Rabu, 1 November 2023

Wanita berkahwin dengan anggota bomba yang menyelamatkan nyawanya

Wanita berkahwin dengan anggota bomba yang menyelamatkan nyawanya


Seorang wanita tular di media sosial China kerana berkahwin dengan anggota bomba yang menyelamatkan nyawanya, lapor laman berita Thaiger pada 30 Oktober 2023.


Baru-baru ini, wanita itu dilaporkan berdiri di tingkat atas sebuah bangunan pangsapuri di bandar Fuzhou, China untuk mengakhiri hidupnya.


Semasa dia teragak-agak untuk terjun, anggota perkhidmatan kecemasan tiba dan berusaha menyelamatkan nyawanya.


Wanita itu semakin panik apabila anggota-anggota bomba menghampirinya. Dia kemudian tergelincir namun berjaya berpaut pada sisi bangunan.


Sejurus itu, seorang anggota bomba bergegas memegang tangannya dengan kuat, seorang lagi petugas memegang kakinya melalui tingkap tingkat bawah namun keadaan kekal tidak menentu.


Ketika empat penyelamat memegang bahagian bawah badan wanita itu untuk menariknya melalui tingkap, seorang daripadanya tanpa berlengah menggunakan tangannya untuk menyokong punggung wanita tersebut untuk menghalangnya daripada jatuh.


Keseluruhan operasi menyelamat dirakam dan dikongsi di media sosial oleh penduduk di bangunan bertentangan.


Tiga bulan selepas peristiwa dramatik itu, wanita itu, yang pernah berniat untuk mengakhiri hidupnya, mendedahkan bahawa dia secara tidak sengaja jatuh cinta dengan anggota penyelamat yang membantunya.


Walaupun pasangan itu tidak mendedahkan butiran lanjut tentang kisah cinta mereka, ramai netizen membuat spekulasi bahawa jiwa rapuh wanita itu, yang memerlukan sokongan, mungkin telah hangat dengan sikap positif penyelamat muda itu.


Dalam sebuah video perkahwinan, dia dilihat menggenggam erat tangan anggota penyelamat itu. Video itu mendapat perhatian netizen di media sosial.


"Saya gembira mendengar kisah cinta yang begitu comel. Wanita ini pasti menjadi lebih baik selepas bertemu dengan suaminya sekarang. Saya doakan mereka berbahagia selamanya," kata seorang netizen. - Sumber The Thaiger.


Video perkahwinan pasangan itu tular di media sosial China. - Foto Sanook.

Selasa, 31 Oktober 2023

Lepas kenyang makan lobster, stik RM2,835 pelanggan pecut kereta hilang sekelip mata

Lepas kenyang makan lobster, stik RM2,835 pelanggan pecut kereta hilang sekelip mata


Sekumpulan pelanggan sebuah restoran di Britain lari tanpa membayar harga makanan berjumlah £490 (RM2,835) selepas menghabiskan hidangan udang galah dan stik ketika waktu makan tengah hari, lapor akhbar Daily Star pada 30 Oktober 2023.


Pengunjung tersebut dilaporkan makan hidangan sotong, tiram, stik, brie rangup dan Cumi serta minuman wain Malbec, Shiraz and Pinot Grigio dan cider Thatchers di Restoran Stubbs di Kent.


Berdasarkan resit yang dikongsi pemilik premis, mereka turut makan tiga udang galah, ketam dan koktel udang serta hati ayam dengan jumlah bil sebanyak £489.90 (RM2,835).


Kesal dengan kejadian itu, pihak pengurusan restoran tampil meminta bantuan orang ramai mengesan kumpulan tersebut menerusi platform media sosial dan mendesak mereka segera tampil membayar bil.


"Sila datang semula dan jelaskan bayaran anda! Kami ialah sebuah restoran persendirian dan akan rugi jika anda lakukan begini.


"Anda menghabiskan makanan dan kami memberikan perkhidmatan terbaik. Namun, anda kemudian memecut kereta dengan laju tanpa membayar walau sesen pun," kata Restoran Stubbs menerusi kenyataan di laman Facebook.


Hantaran itu menjadi perhatian ramai dengan pengguna media sosial turut meluahkan rasa marah terhadap kumpulan berkenaan. - Sumber Daily Star.


Pihak pengurusan restoran tampil meminta bantuan orang ramai mengesan kumpulan tersebut menerusi platform media sosial. - Foto Facebook.

