Isnin, 27 November 2023

Berang tidak diberi wang beli ayam goreng, suami tikam isteri guna gunting

Berang tidak diberi wang beli ayam goreng, suami tikam isteri guna gunting


Seorang tukang jahit didakwa membunuh isterinya di bandar Ghaziabad, India dengan menikam leher mangsa menggunakan gunting hanya kerana tidak diberikan wang untuk membeli ayam goreng, lapor laman berita NDTV pada 25 November lalu.


"Suspek, Shahid Hussain telah ditahan kerana didakwa membunuh isterinya, Noor Bano, 46," kata seorang pegawai polis yang mengendalikan kes tersebut, Siddharth Gautam.


Siddharth berkata, pasangan itu bertengkar pada malam Jumaat 24 November lalu apabila Noor Bano didakwa enggan memberi wang tunai kepada Shahid untuk membeli ayam goreng di pasar.


Bagaimanapun, suspek tetap keluar dan membeli ayam beberapa minit kemudian, namun pertengkaran dengan isterinya berterusan.


Shahid didakwa menikam leher mangsa menggunakan sebilah gunting sebelum Noor Bano dikejarkan ke sebuah hospital lalu meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.


Siddharth berkata, kejadian itu berlaku di hadapan anak-anak pasangan berkenaan. Polis kemudian menahan suspek beberapa jam selepas kematian isterinya. - Sumber NDTV.


Seorang suami membunuh isterinya dengan menggunakan sebilah gunting di Ghaziabad, malam Jumaat lalu. - Foto NDTV.
Aktiviti buru burung di sawah tumpas, kesemua peralatan dirampas, jaring dimusnahkan

Aktiviti buru burung di sawah tumpas, kesemua peralatan dirampas, jaring dimusnahkan

 

Kegiatan memburu burung ruak-ruak dan ayam-ayam secara haram di kawasan sawah padi di Simpang Lima, Sungai Besar, Sabak Bernam tumpas selepas diserbu pihak berkuasa pada 24 November 2023.


Perkara itu dikesan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor yang menjalankan rondaan pencegahan jenayah hidupan liar, kira-kira pukul 8 malam, Jumaat lalu.


Pengarah Perhilitan negeri, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat mengenai aktiviti pemburuan spesis burung yang dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).


"Hasil pemeriksaan menemukan jaring dan peralatan yang digunakan bagi menangkap burung ruak-ruak dan ayam-ayam di sekitar sawah padi berkenaan.


"Anggota kita daripada Perhilitan Sabak Bernam turut menyelamatkan lima burung spesis lain yang tersangkut pada jaring itu," katanya, hari ini.


Anggota Perhilitan menyelamatkan seekor burung ruak-ruak yang tersangkut pada jaring. - Foto Perhilitan Semenanjung Malaysia / Facebook.

Anggota Perhilitan memeriksa jaring digunakan untuk menangkap burung berkenaan. - Foto Perhilitan Semenanjung Malaysia / Facebook.

Kesemua peralatan dirampas dan jaring telah dimusnahkan. - Foto Perhilitan Semenanjung Malaysia / Facebook.

Kegiatan memburu burung ruak-ruak yang dikesan Perhilitan Selangor baru-baru ini. - Foto Perhilitan Semenanjung Malaysia / Facebook.

Antara hidupan liar yang tersangkut pada jaring. - Foto Perhilitan Semenanjung Malaysia / Facebook.
Gadis ditemukan maut dalam kereta dipercayai keracunan gas karbon monoksida

Gadis ditemukan maut dalam kereta dipercayai keracunan gas karbon monoksida


Seorang wanita maut selepas mengalami keracunan gas monoksida semasa berada di dalam sebuah kereta bersama rakan lelakinya di kawasan tempat letak kereta sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Ibrahim, Kota Bharu, malam tadi.


Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.17 malam.


Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki berusia 20-an dan wanita berusia 20 tahun berada dalam keadaan terbaring di dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi.


