Isnin, 17 April 2023

Dasar laut bocor, saintis terkejut temui lubang besar 'mengeluarkan' sesuatu unsur lain

Dasar laut bocor, saintis terkejut temui lubang besar 'mengeluarkan' sesuatu unsur lain


Sekumpulan saintis terkejut menemui sebuah lubang besar di dasar lautan di luar pantai negeri Oregon, Amerika Syarikat di kawasan dikenali sebagai Zon Subduksi Cascadia, lapor akhbar Daily Star pada 13 April 2023.


Pakar-pakar dari Universiti Washington berkata, penemuan lubang dasar laut yang bocor mungkin bukan petanda baik di rantau berkenaan.


Lubang itu dinamakan 'Pythias Oasis' sempena nama seorang pendeta Greek yang membuat ramalan ketika duduk di atas mata air panas, lapor laman web Futurisme.


Ia menarik perhatian saintis sejak ditemui pada 2015, tetapi penyelidikan baharu mencadangkan bahawa air yang keluar dari lubang itu adalah sesuatu unsur lain.



Pakar-pakar percaya bahawa ia sebenarnya adalah sejenis pelincir tektonik yang diperlukan oleh plat untuk mengelakkan pergerakan dalam tanah.


Semasa menjalankan penyelidikan, saintis menemui 'buih-buih pada kedudukan kira-kira 1.2 kilometer di bawah permukaan air'.


Dengan menggunakan robot peneroka dasar laut, mereka mendapati buih-buih itu hanya komponen kecil cecair panas berbeza secara kimia yang muncul dari sedimen dasar laut.


Profesor oseanografi dan geologi dasar laut Universiti Washington, Evan Solomon berkata: "Mereka meneroka ke arah itu dan apa yang dilihat bukan hanya gelembung metana, tetapi air yang keluar dari dasar laut seperti paip.


"Itu sesuatu yang tidak pernah saya lihat dan dalam pengamatan saya tidak pernah dikaji sebelum ini," katanya.


Kajian sebelum ini mendapati air yang keluar dari lubang itu lebih panas daripada suhu lautan.


Ia dipercayai kebocoran dasar laut pertama seumpamanya tetapi pakar percaya bahawa yang lain mungkin wujud tanpa pengesanan. - Sumber Daily Star


Pakar percaya ia mungkin cecair tektonik yang bocor ke lautan. - Foto Universiti Washington.

Ahad, 16 April 2023

Kejadian unik, salji dan hujan batu melanda Arab Saudi, mengganggu lalu lintas

Kejadian unik, salji dan hujan batu melanda Arab Saudi, mengganggu lalu lintas


Sebahagian kawasan di Arab Saudi termasuk wilayah Al Baha dilanda salji dalam satu kejadian yang unik pada pagi Isnin lalu, lapor portal berita Gulf News pada 11 April 2023.


Video di media sosial menunjukkan salji dan hujan batu melanda jalan raya menyebabkan banyak kenderaan yang tersangkut.


Gangguan cuaca luar biasa tersebut menyebabkan keterujaan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa yang mengambil kesempatan daripada fenomena alam yang jarang berlaku itu.


Dalam pada itu, portal berita The Siasat Daily melaporkan bahawa wilayah Al Baha terkenal dengan kawasan pergunungan megah dan landskap yang indah.



Kru-kru kecemasan dari majlis perbandaran terpaksa mengalihkan batu dan hujan batu dari jalan raya manakala taman-taman bertukar warna menjadi putih.


Ramai pemandu singgah untuk menikmati cuaca yang sejuk dan sederhana itu manakala kanak-kanak dan orang dewasa muda dilihat berseronok di lereng gunung termasuk di tepi jalan raya yang dilitupi salji.


Pertahanan awam telah meningkatkan kesediaan mereka untuk menghadapi sebarang potensi risiko dan telah mengerahkan pasukan peronda.


Pihak berkuasa telah memberi amaran kepada rakyat, penduduk dan pemandu kenderaan supaya berhati-hati memandangkan perubahan cuaca di rantau itu. - Sumber Gulf News.


