Khamis, 26 Oktober 2023

Kabus tebal yang luar biasa 'muncul' di jalan raya punca nahas 158 kenderaan

 

Super fog atau kabus tebal dilaporkan menjadi punca nahas jalan raya membabitkan 158 kenderaan di lebuh raya di utara New Orleans, lapor laman berita BBC News pada 24 Oktober 2023.


Menurut pegawai tempatan, nahas itu berlaku daripada kabus tebal yang mengehadkan penglihatan pemandu kenderaan dan ia diburukkan lagi dengan kebakaran hutan paya berhampiran.


Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam nahas berlaku di laluan arah utara dan selatan sepanjang Interstate 55 Louisiana pada Isnin lalu, dan angka kematian mungkin meningkat, kata polis.


Lapisan kabus tebal yang luar biasa menjadi antara punca nahas jalan raya itu berlaku sehingga menyebabkan kenderaan remuk selepas merempuh satu sama lain dan sebahagiannya terbakar.


Menurut polis, kebakaran berlaku apabila salah satu kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu adalah sebuah lori tangki yang membawa 'cecair berbahaya'.


Clarencia Patterson Reed, 46, yang memandu ke Hammond, memberitahu media tempatan dia dapat mengelak daripada melanggar kereta di hadapannya, tetapi kenderaan di belakangnya mula merempuh keretanya.


Menurut Agensi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), kabus tebal boleh mengurangkan jarak penglihatan kepada kurang daripada 3.04 meter, dengan keadaan paling teruk mengakibatkan sifar penglihatan.


"Dalam keadaan tiupan angin yang ringan, kabus tebal melanda kawasan tanah rendah seperti dasar anak sungai atau parit saliran," katanya.


Jelas agensi itu, situasi boleh menjadi amat berbahaya apabila kabus tebal melitupi jalan raya. Walaupun super fog jarang berlaku, ia bukan fenomena yang tidak pernah didengari.


Malah, pada kebiasaannya, New Orleans mengalami super fog dua kali setahun. - Sumber BBC News.


Beberapa bangkai kereta yang terbakar susulan nahas jalan raya membabitkan 158 kenderaan di lebuh raya Interstate 55. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon