakang kami."


Ramai netizen menyatakan pemahaman mereka tentang keputusan wanita itu untuk memandu, manakala ada yang mengecam pemandu teksi itu kerana tidak profesional. - Sumber The Pattaya News.


Seorang wanita memandu teksi manakala pemandunya tidur di tempat duduk belakang. - Foto The Pattaya News.


EmoticonEmoticon