Selasa, 11 Julai 2023

Bapa jumpa semula anak diculik selepas cari selama 22 tahun

Bapa jumpa semula anak diculik selepas cari selama 22 tahun


Selepas lebih dua dekad gigih mencari anak yang diculik, seorang lelaki di China akhirnya dapat bersatu semula dengan anak tersayangnya, lapor laman berita Oddity Central pada 7 Julai 2023.


Lei Wuze menemukan anak lelakinya, Lei Yuechuan di bandar sejauh 900 kilometer dari lokasi terakhirnya.


Pada Oktober 2001, Lei Wuze meninggalkan rumahnya di Yueyang, wilayah Hunan tanpa mengetahui ia adalah kali terakhir dia melihat anaknya.    


Lelaki itu meninggalkan anak lelakinya berusia empat tahun yang sedang bermain di bawah pengawasan seorang jirannya.



Wanita itu memberitahu polis bahawa dia melihat seorang lelaki mengumpan budak tersebut sebelum menculiknya di jalanan ketika dia tidak menyedarinya.


Selepas penculikan Yuechuan, Lei Wuze dan isterinya mempunyai seorang anak perempuan, tetapi mereka tidak pernah berputus asa mencari anak lelaki mereka.  


Sejak itu, Lei Wuze mula mencari anaknya termasuk berjalan sekitar Yueyang sambil memegang gambar Yuechuan.


Dia menyiarkan risalah di seluruh China, pergi ke rancangan TV dan siaran radio, dan sentiasa aktif dalam talian. Lei Wuze menganggarkan bahawa dia mendedikasikan lebih 70 peratus masanya selama 22 tahun yang lalu untuk mencari Yuechuan.


Sepanjang 22 tahun mencari anaknya, Lei Wuze sempat berkenalan dengan ramai ibu bapa lain yang mengalami nasib sama.


Malah, dia juga sudah bertemu lebih 300 anggota polis selain mengunjungi ratusan bandar di seluruh China untuk mengesan keberadaan Yuechuan.


Usaha Lei Wuze yang berterusan membuahkan hasil selepas perisian pengecaman muka dikenali sebagai 'Prototaip Pengecaman Muka 2.0' berjaya mengesan anaknya.


Perisian itu digunakan oleh polis untuk mencari padanan selepas gambar wajah Yuechuan ketika kecil dihasilkan menjadi model lebih tua.


Pada awal tahun ini, Lei Wuze dimaklumkan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dirinya sepadan dengan seorang lelaki berusia 26 tahun yang tinggal di Shenzen.


Lei Wuze, yang telah membeli hadiah hari jadi anaknya setiap tahun, walaupun ketiadaannya, akhirnya bertemu dengan Yuechan pada penghujung bulan lalu. Ujian DNA yang dilakukan kali kedua akhirnya mengesahkan pencarian itu sudah berakhir.


Ia merupakan kisah menyayat hati yang menjangkau lebih dua dekad. Tidak jelas sama ada Yuechuan mempunyai keluarga sendiri lagi, dan jika dia mahu tinggal bersama keluarga kandungnya, tetapi fakta mudah bahawa Lei Wuze akhirnya menemui anak lelakinya yang telah lama hilang.


Beberapa tahun lalu media di China memaparkan kisah yang sama tentang Wang Mingqing, seorang lagi bapa yang menemui anak perempuannya yang diculik selepas pencarian selama 24 tahun. - Sumber Oddity Central.


Lei Wuze mencari anaknya termasuk berjalan sekitar Yueyang sambil memegang gambar Yuechuan. - Foto Oddity Central.
Gadis kahwini sebatang sungai yang dicemari najis

Gadis kahwini sebatang sungai yang dicemari najis


Seorang gadis membuat keputusan berkahwin dengan sebatang sungai tercemar bagi melindungi sungai tersebut daripada terus dicemari, lapor akhbar Daily Star pada 8 Julai 2023.


Gadis tersebut, Meghan Trump telah jatuh cinta dengan sungai ke-19 terpanjang di Britain, Sungai Avon, walaupun ia kotor dan dicemari dengan sisa najis manusia dari kumbahan.