Sebahagian kawasan termasuk wilayah Al Baha diliputi salji pada awal pagi Isnin lalu. - Foto LBCI.
Penduduk kecoh anak kambing lahir bermata satu mirip 'Dajjal'

Penduduk kecoh anak kambing lahir bermata satu mirip 'Dajjal'


Kelahiran seekor anak kambing jantan bermata satu dan digelar 'Dajjal' mengejutkan penduduk sebuah kampung di bandar Klaten, wilayah Jawa Tengah, lapor laman berita Detik pada 12 April 2023.


Pemilik kambing tersebut, Muhammad Sadat, 38, berkata, anak kambing itu dilahirkan pada 11 April lalu.


"Tiada tanda-tanda aneh sebelum ini. Kandungan induknya juga normal semasa usia kehamilan empat hingga lima bulan dan ketika lahir, ia boleh berdiri seperti biasa," katanya.


Menurut Sadat lagi, kambingnya dari ciri fizikal lebih besar daripada kambing lain. Tulang kaki dan badan lebih besar. Selepas dilahirkan, kambing itu diberi minum susu untuk menjadi sihat.


Kelahiran anak kambing itu mengejutkan penduduk setempat yang ingin memastikan kebenaran berita tersebut. Begitu juga dengan seorang lelaki bernama Ngatman yang sanggup datang semata-mata mahu melihat anak kambing tersebut.


"Mukanya seperti monyet. Mulutnya naik dan matanya rapat," kata Ngatman.


Seorang lagi penduduk, Irwan berkata, secara umumnya tiada apa yang pelik mengenai tubuh anak kambing itu. Ia juga boleh berjalan seperti biasa.


Bagaimanapun, anak kambing itu akhirnya mati dan dikebumikan di hujung kampung.


"Kambing itu akhirnya mati selepas saya menjaganya sepanjang hari. Saya kuburkan," kata Sadat. - Sumber Detik.


Anak kambing itu akhirnya mati dan dikebumikan di hujung kampung. - Foto Detik.

Jumaat, 14 April 2023

Arnold Schwarzenegger tampal sendiri lubang di jalan raya

Arnold Schwarzenegger tampal sendiri lubang di jalan raya


Bekas hero filem The Terminator, Arnold Schwarzenegger menampal lubang di atas jalan raya dengan menggunakan kudratnya di sebuah kawasan kejiranan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) semalam, lapor portal berita New York Post pada 11 April 2023.


Schwarzenegger, 75, bertindak demikian pada lubang besar yang tidak dibaiki dan telah 'mengganggu' kawasan kejiranannya selama berminggu-minggu.


Bekas Gabenor California itu berkongsi video di laman Twitter yang menunjukkan dia dan dua lelaki lain menggunakan konkrit berbungkus untuk membaiki jalan di kawasan Brentwood di samping beberapa lagu yang dimasukkan.


"Hari ini (Selasa), selepas seluruh kawasan kejiranan kecewa dengan jalan berlubang gergasi ini yang merosakkan kereta dan basikal selama berminggu-minggu.


"Saya keluar bersama pasukan saya dan membetulkannya. Saya selalu berkata, jangan mengeluh, mari kita lakukan sesuatu mengenainya. Dah siap," ciapnya.



Lelaki itu memakai kasut but kerja dan jaket kulit ketika melakukan kerja-kerja menampal jalan raya tersebut.


Daniel Ketchell, jurucakap Schwarzenegger, berkata penduduk Brentwood membuat permintaan berulang kali untuk pembaikan sejak ribut musim sejuk yang mengakibatkan jalan tempatan berlubang dan retak.


Datuk Bandar Karen Bass minggu lalu mengumumkan rancangan menangani bilangan jalan rosak yang belum pernah terjadi sebelumnya di seluruh bandar.


Sejak 30 Disember, Los Angeles telah menerima 19,692 permintaan perkhidmatan untuk pembaikan, dan sehingga 6 April, krew telah menampal sekurang-kurangnya 17,549 lubang, kata pegawai. - Sumber New York Post.