"Mangsa wanita disyaki sudah meninggal dunia di dalam kereta tersebut manakala rakannya tidak sedarkan diri.


"Hasil bedah siasat di Unit Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mendapati, kematian wanita tersebut berpunca daripada keracunan gas monoksida," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mohd. Rosdi memberitahu, mangsa lelaki ketika ini masih menerima rawatan di HRPZ II.


"Pihak polis mengingatkan agar tiada mana-mana individu membuat sebarang spekulasi dan menghormati keluarga mangsa," ujarnya.


Tambahnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Keadaan kereta Perodua Myvi dinaiki mangsa di kawasan tempat letak kereta di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Ibrahim, Kota Bharu, Kelantan, malam tadi. - Foto Ihsan Polis.

Ahad, 26 November 2023

Lelaki warga asing kelaparan larikan budak 3 tahun, acu pisau

Lelaki warga asing kelaparan larikan budak 3 tahun, acu pisau


Seorang bapa cemas apabila seorang lelaki warga Nepal bertindak melarikan anak perempuannya berusia tiga tahun sebelum mengacukan pisau pada leher kanak-kanak terbabit dalam kejadian di hadapan sebuah kedai makan di Pekan Jeniang, Gurun di Sungai Petani, hari ini.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, anggota Pondok Polis Jeniang, Gurun menerima panggilan daripada orang awam, 7.20 pagi tadi.


Kejadian itu berlaku ketika bapa mangsa berusia 31 tahun mahu membayar dan mengambil tempahan roti canai di kedai tersebut sementara anaknya ditinggalkan di atas motosikal dengan kaki di dalam raga kira-kira enam meter dari kedai berkenaan.


Insiden berlaku apabila suspek berusia 26 tahun bertindak meluru ke arah mangsa yang ditinggalkan bersendirian dan mendukungnya sebelum mengundur beberapa langkah sambil mengacukan pisau pada leher mangsa.


Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan memberitahu, menurut saksi, suspek dilihat bercakap dalam bahasa tidak difahami iaitu bahasa Nepal.


"Suspek didapati seperti mahu meminta wang untuk makan kepada bapa mangsa yang berada di hadapan suspek ketika itu. Bapa mangsa yang panik cuba menenangkan anaknya itu serta memujuk supaya suspek menyerahkan semula mangsa selama kira-kira dua hingga tiga minit.


"Dalam usaha mencari peluang ketika suspek leka, orang awam yang turut menyaksikan kejadian telah berjaya menarik tangan suspek dari arah belakang dan terus menangkapnya dengan bantuan orang awam lain dan bapa mangsa sendiri. Mangsa kemudiannya berjaya diselamatkan," katanya, hari ini.


Kata beliau, hasil semakan yang dibuat, satu laporan dibuat oleh majikan suspek pada 8 November lalu menyatakan suspek telah melarikan diri daripadanya.


"Siasatan awal yang dijalankan, suspek masuk ke Malaysia untuk bekerja di sebuah kilang di Sungai Lalang sejak sebulan lalu dan akibat tekanan kerja yang dihadapi, suspek telah melarikan diri daripada majikannya.


"Soal siasat awal, motif suspek bertindak demikian kerana terlalu tertekan dengan hidupnya dan berada dalam keadaan kelaparan kerana sudah beberapa hari tidak makan," ujarnya.


Beliau berkata, mangsa dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.


Suspek yang ditahan orang awam kerana cuba melarikan kanak-kanak perempuan. - Foto ihsan pembaca.
Kuat online shopping & tak pandai masak, suami pulangkan isteri kepada orang tuanya semula

Kuat online shopping & tak pandai masak, suami pulangkan isteri kepada orang tuanya semula


Tular kisah seorang suami dari Indonesia yang memulangkan isterinya kembali ke pangkuan orang tuanya mencuri tumpuan netizen selepas sebuah video tersebar di TikTok baru-baru ini.