Hari bersejarah wanita itu pada 17 Jun lalu agak berbeza dengan kebanyakan orang kerana dia berikrar mengenai komitmennya terhadap sungai yang mengalir melalui Bristol tersebut.


Trump memberitahu Daily Star bahawa dia membuat keputusan pelik itu kerana laluan air sungai tersebut telah menyebabkan dia dan rakan-rakannya jatuh sakit sebelum ini.


Menurut gadis itu, sungai tersebut juga membuatkan pakaian renangnya berbau najis.


Tambahnya, alasan di sebalik tindakannya itu adalah demi memenuhi ikrar untuk cuba melindungi dan menjaga sungai tersebut yang telah mengalami peningkatan jumlah pencemaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


"Kami cuba menyebarkan kesedaran. kami mahu melakukan sesuatu yang merupakan perayaan mengapa sungai itu masih begitu penting kepada kami semua.


"Dan untuk mencuba dan memberi ruang untuk membayangkan bagaimana ia boleh menjadi lebih baik pada masa hadapan, jadi itulah sebabnya kami memilih untuk melakukan perkahwinan kerana ia adalah sesuatu yang telah disatukan oleh manusia untuk masa yang sangat lama dan akan terus dilakukan.


"Ia adalah cara yang sangat baik untuk mempunyai rasa kesatuan dan meraikan cinta, menyatukan orang ramai," katanya. - Sumber Daily Star.


Meghan Trump melangsungkan perkahwinannya dengan Sungai Avon yang dicemari dengan najis manusia pada bulan lalu. - Foto Instagram/saveouravon.

Sabtu, 8 Julai 2023

Beg bersaiz sebutir garam berjaya dijual pada harga RM297,776

Beg bersaiz sebutir garam berjaya dijual pada harga RM297,776


Beg tangan mikroskopik 'Louis Vuitton' yang mempunyai kelebaran kurang 0.03 inci atau lebih kecil dari sebutir garam berjaya dilelong pada nilai AS$63,750 (kira-kira RM297,776) dalam satu acara lelongan, baru-baru ini.


Beg dikeluarkan syarikat MSCHF yang berpangkalan di New York itu dilelong Joopiter, sebuah rumah lelongan dalam talian yang diasaskan pemuzik, Pharrell Williams.


Ketua Pegawai Kreatif MSCHF, Kevin Wiesner berkata, beg itu dicipta untuk Williams kerana pemuzik itu menggemari topi besar.


"Williams menyukai topi besar, kami membuatkan beg yang sangat kecil untuk dia," katanya.


Dengan lebar kurang 0.03 inci, ia muncul sebagai beg tangan terkecil sehingga sukar dilihat apabila ia berada di hujung jari.


Diperbuat daripada pencetak 3D, beg tangan berwarna hijau neon yang diinspirasikan mengikut tote terkenal Louis Vuitton OnTheGo, boleh dilihat melalui mikroskop.


Selepas pemeriksaan lebih dekat melalui mikroskop, seseorang boleh melihat monogram LV dengan lebih jelas pada muka beg tangan itu.


Bermula pada 2016, MSCHF terkenal dengan projek inventifnya yang berfungsi sebagai ulasan budaya dan barangan pengumpul eksklusif.


Boleh dikatakan, salah satu sentuhan mereka yang lebih terkenal dalam beberapa bulan kebelakangan ini termasuk koleksi Big Red Boot mereka.


Ia digambarkan sebagai kostum kartun yang 'hidup'.


Beg tangan mikroskopik Louis Vuitton. - Foto MSCHF/Instagram.

Selasa, 4 Julai 2023

Wanita sindir jiran enggan pinjamkan wang tetapi mampu korbankan lembu

Wanita sindir jiran enggan pinjamkan wang tetapi mampu korbankan lembu


Satu hantaran media sosial yang dimuat naik seorang wanita di Indonesia menjadi tular kerana menyindir jirannya yang enggan meminjamkan wang kepadanya sedangkan individu tersebut mampu melakukan ibadah korban.