Isnin, 30 Oktober 2023

Jaguar usang diselaputi karat, pernah jadi reban ayam akan dijual pada harga RM576,000

Jaguar usang diselaputi karat, pernah jadi reban ayam akan dijual pada harga RM576,000


Sebuah kereta jenama Jaguar keluaran 1958 yang diselaputi karat selepas terbiar selama 25 tahun di belakang sebuah reban ayam dijangka dapat dijual pada harga £100,000 (RM576,267), lapor akhbar The Sun pada 29 Oktober 2023.


Kereta model Jaguar XK150 drophead coupe tersebut adalah milik seorang petani yang membelinya untuk projek baik pulih sekitar 30 tahun lalu.


Namun, kereta vintaj itu terbiar di belakang sebuah reban ayam selama suku abad sehingga dipenuhi karat dan debu. Seorang peminat kereta yang mendengar tentang Jaguar itu telah berkunjung disana dan membelinya.


Walaupun diselaputi karat dan kotoran, tempat duduk terkoyak, bumbung kain yang koyak dan cat yang mengelupas, ia masih bernilai £40,000 (RM230,541).


Namun ia diramal meningkat kepada lebih £100,000 (RM576,267) sekiranya dibaik pulih. Model Jaguar ini mempunyai enjin petrol 3,442CC dan mampu mencapai kelajuan tertinggi 150mph.


"Kami menerima banyak permintaan bagi kereta ini.


"Ia mengimbas kembali era semasa kejuruteraan British berada di kemuncak industri dan kereta Jaguar menjadi rebutan ramai," kata pelelong daripada Humbert & Ellis Auctioneers, Jonathan Humbert. - Sumber The Sun UK.


Jaguar XK150 ini terbiar di belakang sebuah reban ayam selama suku abad. - Foto BNPS.

Jaguar mempunyai enjin petrol 3,442CC dan mampu mencapai kelajuan tertinggi 150mph. - Foto BNPS.

Sekiranya dipulihkan, Jaguar ini akan bernilai lebih £100,000. - Foto BNPS.

Ia pada asalnya berwarna putih dengan tempat duduk kulit merah serta bumpers and wheels chrome. - Foto BNPS.
60 tahun lalu hanya RM722, lelaki menang tuntutan wang simpanan bapa RM5.26 juta

60 tahun lalu hanya RM722, lelaki menang tuntutan wang simpanan bapa RM5.26 juta

 

Tuah lelaki Chile ini apabila memenangi kes tuntutan wang simpanan bapanya bernilai AS$1.1 juta (RM5.26 juta) sekali gus menjadikannya jutawan dalam sekelip mata, lapor India Times minggu lalu.


Exequiel Hinojosa sedang memeriksa barang peninggalan bapanya yang meninggal dunia 10 tahun lalu sebelum menemui buku simpanan bank berusia enam dekad yang disimpan dalam kotak dan tiada sesiapa dalam keluarga mengetahuinya.


Bapanya, dikatakan menyimpan wang berjumlah 138,000 peso Chile (kira-kira RM722) antara tahun 1960 hingga 1970-an untuk membeli rumah.


Buku simpanan itu menunjukkan, dengan kadar faedah dan inflasi jumlah itu kini dianggarkan bernilai lebih 1 bilion peso, atau hampir AS$1.2 juta hasil simpanan berdekad lamanya.


Malangnya, lelaki itu mengetahui bank tempat bapanya menyimpan wang itu sudah ditutup lama dahulu.


Buku bank serupa didapati tidak bernilai, tetapi buku simpanan yang ditemuinya mempunyai butiran penting yang menunjukkan, sekiranya bank tidak dapat membuat pembayaran, kerajaan akan mengambil alih kawalan.


Bagaimanapun, kerajaan semasa tidak dapat menyelesaikan kes itu membuatkan Hinojosa terpaksa membawa kes itu ke mahkamah menuntut hak keluarganya.


Mahkamah memutuskan tuntutan itu memihak keluarga Hinojosa, namun kerajaan membuat rayuan.


"Wang itu milik bapa kami. Dia menyimpannya dengan hasil kerja kerasnya yang dijamin dengan komitmen kerajaan.


"Jika sistem keadilan, mahkamah agung, mahkamah rayuan memutuskan memihak kepada saya, yang tinggal untuk menyelesaikan masalah ialah membayar apa yang perlu dibayar, tidak lebih dan tidak kurang," kata Hinojosa.


Akhirnya, Mahkamah Agung memutuskan kerajaan membayar pampasan kepadanya AS$1,100,000 (RM5.26 juta) bersama-sama dengan faedah dan elaun. - Sumber India Times.