Menerusi video itu, lelaki berkenaan bertindak sebegitu rupa kerana isterinya dikatakan tidak pandai memasak, tidak pandai mencuci baju dan tidak pandai melakukan kerja rumah lainnya hanya pandai 'online shopping' sahaja.


Walaupun lelaki itu dikhabarkan seorang kaya dan berkemampuan, baginya itu bukan alasan untuk isterinya tidak mahir dalam melakukan kerja rumah.


"Saya kembalikan kamu kepada ibu kamu ya. Saya menikah dengan kamu tak pandai apa-apa. Tak pandai masak, tak pandai mencuci, tak pandai semuanya.


"Saya menyesal menikah dengan anak ibu, saya sudah habis banyak duit. Dia tak pandai buat apa-apa, cuma pandai berbelanja online. Apa yang saya dapat?" kata lelaki itu.


Malah, lelaki itu juga lantang bersuara dan berkata kepada ibu mentuanya yang tidak mengajar anak perempuannya tentang cara menguruskan rumah seperti memasak, mencuci pinggan dan mengemas rumah.


Ibu mentua lelaki itu memarahinya kerana menyangkakan bahawa anaknya harus diperlakukan seperti orang gaji tetapi lelaki itu meluahkan apa yang terbuku di hati.


Katanya dia teringin untuk merasai air tangan isterinya dan bukan hanya dipersembahkan dengan wajah cantik semata-mata kerana mereka mahu hidup sehingga ke hari tua.


"Dulu kamu tergila-gila dan mencintai dia seadanya tapi apa sekarang ini? Kamu ingat dia pembantu?" kata ibu mentua lelaki itu.


Ketika artikel ini ditulis, video yang dimuat naik di TikTok sejak 8 November 2023 itu kini telah meraih 11.5 juta tontonan, lebih 284,000 tanda suka dan 5,700 komen.


Seorang suami memulangkan semula isteri ke pangkuan orang tua isterinya. - Foto @dipandang_sebelah_mata /TikTok.
Budak lelaki dimasukkan ke hospital 3 kali sejak makan cicak tokek goreng

Budak lelaki dimasukkan ke hospital 3 kali sejak makan cicak tokek goreng


Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di Brazil beberapa kali dikejarkan ke hospital selepas diberi makan cicak tokek goreng, lapor portal berita Daily Mail pada 24 November 2023.


Budak lelaki itu pada awalnya jatuh sakit pada 7 November lalu ketika menghabiskan waktu hujung minggu di rumah bapanya di bandar Formosa.


Dia dilaporkan meminta pertolongan daripada ibu tiri dan nenek tirinya untuk menyediakan hidangan cicak tokek selepas hampir membunuh seekor reptilia itu ketika bermain di taman.


Ibu tiri budak lelaki itu memberitahu polis bahawa dia bersetuju menyediakan hidangan yang diminta selepas memberi syarat kepadanya untuk menangkap lebih banyak cicak tokek.


Selepas membawa pulang empat ekor cicak tokek, wanita itu membersihkan reptilia tersebut, menyalut perasa dan menggorengnya.


Ibu kandung mangsa, Raquel de Souza berkata, dia membawa anaknya ke Hospital Negeri Formosa selepas dia mengalami sakit kepala, bengkak lidah, cirit-birit, muntah dan air kencingnya berwarna gelap.


Kanak-kanak lelaki itu dibenarkan pulang tiga hari kemudian tetapi kesihatannya bertambah buruk pada 13 November lalu. Dia dipantau di unit rawatan rapi sebelum dibenarkan pulang selepas beberapa jam.


Dia jatuh sakit lagi pada malam Rabu, 15 November lalu dan dimasukkan ke hospital buat kali ketiga.


Menurut De Souza, usus anaknya mengalami masalah disebabkan kandungan bakteria berbahaya dalam badannya.