Hantaran mengenai sindiran itu pada asalnya dikongsi oleh akaun Facebook Siti Habiba dan segera tersebar luas di media sosial. Kemudian dimuat naik semula oleh akaun Instagram @folkshitt yang memiliki 582K pengikut.


Menerusi Portal berita Wolipop pada 1 Julai 2023, wanita bernama Siti Habiba itu menyifatkan jirannya sebagai seorang yang kedekut kerana enggan meminjamkan wang kepadanya.


Menerusi hantaran di Facebook, Siti Habiba menyindir jirannya yang melakukan korban lembu selepas mengelak memberikan pinjaman wang kepadanya.


"Sia-sia melakukan korban lembu jika dengan jiran sendiri bersikap kedekut. Mahu memberi pinjam wang pun berkira," katanya.


Kemudian dia mendedahkan bahawa jirannya selalu mengelak jika dia ingin meminjam wang daripadanya.


"Jangan sampai korbankan lembu, tetapi apabila orang mahu meminjam wang daripadanya, dia mengelak dan berbohong," tulis wanita itu.


Hantaran tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.


"Apa masalahnya? Itu hak orang (jiran), sama ada mahu meminjamkan wang atau tidak," kata seorang netizen.


"Buat apa beri pinjam (wang) jika culas membayar balik," ujar netizen lain. - Sumber Wolipop.detik. 


Wanita tersebut menggelar jirannya kedekut kerana enggan meminjamkan wang kepadanya sedangkan dia mampu mengorbankan seekor lembu. - Foto Detik.
Polis melancarkan operasi menjejakinya 'UFO' melintasi ruang udara kediaman PM India

Polis melancarkan operasi menjejakinya 'UFO' melintasi ruang udara kediaman PM India

Gambar hiasan.

Polis India pada Isnin melancarkan siasatan susulan maklumat mengenai kemunculan objek mencurigakan yang terbang (UFO) di ruang udara di kediaman Perdana Menteri Narendra Modi di New Delhi, lapor India Today pada 3 Julai 2023.


Objek yang mencurigakan itu tidak dapat dikenal pasti atau mungkin juga dron.


Bagaimanapun, pegawai tidak menemukan apa-apa yang mencurigakan setakat ini, menurut kenyataan polis.


Menurut laporan media tempatan, objek mencurigakan itu dilihat melintasi ruang udara kediaman perdana menteri di Lok Kalyan Marg kira-kira pukul 5 pagi waktu tempatan oleh pegawai Kumpulan Perlindungan Khas, pasukan elit yang melindungi perdana menteri.


Selepas dimaklumkan, Polis Delhi melancarkan operasi untuk menjejakinya selepas mendapat maklumat tersebut.


"Maklumat diterima mengenai objek terbang tidak dikenali berhampiran kediaman PM. Pemeriksaan menyeluruh dibuat di kawasan berhampiran tetapi tiada objek seperti itu dikesan.


"Bilik kawalan trafik udara (ATC) juga telah dihubungi. Mereka juga tidak mengesan objek terbang seperti itu berhampiran kediaman PM," kata Polis Delhi dalam satu kenyataan.


Kediaman rasmi perdana menteri India itu berada di bawah zon larangan terbang. - Sumber India Today.


Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Isnin, 3 Julai 2023

Dapat 'gaji' walaupun ponteng kerja 20 tahun, guru akhirnya dipecat

Dapat 'gaji' walaupun ponteng kerja 20 tahun, guru akhirnya dipecat


Seorang guru sekolah menengah di Itali yang dipecat selepas didapati gagal hadir mengajar pelajarnya selama 20 tahun, kini berjanji untuk mempertahankan dirinya, lapor Oddity Central pada 28 Jun 2023.


Cinzia Paolina De Lio, 51, yang mengajar subjek sejarah dan falsafah menjadi terkenal selepas 'ponteng kerja' selama 20 tahun daripada keseluruhan 24 tahun perkhidmatannya sebagai pendidik di beberapa sekolah di sekitar Venice.