Arnold Schwarzenegger menampal lubang di atas jalan raya di kawasan kejiranannya di Los Angeles pada Selasa lalu. - Foto @Schwarzenegger/Twitter.

Khamis, 13 April 2023

Budak curi bas pandu lebih 100 kilometer selama 5 jam

Budak curi bas pandu lebih 100 kilometer selama 5 jam


Seorang budak lelaki mencuri sebuah bas persendirian milik syarikat A&S Transit dan memandunya selama lima jam di serata Singapura pagi semalam, lapor laman berita Mothership pada 13 April 2023.


Ketika kejadian, budak lelaki itu menempuh perjalanan 100 kilometer merentasi Tampines, Bedok, Pasir Ris dan Punggol.


Gambar kejadian dimuat naik di laman Instagram dan dihantar kepada Mothership oleh seorang pembaca.


Dalam salah satu gambar berkenaan, perjalanan budak lelaki itu berakhir dengan dia ditahan oleh anggota polis.


Catatan Instagram dalam akaun sama juga menyebut bahawa budak itu telah menghabiskan kira-kira suku tangki minyak diesel.



Budak lelaki itu didakwa mencuba nasib menghidupkan enjin bas secara rambang pada malam hari kejadian.


Polis Singapura berkata, mereka dimaklumkan mengenai kes curi kenderaan bermotor di sepanjang jalan Tampines Avenue 10 pada 12 April pukul 12:04 tengah hari (waktu tempatan).


Siasatan mengenai kejadian itu sedang dijalankan, dan tiada sebarang kecederaan dinyatakan. - Sumber Mothership.


Budak lelaki itu dikelilingi anggota polis selepas memandu sebuah bas lebih 100 km. - Foto Mothership.

Antara kerosakan pada bas selepas dipandu budak lelaki tersebut. - Foto Mothership.

Rabu, 12 April 2023

Gerhana matahari separa muncul semula pada 20 April ini

Gerhana matahari separa muncul semula pada 20 April ini


Selepas kali terakhir berlaku tiga tahun lalu, gerhana matahari separa akan muncul semula pada 20 April ini, dan kejadian itu terjadi sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini.


Seluruh negara akan mengalami gerhana matahari separa berikutan fenomena gerhana matahari hibrid yang berlaku berdekatan benua Australia.


Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Facebook berkata, pemerhati di Semenanjung akan menyaksikan fenomena tersebut bermula jam 11 pagi.


"Pemerhati di Semenanjung boleh menyaksikan fenomena gerhana matahari separa bermula 11 pagi hingga sekitar 1 petang.


"Bagi pemerhati di Sarawak pula, sehingga sekitar pukul 1 petang manakala di Sabah sehingga sekitar pukul 2 petang," menurut kenyataan tersebut.


Kali terakhir kejadian itu dapat disaksikan di Malaysia ialah pada 21 Jun 2020 lalu ketika umat Islam di negara ini masih lagi meraikan lebaran pada 29 Syawal 1441 Hijrah.


Menurut pakar falak tanah air, Hanafiah Abdul Razak, berkata gerhana matahari separa atau penuh merupakan fenomena berulang-ulang yang dapat dikira menerusi kaedah ulangan kiraan hilal atau anak bulan takwim Hijrah.


Selepas kali terakhir berlaku di Malaysia tiga tahun lalu, gerhana matahari separa akan muncul semula pada 20 April 2023 ini. - Foto Ihsan falak online.

Selasa, 11 April 2023

Penyamun tukar kod QR bank masjid ke akaun peribadi

Penyamun tukar kod QR bank masjid ke akaun peribadi


Satu klip video yang tular di media sosial Twitter ketika ini menyaksikan seorang pemuda secara sengaja telah menukar kod QR bank amal sebuah masjid kepada kod QR bank peribadinya.


Klip video yang dikongsi itu menunjukkan seorang pemuda yang memakai baju kemeja biru gelap berlegar di kawasan masjid lalu menampal satu kertas kod QR pada tabung masjid yang disediakan.