Exequiel Hinojosa menunjukkan buku bank milik mendiang bapanya. - Foto India Times.

Ahad, 29 Oktober 2023

Lelaki mati disambar petir ketika tidur di dalam rumahnya

Lelaki mati disambar petir ketika tidur di dalam rumahnya


Seorang lelaki di Wang Chao, wilayah Tak, Thailand meninggal dunia akibat dipanah petir ketika tidur di dalam rumahnya, semalam, lapor laman berita Thaiger pada 28 Oktober 2023.


Jitpol, 47, disambar petir ketika berbaring di atas tilam. Kejadian disaksikan oleh isteri dan dua anak perempuannya.


Rumah mangsa yang dibina daripada kayu dan beratapkan zink itu diperiksa selepas kejadian. Pasukan penyiasat menemui tilam yang diletakkan di atas lantai, baju milik mangsa dan syiling 7 baht.


Menurut anak sulung Jitpol yang bernama Kwan Khao, 16, keempat-empat ahli keluarganya biasa tidur di dalam satu kelambu.


Pada pagi kejadian, hujan lebat disertai guruh dan kilat mencetuskan ketakutannya terhadap ribut, menyebabkan dia mencari keselesaan berhampiran bapanya.


Jitpol sedang menjawab pertanyaan anaknya perempuannya Acheerana, 11, apabila kilat menyambarnya sebanyak dua kali. Dia kemudian rebah terlentang di atas lantai.


Isteri Jitpol cuba membantunya dengan melakukan urutan sebelum meminta bantuan jiran mereka. Walaupun sudah dibawa ke hospital, Jitpol gagal diselamatkan.


Anak gadis mangsa, Acheerana turut berkongsi kisahnya tentang insiden kilat itu. Dia sedang tidur di dalam kelambu yang sama dengan ahli keluarga yang lain, bersebelahan dengan ibunya apabila tragedi itu berlaku lapor KhaoSod.


"Saya melihat ibu bergegas mendukung ayah sambil menangis dan menjerit untuk membangunkannya. Dia kemudian melakukan mampatan dada sebelum memandu motosikalnya keluar dari rumah untuk mendapatkan bantuan.


"Sebelum dia pergi, dia meminta kami menjaga ayah dan dia akan kembali tidak lama lagi. Tidak lama selepas itu, dia kembali dengan ambulans," katanya.


Dua hari sebelum insiden berlaku, kakak Jitpol yang bernama Suporn, 68, berkata, dia telah bermimpi menghadiri acara di mana sejumlah besar daging dihidangkan.


Selepas kematian adiknya, dia mula tertanya-tanya sama ada mimpinya adalah firasat peristiwa tragis itu. - Sumber The Thaiger.


Rumah kayu beratapkan zink itu diperiksa pihak berkuasa. - Foto KhaoSod.
Lelaki maut ditembak pistol dibuang dalam beg sampah yang tiba-tiba 'meletup'

Lelaki maut ditembak pistol dibuang dalam beg sampah yang tiba-tiba 'meletup'


Seorang pemungut sampah berusia 40 tahun di negeri San Luis Potosi, Mexico meninggal dunia selepas ditembak sepucuk pistol yang dibuang ke dalam beg plastik sampah.


Kes jenayah membabitkan senjata api semakin berleluasa di Mexico sehingga orang ramai dikatakan membuang pistol berisi peluru ke dalam tong sampah yang dilihat boleh meragut nyawa pemungut sampah.


Menerusi lapor laman berita Oddity Central pada 26 Oktober 2023, kejadian itu berlaku berhampiran dewan bandar Rioverde di San Luis Potosi, Mexico pada 16 Oktober lalu.


Ketika kejadian, sekumpulan pekerja sedang melakukan kerja-kerja memungut sampah menggunakan lori di kawasan berkenaan.


"Seorang pekerja sedang memungut beg sampah lalu membuangnya ke dalam lori apabila secara tiba-tiba terkena tembakan.


"Pekerja lain terkejut dan menyedari rakan sekerjanya terbaring dalam keadaan berlumuran darah di atas tanah.


"Mereka mula mencari-cari penyerang, tetapi tidak ada bahaya yang kelihatan lalu segera menghubungi ambulans dan mangsa kemudian dikejarkan ke hospital," jelas laporan.