De Lio sebelum ini dipecat pada tahun 2017 selepas siasatan mendapati wanita itu sering 'tidak bersedia' dan 'lalai' ketika berada di dalam kelas.


Bagaimanapun, De Lio membuat rayuan terhadap keputusan itu dan berjaya mendapatkan semula pekerjaannya pada tahun berikutnya.


Wanita itu dikatakan terus mengemukakan pelbagai alasan untuk mengabaikan tugas hakiki sebagai guru sehingga Mahkamah Agung Kasasi Itali memutuskan untuk mengekalkan keputusan awal penamatan kontraknya.


Keputusan itu mengambil kira tempoh ketidakhadiran De Lio ke sekolah setelah sudah lebih dua dekad menceburi kerjaya berkenaan.


Kementerian Pendidikan Itali mendakwa De Lio tidak hadir ke kelas sepenuhnya semasa tempoh 10 tahun pertamanya bertugas sebagai guru.


"Malah, pihak kementerian juga menjelaskan ketidakhadiran De Lio secara berterusan dalam tempoh 14 tahun dengan pelbagai dokumen dikemukakan termasuk cuti bersalin, cuti menyusu bayi dan surat meminta kebenaran untuk menjaga ahli keluarga kurang upaya," jelasnya.


Dilaporkan, wanita itu juga menggunakan gabungan cuti sakit, cuti tahunan dan pengecualian lain seperti kebenaran menghadiri persidangan untuk mengelak daripada hadir ke kelas.


Secara keseluruhannya, De Lio didapati memfailkan lebih 100 permohonan untuk tidak hadir ke sekolah.


Sementara itu, De Lio ketika dihubungi La Republica berjanji untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.


Bagaimanapun, dia mendakwa memiliki dokumen yang mengesahkan dia hadir ke sekolah selama tempoh dua dekad itu. - Sumber Oddity Central.


Cinzia Paolina De Lio.
Seekor lembu baka Nelore berjaya dijual pada harga RM20 juta

Seekor lembu baka Nelore berjaya dijual pada harga RM20 juta


Seekor lembu putih gergasi bernama Viatina-19 FIV Mara Imoveis, dijual pada harga AS$4.3 juta (kira-kira RM20 juta) dalam satu lelongan di Arandu, Brazil.


Menerusi laporan Newsweek pada 29 Jun 2023, lembu baka Nelore berusia empat tahun setengah yang dijual Agropecuaria Casa Branca kepada Nelore HRO dengan harga tertinggi itu menjadikannya lembu paling mahal di dunia.


Harga satu pertiga daripada lembu itu sahaja dijual dengan nilai AS$1.44 juta (kira-kira RM6.5 juta).


Penjualan Viatina-19 FIV Mara Imoveis itu menandakan nilai sebenar Nelore baka tulen di Brazil dan ia jelas menunjukkan berapa banyak yang sanggup dibayar oleh sesetengah orang untuk spesimen kualiti genetik yang tinggi.


Harga tinggi itu juga akan merentasi pasaran lembu antarabangsa, menonjolkan nilai baka dan mengukuhkan reputasinya di seluruh dunia.


Lembu Nelore adalah baka bercirikan bulu putih terang dengan bonggol yang berbeza di atas bahunya.


Menurut Oklahoma State University, lembu Nelore secara semula jadi mempunyai daya tahan tinggi terhadap suhu lebih panas berikutan kulitnya yang longgar, berjuntai dan memiliki kelenjar peluh dua kali lebih besar serta 30 peratus lebih banyak daripada kebanyakan baka haiwan itu di Eropah.


Baka itu berasal dari India dan dinamakan sempena daerah India Nellore di negeri Andhra Pradesh.


Ia kini satu daripada baka lembu yang paling penting di Brazil disebabkan keupayaannya untuk membesar dengan makanan ternakan berkualiti rendah, pada masa sama memiliki kecekapan metabolisme.