Difahamkan kejadian ini berlaku di sebuah masjid yang terletak di Jakarta Pusat, Indonesia. Pihak berkuasa Indonesia juga sudah berjaya menahan suspek yang juga seorang pegawai bank.


"Kod QR kotak amal masjid pun jadi sasaran, diganti dengan kod QR peribadi. Semakin canggih cara pencuri beraksi. Syukur kejadian terakam dengan kamera," tulis seorang netizen.


Didakwa pencuri tersebut juga telah melakukan perkara sama di beberapa buah masjid sebelum ini. Insiden ini dapat dikesan selepas salah satu masjid terbabit mempunyai CCTV lalu berjaya merakam perbuatan lelaki ini.


Orang ramai yang menyaksikan klip video tersebut turut terkejut dengan cara yang dilakukan oleh pencuri itu dan menyifatkan cara yang dilakukannya amat bahaya dan tidak disedari orang ramai.


"Kalau kita nak derma kita terus 'scan' sahaja, memang la akan keluar butiran akaun penerima tetapi kita tidak tahu itu penerima sebenar atau tidak, risau benda ini akan berlaku di Malaysia nanti," kata seorang lagi netizen.


"Memang ramai tak terfikir lagi cara mencuri ini, kalau di masjid memang ramai orang akan menderma dengan cara 'scan' kod QR, makin canggih pencuri zaman sekarang," tulis netizen lain.


Tangkap layar seorang pemuda yang menukar kod QR bank amal sebuah masjid kepada akaun peribadinya. - Foto Twitter.

Isnin, 10 April 2023

Gadis berumur 14 tahun upah pembunuh upahan bunuh ibu

Gadis berumur 14 tahun upah pembunuh upahan bunuh ibu


Seorang ejen hartanah, Anastasia Milosskaya, 38, diserang dan dicekik hingga mati apabila dia pulang ke rumah pada 24 Mac lalu, manakala polis Russia menahan anak perempuan mangsa yang berumur 14 tahun kerana mengupah pembunuh upahan untuk membunuh ibunya, lapor akhbar The Sun pada 2 April 2023 lalu.


Anak perempuannya yang merupakan pelajar sebuah sekolah, dituduh bersekongkol dengan teman lelakinya untuk mengupah pembunuh upahan bagi menyerang dan mencekik ibunya sehingga mati.


Kira-kira 48 jam selepas serangan berlaku, mayat Milosskaya ditemui disembunyikan di dalam tong sampah di Balashikha yang terletak dalam wilayah Moscow.


Sebelum dibunuh, wanita itu telah meminta teman lelaki anak perempuannya supaya keluar dari apartmen mereka kerana bimbang dia memberi pengaruh negatif kepada anak perempuannya.


Pihak berkuasa Russia percaya anak perempuan mangsa mengupah dua remaja lain untuk membunuh ibunya dengan upah 350,000 rubel (RM19,391).


Kesemua tertuduh dan remaja itu berusia antara 14 dan 17 tahun. Mereka berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun.


Kedua-dua pembunuh upahan itu telah ditempatkan di sebuah pusat tahanan juvenil selama sebulan sementara siasatan dijalankan.


Polis berkata, gadis itu dan teman lelakinya berniat untuk hidup dengan menggunakan wang simpanan ibunya berjumlah lebih 2.9 juta rubel (RM164,714).


Seorang rakan gadis itu berkata: "Dia bercakap tentang membenci ibunya berkali-kali, walaupun ibunya adalah orang yang baik yang menyayanginya."


Nenek kepada gadis itu berkata cucunya telah berada di bawah pengaruh budak lelaki itu yang berasal dari "keluarga susah".


Sumber lain berkata, mangsa mengambil berat terhadap anak perempuannya dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki kehidupannya. - Sumber The Sun.


Kesemua tertuduh adalah remaja berusia antara 14 dan 17 tahun. - Foto East2West.