Lelaki itu meninggal dunia akibat luka tembakan sejurus selepas dibawa ke Pusat Perubatan Rioverde. Berdasarkan laporan akhbar El Universal, lelaki itu maut akibat terkena tembakan terlepas daripada pistol yang dibuang ke dalam beg sampah.


Dilaporkan, pihak berkuasa masih sedang menyiasat kes itu dengan harapan dapat mencari pemilik pistol tersebut untuk mengheret pihak berkenaan ke muka pengadilan. - Sumber Oddity Central.


Pemungut sampah maut akibat ditembak pistol. - Foto Agensi.

Jumaat, 27 Oktober 2023

Wanita dilaporkan hilang sejak Rabu ditemui mati dalam kereta di Restoran Jejantas Sungai Buloh

Wanita dilaporkan hilang sejak Rabu ditemui mati dalam kereta di Restoran Jejantas Sungai Buloh


Seorang wanita yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak Rabu lalu, ditemui meninggal dunia dalam kenderaannya di kawasan meletak kenderaan Restoran Jejantas Sungai Buloh, arah utara, pagi tadi.


Polis menerima laporan berhubung penemuan seorang wanita tidak sedarkan diri dalam kereta melalui panggilan MERS999 kira-kira jam 10.50 pagi.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kota Damansara bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan tersebut.


"Sampai di lokasi, pihak polis menemui mayat seorang wanita berada dalam sebuah kereta jenis Honda City.


"Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30 tahun dalam kenderaan tersebut yang berkunci," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, pihaknya turut menemui satu periuk berisi arang batu yang telah dibakar di dalam kereta terbabit.


"Mangsa juga dilaporkan hilang sejak Rabu lalu oleh keluarganya di Taman Kepong, Kuala Lumpur," katanya.


Fakhrudin berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk mengetahui punca kematian serta ujian saringan Covid-19.


Beliau berkata, individu yang ada maklumat mengenai kejadian atau mengenali mangsa, diminta tampil menbantu siasatan polis dengan menghubungi Balai Polis Kota Damansara.


Seorang wanita ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta di Restoran Jejantas Sungai Buloh arah utara, pagi tadi. - Foto Ihsan Polis.
Lelaki kunci rumah jiran sebelum membakarnya kerana berang ditegur bising

Lelaki kunci rumah jiran sebelum membakarnya kerana berang ditegur bising

 

Seorang lelaki di Vietnam ditahan semalam kerana mengunci rumah jiran dengan tujuh orang berada di dalamnya sebelum membakar kediaman itu baru-baru ini, lapor portal berita VNExpress pada 26 Oktober 2023.


Kejadian berlaku kerana lelaki tersebut marah selepas aduan bising dibuat oleh jirannya itu.


Huynh Tan Duy, 37, ditahan dan menghadapi tuduhan cubaan membunuh selepas kesemua mangsanya berjaya menyelamatkan diri walaupun mendapat kecederaan.


Siasatan mendapati Duy telah bertengkar dengan jirannya iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun, malam Selasa lalu.


Jiran itu mengadu bahawa lelaki itu membuka pintu terlalu kuat menyebabkan anak lelakinya yang berusia 1 tahun menangis.


Duy menunggu sehingga lewat tengah malam dan membawa tin petrol dan tali besi ke rumah jiran itu.


Dia mengikat pintu dengan tali besi untuk menghalang orang ramai daripada membukanya sebelum menyimbah petrol ke tingkap rumah untuk membakar kediaman tersebut.


Nguyen Van Diep, seorang lagi jiran, melihat tindakan Duy dan menjerit untuk memaklumkan mangsa.


Tujuh orang dalam rumah tersebut berjaya melarikan diri dengan memecahkan pintu belakang, dua daripadanya cedera selepas terjun dari tingkat dua.


Polis menghantar 20 pegawai untuk memindahkan orang ramai dari kawasan itu dan 30 anggota bomba dengan lima trak bomba untuk memadamkan kebakaran dalam masa kira-kira 20 minit.


Kebakaran itu memusnahkan tiga motosikal dan beberapa barangan di rumah berkenaan menyebabkan kerosakan bernilai kira-kira AS$8,126. - Sumber VNExpress.


Duy ditahan selepas membakar rumah jirannya di Vietnam pada malam Selasa lalu (24/10/2023). - Foto VNExpress.
Lelaki warga emas maut tercekik selepas makan sotong hidup

Lelaki warga emas maut tercekik selepas makan sotong hidup

Gambar hiasan.