"Kesejahteraan budak lelaki itu mungkin terancam jika cicak berkenaan dijangkiti parasit. Anda perlu berhati-hati apabila memakan beberapa haiwan liar," kata doktor pakar penyakit berjangkit Marcelo Daher. - Sumber Daily Mail.


Budak lelaki itu dimasukkan ke hospital selepas makan hidangan cicak tokek pada 6 November lepas. - Foto Raquel de Souza.

Sabtu, 25 November 2023

Enggan bawa bercuti ke Dubai, suami mati ditumbuk isteri

Enggan bawa bercuti ke Dubai, suami mati ditumbuk isteri


Seorang lelaki di India maut akibat ditumbuk pada hidung oleh isterinya kerana enggan membawa wanita itu bercuti ke Dubai bagi menyambut hari lahirnya, lapor stesen penyiaran NDTV, hari ini.


Kejadian berlaku di apartmen pasangan itu, yang terletak di kawasan perumahan mewah di kawasan Pune Wanwadi, pada Jumaat, 24 November.


Mangsa yang dikenali sebagai Nikhil Khanna, 36, bekerja sebagai seorang ahli perniagaan dalam industri pembinaan. Dia dilaporkan berkahwin dengan isterinya, Renuka, 38, enam tahun lalu.


Menurut anggota balai polis Wanavdi, pasangan itu bergaduh kerana Nikhil tidak membawa Renuka ke Dubai bagi menyambut hari lahirnya selain tidak memberikan hadiah yang mahal.


Renuka juga kecewa dengan Nikhil kerana tidak memberikan maklum balas yang baik terhadap hasratnya untuk pergi ke Delhi untuk meraikan hari lahir bersama saudara-maranya.


Semasa pergaduhan mereka, Renuka menumbuk muka Nikhil. Tumbukan itu dikatakan sangat kuat sehingga hidung dan beberapa gigi Nikhil patah.


Akibat mengalami pendarahan yang berterusan, mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia. - Sumber NDTV.


Mangsa dikenali sebagai Nikhil Khanna merupakan seorang ahli perniagaan dalam industri pembinaan. - Foto NDTV.

Jumaat, 24 November 2023

Wanita ditinggalkan, hidup melarat selepas suami menang loteri RM1.5 juta

Wanita ditinggalkan, hidup melarat selepas suami menang loteri RM1.5 juta


Seorang wanita berusia 26 tahun di Thailand mendedahkan dia terpaksa menjalani kehidupan yang sukar selepas suaminya memenangi hadiah loteri berjumlah 12 juta baht (RM1.5 juta), lapor laman berita Thaiger pada 21 November 2023.


Wanita yang dikenali sebagai Janya dari wilayah Buriram itu berkata, dia telah berkahwin selama empat tahun dengan seorang pemandu lori dari daerah Nong Phai, wilayah Phetchabun.


Kehidupan mereka bagaimanapun berubah secara drastik apabila anak perempuan mereka secara rawak memilih nombor loteri 196, menyebabkan pasangan tersebut menerima hadiah tempat pertama.


Bagaimanapun, wang loteri itu hanya dipindahkan ke akaun bank suaminya dan selepas kemenangan tersebut, Janya berpindah ke Phetchabun, kampung halaman suaminya dengan mengharapkan kehidupan yang sejahtera.


Namun, kegembiraan itu tidak lama kerana suaminya berubah menjadi kaki botol dan seorang yang kasar.


Suaminya juga berbelanja besar, membina rumah bernilai 2 juta baht (RM264,588) dan membeli tanah dengan harga 3 juta baht (RM396,882).


Dalam masa sama, Janya ditinggalkan dengan hutang yang semakin meningkat dan terpaksa pulang ke rumah ibunya di Buriram, menganggur serta tidak berduit.


Suaminya juga tidak menunaikan janji membahagikan wang itu, hanya memberi Janya hanya 20 (RM2.6) hingga 100 baht (RM13) sehari dan tidak menyimpan wang untuk anak perempuan mereka seperti yang dipersetujui.