Anastasia Milosskaya bersama anak perempuannya. - Foto East2West.
Pencuri diberkas polis ketika tonton wayang bersama kekasih

Pencuri diberkas polis ketika tonton wayang bersama kekasih


Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi seorang lelaki yang disyaki pencuri motosikal diberkas polis ketika sedang menonton wayang bersama teman wanitanya, lapor laman berita Suara.com pada 8 April 2023.


Video itu dimuat naik dalam akaun Instagram @terangmedia. Kejadian itu dikatakan berlaku di wilayah Lampung.


Dalam klip video tersebut, beberapa polis berpakaian seperti orang awam memasuki sebuah pawagam dan menahan seorang lelaki yang duduk di kerusi penonton.


Ketika ditahan, kelihatan pemuda yang berbaju belang itu bersama seorang wanita yang disyaki teman wanitanya.


Pemuda itu kelihatan pasrah ketika ditahan. Polis kemudian memeriksa badannya sebelum dibawa keluar dari lokasi kejadian.


Akaun yang memuat naik video tersebut turut tertanya-tanya bagaimana perasaan seorang wanita apabila kekasihnya dicekup polis.


"Saya tidak tahu bagaimana perasaan gadis itu," tulis pemilik akaun itu disertai emoji sedih.


Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.


"Lebih menarik kalau polis duduk di sebelah dia, lepas habis tonton wayang terus tangkap," komen seorang netizen.


"Kasian, padahal filmnya lagi seru-serunya," kata seorang lagi netizen sambil memberikan emoji ketawa dalam komennya. - Sumber Suara.com.


Lelaki itu kelihatan pasrah ketika dia ditahan polis. - Foto Instagram.

Ahad, 9 April 2023

Detik ngeri kereta 'ditelan' lubang benam dipenuhi air mendidih

Detik ngeri kereta 'ditelan' lubang benam dipenuhi air mendidih


Orang ramai menyaksikan dengan seram sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan dua kanak-kanak turut berada di dalamnya 'ditelan' sebuah lubang benam yang dipenuhi air panas mendidih, lapor portal berita Daily Mirror pada 6 April 2023.


Empat orang dilaporkan cedera, termasuk seorang daripada dua kanak-kanak yang menaiki SUV itu. Lubang tersebut terbentuk di Jalan Drovyanaya, bandar raya St Petersburg, Russia, pada 5 April.


Menurut laporan tempatan, lubang benam itu muncul selepas paip air panas pecah dan menyebabkan tanah serta asfalt di bawah kenderaan tersebut runtuh.


Dalam kejadian itu, pemandu dan anak lelakinya yang berusia 10 tahun melecur dan dihantar ke hospital, manakala seorang lagi kanak-kanak dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.



Media tempatan menyatakan, salah seorang daripada mereka dipindahkan ke unit rawatan rapi kerana melecur lebih 30 peratus pada badannya.


"Kedua-dua mangsa dihantar ke hospital dengan melecur pada bahagian kaki mereka," kata Kementerian Situasi Kecemasan dalam satu kenyataan yang diperoleh Newsflash.


Sebuah video yang dirakam oleh saksi yang tidak dinamakan memaparkan sebuah SUV berwarna putih tenggelam sepenuhnya dalam lubang benam, yang masih mengeluarkan wap.


Kelihatan krew kecemasan berkumpul di tepi, menunggu air panas reda sebelum mereka mula bekerja menyelamatkan kenderaan.


Sebanyak 31 anggota kecemasan dan 11 unit peralatan khas dilaporkan mengendalikan operasi pembersihan besar-besaran, manakala jalan itu ditutup sementara kepada lalu lintas.


Banyak bandar di Russia mempunyai loji pemanasan gergasi yang menyalurkan air panas ke taman perumahan, manakala paip pecah adalah perkara biasa disebabkan infrastruktur yang semakin 'tua'. - Sumber Mirror UK.


Sebuah kenderaan SUV yang turut dinaiki dua kanak-kanak ‘ditelan’ ke dalam sebuah lubang benam di St. Petersburg, pada 5 April lalu. - Foto Newsflash.