Malang nasib lelaki berusia 82 tahun di Korea Selatan yang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas tercekik sotong hidup yang dihidangkan sebagai makanan istimewa tempatan, lapor laman berita Independent UK pada 25 Okotober 2023.


Insiden itu berlaku di bandar selatan Gwanju pada Isnin lalu, apabila bomba menerima laporan mengenai san-nakji tersekat pada kerongkong seorang lelaki. Nama hidangan san-nakji itu secara literal diterjemahkan sebagai 'sotong hidup'.


Menurut bomba, ketika pihaknya tiba di tempat kejadian, lelaki itu sudah mengalami serangan jantung. Anggota bomba memberi bantuan pernafasan tetapi ia tidak dapat memulihkan mangsa. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di hospital tempatan.


Hidangan san-nakji terdiri daripada sotong mentah yang dicincang dan dihidangkan secara tradisional, dengan disiram minyak bijan. Ia dihidangkan serta-merta selepas haiwan itu dicincang dan ketika kepingan sotong itu masih bergerak-gerak.


Difahamkan, ia dihidangkan semasa sesungut sotong masih bergerak-gerak. Oleh itu, makanan itu menimbulkan risiko keselamatan dan orang ramai dinasihatkan untuk memotongnya menjadi kepingan yang lebih kecil dan mengunyah dengan teliti sebelum ia ditelan.


Insiden ini bukan satu-satunya kejadian di mana orang mati akibat sesak nafas akibat memakan hidangan berkenaan.


Sekurang-kurangnya tiga individu meninggal dunia akibat memakan hidangan sotong hidup antara 2007 dan 2012, menurut data dari Ibu Pejabat Bomba dan Bencana Metropolitan Seoul yang dipetik oleh The Korean Herald.


Pada 2013, dua lagi kematian direkodkan, dan satu lagi kejadian, membabitkan seorang lelaki berusia 70-an yang berlaku pada 2019, menurut laporan berita tempatan.


San-nakji disenaraikan di antara makanan paling berbahaya di dunia, bersama-sama dengan katak kuak dan ikan buntal beracun, oleh beberapa saluran berita Barat. - Sumber Independent UK. 


San-nakji adalah hidangan tradisional Korea daripada sotong mentah. - Foto iStockphoto/Getty Images.

Khamis, 26 Oktober 2023

Kabus tebal yang luar biasa 'muncul' di jalan raya punca nahas 158 kenderaan

Kabus tebal yang luar biasa 'muncul' di jalan raya punca nahas 158 kenderaan

 

Super fog atau kabus tebal dilaporkan menjadi punca nahas jalan raya membabitkan 158 kenderaan di lebuh raya di utara New Orleans, lapor laman berita BBC News pada 24 Oktober 2023.


Menurut pegawai tempatan, nahas itu berlaku daripada kabus tebal yang mengehadkan penglihatan pemandu kenderaan dan ia diburukkan lagi dengan kebakaran hutan paya berhampiran.


Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam nahas berlaku di laluan arah utara dan selatan sepanjang Interstate 55 Louisiana pada Isnin lalu, dan angka kematian mungkin meningkat, kata polis.


Lapisan kabus tebal yang luar biasa menjadi antara punca nahas jalan raya itu berlaku sehingga menyebabkan kenderaan remuk selepas merempuh satu sama lain dan sebahagiannya terbakar.


Menurut polis, kebakaran berlaku apabila salah satu kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu adalah sebuah lori tangki yang membawa 'cecair berbahaya'.


Clarencia Patterson Reed, 46, yang memandu ke Hammond, memberitahu media tempatan dia dapat mengelak daripada melanggar kereta di hadapannya, tetapi kenderaan di belakangnya mula merempuh keretanya.


Menurut Agensi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), kabus tebal boleh mengurangkan jarak penglihatan kepada kurang daripada 3.04 meter, dengan keadaan paling teruk mengakibatkan sifar penglihatan.


"Dalam keadaan tiupan angin yang ringan, kabus tebal melanda kawasan tanah rendah seperti dasar anak sungai atau parit saliran," katanya.


Jelas agensi itu, situasi boleh menjadi amat berbahaya apabila kabus tebal melitupi jalan raya. Walaupun super fog jarang berlaku, ia bukan fenomena yang tidak pernah didengari.


Malah, pada kebiasaannya, New Orleans mengalami super fog dua kali setahun. - Sumber BBC News.


Beberapa bangkai kereta yang terbakar susulan nahas jalan raya membabitkan 158 kenderaan di lebuh raya Interstate 55. - Foto AFP.