Nelore juga mudah membiak, kerana lembu betina mempunyai keluasan bukaan pelvis dan saluran kelahiran yang lebih besar, manakala bagi anak lembu memerlukan hanya sedikit interaksi dengan manusia untuk berjaya membesar hingga dewasa.


Ketahanannya terhadap beberapa jangkitan parasit kerana tekstur kulitnya yang padat menjadikannya lebih sukar untuk serangga penghisap darah untuk menembusi.


Harganya yang tinggi adalah hasil daripada ciri-ciri yang menguntungkan ini, dengan baka dibiakkan secara selektif untuk menguatkan ciri-ciri ini menggunakan permanian inseminasi.


Jualan air mani Nelore mewakili 65 peratus daripada jumlah pasaran inseminasi buatan lembu di Brazil, dan menurut laporan Guardian dari 2018, sperma daripada lembu jantan elit paling berharga, dan mungkin berharga AS$5,000 (kira-kira RM23,332) setiap dos 0.55 mililiter.


Terdapat kira-kira 167,000,000 lembu Nelore di Brazil, merangkumi 80 peratus daripada jumlah keseluruhan lembu di seluruh negara itu. - Sumber NewsWeek.


Lembu baka Nelore telah dijual dengan harga $4.3 juta di Brazil. - Foto Casa Branca Agropastoral.

Ahad, 2 Julai 2023

Wanita 'ketuk' keranda bangkit semula pada pengebumiannya disahkan meninggal dunia

Wanita 'ketuk' keranda bangkit semula pada pengebumiannya disahkan meninggal dunia


Seorang wanita berusia 76 tahun yang tular selepas bangkit semula pada pengebumiannya di Ecuador minggu lalu akhirnya dilaporkan sudah meninggal dunia selepas lebih tujuh hari berada di unit rawatan rapi (ICU), lapor laman berita The Guardian.


Kementerian kesihatan Ecuador mengesahkan, Bella Montoya meninggal dunia akibat strok iskemia di Hospital Martín Icaza dan mayatnya masih berada dalam pemantauan. Bagaimanapun kementerian itu enggan memberikan maklumat lanjut mengenai siasatan perubatan melibatkan kes aneh itu.


Anak lelaki Montoya, Gilberto Barbera berkata, dia juga belum menerima sebarang laporan daripada pihak berkuasa tentang apa yang berlaku kepada ibunya.


Menurut Barbera, ibunya saudaranya sudah membuat aduan secara rasmi berhubung kejadian itu dan keluarganya sedang berusaha mengenal pasti doktor yang mengisytiharkan kematian ibunya sebelum ini.


Montoya dilaporkan bangun dan mula mengetuk pada 9 Jun selepas menghabiskan lima jam di dalam kerandanya di rumah pengebumian di Babahoyo, kira-kira 208 kilometer barat daya Quito.


Pakar perubatan percaya Montoya berada dalam keadaan catalepsy yang dicirikan oleh kehilangan sementara kawalan otot hingga mengakibatkan kelemahan dan tidak sedarkan diri.


Jenazah Montoya, yang merupakan seorang pesara jururawat, telah kembali ke rumah pengebumian yang sama di mana dia bangun. Anak lelakinya memberitahu AP bahawa dia akan dikebumikan di tanah perkuburan awam.


Sebuah jawatankuasa teknikal dilaporkan sudah dibentuk bagi mengkaji bagaimana hospital boleh mengeluarkan sijil kematian minggu lalu walaupun Montoya masih hidup ketika itu. - Sumber The Guardian.


Bella Montoya dilaporkan mengetuk kerandanya sendiri selepas terjaga ketika upacara pengebumiannya minggu lalu. - Foto Twitter/AztecaNews.

Sabtu, 1 Julai 2023

Isteri muda jutawan berkongsi bahawa dia berbelanja RM74,744 sehari

Isteri muda jutawan berkongsi bahawa dia berbelanja RM74,744 sehari


Seorang isteri jutawan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Linda Andrade berkongsi bahawa dia berbelanja AS$16,000 (RM74,744) sehari menerusi klip video yang dimuat naik dalam akaun TikToknya, lapor portal berita New York Post pada 28 Jun 2023.


