Jumaat, 14 April 2023

Arnold Schwarzenegger tampal sendiri lubang di jalan raya


Bekas hero filem The Terminator, Arnold Schwarzenegger menampal lubang di atas jalan raya dengan menggunakan kudratnya di sebuah kawasan kejiranan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) semalam, lapor portal berita New York Post pada 11 April 2023.


Schwarzenegger, 75, bertindak demikian pada lubang besar yang tidak dibaiki dan telah 'mengganggu' kawasan kejiranannya selama berminggu-minggu.


Bekas Gabenor California itu berkongsi video di laman Twitter yang menunjukkan dia dan dua lelaki lain menggunakan konkrit berbungkus untuk membaiki jalan di kawasan Brentwood di samping beberapa lagu yang dimasukkan.


"Hari ini (Selasa), selepas seluruh kawasan kejiranan kecewa dengan jalan berlubang gergasi ini yang merosakkan kereta dan basikal selama berminggu-minggu.


"Saya keluar bersama pasukan saya dan membetulkannya. Saya selalu berkata, jangan mengeluh, mari kita lakukan sesuatu mengenainya. Dah siap," ciapnya.



Lelaki itu memakai kasut but kerja dan jaket kulit ketika melakukan kerja-kerja menampal jalan raya tersebut.


Daniel Ketchell, jurucakap Schwarzenegger, berkata penduduk Brentwood membuat permintaan berulang kali untuk pembaikan sejak ribut musim sejuk yang mengakibatkan jalan tempatan berlubang dan retak.


Datuk Bandar Karen Bass minggu lalu mengumumkan rancangan menangani bilangan jalan rosak yang belum pernah terjadi sebelumnya di seluruh bandar.


Sejak 30 Disember, Los Angeles telah menerima 19,692 permintaan perkhidmatan untuk pembaikan, dan sehingga 6 April, krew telah menampal sekurang-kurangnya 17,549 lubang, kata pegawai. - Sumber New York Post.


Arnold Schwarzenegger menampal lubang di atas jalan raya di kawasan kejiranannya di Los Angeles pada Selasa lalu. - Foto @Schwarzenegger/Twitter.


EmoticonEmoticon