Lebih mengecewakan Janya apabila suaminya didapati mempunyai isteri baharu dan meninggalkan dia bersama anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun. - Sumber The Thaiger.


Janya ditinggalkan suami selepas dia mendapat wang loteri sebanyak RM1.5 juta di Thailand baru-baru ini. - Foto KhaoSod.
Kecoh pengantin lelaki menendang pengantin perempuan selepas mengetahui hamil

Kecoh pengantin lelaki menendang pengantin perempuan selepas mengetahui hamil


Sebuah majlis perkahwinan di wilayah Jiujiang, China menjadi huru-hara apabila pengantin lelaki menendang pengantin perempuan sehingga jatuh ke lantai selepas mengetahui wanita itu hamil.


Laman berita Thaiger pada 23 November melaporkan, pengantin lelaki dikatakan terkejut dengan berita kehamilan tersebut kerana mereka berkenalan hanya sebulan sebelum berkahwin.


Pengantin lelaki pada awalnya menerima mesej daripada bekas teman lelaki pengantin perempuan semasa majlis berlangsung. Mesej itu mendedahkan bahawa pengantin perempuan sebenarnya hamil. 


Pengantin lelaki kemudiannya berhadapan dengan pengantin perempuan di hadapan tetamu. Dia ingin menuntut penjelasan tentang bapa kandung bayi itu kerana mereka baru sahaja berkenalan.


Selepas mengaku tidak bersalah, pengantin perempuan cuba menceritakan perkara sebenar namun tidak diberi peluang. Dia berusaha meyakinkan bahawa bayi itu bukan anak bekas teman lelakinya.


Ketegangan semakin memuncak apabila pengantin lelaki menendang pasangannya sehingga jatuh ke lantai. Dia terus memarahinya, menyatakan ketidakpercayaannya terhadap dakwaan wanita itu dan mempersoalkan penjelasannya.


Pengantin lelaki kemudiannya membatalkan perkahwinan kerana tidak dapat menanggung malu dan enggan membesarkan anak lelaki lain.


Situasi semakin tegang akibat pembatalan perkahwinan itu. Keluarga pengantin lelaki menuntut bayaran balik mas kahwin daripada pengantin perempuan kerana tidak dapat menerima wanita itu. - Sumber The Thaiger.


Pengantin lelaki menendang pasangannya sehingga jatuh ke lantai di hadapan tetamu. - Foto KhaoSod.
Lelaki ditahan selepas kantoi tukar cincin berlian RM1 juta dengan replika

Lelaki ditahan selepas kantoi tukar cincin berlian RM1 juta dengan replika


Seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan selepas dia didakwa menukar sebentuk cincin berlian berharga SGD$318,000 (RM1.11 juta) di sebuah kedai di Marina Bay Sands, Singapura dengan menggantikannya dengan replika.


Portal berita The Straits Times pada 21 November 2023 melaporkan, polis menerima laporan mengenai kes penipuan itu sekitar pukul 1.15 tengah hari (waktu tempatan) pada 20 November.


Siasatan awal mendapati lelaki itu berpura-pura berminat untuk membeli cincin berlian tersebut di sebuah kedai barang kemas. 


Sambil memegang cincin dengan tangan kiri, dia mengalihkan perhatian pekerja kedai kepada barang kemas lain lalu menukarnya dengan sebuah replika menggunakan tangan kanan.


Kakitangan itu kemudian menyedari bahawa tanda harga pada cincin replika itu mempunyai tekstur yang berbeza dan memaklumkan kepada pegawai keselamatan.


Mereka kemudian menemui cincin berlian asli yang dicuri lelaki berkenaan sebelum dia ditahan oleh polis di lokasi kejadian.


Lelaki itu akan didakwa di mahkamah, jika didapati bersalah menipu, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda. - Sumber The Straits Times.


Cincin berlian asli (kiri) ditukar dengan replika (kanan). - Foto Pasukan Polis Singapura.