Suri rumah yang dibesarkan di Anaheim, California dan baru berusia 23 tahun itu mempunyai banyak wang untuk dibelanjakan dan dia tidak segan mempamerkan gaya hidup mewahnya.


Dalam video TikTok baharu dengan judul bermaksud 'Berapa Banyak Saya Berbelanja dalam Sehari Sebagai Isteri Jutawan', si cantik itu berkongsi tabiat berbelanjanya, menyebabkan ramai penonton terpegun.


Linda yang kini menetap di Dubai bersama suaminya, Ricky, memulakan hari dengan membeli barang keperluan sendiri dan minum kopi emas 24K berharga AS$80 (RM373.72).


Dia menghadiri sesi gimnasiumnya dengan bayaran AS$300 (RM1,401) dan membeli minyak wangi berharga AS$420 (RM1,962) sebelum berbelanja sebanyak AS$120 (RM560) untuk makan tengah hari. Wanita itu kemudian merias kukunya dengan bayaran AS$500 (RM2,335).



Dalam mood berbelanja, suri rumah itu membeli lagi beg tangan dan kali ini ia berharga AS$7,000 (RM32,700).


Bagaimanapun, wanita itu memberitahu New York Post bahawa dia dan suaminya sebelum ini tidak bermula sebagai seorang anak jutawan.


Ricky hanya bekerja sebagai juruteknik dan pencuci pinggan ketika mereka mula berkenalan semasa dia remaja. Kini, dia menjana pendapatan berjuta-juta sebagai peniaga FX dan crypto.


"Perjalanan yang begitu panjang, dan Ricky tahu perkara sebenar," katanya.


Linda juga berasal dari permulaan yang sederhana, setelah berpindah dari Amman, Jordan, ke Anaheim, California, ketika dia berusia 2 tahun. Keluarganya seramai enam orang tinggal di apartmen satu bilik sehingga bapanya, Fouad, membuka kedai pembaikan elektronik yang mengkhususkan diri dalam telefon bimbit dan komputer. - Sumber New York Post.


Bagaimanapun, kekayaan Linda bukan sahaja datang daripada suaminya peniaga Cryptocurrency, Ricky (kiri). Pada usia 19 tahun dia menjadi jutawan melalui kejayaan pesat perniagaan med-spanya Flip Your Look. Hari ini pasangan itu tinggal di Dubai. - Foto Instagram/lionlindaa.
Pelancong China berdepan hukuman penjara kerana bergambar dengan tapak sulaiman

Pelancong China berdepan hukuman penjara kerana bergambar dengan tapak sulaiman


Tiga pelancong China berdepan hukuman penjara dua tahun dan denda 100,000 baht (RM13,092) setiap seorang kerana menyentuh tapak sulaiman dan memijak terumbu karang ketika melancong ke Phuket, Thailand, lapor laman berita VN Express pada 29 Jun 2023.


Dua daripada mereka mengakui kesalahan yang dilakukan selepas menyerah diri kepada polis, manakala seorang lagi pelancong masih bebas, lapor laman berita The Phuket News.


Mereka merupakan sebahagian daripada sekumpulan pelancong yang menyelam di pulau Koh Racha, Phuket minggu lepas.


Beberapa gambar menunjukkan mereka memegang tapak sulaiman dan memijak terumbu karang dimuat naik Selasa lalu di laman Facebook Monsoon Garbage Thailand. Akaun tersebut memantau aktiviti 'pencabulan' alam sekitar.


Gambar itu menjadi tular dengan pantas, dengan banyak pihak mendesak pihak berkuasa menyiasat insiden tersebut.


Menurut undang-undang Thailand, sesiapa yang merosakkan atau mengganggu terumbu karang atau hidupan marin berdepan denda 100,000 baht (RM13,092) atau hukuman penjara dua tahun. - Sumber VN Express.


Dua pelancong ini menyelam di pulau Koh Racha di Phuket minggu lepas. - Foto Facebook.